webnovel

Tetamu dari Bandar Binatang (3)

Editor: EndlessFantasy Translation

Jiang Ying Long telah bersedia untuk menjemput semua tetamu itu masuk apabila satu kereta kuda yang amat dikenali berhenti di hapadan pintu masuk rumah tumpangan tersebut.

Lei Chen melangkah keluar dari kereta kuda itu. Jun Wu Xie muncul dari belakangnya. Sebaik terpandang wajah Jun Wu Xie, pemuda dari Bandar Seribu Binatang itu terbeliak tanpa sedar.

"Tuanku Putera Mahkota…" Jiang Ying Long merenung pelik pada Lei Chen yang tiba-tiba muncul itu. Sewaktu matanya terpandang Jun Wu Xie, keningnya berkerut.

"Guru Jiang." Lei Chen mengangguk ke arah Jiang Ying Long. Dia kemudiannya seolah-olah baru perasan ada kereta kuda Bandar Seribu Binatang di satu sisi. Lei Chen berpaling ke arah pintu dan terlihat susuk tubuh Xiong Ba yang besar dan tinggi berdiri di situ.

"Inikah Ketua Dewan Bandar Seribu Binatang, Xiong Ba dari Dewan Api Marak?" tanya Lei Chen dengan amat terkejut.

Xiong Ba mungkin sedang meradang tapi dia tidak bodoh. Sebaik terdengar Jiang Ying Long menyapa lelaki yang baru sampai itu sebagai "Tuanku Putera Mahkota", dia sedar akan identiti lelaki tersebut. Tetapi memandangkan Qu Ling Yue telah mengalami kecederaan di Bandar Diraja Negara Yan, Xiong Ba tak mahu bersopan dengan Lei Chen.

"Ya," jawab Xiong Ba dengan ringkas dan kasar.

"Ketua Dewan Xiong datang dari jauh dan merupakan tetamu penting Negara Yan. Beta rasa Ketua Dewan Xiong tak sabar-sabar mahu memeriksa keadaan Ling Yue jadi Beta tak akan berkata apa-apa lagi untuk melengahkan Ketua Dewan Xiong daripada pergi melihat Ling Yue. Beta pun datang dengan tujuan yang sama, jadi marilah kita masuk bersama-sama," kata Lei Chen sambil tersenyum. Perlakuannya lembut dan sopan. Wajahnya menunjukkan senyuman mesra yang tidak akan menyakitkan hati orang lain.

Xiong Ba sedang gelisah dan mahu masuk untuk melihat Qu Ling Yue. Dia hanya mengangguk sahaja.

Wajah Jiang Ying Long berkerut sambil dia memerhatikan Jun Wu Xie yang berada di belakang Lei Chen. Dia nampaknya mahu mengatakan sesuatu, tetapi akhirnya memutuskan untuk tidak berbuat begitu. Dia hanya berpusing dan membawa semua orang ke bilik Qu Ling Yue.

Pada ketika itu di bilik Qu Ling Yue, Tabib Diraja Li sedang duduk berbual dengan tabib-tabib lain. Nampaknya dia mengatakan sesuatu yang menarik kerana tabib-tabib lain di situ telah ketawa. Mereka langsung tidak sedar yang pintu masuk ke bilik itu telah dibuka sedangkan mereka masih terus berbual kosong.

"Ini tabib-tabib yang Negara Yan sediakan untuk jaga Cik Muda kami?" Sebaik Xiong Ba masuk ke bilik itu dia terlihat situasi yang sedang berlaku. Kemarahan di dalam dadanya terus membara.

Wajah Jiang Ying Long menjadi kaku dan dia tidak mampu berkata apa-apa sebagai balasan. Dia juga tidak menyangka yang Xiong Ba akan melihat situasi ini sebaik sahaja mereka melangkah masuk.

Tabib Diraja Li sedang bercakap dengan tabib-tabib lain sewaktu dia tiba-tiba menyedari kehadiran Xiong Ba dan sekumpulan orang lain di belakangnya. Belum sempat dia meneliti wajah Xiong Ba dan orang-orang lain, matanya tertumpu pada Jun Wu Xie. Dia terus melompat bangun dan berkata dengan marah, "Kenapa budak jahil dan sombong ni ada di sini lagi hari ni? Tak cukupkah kamu bersandiwara?!"

Jun Wu Xie mengangkat kening dan memandang Tabib Diraja Li.

Tabib Diraja Li baru sahaja mahu meneruskan kata-katanya apabila Xiong Ba yang langsung tidak dipedulikan itu tiba-tiba meledak dengan kemarahan!

"Satu bilik penuh tabib tapi berani meninggalkan Cik Muda kami bersendirian dan berkumpul di sini untuk berbual-bual dengan senang hati!? Apa yang sedang berlaku ni!?" Xiong Ba menjerit dengan suara yang kuat. Matanya menjeling marah pada Tabib Diraja Li.

Setelah mendengar jeritan itu, Tabib Diraja Li cepat-cepat tersedar. Barulah dia perasan yang di sebelah Lei Chen dan Jun Wu Xie itu ada tiga orang lelaki asing.

Pemuda yang mengekori Xiong Ba mengangkat kening melihat situasi tersebut tetapi dia tidak meradang seperti Xiong Ba. Dia terus berjalan ke katil dan memandang Qu Ling Yue yang terbaring di situ dengan wajah yang lemah dan pucat.

"Cik Muda! Apa yang dah jadi dengan Cik Muda!" Wajah pemuda itu kelihatan hiba ketika dia memandang Qu Ling Yue yang tidak sedarkan diri dan tidak memberi tindak balas pada teriakannya. Mata pemuda itu dipenuhi kesedihan.