webnovel

Perubahan Mengejutkan di Zephyr (1)

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Jun Wu Xie, Fan Zhuo dan Ye Sha masih berada di Bandar Chan Lin. Perjalanan pulang yang panjang itu mungkin tidak terlalu memberi kesan kepada mereka, tetapi amat menyeksakan bagi Tuan Embek Embek yang sedang dalam keadaan lemah. Kalau dia meneruskan juga perjalanan pulang ke Akademi Zephyr, Jun Wu Xie sendiri pun tidak pasti dia mampu menyembuhkan Tuan Embek Embek sepenuhnya.

"Saya dah pergi ke farmasi dan dapatkan herba yang kamu mahukan. Saya tinggalkan di sini, ya." Fan Zhuo mengangkat satu beg besar berisi herba dan meletakkannya di atas meja di dalam bilik Jun Wu Xie. Selain herba berharga dan jarang ditemui dari Rumah Lelong Chan Lin, Jun Wu Xie juga memerlukan herba-herba biasa.

Jun Wu Xie mengangguk sambil menyediakan mandian berubat untuk Tuan Embek Embek. Si kecil itu mengalami luka terbakar di seluruh tubuhnya. Pemulihan daripada salap dan krim biasa tidak mencukupi. Jadi Jun Wu Xie telah membeli satu tab kayu kecil. Dia mencampurkan pelbagai jenis herba untuk membuat mandian berubat pekat yang menenangkan supaya Tuan Embek Embek dapat berendam di dalamnya.

"Tuan Embek Embek boleh pulih sepenuhnya?" tanya Fan Zhuo dengan bimbang sambil memerhatikan Jun Wu Xie memasukkan kambing biri-biri kecil yang lemah itu ke dalam mandian berubat.

"Boleh," balas Jun Wu Xie dengan tegas.

Fan Zhuo tidak mahu mengganggu Jun Wu Xie lagi. Dia baru sahaja mahu pergi ketika Ye Sha masuk melalui pintu. Sebaik terlihat Fan Zhuo, matanya bersinar sekilas dengan riak yang aneh.

"Saya nak pergi suruh pelayan rumah tumpangan ni sediakan makanan dan hantar ke sini nanti," kata Fan Zhuo sambil tersenyum pada Ye Sha. Selepas berkata begitu dia cepat-cepat meninggalkan bilik tersebut.

Ye Sha berkerut sedikit, seolah-olah sedang memikirkan sesuatu. Dia teragak-agak di muka pintu sebelum masuk dan menutup pintu tersebut dengan rapat.

"Cik Muda," Ye Sha menyapa sambil melutut sebelah kaki di atas lantai.

"Mmm." Jun Wu Xie sedang memerhatikan keadaan Tuan Embek Embek dengan teliti, jadi dia hanya menjawab perlahan.

"Seperti arahan Cik Muda, saya sudah pun mendapatkan maklumat tentang situasi terkini di Akademi Zephyr." Ye Sha melaporkan sambil menundukkan kepalanya.

Kepulangan mereka kebetulan sama dengan cuti hujung bulan Akademi Zephyr. Bandar Chan Lin kini dipenuhi ramai anak muda yang memakai pakaian seragam Akademi Zephyr. Walaupun Jun Wu Xie masih belum pulang ke akademi, dia mengarahkan Ye Sha untuk pergi ke sekeliling bandar dan mendapatkan maklumat terkini tentang Akademi Zephyr.

"Apa yang berlaku?" tanya Jun Wu Xie. Dia menyedari nada suara Ye Sha kedengaran agak pelik.

Ye Sha diam seketika sebelum berkata dengan serius, "Guru Besar Akademi Zephyr meninggal dunia dua minggu yang lalu."

Tangan Jun Wu Xie menjadi kaku. Dia berpaling memandang Ye Sha. Pandangan matanya yang dingin itu kelihatan tertanya-tanya.

"Fan Qi sudah meninggal?"

Ye Sha mengangguk.

"Siapa yang lakukannya?" Mata Jun Wu Xie mengecil sewaktu dia bertanya. Dia tidak kerap bertemu Fan Qi dan tidak menganggap dirinya rapat dengan lelaki itu. Tetapi Fan Qi adalah ayah kandung Fan Jin dan ayah angkat Fan Zhuo. Fan Zhuo terhutang budi dengan Fan Qi kerana telah menyelamatkan nyawanya dan membesarkannya.

Kalau bukan kerana Fan Qi, Fan Zhuo pasti sudah mati.

Jun Wu Xie tidak begitu mengenali Fan Qi. Dia cuma tahu lelaki itu sama jujur dan telus seperti Fan Jin. Dia bersikap mesra dan tidak berat sebelah. Walaupun tidak boleh dianggap sebagai wira, dia tetap merupakan seorang lelaki yang hebat dan Guru Besar yang bagus.

Tapi...

Macam mana dia boleh mati dalam keadaan mengejut?

"Dalam hal ini, semua pelajar Akademi Zephyr tidak tahu apa-apa tentangnya. Mereka cuma tahu Guru Besar sudah meninggal dunia." Ye Sha patuh melaporkan segala yang telah dia dengar.

"Pasti Ning Rui yang melakukannya." Mata Jun Wu Xie mengecil.

Ye Sha berkata, "Kuasa Ning Rui lemah sedikit berbanding Fan Qi. Kalau berdasarkan kemahirannya saja, dia tak mampu membunuh Fan Qi."

Jun Wu Xie membalas sambil mengangkat kening, "Ada syarat yang perlu dipenuhi sebelum tanggapan kamu tu boleh dianggap benar."

"Saya mohon Cik Muda beri penjelasan lanjut."

Jun Wu Xie menundukkan pandangannya dan berkata dengan dingin, "Jika Fan Qi berwaspada terhadap Ning Rui barulah anggapan kamu itu mungkin terjadi."