Bu Fang melihat tiga ketul Sosej Daging Lembu Naga Kelana yang sedang digoreng di dalam kuali yang penuh dengan minyak. Walaupun dia sudah memakan seketul sosej, dia teringin untuk memakannya lagi selepas dia menghidu aroma sosej yang harum itu. Sajian yang menggunakan daging binatang semangat kelas ketujuh ini sungguh menyelerakan.

"Baik dia rompak orang saja... Dua ratus lima puluh biji kristal untuk seketul sosej, dia memang gila!" Ni Yan berkata dengan geram apabila dia duduk di atas kerusi.

Di sebelahnya, Tang Yin berasa sungguh bingung. Walaupun seketul sosej itu berharga dua ratus lima puluh biji kristal, mereka masih membelinya juga... Bukankah mereka yang gila sebenarnya kerana membeli sosej itu?

Di sebelah mereka berdua, Qian Bao menarik nafas panjang. Seperti yang diharapkan daripada restoran yang tak berhati perut di bandar diraja ini, seketul sosej... memang dijual dengan harga dua ratus lima puluh biji kristal. Harga itu bersamaan dengan pendapatan mingguan Restoran Phoenix Abadi. Dia sebenarnya tidak mampu untuk membeli seketul sosej itu.

Ni Yan naik berang apabila dia merenung tajam ke arah anjing hitam yang sedang baring di pintu masuk itu. Anjing hitam yang besar itu telah memakan sosej lazat itu dengan senang-lenang sahaja. Membazirkan makanan sahaja.

Tapi, dia tidak boleh berbuat apa-apa. Seperti yang dikatakan oleh Bu Fang, dia datang ke restorannya sebagai seorang pelanggan. Sekiranya dia mahu merasai sajian Bu Fang, dia perlu membuat pesanan dan membayar sajian itu dengan kristal. Anjing hitam besar itu bukan pelanggan restoran itu, jadi Bu Fang boleh memberikan sosejnya kepada anjing itu dengan begitu sahaja.

Secara ringkasnya, ini merupakan satu masalah identiti bagi mereka. Walaupun Ni Yan geram, dia masih boleh menerima kenyataan ini.

Selepas Ni Yan melihat menu restoran itu, dia terus menjadi terkejut. Setiap sajian yang tertulis pada menu itu sangat mahal. Namun begitu, masih ada pelanggan yang datang ke restoran ini.

Ni Yan terdiam apabila dia melihat pelanggan-pelanggan berbadan besar yang memakai kot luar sedang menjamu selera di sebelah meja mereka.

Tidak lama kemudian, Bu Fang keluar dari dapur sambil memegang dua pinggan porselin putih di tangannya. Di atas kedua-dua pinggan itu, terdapat kepingan Sosej Daging Lembu Naga Kelana. Aroma yang sungguh harum tersebar dari kepingan sosej itu.

Wanginya! Semua orang di dalam restoran itu terpesona dengan bau itu. Mereka menghidu udara di sekeliling mereka supaya mereka dapat menghidu lagi aroma yang harum itu.

"Inilah Sosej Daging Lembu Naga Kelana yang kamu pesan tadi. Jemput makan." Bu Fang berkata kepada Ni Yan dan kemudian meletakkan pinggan kedua di hadapan Tang Yin. Dia berpusing dan masuk ke dapur semula. Kemudian, dia kembali ke meja mereka dengan pinggan yang terakhir dan meletakkannya di hadapan Lu Xiaoxiao.

Mereka bertiga pun mula makan. Tang Yin menyuap sekeping sosej ke dalam mulutnya. Matanya terbeliak ketika dia mengunyah sosej itu dengan rakus sekali seolah-olah dia mahu menelan lidahnya sekali.

Ekspresi di wajah Lu Xiaoxiao semasa makan juga sama dengan Tang Yin. Dia memang asyik dengan rasa lazat sosej itu sehingga dia tidak dapat mengawal dirinya.

Sebaliknya, Ni Yan bersifat lebih rasional. Dia betul-betul meneliti dan menilai sajian itu dengan memerhatikan warna, bau dan rupanya serta aspek-aspek penting yang lain.

Selepas dia habis membuat penilaiannya, Ni Yan mengangkat sekeping sosej dan menyuapkannya ke dalam mulutnya... Rasa dagingnya yang lazat terus mengalir ke dalam mulutnya seperti air sungai dan menyebabkan badan dan mindanya menjadi terpesona dengan kelazatannya itu.

"Wanginya! Sedap betul! Adakah ini benar-benar sosej? Inilah sosej paling lazat yang pernah saya rasa!" Ni Yan sangat terkejut. Dia memang terpesona dengan sosej itu.

Senyuman lebar terukir di wajah Bu Fang apabila dia melihat ketiga-tiga orang itu makan dengan penuh nikmat. Dia berpusing dan menuju semula ke dapur untuk mula memasak sajian Si Gemuk Jin dan pelanggan-pelanggan yang lain.

Apabila Bu Fang telah siap memasak, Ni Yan dan pengikut-pengikutnya juga telah habis memakan Sosej Daging Lembu Naga Kelana. Mereka melihat Bu Fang dengan pandangan yang aneh.

Mata Ni Yan memandang Bu Fang dengan tajam sekali. Pandangannya itu kelihatan seolah-olah dia mahu menelan Bu Fang. "Beritahu saya bagaimana kamu kekalkan tenaga semangat di dalam daging binatang semangat! Dah lama saya selidik tentang teknik seperti ini, tapi saya masih tak dapat mengawal tenaga semangat yang terkandung di dalam daging binatang semangat!"

Selepas sahaja dia menggigit sosej itu, Ni Yan faham mengapa Bu Fang menjual sosejnya dengan harga yang mahal. Kesan daripada memakan salah seketul sosejnya lebih kuat daripada menelan eliksir kelas keenam. Tenaga semangat yang terkandung di dalam sosej itu melampaui imaginasinya.

Daging yang digunakan untuk menghasilkan sosej ini semestinya bukan daripada binatang semangat yang biasa... Lembu Naga Kelana, adakah ia diperbuat daripada Lembu Naga Kelana?!

Bu Fang megelap titisan air di tangannya dan memandang Ni Yan dengan sekilas lalu. Mata wanita yang anggun ini haus akan pengetahuan. Matanya yang besar itu kelihatan seperti riak air dan ia penuh dengan harapan ketika dia melihat Bu Fang. Bu Fang sendiri pun hampir tergoda dengannya.

"Ini rahsia." Bu Fang berkata.

Ni Yan naik berang... Dia hampir lupa yang kecantikannya tidak bermakna bagi orang yang bodoh di hadapannya itu.

"Apabila daging binatang semangat dirosakkan, tenaga semangat yang terkandung di dalamnya akan hilang. Semakin tinggi kelas binatang semangat, semakin cepat tenaga semangatnya akan hilang... Daripada rupa daging ini, kelas binatang semangatnya mesti bukan daripada kelas yang rendah. Bagaimana kamu melakukannya?"

"Ini rahsia." Bu Fang menjawab.

Raut wajah Ni Yan menjadi dingin. Pada ketika itu, dia terasa hendak menampar lelaki yang degil ini sehingga dia menjadi daging cincang...

"Sekurang-kurangnya kamu boleh beritahu saya kelas binatang semangat daging ni, boleh tak?" Ni Yan bertanya dengan geram. Dia mempunyai rasa syak yang kuat terhadap kepekatan tenaga semangat yang luar biasa di dalam daging sosej itu. Walau bagaimanapun, dia masih tidak pasti... Dia akan menjadi sangat takut kalau syak wasangkanya itu benar.

"Ini rah... Oh, saya boleh beritahu kamu tentang perkara ni." Bu Fang mahu memberikan jawapan yang sama kepadanya, tetapi dia berhenti bercakap untuk beberapa saat dan terus menukarkan jawapannya.

Daya tulen di dalam badan Ni Yan mula bergerak dengan tidak menentu kerana dia sedang cuba untuk menahan dirinya daripada menumbuk Bu Fang. Kenapa dia suka sangat beritahunya semua adalah rahsia?

"Kamu rasa kenapa sosej ini dijual dengan harga yang mahal?" Bu Fang bertanya apabila dia melihat Ni Yan. "Sebab dagingnya mahal. Dagingnya daripada Lembu Naga Kelana kelas ketujuh..."

...

Sepuluh batu daripada pintu gerbang bandar diraja, tentera putera ketiga telah memasang khemah di tanah lapang. Mereka bercadang untuk tidak masuk ke bandar diraja.

Putera ketiga menanggalkan pakaian tenteranya dan memakai jubah putih yang mewah. Dia berdiri di hadapan tenteranya dengan megah dan dua orang lelaki berdiri di belakangnya. Salah seorang daripada mereka memakai topi buluh dengan vel hitam, seorang lagi berbadan tinggi dan sasa.

"Tuan Putera, bahaya kalau Tuan Putera masuk ke bandar diraja. Orang bawahan Tuan Putera mesti menemani Tuan Putera pada setiap masa untuk memastikan keselamatan Tuan Putera!" Lelaki yang berbadan tinggi dan sasa itu berkata.

Mata Ji Chengxue melirik ke arah lelaki itu dengan penuh rasa risau, tetapi dia bersetuju dengan kata-kata lelaki itu. Dia perlahan-lahan berjalan ke bandar diraja pada awal pagi dengan kedua-dua tangannya disilang di belakangnya.

Ketika dia melepasi pintu gerbang bandar itu, angin musim sejuk bertiup di mukanya tetapi dia rasa tenang.

Jalan-jalan di bandar diraja itu menimbulkan rasa nostalgia kepadanya. Bandar itu tidak berubah sejak dia meninggalkannya, tetapi dia rasa ada sedikit perubahan telah yang berlaku.

Dari jauh, dua kumpulan perlahan-lahan menghampiri Ji Chengxue untuk menyambut kepulangannya.

"Kami menyambut kepulangan Tuan Putera ke bandar diraja. Tuan Putera dijemput ke kediaman Raja Yu untuk berbicara." Seorang pegawai tua berkata kepada Ji Chengxue. Nada suaranya agak biadap.

Ji Chengxue mengecam lelaki tua ini. Dia seorang pegawai tinggi di mahkamah diraja. Daripada sudut pandangannya, lelaki itu telah memilih untuk berpihak kepada Raja Yu.

Walau bagaimanapun, tidak ada alasan bagi dia untuk bersikap sebegitu. Ji Chengxue memberi pandangan yang dingin kepada lelaki itu. Kemudian, senyuman terukir di bibirnya apabila dia berkata, "Tuan Yang Terutama, betapa sombongnya kamu. Walaupun Beta ni bermasalah, Beta masih seorang putera. Semasa Beta berperang dan membunuh musuh-musuh kita di luar sempadan, Beta tertanya-tanya Tuan Yang Terutama tinggal di rumah pelacuran yang mana. Apakah logik kamu bercakap dengan Beta seperti ini?"

Pegawai kerajaan itu terkejut. Anak matanya mengecil dan seluruh bahagian belakangnya naik peluh sejuk.

Lelaki berbadan sasa yang berdiri di belakang Ji Chengxue itu mendengus dengan marah ketika dia melangkah ke hadapan dan memandang pegawai kerajaan itu dengan geram. Pegawai kerajaan itu sangat takut dan dia terus mengambil beberapa langkah ke belakang lalu jatuh terduduk. Pegawai kerajaan itu hanyalah seorang sarjana. Bagaimana dia dapat berhadapan dengan lelaki yang kelihatan seperti seekor binatang liar itu?

Dari jauh, sekumpulan orang lagi menghampiri mereka dengan perlahan. Orang yang mengetuai kumpulan itu ialah seorang sida-sida muda. Ternyata yang mereka orang bawahan Putera Mahkota.

"Hamba-hamba yang hina ini menyambut kehadiran Tuan Putera. Putera Mahkota mendapat tahu yang Tuan Putera telah kembali ke bandar diraja pada hari ini, jadi dia mengarahkan hambanya yang hina ini untuk menjemput Tuan Putera ke istana diraja untuk berbicara dengannya." Sida-sida muda itu seorang pembicara yang baik dan sikapnya pula sangat baik hati.

Raut wajah Ji Chengxue menjadi tenang semula dan dia mengangguk kepalanya.

Walaupun dia mengangguk, dia tidak bercadang untuk bergerak pun dari tempat itu. Dia melihat kedua-dua kumpulan itu dan mula tertawa.

Suara yang lembut keluar dari mulutnya.

"Pergi dari sini dan ceritakan kepada kekanda-kekanda kesayangan Beta, katakan kepada mereka yang Beta sangat letih kerana Beta dah berjalan jauh. Beta tak mahu berjumpa dengan mereka. Kalau mereka ada hal yang nak dibincangkan, kita akan bincang... semasa pengebumian Ayahanda."

avataravatar
Next chapter