webnovel

Menghasilkan Simen Pertama

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Roland berdiri di sebelah sebelah tanur sementara menunggu simen yang pertama dihasilkan.

Tanur bata itu direka untuk menghasilkan simen. Ia berukuran 15 meter panjang dan empat meter lebar serta mempunyai satu pintu depan dan satu pintu belakang. Pintu depannya direka cukup lebar agar ia boleh memuatkan penghantaran bahan mentah serta buruh yang keluar masuk tanur itu. Pintu belakangnya pula hanya cukup besar untuk dimasuki seorang sahaja dan ia sengaja dibuat sebagai pintu rahsia Anna.

Roland turut membina sebuah tembok rendah yang mengelilingi separuh daripada tanur itu dan menugaskan pengawal menjaga di tempat masuk dan keluarnya. Semua pengawal itu ialah orang yang sangat dipercayai Carter.

Proses penghasilan simen sangat mudah untuk diterangkan. Mula-mula, batu kapur akan dihancurkan menjadi serbuk dan akan digaul dengan tanah liat atau serbuk besi. Ia akan menghasilkan sejenis pes, tidak kira sama ada mereka menggunakan kaedah basah atau kering. Selepas dicampurkan dengan gipsum, simen itu sudah sedia untuk digunakan. Bahan-bahan mentah yang diperlukan boleh didapati dengan mudah dan memandangkan serbuk besi sukar untuk dihasilkan, ia dikecualikan terus daripada proses pembuatannya. Kuncinya adalah suhu pengkalsinan atau suhu untuk menyingkirkan semua kelembapan daripada pes itu.

Roland tidak ingat suhu tepat yang diperlukan untuk mencairkan simen itu. Dia tidak mempunyai peralatan yang diperlukan seperti jangka suhu inframerah atau tolok suhu gandingan haba untuk mengukur suhu yang sepatutnya, dan ini menyukarkan lagi kerja Roland. Dia hanya tahu yang takat lebur simen hampir sama dengan takat lebur besi, dan proses pengkalsinan merupakan proses yang paling sukar untuk dikawal dalam pembuatan simen.

Dalam zaman yang serba mundur dan tanpa teknologi ini, mahu mengekalkan suhu relau bagas itu sahaja sudah menjadi masalah besar. Relau terbuka yang biasa akan membebaskan terlalu banyak haba dan sukar untuk memastikannya terbakar pada suhu lebih 1200℃. Relau talun pula memerlukan kebuk dalaman yang mampu mengekalkan suhu tinggi, tetapi Roland tidak tahu cara untuk menghasilkan bata refraktori atau bata yang boleh memantulkan haba. Relau bagas tradisional yang digunakan untuk menempa besi pula lebih lagi tidak berguna. Mungkin ia boleh menghasilkan suhu yang cukup tinggi tetapi rongga pendiangnya yang sempit tidak muat untuk menghasilkan simen yang mencukupi jika mereka mahu menyiapkan binaan sebelum Bulan Kunjungan Iblis.

Selepas mempertimbangkan semua ini, Roland mereka sebuah relau yang tidak perlu dipanaskan langsung, sebaliknya hanya bergantung kepada Anna semata-mata.

Serpihan batu kapur dan tanah liat digaul dengan air untuk menghasilkan pes yang akan dilumur rata atas lantai relau itu. Kemudian para pengawal akan menyuruh semua buruh keluar dan mengunci pintu relau. Anna akan masuk melalui pintu belakang dan akan memanaskan lantai relau itu sehingga palang besi yang turut diletakkan dalam relau itu melebur.

Roland sudah tidak sabar lagi. Ini langkah pertamanya untuk pelan melindungi Pekan Sempadan. Jika dia tidak dapat menghasilkan simen, rancangannya untuk membina sebuah tembok kota dalam masa tiga bulan akan menjadi sekadar janji kosong. Jika tidak ada tembok untuk melindungi pekan ini, dia risau tiada orang yang akan sanggup tinggal di sini lagi. Tidak kira sama ada dalam catatan sejarah mahupun cerita-cerita dongeng, sebuah penempatan yang stabil sangat penting untuk industri pertanian.

"Maksud Tuanku, bahan yang bernama simen ini boleh melekatkan batu bersama?" tanya Carter Lannis yang sedang berdiri berhampiran Putera Roland. Walaupun putera itu berkata ini hasil uji kaji terbaru dalam makmal alkimia di Kerajaan Graycastle, dia masih lagi ragu-ragu. Lagipun golongan itu tidak pernah menghasilkan apa-apa yang berguna.

"Siapa tahu? Itulah yang mereka dakwa," jawab Roland.

Dalam dunia ini, alkimia dan astrologi dikenali sebagai seni kependetaan dan sangat popular di tanah besar. Keluarga-keluarga diraja selalunya akan melantik ahli nujum dan ahli alkimia peribadi untuk meramal dan mengubah nasib mereka. Tetapi bagi rakyat marhaen, ilmu seperti itu tidak mampu dicapai oleh tahap kefahaman mereka jadi tidak ada gunanya mereka mengambil tahu tentang ilmu-ilmu itu. Oleh itu, Roland mengambil kesempatan ini dengan mendakwa kononnya simen itu merupakan hasil uji kaji alkimia. Dia tidak kisah sama ada ketua kesateria itu mempercayainya atau tidak.

Akhirnya api dalam jendela tanur itu terpadam. Ini menandakan proses pemanasan simen di dalamnya sudah selesai.

Rolang bingkas berdiri. Dia menyuruh Carter berjaga di laman hadapan dan dia menunggu sendirian di hadapan pintu tanur batu-bata itu.

Pintu hadapan terbuka dengan bunyi keriut dan Anna melangkah keluar tanpa sehelai benang menyaluti tubuhnya. Roland terus menyarungkan sehelai jubah pada Anna dan menghulurkan segelas air. "Bagaimana?"

Muka ahli sihir itu diselaputi abu nipis. Walaupun simen basah tidak sepatutnya mengeluarkan abu, tapi ia tetap berhabuk sedikit semasa simen itu dipanaskan. Memandangkan Anna tidak boleh memakai penutup muka, dia tidak boleh berada lama-lama di dalam tanur itu. Anna terbatuk-batuk sebelum menjawab, "Lumpur itu sudah bertukar warna menjadi kelabu."

Roland tidak sabar mahu menunggu sehingga suhu tanur itu turun. Dia membasahkan sehelai tuala, membalut kepalanya dan mencapai sebatang cangkul. Kemudian dia terus masuk melalui pintu belakang tanur.

Dengan serta-merta bahang panas menyerang mukanya sehingga dia sukar untuk bernafas. Kulit tapak tangannya terasa seperti sedang dipanggang. Mujurlah dia hanya memerlukan beberapa saat untuk mencangkul timbunan abu itu ke tepi. Jika tidak, mungkin dia akan terbakar hidup-hidup di dalam sana.

"Adakah ini yang Tuanku mahukan?" tanya Anna sambil melihat bahan itu. Dia sudah memakai jubah ahli sihirnya.

"Nampaknya begitulah." Roland memampatkan serbuk yang terhasil itu dan menguji kepanasannya dengan tangan. "Kita tak boleh tahu selagi kita belum gunakannya lagi."

"Mahu gunakan untuk apa?"

"Membina rumah, membaiki jalan. Ada pelbagai kegunaan untuk bahan ini. Jika kaedah ini berjaya, semua orang sudah tidak perlu risau semasa musim sejuk atau hujan mahupun salji merosakkan rumah mereka." Dengan sebelah tangan lagi, Roland nengusap kepala gadis itu. "Semua ini kerana bantuan awak."

Anna menundukkan kepalanya. Roland tidak pasti jika dia tersilap pandang tetapi buat seketika, pernafasan gadis itu menjadi sedikit laju.

Secara teorinya, simen yang baru dipanaskan itu mesti dikisar dengan gipsum untuk menyesuaikan masa pengerasannya. Tetapi Roland tiada masa untuk memikirkan semua itu. Selepas berehat sebentar, Roland mencapai dua batang cangkul dan memanggil Carter yang masih berdiri di laman hadapan. Roland mengarahkan Carter menggaulkan abu kelabu itu secara berkadaran dengan pasir sungai dengan nisbah 3:1 untuk menghasilkan mortar simen.

Ketua kesateria itu tidak kisah melakukan kerja buruh seperti ini. Pada pendapatnya, ini jauh lebih baik daripada berperang atau mengejar gadis-gadis bangsawan seperti yang dia sering lakukan untuk Putera Roland dahulu semasa di istana Kerajaan Graycastle.

Oleh kerana mereka tidak mencampurkan serbuk besi dalam campuran mentah itu, pes yang terhasil berwarna putih kekelabuan. Roland melumurkan pes itu di atas sebuah bata dan meletakkan satu lagi bata di atasnya. Biasanya simen itu akan mengeras dalam masa kira-kira empat jam. Tetapi memandangkan ini baru percubaan pertama, Roland memutuskan untuk memeriksa hasilnya keesokan hari saja.

Keesokan paginya, Roland bergegas turun ke tanur itu dengan membawa Carter dan Anna. Bila dia membuka pintu tanur itu, dia lihat simen itu seolah-olah sudah kering dan batu-bata itu sudah melekat bersama. Permukaan simen itu kelihatan berketul-ketul dan ada tempat yang diselaputi fros putih.

Roland mencangkung di hadapan batu-bata itu. Proses pengalkalian biasanya memang akan menghasilkan selaput mirip fros putih. Dia menekan simen keras itu dengan jari dan hatinya terus melompat riang. Simen itu sudah keras sepenuhnya dan teksturnya berbeza daripada tanah liat yang keras. Walaupun dia menekan simen itu dengan lebih kuat, ia tidak memberi sebarang kesan pun.

Selepas diberi isyarat oleh Putera Roland, mula-mula Carter cuba untuk memisahkan batu-bata itu. Kemudian dia menendang batu-bata itu sehingga ia terjatuh. Ia hanya terjatuh dari lantai tetapi dua bata yang melekat itu masih tidak terpisah. Akhirnya dia menggunakan hulu pedangnya untuk cuba memecahkan batu-bata itu tetapi hanya sebahagian kecil bata itu yang menyerpih.

"Rupanya inilah hasil bila kita gunakan bahan bernama simen itu." Barulah Carter sedar tujuan utama untuk penghasilan bahan itu. "Ini sangat mengagumkan. Semalam ia cair umpama lilin yang membakar tetapi dalam masa semalaman sahaja, ia sudah menjadi sekeras batu. Kalau kita guna bahan ini, kita boleh bina tembok kita sepantas mana yang kita mahu. Malah kalau kita ada batu-bata yang mencukupi, kita boleh bina tembok yang mengelilingi keseluruhan Pekan Sempadan dalam masa kurang lima tahun sahaja!"

"Apa gunanya kita buat begitu?" tanya Roland. "Tembok setinggi mana pun tidak boleh melindungi rakyat jelata Beta daripada musuh dari dalam. Lebih baik Beta gantikan semua rumah kayu di Pekan Sempadan dengan rumah batu yang lebih kukuh agar rakyat Beta tidak perlu lagi risau kehilangan rumah mereka dalam bencana alam."

"…" Ketua Kesateria itu terpegun. Dia tidak menyangka Putera Roland yang terkenal dengan sikap berfoya-foya dan mementingkan diri mampu berfikiran seperti itu.

"Suatu hari nanti, awak mesti akan faham." Roland yakin dengan keputusannya. Jika ada orang lain yang merentas masa, mereka akan mendapati teknologi adalah pencetus pada kemajuan manusia. Namun di sini, ahli sihir adalah kunci untuk mereka menongkah masa hadapan.