Roland berdiri di atas tembok kota dan melihat ke arah utara. Sejak beberapa bulan lepas, dia telah berkali-kali memeriksa seluruh istana, lombong, dan tembok kota untuk memastikan tiada apa yang terlepas daripada pandangan.

Angkatan tentera awam sudah semakin mahir mengendalikan senjata. Dengan latihan berterusan yang diketuai Carter, mereka sudah mahir mengawal lembing dan sentiasa bersedia menunggu kapten yang memerhati musuh memberi arahan untuk menyerang.

Di belakang mereka ialah Skuad Pemburu. Pemburu yang tinggal di Pekan Sempadan dan mahir menggunakan busur panah dan busur silang diserap masuk ke dalam skuad ini. Pemburu-pemburu berpengalaman ini adalah penyerang utama bagi membunuh makhluk iblis. Mereka akan berdiri di atas tembok kota setinggi empat meter itu dan memanah dari sudut, lalu menjadikannya mustahil untuk mereka terlepas sasaran.

Pasukan terakhir, yang terdiri daripada Kapak Besi, Carter, dan dua orang pemburu elit lain ialah Skuad Senapang Batu. Mereka menggunakan empat laras senapang batu sementara yang diciplak oleh Persatuan Tukang Batu dan kemudiannya dikimpal serta dipasang oleh Anna. Tugas mereka adalah membunuh makhluk iblis kacukan atau makhluk iblis yang berkulit tebal dan tidak boleh ditembusi anak panah. Dalam kawasan seluas 200 meter itu, mereka boleh berada di mana sahaja mereka diperlukan.

Bungkusan letupan pula disimpan dalam gudang yang dikawal ketat bersebelahan tembok kota. Ia akan dibawa ke tembok kota secara berasingan apabila diperlukan. Lagipun jika ada perkara tidak diingini berlaku pada bungkusan letupan itu, kesannya akan jauh lebih membinasakan daripada makhluk iblis. Makhluk iblis tidak akan mampu menggigit simen atau batu-bata, tetapi bungkusan letupan itu boleh menghancurkan seluruh Kota Sempadan.

Setakat ini Roland telah menjalankan dua raptai peperangan, termasuk mencuba bungkusan letupan. Setelah menjalani dua raptai ini, angkatan tentera awam tidak lagi takut dengan bunyi letupan itu hingga tercampak senjata masing-masing. Satu lagi faedahnya adalah pasukan itu menjadi lebih bersemangat apabila mengetahui putera mereka memiliki senjata yang begitu berkuasa.

"Tuanku," Barov memanggil, "Kita sudah membelanjakan separuh daripada untung jualan bijih tempoh hari. Jika Bulan Kunjungan Iblis berlarutan selama yang dikatakan ahli nujum, Patik bimbang kita tidak akan ada bekalan yang cukup untuk bertahan sepanjang musim sejuk ini."

"Jadi gunakan harta peribadi Beta," kata Roland tanpa teragak-agak, "dan teruskan berjual beli dengan Bandar Raya Willow. Enjin wap pertama telah dibawa ke lombong dan kerja-kerja pembersihan runtuhan di lombong sudah hampir selesai. Jadi kita masih boleh melombong sedikit dalam waktu musim sejuk. Batu-batu permata yang belum dicanai mesti dijual secepat mungkin dan tak perlu meletakkan harganya terlalu tinggi. Apa yang penting, kita mesti simpan sebanyak mana makanan yang boleh terutama makanan kering."

Barov mengangguk. "Perintah dijunjung, Tuanku. Tapi…"

Roland melihat keresahan terukir di wajah pembantu menterinya itu. Dia sudah dapat mengagak apa yang sedang Barov fikirkan. "Jangan risau. Beta sudah arahkan agar sebuah kapal disediakan. Jika kita kalah teruk, beta akan terus pergi."

"Legalah Patik kalau begitu, Tuanku," jawab Barov.

Roland tersenyum kepadanya. "Awak boleh pergi sambung kerja. Beta mahu buat pemeriksaan lagi."

Selepas Barov pergi, Roland menaiki tangga ke menara pemerhatian yang berada di tengah-tengah tembok kota itu. Menara tersebut adalah tempat tertinggi di situ dan dari puncaknya, Roland dapat melihat hutan belantara dan bukit-bukau terbentang luas di hadapannya. Angin sejuk menderu di sekelilingnya tetapi dia tidak kisah. Apabila berada di atas menara ini, semua kerisauan dan tekanannya dalam menghadapi perang yang bakal tiba terasa hilang seketika.

"Tuanku tipu dia," kata suara yang tiba-tiba muncul entah dari mana. "Patik tahu Tuanku tidak akan tinggalkan Pekan Sempadan walau apapun terjadi."

"Hidup ini sukar, sesetengah perkara p rahsiakan saja."

"Patik tak faham dengan Tuanku. Jika Tuanku sebagai Putera Raja rasa hidup ini sukar, bayangkan pula betapa sukarnya hidup kami sebagai ahli sihir," Nightingale memunculkan dirinya. "Walaupun Tuanku tidak jadi raja, asalkan Tuanku berjaya mengharungi lima tahun Titah Diraja bagi Pemilihan Waris Takhta ini, Tuanku masih akan menjadi pemerintah. Daripada Tuanku risaukan hal ini, lebih baik Tuanku pergi menemani Anna. Patik takut… dia tak akan hidup lama lagi."

Roland terdiam seketika sebelum berkata, "Beta tidak rasa dia akan mati dalam Bulan Kunjungan Iblis."

"Kenapa Tuanku fikir begitu?"

"Kerana Anna beritahu beta dia tidak akan tewas dengan Azab Syaitan," Roland berhenti sebelum menyambung, "Dan beta percayakan dia."

"Ahli sihir pun Tuanku mahu percaya," kata Nightingale sambil menggeleng-geleng kepala. "Sedangkan kami ini disumpah dengan laknat syaitan."

"Yakah? Tapi Beta percaya awak juga."

"..."

*******************

Brian memakai pakaian biasa dan berdiri di hadapan kubur Greyhound.

Tangannya menyentuh lembut batu nisan yang kelihatan baru itu dan membaca barisan ayat yang diukir pada permukaan putih sucinya. "Tidak terkenal tetapi akan dikenang selamanya. Di sini bersemadinya wira Pekan Sempadan."

"Greyhound."

Segala kenangan mereka bersama bermain-main dalam fikiran Brian. Dia berkata perlahan,

"Impian saya bakal terlaksana. Selepas Bulan Kunjungan Iblis, Putera Roland akan mengadakan upacara pengurniaan pingat pada saya. Tapi saya tak mahu terbaring saja di katil menunggunya. Kecederaan saya sudah pulih jadi saya patut berada di tembok kota.

Bulan Kunjungan Iblis sudah hampir. Makhluk iblis memang menakutkan, tetapi kini kami sudah ada banyak kaedah pertahanan yang dibina bersama dan mereka tentu tak akan dapat menembusinya.

Saya akan melindungi pekan ini, demi awak dan demi saya sendiri. Kemelut ini masih belum berakhir. Lelaki yang membuatkan awak terbunuh masih hidup…tetapi hayatnya tidak akan panjang. Itu janji Putera Roland kepada saya. Bila saya datang melawat awak lagi, saya akan bawakan berita baik."

Brian membongkokkan badan dan meletakkan sejambak bunga di atas kubur itu.

"Selamat jalan, sahabat," kata Brian sebelum melangkah pergi.

*******************

"Anna, awak tak takut?" tanya Nana yang sedang berbaring di atas katil dengan kaki bersilang.

"Takut apa?"

"Azab Syaitan itu. Nightingale kata ia akan berlaku dalam musim sejuk ini. Saya baru jadi ahli sihir semasa musim luruh tahun ini, maknanya ini kali pertama saya…"

"Kali pertama," Anna mula menjawab, "akan sangat menyakitkan, dan kita akan rasa lebih baik kalau mati saja."

"Ah!" Nana menjerit dan menutup mulutnya.

"Tapi awak pasti boleh hadapinya, macam saya."

"Entahlah..." Nana menggeletar sambil berbisik, "Saya tak sekuat awak."

"Saya tak kuat," Anna memejamkan mata dan membayangkan saat kali pertama dia bertemu Roland dahulu. Di dalam kurungan bawah tanah yang gelap dan dingin itu, dia menyarungkan jubahnya ke badan Anna dan meminta Anna bekerja dengannya. Sehingga ke hari ini dia masih sukar percaya perkara itu terjadi. "Cuma awak akan menemui perkara-perkara yang membuat awak mahu meneruskan hidup, walaupun awak perlu berusaha keras untuknya."

"Perkara seperti apa?"

"Entah. Mungkin stik daging dengan sos?" Anna mengeluh. "Mana saya tahu apa yang awak suka?"

Nana tidak menjawab tetapi sebaliknya hanya merenung Anna tanpa berkelip. Anna menyapu pipinya sambil berkata, "Kenapa? Ada apa-apa di muka saya?"

"Tidak…" Nana menggeleng kepala. "Saya cuma terkejut. Awak tak pernah bercakap sebanyak ini dengan saya sebelum ini. Dan awak nampak begitu cantik semasa berfikir sambil memejamkan mata tadi."

Anna hanya menggoyangkan kepalanya, lalu turun dari katil dan pergi ke tingkap bilik itu.

Nana mengikutinya. "Awak tengok apa? Hutan Kabus?"

"Hutan itu di bahagian barat," kata Anna. "Dari sini saya hanya boleh nampak Sungai Air Merah."

"Kak Anna, tengok!" Nana tiba-tiba menunjuk ke arah langit.

Anna terkejut lalu membuka jendela tingkap itu. Angin sejuk terus berderu memasuki biliknya dengan membawa emping-emping salji kecil.

Anna menghulurkan tangan dan menangkap beberapa keping emping salji yang seakan kristal. Hatinya mula berasa gementar.

"Salji sudah turun."

*******************

"..."

Setelah beberapa ketika, Nightingale memecahkan kesunyian, "Tuanku tak berbohong."

"Mestilah." Roland hanya tertawa. "Beta jarang berbohong."

Nightingale tidak berkata apa-apa lagi. Dia melentukkan kepala dengan riak wajah yang sukar ditafsir.

Tiba-tiba dia berasa sejuk dan mula menggigil. Nightingale mendongak dan melihat emping salji berterbangan di atas tembok kota. Ia kelihatan seolah-olah roh-roh kecil menari-nari di bawah langit mendung itu. Ia hanyut dibawa angin utara dan jatuh berguguran di atas tembok itu.

… Bulan Kunjungan Iblis sudah tiba.

avataravatar
Next chapter