14 Cinta Tiga Segi

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Satu titah diraja tiba keesokan harinya, membatalkan pertunangan antara Putera Kedua dan Jun Wu Xie.

Semalam, ada spekulasi mengatakan serangan ke atas Putera Kedua mungkin ada kaitan dengan Jun Wu Xie. Namun begitu, setelah pertunangan itu dibatalkan terbukti kejadian yang berlaku ada kaitan antara satu sama lain.

Di dalam Bandar Diraja, reputasi Jun Wu Xie jatuh teruk. Selepas khabar angin tersebar, semua orang mengatakan dialah wanita paling kejam. Ramai wanita, yang turut tertawan dengan ketampanan wajah Putera Kedua, mengutuk perbuatan Jun Wu Xie.

Semua kekecohan ini menyelubungi sempadan kawasan Istana Lin. Di dalamnya keadaan tenang. Jun Wu Xie berkurung dalam biliknya, sibuk mengkaji roh berkontrak teratai putih miliknya.

Di dalam bilik bacaan Istana Lin, Jun Xian sedang berang dan menahan dirinya dari mengoyakkan titah diraja. "Bagus! Bagus betul! Sekarang bila saya dah tua dan tak berguna, semua orang fikir mereka boleh membuli cucu saya!" Dia mengetap giginya sambil tangannya menggenggam erat titah diraja.

Jun Qing sudah memberitahunya apa yang berlaku semalam dan walaupun dia menjangkakan ketibaan titah diraja, dia tidak fikir titah itu akan tiba pada waktu sekarang. Menerima titah diraja pada waktu ini hanya akan mengiakan khabar angin yang mengatakan Jun Wu Xie terlibat dengan serangan itu.

Walaupun Jun Xian tahu cucunya itu bersikap sombong, dia juga tahu yang cucunya tidak berani membunuh sesiapa pun. Tambahan pula dia berada di rumah sepanjang waktu untuk memulihkan kesihatannya, dia langsung tidak keluar rumah. Bagaimana dia hendak menyuruh orang menyerang Mo Xuan Fei?

Khabar angin juga mengaitkan Tentera Rui Lin, kononnya Wu Xie menyuruh mereka membantunya membalas dendam. Mana mungkin ini boleh berlaku? Walaupun dia memanjakan Wu Xie dan Tentera Rui Lin itu miliknya, dia seorang yang tegas dan jujur. Dia tidak pernah benarkan Wu Xie berhubungan dengan tenteranya, apatah lagi memberikan Wu Xie kuasa seperti itu.

Mo Xuan Fei masih belum pulih dari terkejut akibat serangan itu, tetapi titah sudah pun dikeluarkan. Ini menyebabkan orang lain fikir Istana Lin memang terlibat dalam perkara ini dan menjadi titik hitam bagi Istana Lin.

"Ayah, adakah kita akan beritahu dia apa yang dah berlaku?" Wajah Jun Qing jelas muram. Dia bencikan hakikat yang dia seorang yang lumpuh dan tidak ada kuasa untuk melindungi keluarganya.

Jun Xian menggelengkan kepala. "Kamu tak boleh beritahu dia! Dengan sikap panas barannya itu, entah kekecohan apa pula yang dibuatnya nanti. Lagipun badannya masih belum pulih. Tuanku dah melantik ayah untuk menyiasat serangan ke atas Putera Kedua. Ayah akan cari kebenaran di sebalik kejadian ini dan bersihkan nama Wu Xie!" Selepas setia berbakti kepada negaranya selama bertahun-tahun, ini balasan yang dia terima. Kedua-dua anak lelakinya dikorbankan, seorang meninggal dunia dalam peperangan dan seorang lagi menjadi lumpuh.

Dia cuma ada cucu perempuan yang amat disayanginya, tetapi dengan titah diraja ini, habis musnah reputasi cucunya. Siapa yang akan mengahwini Wu Xie selepas apa yang dilakukan oleh Keluarga Diraja ini?

"Tuanku memang tak berhati perut," bisik Jun Xian sambil menutup matanya.

Jelas sekali yang Istana Lin tiada harapan di masa hadapan, tapi mereka tetap mahu melibatkan satu-satunya cucu perempuannya dalam pergelutan kuasa ini. 

Jun Qing diam sambil menundukkan kepalanya dan menggigit bibirnya. Tanpa sedar, tangannya digenggam di atas kakinya yang lumpuh.

avataravatar
Next chapter