webnovel

Menampar Orang Ramai (8)

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Jun Wu Xie mengangguk.

Gu Li Sheng merenung kerumunan pelajar itu lalu berkata, "Mulai sekarang, Jun Xie akan menjadi ahli fakulti Pemulih Roh. Tapi kamu semua dengar ya! Dia bukan pelajar saya kerana saya tidak layak untuk mengajar dan membimbing dia. Saya tidak cukup layak untuk menjadi Tuan Gurunya! Dia akan memegang separuh kuasa di fakulti Pemulih Roh! Walaupun dia masuk sebagai pelajar, tak ada siapa yang boleh melayang Jun Xie sebagai pelajar!"

Sewaktu mengucapkan kata-kata ini, mata Gu Li Sheng memandang Qian Yuan He yang berada di dalam kerumunan itu, tetapi sekilas kemudian dia mengalihkan pandangannya pada semua yang berkumpul di situ.

Dalam kalangan guru-guru di Akademi Zephyr, Qian Yuan He yang sering mengatakan dia malu dengan Jun Xie. Dia mendakwa Jun Xie itu tidak layak menerima ajarannya.

Kata-kata Gu Li Sheng hari ini turut memberikan tamparan kepadanya.

Qian Yuan He bukan siapa-siapa di Akademi Zephyr.

Dia hanya guru biasa di fakulti Roh Binatang. Ada ramai tenaga pengajar yang jauh lebih hebat daripadanya!

Apatah lagi di mata Gu Li Sheng yang berkuasa mutlak di dalam fakulti Pemulih Roh yang dihormati.

Jika dibandingkan dengan Gu Li Sheng, Qian Yuan He tidak cukup layak untuk memegang kasutnya sekalipun!

Gu Li Sheng sudah menyatakan yang dia sendiri tidak mempunyai kelayakan untuk mengajar Jun Xie. Maksudnya, Qian Yuan He lebih tidak layak lagi. Qian Yuan He pernah sekali menuduh Jun Xie tidak menunjukkan minat untuk belajar serta memilik keperibadian yang tidak diingini. Semua kata-katanya ini dilemparkan kembali kepadanya setelah mendengar ucapan Gu Li Sheng hari ini!

Qian Yuan He mahu menghina Jun Xie!? Nampaknya keadaan kini sudah berubah!

Sekilas jelingan dari Gu Li Sheng sahaja sudah membuatkan Qian Yuan He pucat lesi dan bahunya menggeletar. Dia tanpa sedar mula berundur ke dalam kerumunan pelajar itu, berharap untuk dapat tenggelam ke dalam bumi dan tidak muncul di hadapan orang ramai lagi.

Daripada pemuda keji yang dihina dan dicaci oleh orang lain tiba-tiba kini menjadi pelajar genius yang terseksa dalam diam sambil menyiapkan tugasan yang sukar. Dalam masa satu jam sahaja, Jun Xie telah berjaya membina semula imejnya yang telah lama hancur di dalam Akademi Zephyr dan memberi tamparan pada semua pelajar dan anggota fakulti di situ.

Sambil diperhatikan seluruh akademi, Gu Li Sheng membawa Jun Xie pergi dari situ. Jun Xie langsung tidak berkata apa-apa sepanjang semua itu berlaku. Dia hanya memerhati dengan senyap ketika setiap pengacau itu menerima tamparan yang hebat.

Selepas Gu Li Sheng dan Jun Xie beredar, seluruh dataran itu meletus dengan kekecohan. Semua orang mula bercakap tentang pendedahan yang menggemparkan itu. Mereka yang selama ini paling banyak mengeji Jun Xie, cepat-cepat melarikan diri dengan malu. Mereka bimbang akan dilapah hidup-hidup oleh kerumunan pelajar yang tiba-tiba tidak terkawal itu.

Kalau Jun Xie itu sampah yang tak berguna, apa pula mereka ni?

Lebih hina daripada sampah…..

Hari ini, tanpa mengira kedudukan, semua orang di Akademi Zephyr telah menerima tamparan. Semua pelajar dan guru saling berpandangan dengan perasaan bersalah. Wajah mereka pedih dan kemerah-merahan seolah-olah benar-benar telah ditampar secara fizikal.

Sewaktu keadaan di dataran itu menjadi huru-hara, para pelajar dan tenaga pengajar yang amat malu itu tidak mahu lagi terus berada di situ lebih lama. Setiap saat mereka di situ, wajah mereka semakin merah lalu mereka terus bergegas pergi. Namun pendedahan hari ini sudah terpahat kemas di hati mereka.

Kerumunan di dataran itu pantas bersurai, tetapi Ning Xin masih di situ, berdiri terpaku di tempatnya.

"Tak mungkin begini….. Mustahil….. Tak mungkin Jun Xie itu ialah pelajar yang dipilih oleh Gu Li Sheng…." Mata Ning Xin terbeliak dan dia masih belum pulih daripada berasa terkejut. Tak ada siapa yang dapat memahami betapa kuatnya kejutan yang melandanya ketika mendengar kata-kata itu tadi!

Mindanya tidak henti-henti berdengung. Rancangan yang telah dia sediakan dengan yakin selama ini, telah hancur menjadi debu dan bertebaran di sekelilingnya.

Gu Li Sheng mahu membalas dendam untuk Li Zi Mu!?

Hal itu kini sungguh tidak masuk akal dan sememangnya dia yang menjadi bahan jenaka.

Sepanjang ucapannya, Gu Li Sheng langsung tidak menyebut nama Li Zi Mu dan hanya menggelarnya sebagai pelajar baru. Jelas sekali yang Gu Li Sheng tahu segala perbuatan tidak bermoral Li Zi Mu itu. Kebencian Gu Li Sheng terhadap Li Zi Mu mungkin melebihi orang lain yang berada di sini!