66 Air yang Tenang Jangan Disangka Tiada Buaya

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Apabila Ye Wan Wan mengumumkan dia mahu pulang dengan sendiri, anak mata hitam Si Ye Han bertukar semakin malap dan gelombang yang tidak dapat dilihat di bawah anak matanya kelihatan terkeluar, tetapi dalam sekelip mata sahaja, matanya kembali normal, bagaikan sekadar bayangan sahaja.

Ye Wan Wan menganggap tanda diam Si Ye Han sebagai setuju, maka dia berjalan mendekatinya dengan polos dan menciumnya di pipi, "Saya pergi dulu! Saya nak ucap salam pada nenek dulu!"

Dia berjalan penuh girang masuk ke rumah.

Sejurus selepas Ye Wan Wan pergi, suasana menjadi dingin dan kemarahannya meletus. Taman kecil yang hening dan tenang itu dengan segera bertukar menjadi neraka dengan angin gelap bertiup dan niat membunuh yang dapat dirasai di setiap penjuru.

Pada ketika itu, hati Xu Yi bertukar menjadi abu.

Dia terus berdoa dan berdoa agar Ye Wan Wan tidak bertindak bodoh. Namun begitu, dia sendiri melihat perempuan itu berlari dengan girangnya menuju jalan kematian…

'Perempuan bodoh ini masih mahu pergi melawat Gu Yue Ze. Dia ingatkan tuan tak akan tahu, layan dia macam orang bodoh!'

Dahi Xu Yi menitis dengan peluh jantan semasa dia bercakap sambil tergagap-gagap, "Tuan-tuan ke-9…patutkah kita halang dia…"

Si Ye Han mengalihkan pandangannya daripada gadis tersebut dan menutup matanya dengan perlahan-lahan. Suasana yang menakutkan itu serta-merta hilang sebaik sahaja matanya terkatup rapat.

Kawasan itu terlalu hening; bagaikan semua makhluk tidak bernyawa.

Tanpa arahan Si Ye Han, Xu Yi tidak berani bertindak.

Pada masa yang sama, suasana di ruang tamu:

Puan tua cukup bimbang apabila dia mendapat tahu yang Ye Wan Wan akan pergi. Dia benar-benar sukakan gadis ini dan telah melihat perubahan yang banyak pada cucunya dalam sejak dua hari yang lepas. Sudah tentulah hal ini membuatkan dia lebih menyenangi kehadiran Ye Wan Wan.

"Wan Wan, Nenda tahu yang Si Kecil ke-9 suka bersendirian dan mudah marah tetapi sebenarnya, dia pun tidak mahu dirinya jadi begini. Kamu perlu tahu yang Si Kecil ke-9 ini ada masalah tidur. Cuba fikirkan ya, kerana dia tidak dapat tidur secukupnya, bayangkan betapa teruknya perasaan dia—sudah tentu hal ini pun mempengaruhi sifatnya.

Namun selepas Si Kecil ke-9 mula bersama dengan kamu, Nenda perasan sikapnya menjadi lebih lembut.

Wan Wan, Nenda betul-betul bersyukur dengan kamu. Terima kasih atas kesabaran kamu dalam melayan Si Kecil ke-9. Nanti, kalau dia berkasar dan membuli kamu, beritahu saja Nenda bila-bila masa. Nenda pasti akan menyebelahi kamu!"

"Terima kasih, Nenda!"

Ye Wan Wan dipenuhi emosi tatkala mendengar luahan hati wanita tua sebentar tadi.

Tanpa mengira betapa terhormat dan mulianya susuk legenda di hadapannya ini, pada ketika itu, dia cuma seorang nenek yang biasa.

Sayangnya wanita tua ini menganggap dia dan Si Ye Han sepasang kekasih yang saling menyayangi. Kalaulah dia tahu hubungannya dengan Si Ye Han boleh disamakan dengan buih—mudah pecah dengan satu sentuhan.

Ye Wan Wan berkeras tidak mahu menyusahkan sesiapa pun dengan pemergiannya. Akhirnya, dia sendiri memanggil teksi dan berlalu pergi.

Pada pandangan wanita tua itu, tindakan Ye Wan Wan tampak begitu bertimbang rasa tetapi pada pandangan Xu Yi, tindakannya bagaikan dia mahu meninggalkan mereka dan bersungguh-sungguh mahu bergegas ke hospital untuk bertemu Gu Yue Ze.

Dahulu, Si Ye Han tidak akan sesekali membenarkannya pergi ke sekolah sendirian. Namun kali ini, dia membiarkannya begitu sahaja.

Semakin Si Ye Han berlembut, semakin Xu Yi berasa takut.

Si Ye Han yang sekarang boleh disamakan dengan bidalan jangan disangka air yang tenang tiada buaya.

Jika tuannya mengarahkan Xu Yi untuk menangkapnya semula dan mengikatnya sekarang, itu lebih baik berbanding perkara yang akan terjadi jika dia didapati bersalah…

'Kali ini…habislah Ye Wan Wan!'

Sejujurnya, dia benar-benar menikmati beberapa hari yang sungguh damai ini. Malangnya, ia cuma sekadar ilusi.

Ye Wan Wan pula sudah agak jauh dalam teksinya.

Apabila mereka tiba di suatu persimpangan jalan, Ye Wan Wan secara tiba-tiba berkata, "Encik, jangan bawa saya ke sekolah menengah Qing He, sekarang pergi ke Hospital Ren Ai!"

avataravatar
Next chapter