65 Mari Berseronok...

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Ye Wan Wan tidak risau langsung. Dia membiarkan telefonnya berdering sekali lagi sebelum mengangkat panggilan dengan perlahan-lahan, "Helo?"

"Wan Wan! Kenapa lambat sangat awak nak jawab? Awak dekat mana? Di sekolahkah? Tak kisahlah awak di mana sekali pun, cepat datang ke Hospital Ren Ai! En Gu dalam masalah!" kedengaran suara terburu-buru Shen Meng Qi daripada telefonnya.

Sudah tentulah, panggilan ini datang daripada Shen Meng Qi seperti yang dijangkakan.

Ye Wan Wan menyentuh lembut bunga mawar bersebelahan pipinya, dia berpura-pura terkejut sambil mengangkat keningnya, "Dalam masalah?"

"Ya, saya baru diberitahu yang En Gu terlibat dalam kemalangan jalan raya dan kecederaannya agak teruk. Sekarang dia dimasukkan dalam bilik kecemasan dan kata doktor, nyawanya mungkin dalam bahaya! Kalau awak tak mahu menyesal seumur hidup awak, datanglah ke sini sekarang!" nada suara Shen Meng Qi sangat meyakinkan, bagaikan dia pasti selepas mendengar berita ini, Wan Wan pasti akan tidak mengendahkan apa-apa lagi dan bergegas ke mari.

Tiba-tiba sahaja Ye Wan Wan menjadi dingin terhadap Gu Yue Ze dan hal ini membuatkan Shen Meng Qi sangat resah hati. Kini, ini merupakan peluang yang bagaikan jatuh dari langit untuk membangkitkan semula perasaan tersebut dalam diri Ye Wan Wan.

Dahulu, Ye Wan Wan akan membuat kecoh walaupun tangan Gu Yue Zu tercedera sedikit. Dia tidak percaya Ye Wan Wan boleh bersikap dingin kali ini.

Shen Meng Qi yang gusar Ye Wan Wan tidak termakan umpannya, menambah lagi perisa dengan berkata, "Wan Wan, kemalangan jalanraya En Gu agak pelik. Ada kereta yang melanggar terus keretanya pada siang hari, bagaikan terancang. Mungkinkah En Gu ada menyakitkan hati sesiapa? Siapa yang terlalu berani nak mencederakan tuan muda keluarga Gu?"

Sudah terang lagi bersuluh dia memberi bayangan Si Ye Han yang terlibat dalam kemalangan jalanraya Gu Yue Ze.

Jika dia boleh meruntuhkan lagi hubungan antara Ye Wan Wan dan Si Ye Han pada masa yang sama, ia bagaikan menyelam sambil minum air.

Ye Wan Wan tersenyum sinis dalam hatinya selepas mendengar berita ini. Walaupun ada beberapa perkara yang berubah, namun taktik Shen Meng Qi tetap kekal sama. Semua pertengkarannya dengan Si Ye Han dalam kehidupannya yang lalu disebabkan kata-kata yang baru dikatakan oleh Shen Meng Qi untuk menyemai percanggahan antara mereka berdua.

Sebenarnya, kemalangan kereta Gu Yue Ze itu cuma satu kebetulan sahaja.

Walaupun perkara ini akhirnya sudah jelas, Shen Meng Qi hanya memberikan bayangan sahaja dan tidak menyalahkan Si Ye Han secara khusus. Selain itu, dalam kehidupan yang lalu, dia tidak pernah mengesyaki Shen Meng Qi akan berkata semua perkara tersebut untuk menimbulkan masalah dan sebaliknya, dia akan mempercayai Si Ye Han benar-benar terbabit dengan kemalangan Gu Yue Ze.

Shen Meng Qi terus membebel selama hampir separuh pagi dan selepas semua itu, Ye Wan Wan hanya menjawabnya dengan dua perkataan, "Dah faham."

Dia memutuskan panggilan.

Selepas menamatkan panggilan tersebut, Ye Wan Wan tersenyum kelat dan merenung pada telefonnya.

Sekarang, Shen Meng Qi mesti sedang bersembunyi di sebalik pintu hospital sambil menunggu untuk menangkap buktinya bertindak curang dan kemudian merancang untuk menghantar bukti tersebut kepada Si Ye Han, lantas membenarkan lelaki itu menangkap pengkhianatnya. Inilah rancangannya.

'Isk, sebab Shen Meng Qi mahu cari pasal dengan aku, jadi aku kena main permainan dia…mari berseronok sekali…'

Selepas selesai dengan panggilan tersebut, Ye Wan Wan pulang semula ke halaman rumah.

Setelah mengemas buku teksnya, Ye Wan Wan memandang Si Ye Han dengan penuh ceria dan berkata, "Sayang, hari semakin lewat dan saya perlu pergi ke kelas esok. Saya nak balik ke sekolah!"

Walaupun setelah melihat Ye Wan Wan menjawab panggilan dan meminta untuk pulang serta-merta selepas itu, Si Ye Han tidak menunjukkan sebarang perubahan pada riak wajahnya. Dia hanya memandangnya suram, sepasang matanya yang tidak ada belas kasihan bagaikan lubang hitam menakutkan yang mampu menelan cahaya.

"Balik ke sekolah?" Tanya Si Ye Han.

Ye Wan Wan yang dahulu mungkin tidak dapat mengesan perbezaan pada Si Ye Han tetapi Ye Wan Wan yang sekarang dapat merasakan sesuatu yang tidak kena dengan sikap Si Ye Han.

Kemungkinan besar Si Ye Han sudah tahu tentang segala-galanya dan berfikir dia mahu pergi ke hospital untuk melawat Gu Yue Ze.

Walaupun begitu, dia berpura-pura seolah-olah dia tidak mengesan sebarang perbezaan. Dia menggalas beg sekolahnya dan berkata dengan bersahaja, "Awak kan sibuk dengan kerja, jadi tak perlulah iring saya sekali. Biar saya balik sendiri!"

avataravatar
Next chapter