webnovel

Terapung Di Udara

Marina merasakan badannya begitu ringan sekali, jantungnya tidak berhenti berdegup kencang ketika dia berada dalam keadaan terapung di udara. Mereka mengenggam tangan antara satu sama lain dengan erat. Lebih kurang tiga minit mereka berkeadaan begitu.

"Sekarang buka mata" suara Ikran kedengaran. Marina merasakan yang kakinya telah menjejaki sesuatu. Perlahan-lahan, dia membuka mata. Inspektor David, Profesor Kardiff dan Puan Leela juga begitu. Mereka merasakan yang mereka baru sahaja terjatuh ke dalam telaga yang amat dalam.

"Di mana kita berada sekarang?" tanya Marina. Dia melihat keadaan sekelilingnya. Rasa kagum mula terbit di dalam dirinya.

"Kita sekarang berada di Pulau Rasfa. Jauh di Laut Laguna Utara. Kita berada di tempat di mana Doktor Adam dan Doktor Fendi selalu bertemu. Namanya adalah Pusat Esperanza" jelas Ikran. Marina, Inspektor David, Profesor Kardiff dan Puan Leela memerhatikan keadaan sekeliling tempat itu. Ianya dipenuhi dengan peralatan-peralatan yang canggih dan unik. Dia tidak pernah melihat peralatan-peralatan yang sebegitu sepanjang hidupnya. Terdapat juga skrin besar dan beberapa alat kawalan di hadapannya.

"Bagaimana Marina?" Ikran bersuara.

"Bagaimana apa?" tanya Marina kembali tanpa memandang wajah Ikran. Dia masih tergamam. Dia memerhatikan keadaan di sekelilingnya.

"Tempat ini. Cantik bukan." Kata Ikran sambil tersenyum.

"Ya. Semestinya." Jawab Marina ringkas.

"Ini adalah bilik kawalan pusat. Mari saya bawa kamu semua ke ruangan lain pula." Ujar Ikran. Dia membawa mereka ke sekitar kawasan itu. Satu-persatu tempat dan bilik diperkenalkan oleh Ikran. Dari segi rekaan, ianya amat futuristik. Ternyata ramai yang mempunyai kepakaran yang tinggi terlibat dalam pembinaannya. Reka bentuk tempat ini menyerupai PRASASTI di mana bentuk banggunannya menyerupai sebuah silinder yang terpotong pada kemuncaknya dan ditutupi dengan sebuah kubah geodesik.

Marina memerhatikannya dengan penuh rasa kagum, dia tidak menyangka ayahnya yang melakukan ini semua. Segala apa yang diterangkan oleh Ikran kepadanya didengar dengan penuh teliti. Ada ketika, dia merasakan seperti Doktor Adam Raufal sendiri yang berada di sisi dan berkata-kata kepadanya.

Setelah selesai, mereka kembali semula ke bilik kawalan. Di situ, Ikran mula membuka cerita mengenai dirinya.

"Di sinilah tempat di mana saya mula-mula mencelikkan mata.Ketika itu, saya tidak tahu apa-apa. Saya melihat semuanya dengan pandangan yang kosong. Sehinggalah Doktor Fendi memasukkan sesuatu ke dalam kepala saya. Sejurus selepas itu, saya terus dapat mengenali semua benda yang berada di hadapan saya." Ikran menceritakan apa yang dialaminya ketika mula-mula dia 'dihidupkan oleh Doktor Fendi.