webnovel

Pembunuhan Rakan Pelajar (3)

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Tetapi kini, siapa di seluruh Kerajaan Qi itu yang berani memperkecil-kecilkan dia?

Cik Muda yang dahulunya diludah semua orang kerana bersikap angkuh, kini merupakan seseorang yang dihormati di seluruh Kerajaan Qi.

Tidak kiralah berapa lama masa yang diperlukan untuk membuat serangan balas. Apa yang penting ialah memastikan musuh dapat dimusnahkan dengan sekali serang.

Fan Jin membuka mulutnya tetapi tidak mampu berkata apa-apa.

Sementara itu, Fan Zhuo menuangkan teh untuk Fan Jin dan Jun Wu Xie sambil ketawa. Dia tersenyum dan bercakap dengan lembut. "Abang masih belum belajar untuk percaya pada kebolehan Jun Xie? Dia tidak bertindak sekarang ini kerana dia mahu hal ini menjadi lebih besar. Kita akan tunggu sehingga penjahat sebenar di sebalik tabir ini didedahkan sebelum kita membuat serangan maut. Bukankah itu lebih memuaskan?"

Fan Jin tersenyum pahit dan menggelengkan kepalanya.

"Mungkin lebih memuaskan, tetapi apabila khabar angin itu tersebar luas, lebih ramai yang akan percaya padanya dan pelajar-pelajar ini pula akan…."

Fan Zhuo tersenyum lembut lalu meyakinkan abangnya. "Jangan bimbang. Sebaik Jun Xie bertindak, seluruh situasi ini akan berubah sepenuhnya."

Fan Jin mengeluh dan berasa tidak berdaya. Jun Wu Xie dan Fan Zhuo begitu tenang menghadapi hal ini, jadi kerisauan dan keresahan Fan Jin juga semakin reda.

"Ada apa-apa berita daripada Tentera Rui Lin?" tuba-tiba Jun Wu XIe bertanya.

Fan Jin terkejut dan terdiam seketika sebelum membalas.

"Saya dengar mereka akan tiba dalam masa lima hari lagi," kata Fan Jin sambil menggosok-gosok pelipisnya. Dia tidak pasti sama ada Long Qi akan berpuas hati dengan cara Akademi Zephyr menguruskan hal yang berlaku sebelum ini.

Jun Wu Xie tersenyum kecil. Fan Zhuo terkejut melihat senyuman di wajah Jun Xie itu.

Tidak syak lagi wajah itu mempunyai kehalusan dan dimiliki oleh seorang anak muda. Jadi kenapa senyuman sekecil ini tiba-tiba membuatkan dia sukar bernafas?

"Lima hari. Cukuplah tu." Jun Wu Xie menundukkan pandangan dan melihat pantulan imejnya di dalam cawan teh. Matanya bersinar dengan keazaman untuk berjaya.

Fan Jin berada di situ agak lama sebelum akhirnya beredar. Sewaktu dia pergi, wajahnya masih menunjukkan perasaan bimbang.

Fan Zhuo merenung susuk tubuh abangnya yang kelihatan risau dan resah. Dia tidak dapat menahan dirinya daripada tersenyum.

"Abang saya ni memiliki pemikiran yang agak naif. Saya percaya kamu sudah pun tahu siapa dalang di sebalik semua ini." Sambil bercakap, dia menopang dagu. Wajahnya yang tampan itu tersenyum lembut sambil memberikan pandangan penuh makna pada Jun Wu Xie.

Jun Wu Xie mengangkat keningnya.

"Siapa lagi selain si bodoh yang mencari maut tu?"

Tiada siapa yang dapat memberi kesan pada begitu ramai pelajar Akademi Zephyr dalam masa yang singkat serta dapat menyebarkan khabar angin jahat itu dengan pantas selain orang yang Jun Wu Xie fikirkan ini.

"Dia pada mulanya memilih saya untuk digunakan bagi menentang Fan Jin. Tapi nampaknya sekarang ini dia sudah menukar sasarannya pada saya pula," kata Jun Wu Xie sambil ketawa dingin dan menggoyangkan sedikit cawan teh jed putih yang dipegangnya. Teh di dalam cawan itu beriak-riak dan sedikit haruman tersebar dari cawan tersebut.

Setelah gagal memenangi hati Jun Wu Xie dan ditolak dengan biadab, perempuan itu tetap tidak mahu berputus asa. Patutkah dia dipuji di atas keberaniannya atau sebenarnya dia teramat dungu? Setelah berada dalam keadaan terdesak, dia membuat serangan balas yang tidak begitu bijak ini.

"Haha, saya rasa dia benar-benar terdesak. Kalau tak, dia tak akan bertindak begini. Pasti dia menunggu kamu menjadi gelisah kerana dikelilingi musuh dan tidak ada siapa yang dapat menolong kamu. Kemudian dia akan muncul di hadapan kamu dan menghulurkan tangan untuk membawa kamu keluar dari masalah?" Senyuman Fan Zhuo semakin lebar, seolah-olah terhibur dengan andaiannya lalu ketawa terbahak-bahak.

Kaedah Ning Xin yang kurang bijak ini hanya mampu memperdayakan abangnya yang naif. Apabila digunakan ke atas Jun Wu Xie, kaedah ini hanya seperti permainan kanak-kanak dan tidak layak dianggap sebagai rancangan balas. Hanya perlu difikirkan sedikit sahaja dan semuanya menjadi semakin jelas.

"Saya nak lihat bagaimana dia mahu dimalukan," balas Jun Wu Xie. Matanya bersinar dengan kedinginan.