37 Perubahan (3)

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Long Qi berdiri kaku seketika sebelum menegakkan badannya dan meletakkan tangan kanannya yang digenggam ke kiri dadanya, menunduk hormat dan dengan senyap meninggalkan bilik itu.

Jun Wu Xie memandang pintu yang telah ditutup itu dan menyambung kerjanya.

"Dingin di luar, hangat di dalam. Jadi kata-kata itu merujuk kepada orang seperti kamu." Suara dengan nada mengusik kedengaran dari arah tingkap.

Jun Wu Xie mengerutkan keningnya sambil memandang ke arah datangnya suara itu. Jun Wu Yao sedang duduk di ambang tingkap dengan tangannya disilangkan ke dadanya secara bersahaja. Bibirnya tersenyum kecil sewaktu dia memandang Jun Wu Xie.

Kali ini Jun Wu Xie tidak dapat menghidu bau darah pada Jun Wu Yao.

"Menerima hukuman kerana melakukan kesalahan bukanlah sesuatu yang luar biasa. Tak sangka pula kamu begitu baik hati menyediakan ubat untuknya." Perasaan terhibur dalam matanya beransur hilang sambil dia merenung Jun Wu Xie.

Sewaktu Long Qi memohon maaf daripadanya dan meminta Jun Wu Xie menghukumnya tempoh hari, dia tidak mengendahkan perkara itu. Lelaki yang tegas dan jujur itu telah menghukum dirinya sendiri dengan 150 sebatan sehingga bahagian belakang badannya cedera teruk. Namun begitu Long Qi langsung tidak menjerit kesakitan dan keesokan harinya dia berkelakuan seperti biasa di hadapan Jun Qing.

Secara kebetulan Jun Wu Yao sudah tahu mengenainya tetapi hal tidak ada kaitan dengan dirinya. Tambahan pula dia langsung tidak berminat dengan hal ini dan hampir lupa mengenainya jika tidak kerana tindakan Jun Wu Xie hari ini.

"Saya benci bau itu." Jun Wu Xie menjawab dengan serius.

Jun Wu Yao tertawa kecil sambil dia melompat masuk ke bilik itu.

"Wu Xie tak adil. Sewaktu saya cedera, kenapa kamu tak berikan ubat?" Dengan mulutnya sedikit muncung, dia berjalan ke sisi Jun Wu Xie dan membongkokkan badannya. Satu tangannya diletakkan ke dinding di belakang Jun Wu Xie yang kini dalam keadaan terperangkap.

Rambut hitam Jun Wu Yao terjuntai di tepi wajahnya yang sangat tampan dan menggeletek pipi Jun Wu Xie.

Jun Wu Xie mengerutkan muka sambil menepis rambut Jun Wu Yao.

"Sebab maksud nama kamu." Dia memandang lelaki itu sekilas, melangkah ke tepi dan berlalu pergi dengan tenang.

Nama Jun Wu Yao bermaksud "tak ada ubat, tak boleh disembuhkan."

"Hahahaha!" Selepas mendengar penjelasan itu, Jun Wu Yao tidak dapat menahan dirinya daripada ketawa. Dia menggenggam pergelangan tangan Jun Wu Xie dan menarik gadis itu ke dalam dakapannya.

Badan gadis itu yang kecil amat lembut dan terdapat sedikit bauan herba yang benar-benar membuatkan seseorang berasa tenang.

Jun Wu Xie tidak meronta, tidak menolak, cuma diam saja dalam pelukan Jun Wu Yao kecuali matanya yang bersinar, menjeling marah ke arah lelaki itu.

"Hari ini saya mandi betul-betul. Baulah, masih ada bau yang kamu benci tu?" Dia berbisik rapat ke telinga Jun Wu Xie. Suaranya yang garau dan penuh daya tarikan bercampur sedikit kenakalan sambil dia mengusik gadis itu.

"Tak ada." Jun Wu Xie merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan kedudukan Jun Wu Yao yang sangat rapat dengannya, tapi dia tidak pasti mengapa dia berperasaan begitu.

"Jangan bimbang, apa saja yang kamu tak suka, saya tak akan biarkan ia wujud." Jun Wu Yao memberi jaminan ini dengan senyuman, semakin erat dia memeluk Jun Wu Xie. Lelaki itu sedar apa saja yang dia lakukan kepada Jun Wu Xie langsung tidak mendapat apa-apa reaksi. Seolah-olah gadis itu tidak faham maksud di sebalik tindak-tanduk Jun Wu Yao.

Sama seperti sehelai kertas yang kosong, wajah Jun Wu Xie langsung tidak menunjukkan apa-apa perasaan.

Wajah polos itu benar-benar membuatkan seseorang mahu meninggalkan tanda padanya!

avataravatar
Next chapter