webnovel

Senja Musim Dingin (Bahagian II)

Editor: EndlessFantasy Translation

"Bertenang. Ia belum tiba lagi." Roland mengeluh apabila melihat ketidaksabaran Lightning.

Entah kenapa gadis itu begitu beria-ia mahu menentang makhluk iblis. Sudah jelas dia tiada pengalaman tempur, namun dia tidak menunjukkan sekelumit pun rasa takut dengan makhluk iblis yang selama ini membuatkan orang lain menggeletar ketakutan. "Awak buat seperti makhluk pertama tempoh hari. Jangan terlebih yakin. Tugas awak ialah menarik perhatian raksasa itu dan umpan ia ke sini. Berhati-hati dengan ketinggian awak terbang, jangan sampai raksasa itu berjaya menerkam awak pula."

"Yalah, yalah," jawab Lightning yang sudah tidak dapat menahan dirinya untuk bertempur. "Patik sudah belajar semua butiran daripada pertempuran dengan makhluk iblis pertama tempoh hari. Tuanku perlu yakin dengan patik. Patik tidak akan benarkan raksasa itu menyentuh patik langsung."

Sementara mereka sibuk bercakap, makhluk iblis kacukan itu sedang menghampiri tembok kota. Ia melintasi barisan jerat yang dipasang dan melompat atas tembok itu untuk mendarat di kawasan tidak dikawal. Kali ini, anggota tentera awam tidak bertindak tetapi sebaliknya mereka kekal dalam kedudukan mereka dan menunggu arahan daripada pemburu pemerhati.

"Kini pertarungan dengan makhluk iblis kacukan bakal bermula!" tempik Roland dengan kuat.

Lightning yang sudah mula terbang berundur kembali mendekati Roland.

"Kenapa?" tanya Roland.

"Kata-kata Tuanku tadi…" Lightning seperti memikirkan sesuatu dan kemudian menggelengkan kepalanya. "Cuma agak aneh sahaja… Tidak apa, lupakan saja. Patik pergi dulu."

Setelah melihat dia terbang pergi, Roland tergelak kecil. Dia bertanya Anna dan Nightingale yang berdiri di belakangnya. "Awak berdua rasa kata-kata beta tadi aneh?"

"Ya." Mereka berdua mengangguk.

'Kenapa mereka macam tidak hormat saya…', Roland mengeluh lemah dalam hati. "Baik, awak boleh pergi. Jaga diri," Roland memberi arahan.

"Ya, Tuanku juga." Nightingale menunduk dan mencapai tangan Anna sebelum berjalan masuk ke dalam Kabus.

Sambil berdiri tegak menyongsong angin, Roland meletakkan tangan di belakang dan cuba memberi bayangan seperti seorang jeneral tinggi. Dia tahu kebanyakan tentera melihat dia dalam diam semasa pertarungan, jadi dia kekal berdiri dalam menara pemerhatian itu agar mereka semua nampak pemerintah mereka sentiasa berjuang di samping mereka. Dia sendiri tidak berkemampuan untuk bertarung jadi ini cara terbaik untuk dia memberi semangat kepada mereka.

Serangan makhluk iblis tahun ini merupakan yang paling buas setakat ini. Menurut Kapak Besi, dalam tahun-tahun sebelum ini, hanya ada seekor dua makhluk iblis kacukan semasa Bulan Kacukan Iblis. Tahun ini agak menghairankan kerana bilangan makhluk iblis kacukan yang menyerang ada sehingga empat ekor, dan pertempuran mereka juga telah berlarutan lebih lama. Makhluk iblis lain muncul bertali-arus dari Hutan Kabus dan menyerang pekan dalam kawanan dengan kira-kira 10 ekor haiwan.

Mujurlah bulan lepas mereka sudah menyediakan senapang batu mencukupi sebagai senjata untuk 100 orang Skuad Senapang Batu kerana jika tidak, mereka tidak berani menjamin mereka dapat membunuh raksasa sepantas ini. Jika mereka masih menggunakan busur silang, tentu mereka sudah lama kehabisan panah. Dalam peperangan berlarutan, kemudahan untuk digunakan sudah dikenal pasti sebagai kelebihan senapang batu. Namun begitu, penggunaan serbuk api yang tinggi turut merisaukan Roland, jadi dia bercadang untuk mengeluarkan kesemua simpanan serbuk api dalam gudangnya – ada lebih daripada 20 kampit – untuk dibekalkan kepada Skuad Senapang Batu.

Di sebalik tembok kota, Lightning menghampiri makhluk iblis kacukan itu dari udara. Dia mengeluarkan sebutir batu dari poketnya dan mencampakkannya ke arah raksasa itu. Ia kena betul-betul atas kepala haiwan itu. Serangan tidak disangka-sangka itu membuat makhluk iblis kacukan itu tersandung ke belakang sebelum ia menyedari balingan itu datang dari langit.

Lightning terbang rendah untuk mencabar haiwan itu, kemudian dia terbang pula melintasinya untuk memastikan ia tidak membuka sayapnya sambil membawanya ke arah tengah pekan. Sejauh kemampuan akal makhluk iblis itu, gadis ini kelihatan lemah dan tidak mengancam langsung. Jadi ia serta-merta cuba menerkam manusia itu sambil mendepangkan sayapnya bagi meluru ke udara. Dengan hanya beberapa lompatan, ia sudah dapat meluncur ke hadapan sejauh hampir 100 meter. Lightning terus terbang tinggi dan berpusing-pusing di udara, melalui beberapa rumah dan membelok masuk ke jalan lain.

Melalui lorong bersimpang-siur itu, dia mengumpan musuh ke dataran di tengah pekan dan di sanalah tempat dia akan melancarkan serangan yang dia sudah rangka bersama Nightingale dan Anna sebelum ini. Memandangkan raksasa itu boleh mengesan kehadiran Nightingale walaupun dia bersembunyi di dalam Kabus, Lightning mesti menarik perhatian makhluk raksasa itu dahulu sejurus sebelum Nightingale dan Anna bertindak.

Setakat ini rancangan mereka berjalan lancar. Kini makhluk iblis itu sudah berang dan tidak dapat bersabar lagi, jadi ia mengamuk dan mengikut naluri haiwannya. Ia mengangakan mulut dan asyik melompat untuk menangkap Lightning, tetapi gadis itu boleh terbang lincah jika tidak membawa beban. Dia terapung ke atas dan ke bawah untuk mengelirukan raksasa itu dan membuatkannya tersasar setiap kali mahu menyerang.

Dari arah bertentangan, Nightingale baru tiba di dataran itu dan tidak seperti Lightning, dia sampai ke sini terus melalui Kabus jadi dia tidak perlu melalui rumah-rumah atau penghalang lain. Api Anna boleh menjangkau sehingga lima meter sahaja jadi untuk mengelakkan haiwan itu terhidu taktik mereka, mereka mesti bertindak serentak.

Mereka sudah banyak belajar daripada kesilapan semasa bertempur dengan makhluk iblis kacukan pertama tempoh hari, dan Nightingale juga sudah mempelajari cara serangan Anna. Semasa mereka sejauh 30 langkah dari raksasa itu, dia memecut sekuat hati. Dalam sekelip mata jarak itu dipendekkan menjadi selangkah sahaja dan mereka terus melangkauinya. Belum sempat Anna memahami apa yang baru berlaku, dia tiba-tiba mendapati mukanya sudah berada betul-betul di tepi ekor raksasa itu.

"Sekarang!" jerit Nightingale.

Sambil dunia hitam putih itu mula menghilang pantas, Anna kembali ke dataran di dunia sebenar. Api hijau meletus keluar dari hujung jarinya dan membesar menjadi kekisi api lalu memerangkap raksasa itu.

Nightingale berundur pantas kerana bahangnya sangat menyakitkan.

Sebelum sempat makhluk iblis itu bertindak, api itu mencapai suhu cukup tinggi untuk mencairkan keluli, bergumpal menjadi bebola api dan akhirnya menelan makhluk iblis kacukan itu.

"Nampaknya kita sudah menang," kata Wendy yang menggantikan tugas Nightingale menjaga Roland sambil mengetap bibirnya apabila dia melihat api hijau itu dari kejauhan. "Tetapi patik tidak sempat buat apa-apa pun…"

"Kalau ikutkan hati beta, tiada siapa antara awak semua patut jejakkan kaki di medan perang," kata Roland dengan nada suara pura-pura ceria, dengan tangan masih tergenggam kemas di belakang. Tetapi jauh di dalam hatinya, dia tahu tanpa bantuan ahli sihir, angkatan tentera awam tentu sudah tumpas diserang makhluk iblis tadi yang boleh terbang melintasi tembok kota.

Malah Nana sekalipun, yang dijaga ketat oleh Baron Tigui, dibenarkan datang ke tembok kota dan kini sedang sibuk memulihkan askar yang cedera. Roland sangat bersyukur kerana percubaan pertamanya untuk menunjukkan kuasa ahli sihir di hadapan tentera awam menunjukkan hasil yang memberangsangkan. Nana yang diberi gelaran Bidadari Penyembuh sudah banyak mengharumkan nama baik ahli sihir. Tambahan lagi, kejayaan Anna dan Nightingale membunuh makhluk iblis kacukan juga disanjung hebat dalam kalangan rakyat jelata.

Roland tahu tentu sukar mengharapkan semua orang menerima kehadiran ahli sihir, tetapi menurut pandangannya, situasi semasa ini sudah cukup baik. Selepas pertemuan awal ahli sihir dengan angkatan tentera awam ini, rancangan dia seterusnya tentu boleh dijalankan dengan lancar.

Tiba-tiba dentuman tembakan senapang batu mula berkurangan dan Roland ternampak beberapa ekor makhluk iblis melarikan diri dari tembok kota. 'Musuh sedang berundur?' Roland tidak percaya apa yang dilihatnya sekarang. Pada masa itu, satu panahan cahaya matahari memancar melalui awan tebal dan menyinari medan pertempuran mereka, kemudian panahan kedua dan panahan ketiga pula… tidak lama kemudian, langit kelabu di atas mereka mula dipenuhi ribuan alur cahaya dan kemudiannya bergabung menjadi satu pancaran garang. Tiba-tiba seluruh negeri mereka dilimpahi cahaya terang-benderang.

"Apabila matahari terbit sekali lagi, itu menandakan berakhirnya Bulan Kunjungan Iblis."

Kesunyian atas tembok kota tiba-tiba dipecahkan dengan sorakan sepanjang barisan pertahanan sempadan itu. Seorang demi seorang penduduk pekan keluar menjengah dari rumah mereka dan apabila mendengar sorakan itu, mereka menyahutnya dengan jerit-pekik dan nyanyian riang. Mereka bersorak untuk cahaya matahari yang sudah lama didambakan, bersorak untuk kejayaan mengharungi musim sejuk, dan bersorak untuk putera mereka. Kesemua sorakan itu bergabung lalu menjadikan Pekan Sempadan yang kecil itu gegak-gempita.