63 Hebatnya Awak!

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Jika bilik Ye Wan Wan bagaikan bilik dalam drama artis fantasi, maka bilik Si Ye Han boleh disamakan dengan babak daripada filem ngeri, sama seperti bilik tidurnya yang gelap di taman Jin.

Apabila Ye Wan Wan sampai, ada orang yang sudah pun menunggu di luar.

Dia merupakan doktor peribadi Si Ye Han, Mo Xuan.

Tatkala Mo Xuan melihat kedua-duanya sudah tiba, dia berdiri dan berkata, "Tuan ke-9, Cik Ye."

Si Ye Han sudah biasa dengan kehadiran Mo Xuan dalam bilik tidurnya lewat begini, oleh itu dia terus berjalan ke katilnya tanpa sebarang riak pada wajahnya.

Ye Wan Wan mengikut Si Ye Han dari belakang, langkahnya teragak-agak. Dia bertanya, "Saya tak mengganggu awak berduakah?"

Dia tahu bahawa tiada sesiapa yang dibenarkan mengganggu semasa Si Ye Han dihipnosis.

Mo Xuan memandang Ye Wan Wan. 'Secara teorinya, dia akan menjadi sumber gangguan. Hipnotisme mesti dibuat dalam ruang tertutup tanpa orang luar.'

Walau bagaimanapun, memandangkan spekulasi mereka pada malam tersebut dan juga disebabkan Ye Wan Wan merupakan tetamu peribadi Si Ye Han, dia tidak berani menghalaunya keluar, lalu dia berkata, "Mari kita cuba dulu."

"Okey," angguk Ye Wan Wan.

Si Ye Han berbaring di atas katilnya dan dia terlihat Ye Wan Wan berdiri agak jauh darinya. Keningnya berkerut.

Ye Wan Wan berasa agak keliru. Si Ye Han memintanya untuk menemaninya tetapi dia tidak begitu faham dengan maksud "teman". Selain itu, dia berasa agak malu untuk berbaring di atas katil bersebelahan dengannya apabila Mo Xuan masih berada di dalam bilik.

"Mari sini." Ye Wan Wan yang masih teragak-agak menyebabkan kesabaran si syaitan itu semakin menipis.

Ye Wan Wan yang sedar akan suasana yang bahaya itu terus berlari anak dan duduk di hujung katil.

Dalam sekelip mata, Si Ye Han memanjangkan tangannya, mengangkat Ye Wan Wan ke sisinya, merangkul pinggang gadis itu dan meletakkan kepalanya di atas perut Ye Wan Wan.

Ye Wan Wan bersandar di tepi katil. Disebabkan tubuhnya digunakan sebagai bantal, dia tidak berani bergerak walau seinci sekali pun.

Mo Xuan pula sibuk membuat persiapan untuk melakukan hipnotisme dan dia agak terperanjat akan perubahan sikap Ye Wan Wan.

Dahulu, Ye Wan Wan menganggap Si Ye Han menakutkan, tetapi dia masih seorang yang degil dan tidak mahu mengaku kalah.

'Harapnya perempuan ini sudah fikir masak-masak dan tak ada niat jahat. Kalau tidak, diri dia sendiri yang akan binasa.'

Daripada pandangan orang luar, dia tahu bahawa salah untuk Si Ye Han tidak mengendahkan keinginan perempuan tersebut dan memaksanya untuk terus berada di sisinya. Tapi siapa yang berani bercakap rasional tentang apa yang betul dan salah dengan orang tanpa emosi yang baru sahaja keluar dari neraka ini? Memang tiada.

Selepas seketika, semuanya sudah siap sedia.

Mo Xuan berjalan ke hujung katil dan berkata, "Tuan ke-9, kita boleh mula sekarang."

Namun, Si Ye Han yang berada di atas katil tidak menjawab.

"Tuan ke-9?" Mo Xuan memanggilnya sekali lagi.

Si Ye Han masih tidak menjawab.

Akhirnya, Ye Wan Wan perasan Si Ye Han sudah tidur nyenyak, dengan matanya tertutup. Dia berkata, "Nampaknya Tuan ke-9 sudah tidur. Hebatnya awak. Dr Mo!"

"…"

Mo Xuan terdiam buat masa yang lama dan matanya memandang ke sekeliling sekali lagi, berpusing-pusing matanya melihat, dan dia masih terdiam membisu.

'Apa yang hebat sangat? Aku tak buat apa-apa pun!'

Mo Xuan melihat dengan matanya sendiri bahawa dia bukan sahaja terlelap, tetapi dia tidur dengan sangat aman. Dia tidak terganggu pun dengan orang yang berbual di sebelahnya. Perasaan Mo Xuan bercampur-baur.

'Boleh jadikah bila Si Ye Han tertidur sendiri, semua itu disebabkan perempuan ini?

'Kenapa aku tak sedar sebelum ini?

'Lagi satu, Ye Wan Wan tak buat apa-apa pun untuk Si Ye Han tidur, bukan?'

avataravatar
Next chapter