webnovel

Qiao Chu dan yang lain memandang Lei Chen dengan penuh tanda tanya. Kalau tidak kerana wajah Lei Chen yang langsung tidak berperasaan dan matanya yang tidak fokus, pasti mereka fikir Lei Chen sengaja tidak mahu memberitahu mereka hal sebenar.

"Apa yang sedang berlaku ni? Peta itu bukan di tangan Lei Chen? Dia betul-betul tak tipu?" Qiao terus bertanya sambil berpaling memandang Jun Wu Xie.

Jun Wu Xie diam seketika sebelum berkata, "Dia bercakap benar."

Sebelum ini dia merasakan reaksi Lei Chen agak aneh kerana mustahil Lei Chen boleh menerima apa-apa latihan. Maksudnya, Lei Chen tidak akan dapat menghalang kesan dadah hipnosis itu. Tetapi sewaktu Jun Wu Xie bertanyakan tentang hubungan Lei Chen dengan Alam Pertengahan, Lei Chen jelas menunjukkan tanda-tanda bergelut dengan diri sendiri. Situasi seperti ini akan hanya berlaku jika seseorang itu sudah menjalani latihan khas, apabila soalan-soalan yang ditanya itu adalah terlalu penting pada orang yang dibawah pengaruh hipnosis. Tetapi ada satu lagi keadaan di mana situasi ini mungkin berlaku...

Kalau orang yang disoal siasat itu langsung tidak ada maklumat tentang soalan yang ditanya atau tidak pernah dengar mengenai hal yang ditanya, otak orang yang dihipnosis itu akan menjadi bingung dan orang itu tidak akan mampu memberikan jawapan.

Sebelum ini Jun Wu Xie hanya meneka-neka, tetapi kini dia sudah yakin.

Bahagian peta itu tidak pernah berada di tangan Lei Chen!

"Patutlah Hitam Kecil tak jumpa sesiapa pun dari Alam Pertengahan di Kediaman Putera Mahkota sebelum ini," Jun Wu Xie menggumam perlahan pada dirinya sendiri.

"Kamu ada salinan peta itu?"

Lei Chen membalas, "Itu saja yang ada. Beta bimbang hal ini akan terbongkar jadi Beta tak ada buat salinan."

Jun Wu Xie mengecilkan matanya. "Macam mana kamu dapat peta itu?" Walaupun peta itu tidak berada dalam tangan Lei Chen, mereka telah mendapat maklumat yang peta itu mungkin berkait rapat dengan Maharaja Negara Yan. Kalau hai ini benar, semakin sukarlah untuk mereka mendapatkannya berbanding ketika menyangka peta tersebut berada di tangan Lei Chen.

Sebagai pemerintah negara yang paling besar dan kuat, Maharaja Negara Yan tidak kurang memiliki pakar-pakar tempur yang berkuasa dan berkemahiran tinggi. Ini tidak setanding dengan apa yang ada pada mantan Maharaja dungu dari Kerajaan Qi yang kecil itu.

Lei Chen menjawab tanpa tergesa-gesa. Matanya tidak memandang ke sana-sini. "Hari itu, Beta pergi untuk melawat bonda. Adinda Keempat juga ada di istana bonda. Beta tak mahu bertemu dengannya jadi Beta mengelak dan memikirkan mahu masuk ke istana selepas Adinda Keempat beredar. Maka Beta pun berjalan-jalan tanpa tujuan di dalam Istana Diraja. Kebetulan Beta terlihat pembantu yang paling ayahanda percayai telah menyerahkan sepucuk surat kepada seorang pengawal di satu sudut tersembunyi. Walaupun Beta tak dapat dengar apa yang mereka katakan, Beta dapat lihat yang mereka saling bertukar pandangan penuh curiga. Diam-diam Beta mengekori pengawal itu keluar dari Istana Diraja. Kemudian Beta membunuhnya tanpa pengetahuan orang lain untuk merampas surat itu daripada tangannya. Peta itulah yang Beta temui di dalam surat tersebut."

Suara Lei Chen kedengaran mendatar dan senada. Namun apa yang dikatakannya itu mendedahkan satu lagi isu besar.

"Bukankah Putera Keempat itu rapat dengan Lei Chen? Kenapa... Lei Chen langsung tak mahu berjumpa dengannya?" Fei Yan menggosok-gosok dagunya sambil memikirkan apa yang dia dengar. Kata-kata Lei Chen telah mendedahkan dua lagi isu lain. Pertamanya, hubungan Lei Chen dan Putera Keempat tidaklah semesra yang orang luar sangkakan. Satu lagi perkara yang lebih menarik… Lei Chen begitu bimbangkan hal urusan Maharaja sehingga sanggup melakukan pembunuhan untuk mendapatkan surat tersebut. Bagi seorang Putera Mahkota yang memiliki pangkat serta kedudukan yang kelihatan kukuh, tindakan Lei Chen itu agak pelik dan tidak masuk akal.

"Kenapa saya dapat merasakan yang kedudukan Lei Chen sebagai Putera Mahkota ni berbeza sikit dengan apa yang saya bayangkan?" tanya Rong Ruo sambil mengangkat keningnya.

Jun Wu Xie memandang Lei Chen. Apa yang Lei Chen katakan tadi telah mendedahkan beberapa hal yang mengejutkan. Jun Wu Xie terpaksa mempertimbangkan semula tekaan yang telah difikirkannya sebelum ini.

"Ada apa-apa lagi dalam surat tersebut selain peta itu?"

"Tidak."

"Kenapa kamu hantar orang ke Cenuram Penghujung Syurga?"

"Beta hanya mahu tahu apa yang ayahanda mahu cari di situ."