webnovel

Kapak Besi tahu dia sedang diperhatikan.

Pemburu yang terlibat dalam ujian bedil tempoh hari sedang berkumpul dalam sebuah bangunan dua tingkat berhampiran istana. Dari jendelanya, Kapak Besi dapat melihat tembok batu yang mengelilingi istana serta pengawal yang ditugaskan di gerbang masuk.

Kapak Besi langsung tidak berasa gusar. Malah, dia merasakan Putera Roland agak cuai apabila meletakkan hanya dua orang sahaja untuk mengawasi mereka.

Sehingga ke hari ini, dentuman ujian bedil tempoh hari masih terngiang-ngiang di telinganya. Tidak ada senjata yang pernah mengejutkan dia sebegitu sekali. Di Tanah Jangkau Selatan, dia pernah melihat letusan api dari perut bumi yang memuntahkan api jingga yang terus menyala walaupun selepas puluhan tahun. Dia juga pernah melihat ribut dan ombak yang mengganas di Tanjung Tidak Berpenghujung… Tetapi Kapak Besi percaya semuanya dilakukan oleh dewa dewi. Ia terjadi atas kehendak Dewa Bumi ataupun Dewa Laut bagi memberi hukuman kepada semua makhluk di bumi.

Namun begitu Putera Roland seolah-olah telah merampas kuasa dewa-dewi tersebut dan kini memiliki kuasa mereka untuk menghukum makhluk bumi. Walaupun kuasanya masih tidak setanding dengan kuasa bencana alam, tetapi ia sudah jauh meninggalkan batas kemampuan manusia biasa.

Jika di Kota Pasir Besi, orang-orang yang menyaksikan uji kaji seperti itu sudah tentu akan dipotong lidah untuk memastikan mereka menjaga rahsia. Namun itu juga bukan cara yang paling selamat bagi memastikan rahsia tidak terbongkar. Hanya orang yang telah mati tidak akan membocorkan rahsia. Bagi orang asing pula, kewujudan mereka sahaja sudah dianggap sebagai bala. Mustahil untuk orang asing diterima dalam Suku Mojin.

Tetapi di sini, walaupun Putera Roland tahu dia bukan orang Pekan Sempadan, Baginda masih membenarkan Kapak Besi menyaksikan uji kaji Api Hukuman Tuhan. Malah Baginda mahu dia membentuk Skuad Pemburu. Kepercayaan yang diberikan Baginda membuatkan semangat Kapak Besi berkobar-kobar untuk berkhidmat.

Selepas berkali-kali dikhianati dan dianiayai di Kota Pasir Besi, dia melarikan diri ke Wilayah Selatan di Kerajaan Graycastle. Namun dia masih dipinggirkan dan dipandang serong kerana berdarah kacukan rakyat Negara Pasir dan Negara Graycastle. Dia sudah pasrah dengan nasib malangnya itu dan datang ke Pekan Sempadan dengan harapan untuk bekerja sebagai pemburu sehingga ke akhir hayatnya. Siapa sangka, kini pemerintah di situ, Putera Roland memerlukan khidmatnya dan menaruh kepercayaan kepadanya.

Dia begitu yakin senjata baru ini bakal membawa kemenangan kepada Roland Wimbledon dalam Pemilihan Pewaris Takhta.

Kapak Besi teruja memikirkan dia berpeluang berkhidmat dengan bakal raja.

"Semua orang berkumpul di bawah!"

Kapak Besi menjenguk ke luar jendela sebaik mendengar laungan itu. Ia datang daripada Carter Lannis, Ketua Kesateria Putera Roland.

Kapak Besi bersiap dan bergegas turun ke bawah. Dia terus menuju ke arah Carter dan berdiri tegak di hadapannya. Dia pernah menjalani latihan tentera awam jadi dia tahu Yang Amat Mulia Putera Roland sukakan angkatan yang berdisiplin dan tersusun. Tetapi pemburu yang lain sangat lembab. Keenam-enam orang itu menghabiskan masa beberapa minit hanya untuk berbaris.

"Kita ke tempat biasa. Ikut saya." Carter tidak mengendahkan mereka lalu berjalan dan membawa mereka ke tembok kota.

'Tempat biasa' itu ialah lokasi ujian bedil tempoh hari tetapi kali ini tidak ada apa-apa yang menutup kawasan itu.

Selain Putera Roland, ada empat kesateria lain sudah menanti mereka di sana. Mereka semua orang bawahan Carter. Kapak Besi melihat tangan Putera Roland sedang bermain-main dengan sebatang besi panjang sambil Baginda menjelaskan sesuatu kepada para kesateria itu.

Apabila Roland menyedari kehadiran kumpulan Kapak Besi, dia berpusing dan berjalan ke arah mereka. "Awak semua selesa tinggal di kediaman baru awak?"

"Sudah tentu, Tuanku. Terima kasih kerana prihatin kepada kami," jawab mereka semua sambil tunduk hormat kepada putera itu.

Kapak Besi merasakan rumah yang didudukinya sekarang jauh lebih selesa berbanding tempat tinggal lama mereka. Sekurang-kurangnya ia tidak bocor di sana-sini. Malah atapnya bukan jerami jarang, tetapi lapisan jubin yang rapi.

"Bagus," Roland mengangguk lalu menambah, "Kediaman baru itu untuk tujuan keselamatan. Awak semua boleh kembali ke rumah keluarga masing-masing selepas Bulan Kunjungan Iblis berakhir. Beta sudah menyalurkan gaji bulan pertama awak semua pada keluarga masing-masing. Awak semua boleh melawat mereka pada setiap hujung minggu dengan ditemani pengawal Beta."

"Terima kasih atas budi baik Tuanku," suara semua pemburu itu kedengaran penuh ceria.

Kapak Besi berasa terkejut mendengar kata-kata Putera Roland. Tidak perlu dibandingkan dengan undang-undang Negara Pasir yang sememangnya tersangat ketat, tetapi pengurusan ketenteraan Kerajaan Graycastle tetap tidak patut selonggar ini. Adakah ini cara Putera Roland menunjukkan kebaikannya pada rakyat jelata? Kapak Besi mula berasa risau. Jika Putera Roland mahu berebut takhta Ayahandanya, Baginda mesti jadi lebih tegas dan tiada belas kasihan. Pengalaman di Negara Pasir sudah cukup untuk mengajar Kapak Besi.

Tetapi sebaik sahaja Putera Roland mengumumkan untuk menguji senjata baru berasaskan serbuk bedil, Kapak Besi terus mengetepikan kerisauannya. Dia memberi sepenuh perhatian kepada putera itu ketika Baginda menunjukkan dua batang besi yang kelihatan aneh.

"Ini namanya senapang batu," kata Roland. "Sekarang Beta akan tunjukkan cara menggunakannya."

...

Kapak Besi hanya mengambil masa setengah jam sahaja untuk belajar menggunakan senjata baru itu.

Masukkan serbuk bedil, atau serbuk yang Kapak Besi namakan sebagai Api Hukuman Tuhan ke dalam laras, masukkan bebuli plumbum, dan sumbatkannya hingga ke hujung. Kemudian tuangkan serbuk bedil ke dalam ceper kilat di belakangnya, halakan ke sasaran, dan tarik picu.

Kapak Besi percaya dirinya handal membunuh dan mahir menggunakan pelbagai jenis senjata, tidak kira pedang, pisau, tukul, kapak, mahupun lembing. Tetapi ia hasil latihan selama bertahun-tahun dan pengalamannya sendiri dalam bertempur. Jika dia dapat menguasai senjata ini dalam masa setengah jam sahaja, itu bermaksud senjata itu mudah digunakan, semudah busur silang tangan.

Satu lagi laras senapang batu diserahkan kepada Carter.

Ketua kesateria itu turut teruja dengan senjata baru itu dan tidak berhenti berlatih menggunakannya.

Selepas percubaan sebanyak beberapa kali, Roland membenarkan mereka mencuba senjata itu dengan peluru sebenar. Sasaran sudah disediakan. Satu perisai diletakkan pada sebatang tiang kayu, dan dipegang oleh dua kesateria yang berdiri sejauh 30 kaki dari mereka.

Setelah ditunjukkan cara oleh Putera Roland, Kapak Besi dan Carter mensasarkan senjata itu ke arah perisai di hadapan mereka dan menarik picu.

Bunyi dentuman yang terhasil daripada tembakan itu mengejutkan semua orang. Kapak Besi juga tidak terkecuali. Sejurus selepas itu, semua yang berada di situ terlopong melihat kesan tembakan tadi.

Satu lubang kecil terbentuk di atas kepingan perisai itu. Peluru tadi menembusi bahagian paling tebal perisai itu dengan begitu mudah.

Sebelum mereka menembak tadi, Kapak Besi sudah meneliti kepingan perisai itu. Ia bukan kepingan besi murahan dari bengkel biasa. Cap tera gambar tukul dan andas pada bahagian atasnya menandakan ia keluaran Persatuan Tukang Besi rasmi Kerajaan Graycastle. Ketebalannya setebal separuh jari dan cukup kukuh untuk menahan panahan busur silang pada jarak dekat. Kapak perang, busur silang berat, atau lembing pisau sekalipun hanya mampu membuat perisai sebegini kemek.

Ini bermakna, senapang batu ini sangat mudah untuk digunakan, semudah busur silang tangan namun kesannya jauh lebih hebat. Pelurunya juga boleh diisi semula dengan pantas seperti mengisi panah pada busur. Senjata ini juga dapat menembak sasaran sejauh 30 kaki dengan mudah dan tepat.

"Tuanku, kuasa senjata ini…" Carter bersuara perlahan.

"Buat masa ini kita hanya ada dua laras. Kita mungkin sempat buat dua laras lagi sebelum Bulan Kunjungan Iblis tiba."

Kapak Besi melihat kelegaan jelas terpancar pada wajah Carter. Dia boleh mengagak fikiran ketua kesateria itu. Jika senjata ini boleh dibuat dengan mudah, mereka hanya perlukan beberapa hari untuk menghasilkan sekumpulan "tentera segera" dengan senapang batu ini. Sesiapa pun akan dapat berlatih menggunakannya tidak kira usia, pekerjaan, mahupun jantina. Bahkan seorang wanita yang lemah juga boleh mengancam kesateria lain menggunakan senapang ini. Kesimpulannya, senjata itu akan menjadi sangat berbahaya andai jatuh ke tangan orang yang tidak sepatutnya.

Walaupun kesannya tidak sedahsyat Api Hukuman Tuhan, ia masih senjata yang hebat. Kapak Besi yakin makhluk iblis itu nanti akan dapat dibunuh dengan mudah menggunakan senjata ini. Dia terkenang sesuatu. Kalaulah pada masa dia berhadapan dengan makhluk iblis itu dahulu, senjata sehebat ini sudah ada…

Pada masa yang sama, Roland berdiri kaku di tempatnya tanpa berkata apa-apa. Dia tiba-tiba menyedari sesuatu.

Dia telah membuka jalan kepada perang bersenjata dengan tangannya sendiri.