Sudah tentulah dia tahu betapa teruknya mood Si Ye Han setiap kali dia terbangun, tetapi Ye Wan Wan tidak kisah tentang itu sekarang.

"Si Ye Han, ada orang di pintu, boleh tak awak sembunyi sekejap?"

Setelah dia mendengar kata-kata Ye Wan Wan, ekspresi muka si syaitan itu menjadi begitu garang sehinggakan dia tampak bagaikan dia boleh menghancurkan bumi.

Ye Wan Wan merapatkan kedua-dua tangannya dan merayu dengan penuh ikhlas, "Tolonglah, tolonglah!"

Wajahnya masih kelihatan garang dan muram.

Ye Wan Wan membongkokkan badannya dan mencium bibir lelaki tersebut, "Boleh tak?"

Mata perempuan tersebut sedikit berair dan suaranya lembut dan lunak sehinggakan ia boleh mencairkan hati seseorang.

Kemarahan Si Ye Han bagaikan diredakan serta-merta; namun, riak wajahnya masih tidak berubah.

'Perempuan ini ingat aku senang dipujukkah?'

Dengan melihat riak wajah Si Ye Han yang tidak berubah dan tidak berperasaan, Ye Wan Wan serta paksa membongkokkan badannya dan memberikannya ciuman sekali lagi, "Saya merayu pada awak!"

Si Ye Han: "Okey."

Wajah Ye Wan Wan terus bersinar dengan rasa lega, "Terima kasih! Awak kena sembunyi dulu dalam bilik mandi! Sekejap saja ya!"

'Hm…Kalau satu ciuman tak jalan, maka dua ciumanlah jawapannya.'

Hanya selepas Si Ye Han selesai bersembunyi, barulah Ye Wan Wan membuka pintu.

Orang di sebalik pintu tersebut adalah Shen Meng Qi.

Melihat pada penampilan Ye Wan Wan sekarang, Shen Meng Qi terpana.

Dia melihat seorang perempuan tanpa mekap dalam gaun malam yang biasa, tetapi dia kelihatan segar bagaikan sekuntum bunga lili yang baru mekar dari air. Dia begitu cantik sehinggakan Shen Meng Qi tidak dapat mengalihkan pandangannya.

Walaupun dia sudah tahu bahawa Ye Wan Wan kelihatan hebat selepas berat badannya turun, namun dia sudah lama tidak dapat melihat rupa asalnya, maka Shen Meng Qi agak terperanjat.

Shen Meng Qi juga disanjung di sekolah sebagai perempuan cantik dan dia sudah tentu merupakan yang paling cantik dalam Kelas A. Namun, dia yang bersemuka dengan Ye Wan Wan sekarang, walaupun dia berusaha sehabis mungkin, kecantikannya hanya satu persepuluh daripada kecantikan Ye Wan Wan yang hanya memakai baju tidur kasual.

Riak wajah Shen Meng Qi agak sukar untuk dibaca dan dia kelihatannya tidak begitu tenang. Dia memaksa dirinya untuk bercakap dengan nada yang mesra dan manja, "Wan Wan, kenapa lambat sangat buka pintu?"

"Tertidur tadi."

"Tapi bukankah sekarang baru pukul 8, awalnya awak tidur!" balas Shen Meng Qi yang kehairanan.

"Dah lewat ini, kenapa awak datang?" tanya Ye Wan Wan.

"Dah tentulah saya datang sini untuk bersembang dengan awak! Janganlah kita berdiri di depan pintu ini saja, jomlah sembang dalam bilik!" Shen Meng Qi tidak berlengah lagi dan menjemput dirinya masuk.

Ye Wan Wan mengerutkan keningnya. Sebelum dia dilahirkan semula, dia tidak sabar menunggu kedatangan Shen Meng Qi untuk bersembang. Setiap kali pun dia cuba mahu bersembang dengan Shen Meng Qi sehingga tengah malam. Jika dia menghalang Shen Meng Qi masuk biliknya kali ini, nampak benar bahawa dia sedang cuba menyembunyikan sesuatu, jadi dia membiarkan kawannya masuk.

Jika dia tahu Shen Meng Qi yang mengetuk pintu sebentar tadi, maka dia tidak kisah pun kalau kawannya itu ternampak Si Ye Han.

Tetapi…

Kali ini, Shen Meng Qi tidak tahu bahawa Si Ye Han ada di dalam bilik, jadi ini peluang yang bagus!

Senyap-senyap, Ye Wan Wan sedang merancang sesuatu.

Shen Meng Qi yang suka membuat kacau ini merupakan duri dalam dagingnya. Dia menjadi batu penghalang yang besar dan sudah tiba masanya untuk menyingkirnya.

Selepas Shen Meng Qi masuk ke dalam biliknya, Ye Wan Wan mengeluarkan cermin kecil dan sentiasa melihat wajahnya dengan penuh bangga, seolah-olah dia sengaja mahu menyakitkan hati kawannya.

Wajah Shen Meng Qi berubah selepas melihat perbuatannya. Dia merenung Ye Wan Wan dan menegurnya dengan kasar, "Wan Wan! Awak jangan leka! Kenapa awak buka pintu tanpa pakai mekap? Macam mana kalau orang di luar itu bukan saya? Susahlah awak nanti kalau ada orang tahu wajah sebenar awak! Mata-mata Si Ye Han ini ada di mana-mana, awak tak boleh ambil ringan hal ini walaupun di sekolah!"

avataravatar
Next chapter