webnovel

Pemikiran Putera Mahkota (2)

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

"Pelajar dari fakulti Pemulih Roh? Malah dia ada kemahiran untuk menambah baik Teknik Pemulihan Roh!? Ha ha ha! Jun Xie ni memang dikurniakan untuk Beta, ya?" Lei Chen tidak dapat menyembunyikan perasaan teruja di matanya. Walaupun Akademi Zephyr itu sendiri sedang mengalami kejatuhan, fakulti Pemulih Roh mereka masih dipandang dengan perasaan cemburu dan iri hati. Putera Mahkota itu pada mulanya merancang untuk menunggu sehingga Akademi Zephyr benar-benar merosot teruk sebelum menawarkan tempat untuk Gu Li Sheng. Tetapi sekarang ini, seorang pelajar bernama Jun Xie yang setaraf dengan Gu Li Sheng telah muncul di hadapannya!

Sambil merenung potret Jun Wu Xie, Lei Chen tiba-tiba teringat tentang kejadian di Rumah Lelong Roh Api tadi di mana dia telah terlihat anak muda ini duduk di sebelah Jun Wu Yao. Ketika itu dia tidak terlalu memberi perhatian pada anak muda tersebut kerana seluruh tumpuannya difokuskan pada Jun Wu Yao. Tetapi dia tidak menyangka budak yang kelihatan biasa sahaja itu sebenarnya begitu hebat!

"Hakikat yang Akademi Zephyr telah menghantar seorang pelajar seperti Jun Wu Xie tahun ini memang sangat kelakar. Ketika Fan Qi masih hidup, Akademi Zephyr tak akan berani membenarkan pelajar fakulti Pemulih Roh mereka itu menonjolkan diri. Mereka risau yang para pelajar ini akan dirampas daripada mereka. Nampaknya Fan Jin itu masih mentah. Dia tak sedar tentang hal ini dan menghantar Jun Xie yang begitu mahir dalam Teknik Pemulihan Roh ke sini. Dia tak tahu betapa tindakan ini akan merugikan dia." Kata-kata Lei Chen seolah-olah penuh sesalan, tetapi nada suaranya kedengaran seperti mengejek dan dipenuhi cemuhan. Matanya membara dengan kegirangan.

"Apa yang Tuanku mahu lakukan?" tanya seorang pengawal.

"Mahu lakukan?" Lei Chen bertanya sambil tersenyum. "Memandangkan Fan Jin itu begitu bodoh dan menghantar peluang yang baik ini ke tangan Beta, mana mungkin Beta menolaknya? Laksanakan arahan Beta. Malam ini Beta akan ke Lof Dewa untuk mengalu-alukan rombongan Akademi Zephyr."

Pengawal itu terkejut lalu berkata, "Tapi Tuanku sudah pun beritahu Akademi Pembunuh Naga yang Tuanku akan melawat mereka malam ini. Patik bimbang perubahan saat akhir ini akan…"

Lei Chen mengangkat tangan untuk menghalang pengawal itu daripada meneruskan kata-katanya.

"Beta akan pergi ke mana sahaja yang Beta mahu. Kamu cuma perlu maklumkan pada Akademi Pembunuh Naga yang orang-orang dari Akademi Zephyr yang menjemput Beta. Itu saja."

Pengawal itu kaku seketika sebelum memahami apa yang Lei Chen rancangkan.

Akademi Zephyr dan Akademi Pembunuh Naga sering bertelagah. Disebabkan kemerosotan Akademi Zephyr, kalau mereka dianggap telah merampas slot yang diperuntukkan pada Akademi Pembunuh Naga, pasti akademi tersebut tidak akan berpuas hati.

Akademi Zephyr sudah pun berada dalam bahaya di Kejohanan Pertempuran Roh tahun ini. Jika mereka terlibat dalam satu lagi insiden yang tidak diinginkan, tempoh sebulan yang akan datang pasti tidak mudah untuk mereka lalui!

"Patik faham dan akan laksanakan arahan Tuanku." Pengawal itu cepat-cepat berlalu pergi.

Pada ketika itu, mata Lei Chen bersinar dengan kilauan kejam.

Bidaan melampau Jun Wu Yao berjaya memenangi Teratai Darah dan tidak ada orang lain di seluruh rumah lelong itu yang mampu mengatasinya. Teratai Darah akhirnya dijual pada Jun Wu Yao tanpa sebarang bantahan. Selepas lelongan itu selesai, Jun Wu Yao sendiri pergi mengambil Teratai Darah itu dan menyerahkannya ke tangan Jun Wu Xie. Kemudian mereka berdua melangkah keluar ke cahaya ufuk senja untuk kembali ke rumah tumpangan mereka.

Sewaktu mereka sampai, Qiao Chu dan yang lain sudah pun pulang. Mereka semua sedang duduk di dalam dewan di tingkat dua itu sambil berbual-bual.

Jun Wu Yao dan Jun Wu Xie baru saja naik ke tingkat dua ketika Ye Sha dan Ye Mei yang sedang berkawal di tangga terus meluru mendapatkan mereka. Kedua-duanya membisikkan sesuatu kepada Jun Wu Yao yang membuatkan mata lelaki itu mengecil dan menjadi dingin.

"Adik Xie pergilah berehat. Abang ada sesuatu yang perlu diuruskan. Beberapa hari lagi Abang akan pulang." Ketika Jun Wu Yao berpaling memandang Jun Wu Xie, kedinginan pada matanya telah pun lenyap sepenuhnya.

Jun Wu Xie mengangguk. Dia sudah terbiasa dengan "kehilangan" Jun Wu Yao yang berlaku sekali-sekala. Sebaliknya kalau lelaki itu berada di sampingnya setiap masa, barulah Jun Wu Xie akan berasa terkejut.