webnovel

Ayame

Ayame,

Aku duduk bersendirian hari ini di tepi sungai yang terletak di kawasan tanaman pokok getah. Aku duduk membaca buku yang masih tinggal separuh untuk dihabiskan.

Sedang aku khusyuk membaca, aku ternampak seorang budak perempuan sedang berlari menuju ke arah pondok buruk yang terletak tidak jauh dari situ. Ketika itu, aku sedang bersandar di sebuah pohon besar. Untuk mengelakkan diriku dari dilihat, aku mengubah posisiku. Aku segera bersembunyi di sebalik pohon itu. aku melihat budak perempuan itu dari jauh. Dia meletakkan beg yang dipegangnya itu di bawah pondok buruk itu. Selepas itu, dia meniarap masuk ke bawah pondok buruk itu.

Tidak lama kemudian, dua orang lelaki dan seorang wanita datang. Wajah mereka nampak tegang. Mereka seperti mencari-cari sesuatu. Budak perempuan itu pula kelihatan amat takut sekali. Begitu juga dengan diriku, aku hanya melihat dari jauh. Aku mengagak yang mereka mungkin sedang mencari budak perempuan itu.

Aku sudah mula mahu menarik nafas lega apabila ketiga-tiga mereka kelihatan seperti mahu meninggalkan kawasan itu. Tetapi tiba-tiba salah seorang daripada mereka menjerit "tu dia!" dia menunjuk ke arah budak perempuan yang bersembunyi di bawah pokok itu. Budak perempuan itu cuba untuk keluar. Dia cuba untuk melarikan diri tetapi salah seorang daripada mereka berjaya menangkapnya. Tanpa banyak bicara, kedua-dua lelaki itu mengikat budak perempuan itu. Wanita yang ada bersama-sama dengan mereka mengeluarkan seutas tali yang panjang. Dia mula menjerut leher budak itu. Aku tidak sanggup melihatnya. Aku menutup mataku.

Selepas beberapa ketika, perlahan-lahan aku membuka mataku. Aku lihat, mereka sedang mengheret budak perempuan yang sudah tidak bernyawa itu dan mencampakkannya ke dalam sungai yang sedang deras mengalir. Mereka melihat sahaja budak perempuan itu hanyut dibawa arus yang deras itu. Beberapa ketika kemudian, mereka terus berlalu pergi.

Sungai ini telah banyak memakan nyawa manusia. Dari si suci Miki, budak perempuan yang teraniaya itu hinggalah jantan tak guna yang penuh dengan dosa.

Aku segera pergi mendapatkan beg milik budak perempuan yang ditinggalkan di bawah pondok itu. Aku menjumpai beberapa keping lukisan dan salinan sijil kelahirannya. Apa yang aku nak buat dengan semua ini? Patutkah aku laporkan semua ini kepada pihak polis?