41 Salah Sayakah Dilahirkan Cantik Begini?

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Ye Wan Wan berbangga melihat bayangnya di cermin, wajahnya kelihatan cantik dari setiap sudut. Dia mengerling ke arah Shen Meng Qi dan berkata, "Salah sayakah dilahirkan cantik begini?"

Shen Meng Qi terkesima buat seketika. "Bukan itu maksud saya, saya cuma nak ingatkan awak supaya berhati-hati. Macam-macam benda yang awak sudah hadapi, janganlah putus asa sekarang. Lagipun, si syaitan itu dah hilang minat dengan awak dan benarkan awak keluar dari taman Jin. Kalau dia nampak betapa cantiknya awak dan masih mahu bersama awak, apa yang awak akan buat?"

'Ho, ho, syaitan ya…'

Ye Wan Wan mendengar sahaja kata-kata Shen Meng Wi. Dia menongkat dagunya dan bergumam, "Si Ye Han tak kisah pun dengan penampilan saya walaupun saya nampak sangat hodoh, mungkin dia betul-betul sayangkan saya?"

Shen Meng Qi terus membalas, "Tak mungkin! Dia syaitan jahat yang membunuh tanpa emosi! Lagi-lagi dia suka menyeksa perempuan! Dia pun sangat gatal! Awak saja yang bernasib malang terpilih menjadi mangsa dia! Awak dah lupakah bagaimana dia layan awak sepanjang dua tahun ini?"

Ye Wan Wan mengangguk. "Oh, jadi…"

Dia tidak pasti perasaan Si Ye Han mendengar kritikan daripada Shen Meng Qi.

Shen Meng Qi pada kelahirannya yang lepas boleh mengeruhkan hubungan mereka setiap kali kerana Si Ye Han mempercayainya, sehinggakan dia yakin Shen Meng Qi memihak kepadanya.

Disebabkan hubungannya dengan Si Ye Han, Shen Meng Qi dapat meraih banyak manfaat. Dia menjadi sangat popular dalam kalangan orang industri hiburan dan kemudian, seluruh keluarga Shen juga menikmati populariti yang sama. Peralihan daripada syarikat yang kecil sehingga menjadi sebahagian daripada golongan A-list, ini bermakna mereka lebih mudah mendekati keluarga diraja.

Sekarang, Ye Wan Wan hanya mahu menghancurkan kepercayaan yang Si Ye Han ada pada Shen Meng Qi.

'Dia cuba nak memandang rendah hubungan aku dengan Si Ye Han? Tengoklah nanti!'

Shen Meng Qi bimbang jika Ye Wan Wan mula jatuh hati pada Si Ye Han, maka dia terus keluarkan senjata utamanya, Gu Yue Ze. "Wan Wan, awak masih marah dengan En Gu? Sebenarnya, En Gu tak bersalah untuk kejadian tempoh hari—awak yang terlalu terburu-buru. Kalau awak lari dengan En Gu waktu itu dan awak jelaskan yang awak dipaksa berada di Taman Jin, mesti awak dah bersama dengan dia sekarang!

Tapi, awak pula mengamuk akhirnya dan tak mahu pergi dengan dia. Semua usaha saya jadi sia-sia. Saya yang tolong hubungi En Gu dan alihkan perhatian orang gaji di taman Jin!"

Ye Wan Wan hanya mendengar, mengeluh dan pura-pura bercakap dengan penuh emosi, "Meng Qi, saya tahu awak sangat risau akan saya. Awak yang berikan idea kepada saya untuk berpakaian hodoh agar saya boleh sembunyi daripada Si Ye Han. Awak juga yang bantu saya larikan diri dan awaklah orang yang bantu saya sampaikan mesej kepada Gu Yue Ze…"

Shen Meng Qi dapat melihat bahawa Ye Wan Wan masih lagi begitu dungu. Mata Shen Meng Qi penuh dengan sindiran namun wajahnya masih kekal ikhlas. "Wan Wan, awak kawan baik saya. Kalau bukan saya yang tolong awak, siapa lagi? Jadi, awak kena dengar nasihat saya, janganlah bermasam muka dengan En Gu lagi. Susah sangat untuk awak keluar dari taman Jin, jadi awak patut rebut peluang ini untuk cari En Gu. Kalau tidak, jika ini masih berterusan, bila awak nak dapatkan En Gu semula?!"

Ye Wan Wan sudah berjaya mengorek semua pengakuan yang dia mahu Si Ye Han dengar dan dia sudah berpuas hati. Dia berlagak tenang. Sambil melihat ke arah bilik mandi, dia kemudiannya menjawab dengan perlahan, "Siapa kata saya nak dia lagi?"

Shen Meng Qi terkejut dengan jawapan yang didengari dan mengerutkan dahinya serta berkata, "En Gu itu sudah terang-terang memang tunang awak tapi dirampas oleh saudara sendiri. Sudah tentulah awak kena rampas dia semula! Awak nak berputus asa macam itu sajakah? Sampai hati awak! Senang-senang saja awak lepaskan Ye Yi Yi."

Ye Wan Wan tersenyum sinis melihat betapa risaunya Shen Meng Qi. Dia menyentuh mukanya dengan lembut sambil melihat cermin. Suaranya perlahan, "Nak ambil semula kasut yang dah koyak dan dibuang? Perlukah? Kalau Ye Yi Yi rasa dia beruntung dapat kasut begitu, jadi biarlah dia."

avataravatar
Next chapter