webnovel

Pemikiran Putera Mahkota (3)

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

"Jun Xie! Kamu dah balik!" Qiao Chu bingkas berdiri sambil melambai-lambaikan tangan sebaik dia terlihat Jun Wu Xie. 

Jun Wu Xie menjeling Jun Wu Yao lalu berjalan menuju rakan-rakannya. Sementara itu, Jun Wu Yao berlalu pergi dan membawa Ye Mei bersamanya. Ye Sha ditinggalkan untuk terus berkawal.

"Kenapa Abang Yao keluar?" Qiao Chu telah melihat Jun Wu Xie kembali bersama-sama Jun Wu Yao tetapi kemudiannya lelaki itu tiba-tiba berpaling dan pergi dari situ. Qiao Chu merasakan situasi ini agak pelik.

"Ada hal." Jun Wu Xie menjawab ringkas.

"Oh ya! Kami ada berita hebat! Nak dengar tak?" kata Qiao Chu dengan teruja sambil tersengih. Dia terkelip-kelip memandang Jun Wu Xie.

Jun Wu Xie menjeling Qiao Chu dan beberapa batang jarum perak muncul di celah-celah jarinya. Hujung jarum yang tajam itu bersinar dingin di bawah cahaya lampu dan membuatkan Qiao Chu berundur ketakutan.

"Ehem….. Tak perlu buat macam ni… Saya boleh beritahu kamu…" Ish, Jun Xie ni semakin lama semakin ganas. Saya cuma usik sikit saja pun dia dah keluarkan jarumnya!

"Pengawal-pengawal Negara Yan datang beritahu kami tadi yang Putera Mahkota akan datang ke sini malam ini."

Sebelah kening Jun Wu Xie terangkat sedikit. Matlamat mereka datang ke Negara Yan adalah untuk bertemu dengan Putera Mahkota negara ini dan mendapatkan kepingan peta keempat daripadanya. Dia tidak sangka yang dalam masa kurang dari satu hari, kambing biri-biri itu sendiri datang menyerah diri sebagai korban.

"Peliknya. Saya dapat maklumat yang mengatakan Putera Mahkota akan ke Akademi Pembunuh Naga malam ni," kata Fei Yan sambil menopang dagu.Ketika dia kembali, dia terdengar kata-kata pengawal yang datang memberikan mesej tersebut yang bertentangan dengan maklumat yang diterimanya.

"Ada orang tersalah maklumatkah?" tanya Qiao Chu sambil menggaru-garu kepalanya. Putera Mahkota Negara Yan itu seorang yang teratur dan boleh diharap. Tindakannya ini tidak sama seperti kelakuan biasanya.

Situasi di Akademi Zephyr tidak sama seperti sebelum ini. Ketika berada di puncak, Akademi Zephyr setanding dengan Akademi Pembunuh Naga.Kedua-dua akademi telah menerima berita tentang kehadiran Putera Mahkota malam ini. Tidak kiralah ke akademi mana Putera Mahkota pergi, pasti akademi yang tidak terpilih itu akan mendapat malu. Memandangkan semua akademi berkumpul di sini dan tinggal berdekatan, sebarang berita akan cepat tersebar. Kalau situasi di mana mereka sudah menerima maklumat kehadiran Putera Mahkota tetapi dia pula tidak muncul, hal ini ibarat muka mereka telah ditampar.

"Orang-orang yang datang tadi memang dari Kediaman Putera Mahkota. Sewaktu mereka di sini, ramai juga yang melihat mereka. Kata-kata mereka itu pasti telah didengari oleh orang lain juga. Tapi kata-kata mereka itu tak sama dengan maklumat yang Fei Yan dapatkan. Saya rasa peliklah." kata Qiao Chu.

Akademi Zephyr dan Akademi Pembunuh Naga tidak lagi sama setanding. Secara logiknya, sesiapa pun boleh melihat yang bertemu dengan Akademi Pembunuh Naga itu akan membawa manfaat yang lebuh besar kepada Putera Mahkota. Tetapi sebaliknya, Putera Mahkota telah memaklumkan Akademi Pembunuh Naga dulu dan kemudiannya memberitahu Akademi Zephyr. Ini hanya akan membuatkan semua orang tertanya-tanya.

"Tak perlulah terlalu fikirkannya. Kita hadapi saja apa pun yang berlaku," kata Rong Ruo sambil tersenyum kecil.

"Betul kata Rong Ruo. Kalau Putera Mahkota datang ke sini, kita boleh ambil peluang untuk dapatkan petunjuk daripadanya. Nanti bila kita ambil peta daripadanya, tak perlulah kita bersopan sangat," kata Qiao Chu sambil mengangkat bahu. Otaknya tak mampu memikirkan rancangan yang berbelit begini. Memandangkan Hua Yao dan yang lain pun tak boleh menjelaskan niat Putera Mahkota itu, tentulah Qiao Chu tak mahu memerah otak secara sia-sia.

"Apa pendapat kamu, Jun Xie?" Fan Zhuo memandang Jun Wu Xie.

Jun Wu Xie berkata, "Kita tunggu dan lihat dulu." Dia tidak pasti kenapa Putera Mahkota itu tiba-tiba memutuskan untuk bertemu dengan mereka. Mencetuskan pergaduhan di antara kedua-dua akademi secara sengaja tidak akan membawa sebarang manfaat pada Lei Chen. Tambahan pula, Putera Mahkota Negara Yan dikenali sebagai orang yang adil dan mesra. Jadi perubahan keputusan yang tidak dijangka ini membuatkan orang lain bingung tentang niat sebenarnya.