"Jenis yang saya gunakan pada cincin roh Abang Hua akan mempertingkatkan lagi kepantasan dan ketangkasan roh berkontraknya. Abang Hua memiliki roh berkontrak Ular Tulang Berkepala Dua. Pergerakan roh berkontrak ini sudah pun pantas dan lincah. Jadi kalau kita tingkatkan lagi kepantasannya ke satu tahap lebih tinggi, kuasa bertempurnya akan jadi begitu menakjubkan. Selain dapat meningkatkan kepantasan roh berkontrak, dua jenis corak lagi meningkatkan kekuatan dan menambah ketahanan. Menurut apa yang ibu saya beritahu, lakaran yang berbeza akan membawa kesan berlainan pada cincin roh. Semakin tinggi kemahiran Penempa Cincin, semakin banyak jenis lakaran atau corak yang boleh mereka gunakan. Jadi mereka akan dapat menarik keluar lebih banyak kuasa daripada cincin roh." Fan Zhuo tidak dapat menahan dirinya daripada berasa kesal.
Sewaktu ibunya meninggalkan dia, Fan Zhuo masih terlalu kecil. Dia tidak dapat meraih lebih banyak pengetahuan untuk menjadi Penempa Cincin. Berdasarkan apa yang dapat dicatatnya, hanya ada tiga bentuk penambahbaikan yang boleh dilakukan dengan simbol-simbol ini.
Jun Wu Xie berfikir sejenak. Jadi Pengukuhan Roh itu boleh digunakan dengan cara sebegini juga? Walaupun dia tidak faham apa maksud simbol-simbol ini, jika dia cuba mentafsir maknanya berdasarkan simbol-simbol yang Fan Zhuo miliki, mungkin hal ini tidak begitu rumit.
Fan Zhuo sendiri mengatakan set simbol berlainan yang diukir pada cincin roh akan membawa perubahan yang berbeza.
Salahkah kalau Jun Wu Xie membuat kesimpulan bahawa simbol-simbol itu sendiri melambangkan kesan serta hasil yang berlainan?
Spekulasi demi spekulasi berlegar-legar di dalam fikiran Jun Wu Xie dan dia membentuk satu tanggapan yang berani. Jun Wu Xie tiba-tiba duduk di meja dan mencapai sehelai nota bank. Dia cepat-cepat menconteng-conteng satu siri simbol rahsia dan tidak dapat ditafsirkan. Berdasarkan bentuk setiap simbol, semuanya hampir serupa dengan apa yang diukir pada cincin roh Hua Yao.
"Berapa banyak yang kamu pernah lihat daripada semua ni?" Dalam masa yang singkat sahaja Jun Wu Xie telah memenuhkan segenap ruang kertas itu dan terus menyerahkannya pada Fan Zhuo.
Fan Zhuo mengambil kertas itu daripada Jun Wu Xie dan cepat-cepat menelitinya. "Dalam kalangan semua ini saya mengenali dua daripadanya. Yang ini dan yang ini." Fan Zhuo menunjukkan dua simbol yang dikenalinya pada kertas itu. "Ini yang saya gunakan untuk cincin roh Abang Hua dan ini saya gunakan untuk mempertingkatkan kekuatan dan kuasanya."
Jun Wu Xie merenung pada dua simbol yang Fan Zhuo tunjukkan. Dalam gabungan simbol tersebut, kedudukan setiap satu tidak mengikut aturan tertentu. Semuanya muncul hanya sekali di seluruh muka surat tersebut.
"Jun Xie, dari mana kamu tahu tentang semua ini?" Fan Zhuo merenung simbol-simbol kuno aneh yang ditulis rapat-rapat itu. Mereka yang lain mungkin tidak faham implikasi di sebalik semua ini tapi dia dapat melihatnya dengan jelas.
Dia cuma tahu tentang tiga set simbol untuk penempaan cincin roh sahaja. Tetapi setelah melihat apa yang Jun Wu Xie tuliskan di atas kertas itu, nampaknya ada lebih daripada seratus jenis set!
Kesan apakah yang akan dibawa oleh simbol-simbol sebanyak ini!? Fan Zhuo tidak berani memikirkannya. Dia merasakan Penempa Roh yang paling berkemahiran sekalipun tidak akan dapat memahami kombinasi sebanyak itu.
Jun Wu Xietidak pernah bertemu dengan mana -mana Penempa Cincin sebelum ini, jadi bagaimana dia tahu tentang semua ini?
"Saya tak ingat." Jun Wu Xie menundukkan pandangan. Sejak dari usia yang muda lagi dia sudah memiliki ingatan fotografik yang membolehkan dia mengingati semua yang dilihatnya. Kebetulan lelaki itu telah membenarkan dia melihat simbol-simbol tersebut. Dengan hanya sekali imbas, Jun Wu Xie telah mengingati semuanya. Walaupun dia tidak pernah tahu apa kegunaan simbol-simbol tersebut, semuanya masih terpahat kukuh dalam ingatannya.
Sejujurnya, simbol yang pernah dia lihat jauh lebih banyak daripada apa yang dia tuliskan. Apa yang lelaki itu bawakan adalah teks purba yang ditulis pada kulit kambing setebal kira-kira dua jari. Simbol-simbol yang ditulisnya secara ringkas tadi hanyalah merangkumi dua muka surat daripada keseluruhan isi kandungannya.
"Kamu boleh gunakan simbol-simbol ini?" tanya Jun Wu Xie sambil memandang Fan Zhuo.
Fan Zhuo terus menggelengkan kepala.
"Saya tak pernah lihat mana-mana simbol ini. Kalau saya gunakan pada cincin roh secara semeberono, saya tak tahu apa kesannya. Jika sesuatu yang buruk berlaku, kemungkinan roh berkontrak itu pula yang akan tercedera."