webnovel

Serendipiti (3)

Editor: EndlessFantasy Translation

Di bawah pengaruh ubat itu Lei Chen telah berkongsi segalanya yang dia tahu sehingga ke butiran terakhir. Dia menjawab soalan-soalan Jun Wu Xie, mendedahkan segala maklumat. Berdasarkan apa yang didapati melalui kata-kata Lei Chen, Jun Wu Xie dapat memutuskan bahawa salinan asal peta itu berkemungkinan besar berada dalam genggaman Maharaja Negara Yan.

"Hal ini dah semakin sukar. Kalau peta itu ada pada tangan Maharaja, susahlah kita nak bertemu dengannya," kata Fan Zhuo sambil memandang Jun Wu Xie. "Dalam keadaan sekarang ni, kita mungkin tak dapat menjauhkan diri daripada Lei Chen buat sementara waktu."

Jun Wu Xie mengangguk, "Hanya melalui Lei Chen saja kita ada peluang bertemu dengan Maharaja."

Maharaja Negara Yan agak gering sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan jarang meninggalkan Istana Diraja. Tanpa Lei Chen sebagai rangkaian hubungan, satu-satunya cara yang tinggal untuk bertemu dengan Maharaja adalah dengan memecah masuk ke Istana Diraja. Tetapi mereka tak pasti bagaimana situasinya di dalam istana tersebut. Merempuh masuk secara terburu-buru hanya akan membuatkan mereka diserang hendap oleh pakar-pakar tempur di sisi Maharaja.

Tanpa ada keyakinan yang mereka akan berjaya, Jun Wu Xie tidak akan memilih langkah itu.

"Kita masih boleh terus mempergunakan Lei Chen. Tapi kalau Lei Chen kini menjadi sasaran seseorang dan kita terus dikaitkan dengan dia, reputasi Akademi Zephyr juga akan..." Hua Yao tidak meneruskan kata-katanya dan memandang Fan Zhuo penuh makna.

"Saya percaya kalau nama Akademi Zephyr tercemar pun sekarang ini, satu hari nanti namanya akan bersih semula. Lagipun, kalau ada seseorang sengaja memburuk-burukkan Akademi Zephyr pun apa gunanya? Selagi kita menang Kejohanan Pertempuran Roh tahun ini dengan gemilang, semua orang hanya mampu menutup mulut." Fan Zhuo tahu yang Hua Yao bimbangkan kerisauan Fan Zhuo terhadap Fan Jin. Jadi dia hanya membalas kata-kata Hua Yao dengan senyuman lembut, membuatkan dirinya kelihatan tidak terkesan.

"Tak perlu," Jun Wu Xie tiba-tiba mencelah.

Semua rakan-rakannya berpaling memandangnya.

"Kenapa Adik Xie kata tak perlu?" tanya Fan Zhuo. Matanya kelihatan bingung.

Jun Wu Xie memandang Lei Chen sambil berfikir dengan mendalam. Dia bertanya pada rakan-rakannya, "Kamu semua fikir semudah itu kita boleh dapatkan peta daripada Maharaja Negara Yan?"

Soalan Jun Wu Xie membuatkan mereka semua terkejut. Masing-masing terpaku.

Selain bahagian peta yang Fan Zhuo berikan pada mereka, dua bahagian lagi memerlukan mereka bertarung hebat dengan pemiliknya. Istana Diraja ini tidak boleh dibandingkan dengan Kediaman Putera Mahkota kerana mereka tidak akan dibenarkan bergerak keluar masuk sesuka hati seperti di sini.

"Kalau peta itu hilang, Dua Belas Istana tak akan melepaskan hal ini begitu saja," kata Jun Wu Xie tanpa sebarang perasaan. Sewaktu berdepan dengan orang-orang seperti Ke Cang Ju dan Ning Rui, peta yang mereka dapatkan itu ibarat peluang yang besar untuk mereka tetapi juga bahaya yang paling hebat. Kalau peta yang diberikan pada mereka itu hilang secara cuai, bayangkan betapa marahnya orang-orang dari Dua Belas Istana!

Jadi, tak kiralah sama ada untuk mendapatkan lebih manfaat untuk diri sendiri atau melindungi nyawa sendiri, Maharaja Negara Yan pasti akan melindungi peta itu sehabis baik.

Kalau Jun Wu Xie dan rakan-rakannya mahu mengambil peta itu daripada Maharaja, tidak dapat disangkal lagi bahawa mereka perlu melakukannya melalui pertempuran yang sengit.

Pandangan mata Jun Wu Xie tertumpu pada wajah Lei Chen. Dia mampu menolak Mo Qian Yuan menaiki takhta, jadi dia tidak kisah untuk melakukannya sekali lagi dengan Lei Chen. Tetapi sebelum itu, dia perlu mengetahui situasi di dalam Negara Yan dengan lebih lanjut.

Pada dasarnya, kedudukan Lei Chen sudah terpahat kukuh. Namun berdasarkan situasi adanya seseorang yang sengaja menentangnya dan keadaan yang didedahkan oleh Lei Chen sendiri sewaktu disoal siasat di bawah pengaruh serum kebenaran, nampaknya kedudukan dan pangkat Putera Mahkota itu tidaklah sebaik yang dapat dilihat.

Menyedari perlakuan Jun Wu Xie yang teragak-agak itu, Qiao Chu menelan air liur dengan kuat lalu bertanya dengan berhati-hati, "Adik Xie, apa yang kamu nak buat?" Entah kenapa, sewaktu melihat ekspresi wajah Jun Wu Xie, hati Qiao Chu kuat mengatakan sesuatu yang amat buruk bakal berlaku tidak lama lagi.

Jun Wu Xie sebaliknya menggelengkan kepala. Dia menganggar masa yang telah berlalu sebelum memastikan bahawa kesan ubat itu akan lenyap tidak lama lagi. Mereka tidak akan dapat meneruskan sesi hari ini.

"Kita pulang dulu."