webnovel

Menampar Orang Ramai (6)

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Mereka tidak pernah menyangka satu-satunya pelajar yang diiktiraf oleh Gu Li Sheng itu ialah Jun Xie!

Pelajar yang mereka labelkan sebagai pemuda keji sejak hari pertama dia diterima masuk ke Akademi Zephyr!

Segala kejian yang Jun Xie hadapi bermula daripada fakulti Pemulihan Roh itu sendiri!

Tapi kini, segala-galanya telah berubah secara drastik dan para pelajar ini tidak dapat mempercayainya.

Bagaimana….semua ini boleh terjadi?

"Selama ini, satu-satunya pelajar yang saya pilih sendiri hanyalah Jun Xie. Saya memikirkan yang saya telah menemui pelajar yang paling sesuai, tetapi saya langsung tidak menyangka telah menemui seorang genius yang saya kagumi. Jun Xie hanya memerlukan masa kurang daripada dua jam untuk memahami sepenuhnya konsep-konsep di sebalik Teknik Pemulihan Roh, malah turut mampu memberi cadangan untuk menambah baik teknik itu." Sewaktu Gu Li Sheng bercakap, suaranya kedengaran amat bangga.

"Teknik Pemulihan Roh ini merupakan sesuatu yang amat penting. Bagi membolehkan Jun Xie mempunyai masa dan ruang untuk menyiapkan tugasannya bagi menambah baik teknik ini serta mengelakkan orang-orang yang berniat jahat mengapa-apakan dia, saya tak ada pilihan selain melepaskan dia secara sementara dari fakulti Pemulih Roh. Bagi mengelakkan keraguan yang tidak diingini, seorang lagi pelajar baru dipilih secara rawak untuk mengisi kekosongan yang wujud disebabkan pemergian sementara Jun Xie. Semua perubahan ini telah dilakukan dengan persetujuan awal Guru Besar. Saya juga telah menjelaskan semuanya pada pelajar baru yang telah dipilih itu. Demi mengelak daripada rahsia Jun Xie terdedah, saya beritahu orang lain yang semua ini hanya salah faham."

Setelah Gu Li Sheng selesai berkata-kata, keningnya berkerut ketat. Nada suaranya tidak lagi kedengaran lembut seperti sebentar tadi. Renungan matanya menjadi tajam sewaktu dia memandang para pelajar Akademi Zephyr yang berkumpul di hadapannya sebelum dia berkata, "Tetapi sesuatu yang saya tak jangkakan ialah betapa dungunya para pelajar Akademi Zephyr ini. Kamu semua begitu mudahnya yakin dengan khabar angin yang berniat jahat dan tak berasas. Hal sebenar diketahui oleh saya dan juga Guru Besar. Sejak mula lagi Jun Xie tidak pernah berniat atau cuba mencuri kedudukan orang lain kerana kedudukan itu memang miliknya! Jun Xie yang meminta untuk dilepaskan daripada kedudukan itu sehingga adanya kekosongan yang memberi peluang pada orang lain. Kamu semua tidak peduli untuk mencari kebenaran dan tanpa menyaksikan apa-apa, kamu mempercayai khabar angin yang buruk itu. Segala kejian dan cacian yang kamu lemparkan pada Jun Xie selepas itu benar-benar telah mencemarkan nama baik Akademi Zephyr!"

Ucapan penuh ketegasan daripada Gu Li Sheng ini terus memecahkan segala khabar angin beracun yang telah menyelubungi Jun Xie selama ini! Secara tidak langsung juga, para pelajar yang telah melemparkan segala tuduhan tidak berasas pada Jun Xie itu, menerima satu tamparan yang kuat!

Kata-kata Gu Li Sheng itu membuatkan para pemuda di hadapannya ini terdiam. Mereka tidak mampu membantah..

Fan Qi yang selama ini diam sahaja, melangkah ke hadapan pada ketika itu. Dia mengeluh sebelum berkata, "Saya boleh bersaksi bahawa segala yang dikatakan oleh Gu Li Sheng hari ini benar belaka. Pada mulanya, sewaktu dia memberitahu saya tentang hal ini, saya amat terkejut. Saya tak percaya seorang pemuda yang berusia empat belas tahun dapat melangkaui pemahaman Gu Li Sheng dalam Teknik Pemulhan Roh. Tapi saya tahu yang Gu Li Sheng, sebagai pengasas Teknik Pemulihan Roh, menganggap segala yang berkaitan dengan teknik itu sebagai anaknya sendiri dan dia tidak akan bergurau dalam hal ini. Saya percaya dengan kebolehannya yang dapat mengenal pasti pelajar berbakat dan saya juga percaya dengan pertimbangannya. Kini, hakikat membuktikan yang saya tidak silap tentang Gu Li Sheng dan dia juga tidak silap tentang Jun Xie."

Selepas mengatakan semua itu, Fan Qi berhenti seketika sebelum menyambung, "Hal ini baru sahaja berlaku. Saya tak tahu siapa yang bertanggungjawab dalam hal ini, tetapi orang itu tiba-tiba mahu menyiasat punca kematian Li Zi Mu dan menyebabkan khabar angin yang jahat tersebar sekali lagi ke seluruh akademi. Demi mendedahkan hal yang sebenar pada kamu semua, saya sendiri memulakan siasatan ke atas perkara ini. Dapat dipastikan yang Li Zi Mu telah dibunuh oleh Binatang Roh kerana luka yang membawa maut pada badannya adalah disebabkan oleh kuku dan taring binatang ganas, bukannya tangan manusia. Kamu semua pun boleh lihat sendiri orang yang kamu curigai ini. Roh berkontraknya hanyalah seekor kucing hitam kecil yang bersaiz tapak tangan. Bagaimana kucing sekecil ini boleh mematahkan leher seorang remaja dengan hanya satu gigitan?"