webnovel

Tembok Kota

Editor: EndlessFantasy Translation

Proses penghasilan simen kini berjalan dengan pantas. Untuk memastikan Anna mendapat waktu rehat yang cukup, tanur itu hanya beroperasi sekali setiap dua atau tiga hari. Bagi mendapatkan lebih banyak bahan mentah, Roland sekali lagi mengeluarkan notis pengambilan pekerja jadi bilangan tenaga kerjanya kini sudah meningkat dua kali ganda.

Namun begitu, Roland sedar dia tidak boleh hanya bergantung kepada Anna untuk menghasilkan simen. Sesiapa yang bekerja dalam persekitaran berhabuk untuk tempoh masa yang panjang akan menderita akibat penyakit paru-paru yang dikenali sebagai Silikosis. Tambahan lagi, apabila skala pengeluaran mereka bertambah, Anna seorang tidak akan mampu memenuhi permintaan yang sudah pasti meningkat.

Ahli sihir tidak patut dianggap sebagai tenaga buruh, tetapi sebaliknya sebagai jentera yang menggerakkan kemajuan sesebuah ketamadunan. Walaupun Roland cukup sedar tentang perkara itu, dia terpaksa menumpukan seluruh usahanya kini kepada pembinaan tembok kota itu. Lagipun, semua ini tidak akan ada gunanya lagi jika haiwan-haiwan syaitan itu tidak boleh dihalang masuk.

Sebuah projek dilancarkan untuk mengorek tanah bagi pembinaan lapisan asas tembok kota yang akan menghubungkan Gunung Cerun Utara dengan Sungai Air Merah. Oleh kerana Roland merupakan pengarah projek ini dan juga kerana dia masih tidak lupa dengan rutin kerjanya sebagai Cheng Yan dahulu, dia menyingsing lengan untuk membuat cangkulan pertama di tanah itu sambil disaksikan orang ramai yang tercengang kehairanan.

Roland menyangka selepas dia menyelesaikan masalah penghasilan simen itu, keseluruhan proses pembinaan tembok itu akan berlangsung tanpa sebarang masalah. Tetapi apabila dia mula menjalankan kerja itu, dia mendapati sebenarnya dia tidak tahu apa-apa tentang kejuruteraan. Sedalam mana tanah itu patut dikorek? Selebar mana? Bagaimana mahu mengatasi masalah tanah yang tidak rata? Bagaimana mahu memastikan tembok sepanjang 600 meter akan lurus selepas dibina? Pada zaman asalnya, dia pernah melihat sekumpulan pekerja mengukur jalan dengan pelbagai alat dan pembaris, sesuatu yang bernama teodolit dan juga alat pengaras, tetapi di mana dia mahu cari semua alat itu pada zaman ini?

Sebagai seorang pelukis cetak biru mekanikal, Cheng Yan dan jurutera awam yang bekerja di bilik sebelahnya terkenal sebagai orang yang arif dalam kerja-kerja pembinaan. Namun begitu, kemahiran mereka jauh berbeza. Bukan itu sahaja, semua penurap bata yang diupah Roland tidak pernah menyertai projek pembinaan sebesar ini. Pengetahuan mereka yang masih kuno jauh ketinggalan daripada Roland. Jadi projek itu berjalan dengan sangat lembab. Kerja mengorek parit yang cetek sahaja sudah mengambil masa seminggu.

Apabila projek pembinaan ini tidak dijalankan dengan teratur, hasil akhirnya akan menjadi sangat teruk. Misalnya, parit cetek yang mereka gali dengan susah-payah itu akhirnya kelihatan seperti longkang pengairan sahaja, bukannya lubang asas untuk tembok kota. Roland sudah memberi anggaran kelebaran sebelum mereka mula mengorek tetapi semakin lama mereka menggali, lubang itu menjadi semakin tirus ke bawah. Jika dilihat dari jauh, ia kelihatan bengkang-bengkok seperti ular dipalu pula.

Tetapi Roland rasa ralat untuk menangguhkan projek itu. Dia berpendapat kemajuan yang sedikit lebih baik daripada tiada kemajuan langsung. Bila tanur simen itu tidak beroperasi, dia akan menghabiskan setiap saat di kaki Gunung Cerun Utara. Dia akan mengubah suai arah lubang itu dengan mata kasarnya dan perlahan-lahan menggerakkan projek itu. Pada masa yang sama, dia menggandakan gaji untuk tukang-tukang batu.

Mujurlah fasa pembinaan yang sangat tidak teratur itu tidak berpanjangan. Sewaktu Roland berada di tanur untuk memantau penghasilan simen buat kali keenam, Pembantu Menteri Barov melaporkan ada seorang tukang batu yang datang untuk memohon kerja. Tukang batu ini mengatakan dia dahulu pernah menjadi ahli Persatuan Tukang Batu di Kerajaan Graycastle. Kini dia sedang menunggu di depan istana.

Roland berfikir seketika dan kemudian terus berasa gembira. Menurut memori Roland, Persatuan Tukang Batu Kerajaan Graycastle merupakan pasukan tukang terkemuka dan mempunyai kepakaran yang tinggi. Putera Roland sendiri pernah mendengar nama mereka. Pasukan itu sudah dibubarkan selepas satu kemalangan di tapak pembinaan, tetapi Roland sedia maklum dalam bidang pembinaan, kemalangan memang tidak boleh dielakkan.

"Bawa dia menghadap Beta." Roland cuba menyembunyikan keterujaannya dan hanya mengangguk dengan serius. Dia hampir menyuruh Anna keluar tetapi selepas itu dia mengubah fikirannya. Pekan Sempadan ada 2000 orang penduduk dan tidak ramai yang pernah melihat wajah seorang ahli sihir. Lagipun Anna sudah kelihatan jauh berbeza daripada gadis kurus keding yang diseksa hingga separuh mati dahulu. Anna juga memakai pakaian yang lain daripada kebiasaan, jadi mustahil ada orang yang akan mengecamnya.

Karl van Bate merasa gementar apabila kesateria itu membawanya ke halaman istana. Dia mahu memberitahu Putera Roland yang projek pembinaan seperti itu tidak sesuai dibuat pada musim ini. Kemudian dia mahu perlahan-lahan mendapatkan kepercayaan baginda agar dia boleh memujuk baginda mengubah pendiriannya terhadap ahli sihir. Tetapi khabar angin mengatakan putera itu sentiasa berubah-ubah fikiran. Bagaimana jika nasihatnya itu akan memakan dirinya sendiri?

Dada Karl berdebar-debar semasa dia menunduk hormat di hadapan Putera Roland. Sebaik mengangkat kepalanya, jantungnya terasa seperti mahu berhenti – gadis yang berdiri di sebelah baginda putera kelihatan seperti seseorang yang dia sangat kenali, sehingga dia merasakan mungkin dia sudah hilang akal kerana membayangkan sesuatu yang mustahil. Karl menggosok matanya lalu cuba mengamati gadis itu sekali lagi, lalu menjerit tanpa sedar, "…Anna!"

Alamak! Ini memang satu kebetulan! Tukang batu yang Roland ingin temui merupakan kenalan ahli sihir itu? Dia kelihatan seperti sangat mengenali Anna. Jika tidak, mustahil dia boleh mengecam gadis itu sekelip mata. Roland berpusing dan memandang Carter Lannis, dan kesateria itu terus faham apa yang Roland fikirkan. Dia cepat-cepat mengunci pintu utama balai penghadapan itu agar tiada sesiapa yang boleh keluar.

"Cikgu…Karl?"

Soalan Anna membuat Roland bingung seketika. "Apa? Cikgu?"

"Anna, memang betullah itu awak. Saya… Saya…" Pandangan Karl mula kabur dan air mata terus tumpah membasahi pipinya. Dia jatuh terduduk sambil mulutnya tidak henti-henti berkata, "Saya minta maaf… Saya minta maaf… Oh, leganya saya… Syukurlah…."

Selepas beberapa ketika, barulah Karl van Bate berjaya menenangkan perasaannya. Dia bangun perlahan-lahan dan sekali lagi tunduk hormat kepada Roland. "Patik mohon ampun beribu-ribu ampun, Tuanku. Patik tidak dapat menahan perasaan Patik."

"Apa yang berlaku? Bukankah awak seorang tukang batu?"

"Dulu Patik pernah bekerja sebagai tukang batu," Karl menjawab pantas dan dia merasakan seolah-olah satu beban besar diangkat dari dadanya. Putera itu tidak membunuh Anna! Rupanya orang yang digantung tempoh hari hanya orang lain yang menggantikan Anna – bila dia menyedari ini, dia sudah tahu apa langkah seterusnya. Dia masih tidak faham kenapa Putera Roland menyelamatkan seorang ahli sihir tetapi jika baginda berbuat demikian untuk menjadikan Anna sebagai gundiknya sekalipun, itu jauh lebih baik daripada mati dengan sia-sia di tali gantung. Sekurang-kurangnya ia membuktikan putera itu tidak percaya dengan tahyul yang mengatakan ahli sihir ialah jelmaan syaitan.

Karl mula menceritakan kisah hidupnya selepas dia berkelana dari Kerajaan Graycastle, sehingga ke saat dia membuka sekolah di Pekan Sempadan dan jua tentang dia mendapat tahu salah seorang anak muridnya, Nana Pine, sudah bertukar menjadi ahli sihir. Dia merayu kepada Putera Roland untuk menyembunyikan Nana juga di dalam istana kerana takut penduduk pekan akan mendapat tahu tentang identiti sebenar Nana.

Anna yang berdiri di sebelah Roland tidak berkata apa-apa, tetapi dia juga kelihatan terdesak mahu memujuk Roland untuk melindungi Nana.

'Ada ahli sihir lain. Ini sudah bagus! Tapi saya macam pernah dengar nama Pine,' fikir Roland dalam hati lalu memanggil pembantu menterinya untuk bertanya. Selepas itu dia dimaklumkan yang Pine merupakan nama salah satu keluarga bangsawan kelas pertengahan di Pekan Sempadan.

"Awak boleh bawa dia berjumpa Beta. Jika dia benar-benar seorang ahli sihir, Beta jamin dia akan selamat dari sebarang ancaman," Roland berjanji. "Tetapi Beta tidak boleh pisahkan dia daripada keluarganya, keluarga Pine tidak membahayakan dia sekarang. Lagipun tujuan Beta menyelamatkan Anna jauh berbeza daripada apa yang awak fikirkan…" Dia terhenti seketika tetapi selepas itu dia memutuskan untuk bercakap benar saja. "Beta perlukan bantuan dia. Berbanding cerita mengarut tentang jelmaan syaitan dan kuasa iblis, Beta lebih cenderung untuk percaya kuasa ahli sihir bukan kuasa jahat dan ia boleh dikawal. Jadi tidak kiralah sama ada Anna, Nana, atau mana-mana ahli sihir sekalipun, asalkan mereka tidak melakukan sebarang jenayah, Beta tidak akan anggap mereka jahat."

"Sekarang kita teruskan ke perkara penting. Awak pernah terlibat dalam projek pembinaan tembok kota untuk Kerajaan Graycastle?" Putera itu mengalihkan topik perbualan kembali ke projek pembinaan itu.

"Ya!" Karl mengangguk. Walaupun Putera Roland tidak menyimpan Anna untuk tujuan yang dia fikirkan, kata-kata baginda tentang memerlukan bantuan ahli sihir juga cukup membingungkan. Bagaimanapun, Karl sudah berasa lega dengan janji Putera Roland untuk melindungi Nana.

"Baiklah. Beta merancang untuk membina sebuah tembok kota antara Sungai Air Merah dan di kaki Gunung Cerun Utara untuk menghalang kemaraan haiwan-haiwan iblis yang mahu menceroboh. Mulai sekarang, awak dipertanggungjawabkan untuk projek ini."