webnovel

"Auuummmm!!!" Singa Emas mengeluarkan ngauman yang mengerikan sambil meronta-ronta untuk melepaskan diri dari Hitam Kecil. Namun Hitam Kecil semakin kuat mencengkam tengkuk Singa Emas dan menggunakan kukunya untuk terus berpaut.

Pertarungan kedua-dua binatang buas yang besar ini sangat ganas dan mata semua orang tertumpu pada serangan yang dahsyat ini.

Sewaktu Hitam Kecil mula mendapat kelebihan, mata Mo Xuan Fei terbeliak sambil memandang penuh kegilaan. Wajahnya berubah menjadi hodoh, dipenuhi ekspresi tidak percaya.

Bagaimana ini boleh berlaku?

Singa Emasnya yang hebat telah dikalahkan dengan mudah oleh binatang hitam itu?

Tiba-tiba Mo Xuan Fei merasakan satu kesakitan yang tajam, seolah-olah ada seseorang yang mahu menarik keluar rohnya. Dia semakin sukar bernafas dan memegang dadanya sambil tercungap-cungap. Ada tekanan yang berat, seperti ada kuasa ganas sedang cuba mencarik-carikkan rohnya. Dia mendongak dengan bersusah-payah...

Kejadian yang berlaku menyebabkan semua yang menontonnya menjadi terkejut dan terdiam.

Hitam Kecil yang telah menghimpit Singa Emas di bawah kakinya, kini sedang makan Singa Emas sedikit demi sedikit. Roh berkontrak boleh bertukar rupa menjadi bentuk fizikal, namun tidak mempunyai tubuh badan sebenar. Bentuk fizikal roh berkontrak hanyalah kombinasi roh dan tenaga rohani. Sebab itulah sewaktu Hitam Kecil mula membaham Singa Emas, tidak ada darah yang kelihatan.

Bahagian Singa Emas yang dibaham hanya lenyap di udara.

Bagaimana ini boleh berlaku?

Mo Xuan Fei merasakan rohnya perlahan-lahan sedang dimusnahkan, sedikit demi sedikit. Dia memegang dadanya dengan kuat, mengetap-ngetap giginya dan bergelut cuba memahami apa yang sedang berlaku. Ada sinar kegilaan di matanya. Semakin Singa Emas dibaham, semakin dia merasakan sakit yang tidak tertahan menyelubungi seluruh tubuhnya.

Bukan sahaja Mo Xuan Fei, Mo Qian Yuan dan askar Tentera Rui Lin juga amat terkejut melihatkan binatang hitam itu perlahan-lahan membaham Singa Emas.

Tidak pernah mereka dengar tentang roh berkontrak yang dibaham!

Memandangkan roh berkontrak cuma kombinasi roh dan tenaga rohani, bagaimana mungkin boleh dibaham oleh binatang lain?

Kejadian ini tidak pernah berlaku sebelum ini!

Mo Qian Yuan memaksa dirinya untuk mengalihkan perhatiannya dan memandang wajah Jun Wu Xie. Dia terkejut melihat Jun Wu Xie tidak lagi tersenyum dan sedang merenung kejadian yang berlaku sambil berfikir.

Jun Wu Xie tidak sedar yang Mo Qian Yuan sedang memandangnya. Seluruh perhatiannya tertumpu pada binatang hitam itu.

Di masa lalu atau masa kini, Hitam Kecil selalu berada di sisinya. Namun tidak siapa tahu, Hitam Kecil ini boleh dikatakan sebahagian daripada rohnya.

Pada masa dahulu, lelaki gila itu telah melakukan pelbagai eksperimen yang menakutkan menggunakan teknologi yang paling canggih. Hitam Kecil merupakan salah satu eksperimen tersebut.

Badan hitam itu ialah badan sintesis yang mempunyai kekuatan melebihi binatang biasa. Namun tubuh badan itu tidak mempunyai kepandaian, atau lebih tepat lagi, merupakan satu produk yang tidak lengkap. Pada ketika itu, eksperimen lelaki gila itu ialah untuk memaksa gabungan di antara roh yang tidak sempurna dan roh manusia. Dua spesis yang sangat berbeza dan roh kedua-duanya digabungkan secara paksa.

Setelah eksperimen itu dilakukan, di mana sahaja roh Wu Xie berada, kucing hitam kecil itu akan menyusul.

Kucing hitam kecil itu ialah sejenis roh, hampir sama dengan roh berkontrak tetapi ada perbezaannya.

Kucing hitam kecil itu memancarkan mesej yang mengejutkan pada Jun Wu Xie. Hitam Kecil boleh membaham Singa Emas dan menyerap tenaga rohani roh berkontrak itu sepenuhnya!

Ini satu penemuan mengejutkan!

Jun Wu Xie mula menjadi berminat. Apakah perubahan yang akan berlaku setelah Singa Emas dibaham? Adakah kesannya sama dengan pencernaan makanan atau akan dipengaruhi oleh pemboleh ubah lain?

Jun Wu Xie bertenang sambil memerhatikan kejadian itu dengan penuh minat, menantikan jawapan kepada persoalannya.

Singa Emas Diraja itu perlahan-lahan sedang dibaham di dalam Dewan Diraja, di hadapan semua orang. Walaupun tidak ada setitik darah sekalipun, semua orang merasakan kejadian ini membimbangkan.

Apa sebenarnya binatang hitam itu sehingga dapat membaham roh berkontrak?