webnovel

Selesaikan dalam Satu Gelombang (1)

Editor: EndlessFantasy Translation

Bound Boat terpinga-pinga. Dia menghantar mesej kepada Blue River.

"Apa yang patut saya buat?"

"Kamu rasa?" jawab Blue River.

"Saya sebenarnya ada rasa curiga dan ingin tahu. Saya nak tengok betapa hebatnya Lord Grim ni, tapi sayangnya dia tak nak saya ada dalam kumpulan," jawab Bound Boat.

"Kamu tak rasa dia sedang bercakap besar sahaja ke?" tanya Blue River.

"Saya rasa tak. Dia belum bertukar kelas, jadi dia mampu untuk melakukan 'Healing' sendiri. Mungkin sebab itu dia berani untuk menyingkirkan 'Cleric'," kata Bound Boat.

"Ya, saya pun rasa begitu. Dia bukan sekadar hendak bazirkan masa kita semua. Mari kita cuba dulu!" kata Blue River pula.

"Okay, kalau macam itu saya keluar dulu," Bound Boat meninggalkan kumpulan.

Seorang pemain bernama Returning Cloud muncul. Pada asalnya, dia telah keluar dari kumpulan dengan rela hati demi memberikan ruang untuk Lord Grim. Tetapi, kini dia diperlukan pula. Flower Lantern yang telah mengarahkannya untuk datang.

Flower Lantern terus membuat pengumuman di ruangan sembang persatuan Blue Brook.

"Saya perlukan lagi seorang pemain untuk Hutan Fros. Saya nak pemain yang mempunyai DPS tinggi. Lagi tinggi, lagi bagus! Cepat datang dan bantu Blue River untuk pecahkan rekod!"

Semua yang terbaca pengumuman tersebut kebingungan. Pada waktu ini, 3 orang pemain yang mempunyai DPS tertinggi dalam seluruh persatuan sudah pun berada dalam kumpulan yang sama dengan ketua mereka, Blue River. Jadi, untuk apa dia perlukan lebih ramai pemain DPS tinggi lagi?

"Saya akan datang!" jawab seorang pemain wanita bernama Lunar Grace.

Di kalangan kumpulan elit, jumlah pemain jaguh wanita teramat rendah. Jadi, golongan mereka ini dianggap begitu berharga sekali. Ramai yang berebut-rebut untuk mendapatkan khidmat mereka, dan mereka akan berasa sungguh gembira jika jaguh wanita ini rela menyertai kumpulan mereka. Disebabkan ini, jaguh-jaguh wanita lebih gemar untuk bertukar-tukar kumpulan dan tidak setia pada satu kumpulan sahaja.

"Grace! Kamu ada rupanya! Cepat datang, kami tunggu!" Flower Lantern menghantar mesej tersebut dan memberitahu rakan-rakannya yang lain bahawa Grace akan menyertai.

Setelah Returning Cloud dan Lunar Grace tiba, mereka agak kebingungan melihatkan komposisi kumpulan ini. Tidak ada 'Main Tank', tidak ada 'Healer', dan ada seorang lelaki aneh yang tidak mempunyai kelas tersendiri. Apakah yang sedang berlaku?

"Wahai Dewa Agung, adakah mereka berdua ini sesuai?" tanya Flower Lantern dengan nada yang cukup sarkastik.

Ye Xiu melihat pada mereka berdua dengan penuh teliti sebelum berkata: "Ya, bolehlah ni!".

Sama seperti Thundering Light, Returning Cloud juga seorang 'Elementalist'. Senjatanya ialah sebatang Tongkat Terang kelas ungu tahap 20. Tongkat Terang dan Tongkat Gangsa memiliki attribut yang hampir sama. Bezanya, sebatang tongkat itu mampu meningkatkan kekuatan Letupan Bara, manakala sebatang lagi meningkatkan kekuatan Bebola Fros. Daripada pemilihan tongkat ini, ternyata dua orang 'Elementalist' ini memilih jalanan kelas yang berbeza.

Lunar Grace pula ialah seorang 'Witch'. Mereka dianggap sebagai saintis di kalangan para ahli sihir. Mereka menggunakan senjata dan bahan-bahan berkuasa sakti dengan jumlah yang banyak ketika bertarung, dan mereka juga agak mahir dengan pertarungan jarak dekat.

Lunar Grace menggunakan Tongkat Sakti Kristal kelas ungu tahap 20. Senjata ini khas untuk kelas 'Witch' sahaja. Berdasarkan senjatanya, Ye Xiu tidak dapat mengagak jalanan apakah yang dipilihnya, maka dia harus bertanya.

"Kamu memilih jalanan kelas yang mana?"

"Jalanan Gelap!" jawab Lunar Grace

"Bagus! Kamu ada fokus pada kemahiran Doll Shururu tak?" tanya Ye Xiu.

Doll Shururu sejenis kemahiran kelas 'Witch' yang mampu menarik perhatian para raksasa.

"Saya sudah lama pastikan Doll Shururu saya 'Auto Level Up'!". Maksud 'Auto Level Up', apabila terdapatnya 'Skill Point' untuk digunakan, ia akan digunakan secara automatik pada kemahiran yang dipilih oleh pemain.

"Bagus kalau begitu," kata Ye Xiu.

"Dewa Agung puas hati?" tanya Flower Lantern.

"Ya, bagus sekali. Semua bersedia untuk mula!" kata Ye Xiu.

Lunar Grace masih belum memahami apa yang sedang berlaku. Tetapi belum sempat dia bertanya, Blue River membuat pengumuman: "Ok semua orang dengar. Untuk 'dungeon' ini, Lord Grim yang akan menjadi ketua!"

"Kamu ketua??" tanya Lunar Grace pada Ye Xiu dengan penuh terkejut.

"Ya, betul!" jawab Ye Xiu sambil tersenyum.

"Kenapa kamu pula??" Lunar Grace kebingungan.

"Demi memecahkan rekodlah!" jawab Ye Xiu sambil berjalan menuju pintu masuk 'dungeon'.

"For the clear record." Ye Xiu said and had already walked towards the dungeon.

"Eh abang, tunggulah dulu!" Blue River menjerit untuk menghentikan Ye Xiu, tetapi Ye Xiu sudahpun masuk ke 'dungeon'. Blue River tidak terkata-kata. Mereka sepatutnya membincangkan rancangan pertarungan sebelum masuk ke 'dungeon'! Ini kerana apabila mereka semua sudah masuk, kiraan masa akan dimulakan. Jika mereka hendak membincangkan strategi pada waktu itu, mereka akan membazirkan masa!

"Dewa Agung dah masuk tu. Kamu semua tunggu apa lagi, cepat ikut dia dan bersedia untuk menyembah dia!" kata Flower Lantern sambil ketawa kuat.

"Jaga kamu bila saya keluar nanti!" kata Blue River sebelum berlari menuju masuk bersama-sama semua rakannya yang lain.

Raksasa-raksasa di dalam Hutan Fros ialah makhluk Goblin berkulit hijau dan berhidung biru. Mereka mempunyai serangan jarak jauh, jarak dekat dan ada juga yang mempunyai serangan sakti. Mereka jauh lebih sukar dihadapi daripada raksasa kelas rendah di 'Beginner's Village'. Tambahan pula, kesemua Goblin ini mempunyai rupa yang sama, jadi pemain hanya akan mengetahui jenis serangan mereka apabila mereka mula menyerang.

Seperti yang dijangka, kiraan masa terus bermula apabila Blue River dan rakan-rakannya memasuki 'dungeon' itu. Mereka disambut dengan suara Ye Xiu yang mengatakan: "Semuanya senang bila kita ada 'Witch'. Kita akan selesaikan semua dalam satu gelombang sahaja!"

Blue River terlompat kerana terkejut. "Macam mana kita nak selesaikan dalam satu gelombang?"

"Kamu tak faham ke apa maksud saya?" Ye Xiu bertanya dengan nada yang jauh lebih terkejut.

Sudah tentu Blue River faham apa yang dimaksudkan. Dalam dunia permainan Glory, kesemua raksasa di dalam 'dungeon' boleh dikumpulkan beramai-ramai dan kemudian dibunuh serentak. Pengumpulan raksasa ini ialah 'gelombang' yang dimaksudkan. Tetapi, kaedah pengumpulan ini kebiasannya dilakukan apabila tahap kumpulan sudah jauh lebih tinggi daripada tahap 'dungeon' yang dimasuki. Mereka juga memerlukan seorang 'Main Tank' yang kuat demi menyerap semua serangan yang dilakukan oleh raksasa yang ramai. Mereka tidak pernah sama sekali mendengar tentang 'Penyelesaian Satu Gelombang' dilakukan oleh ahli kumpulan yang mempunyai tahap yang sama dengan 'dungeon'!

"Abang, saya fahamlah penyelesaian satu gelombang itu apa! Tapi, saya tak faham macam mana kita nak gunakan kaedah itu dengan ahli kumpulan kita ini!" teriak Blue River.

"Saya akan tarik semua raksasa. Kemudian, kita gunakan Doll Shururu untuk mengumpulkan mereka semua. Kemudian, kita gunakan Bara Marak dan Ribut Salji untuk menyerang mereka. Kemudian…."

"Eh serupa abang tak payah cakap apa-apalah! Tak payah sembang lagi, abang mulakan!" Blue River sememangnya mengerti tentang tindakan dan teknik asas yang mereka harus lakukan. Masalahnya, dia tidak yakin yang Ye Xiu akan dapat menarik begitu ramai sekali Goblin serentak! Jika Ye Xiu terbunuh sewaktu melakukan proses penarikan, rancangan mereka sudah tentu akan gagal. Tetapi dia mengucapkan kata-kata 'Saya akan tarik semua raksasa' seolah-olah perkara tersebut semudah mengorek hidung sahaja. Jadi, lebih baik Blue River berdiam dan melihat sahaja bagaimana Ye Xiu hendak melakukannya!

Tiga orang ahli yang lain memikirkan perkara yang sama, dan sama seperti Blue River, mereka hanya mampu menunggu dan melihat sahaja.

Ye Xiu menaip ikon senyuman dan berkata: "Saya nak gerak sekarang!"

Lord Grim mara ke hadapan. Blue River dan yang lain menonton dari belakang dan mengucapkan 'Selamat jalan, pasti kita tak akan berjumpa lagi' di dalam hati masing-masing.

"Sebenarnya, tindakan dia ini seperti seorang hero. Saya kagum dengan dia," kata Thundering Light.

"Semua orang ikut saya!" jeritan tersebut datang dari arah hadapan mereka. Mereka melihat dua ekor Goblin bersedia untuk menyerang Lord Grim. Seekor melontar sebongkah batu, seorang lagi pula menggunakan serangan sakti Panahan Ais.

"Kasihannya, kita baru saja mula tapi sudah pun ada dua ekor raksasa dengan serangan jarak jauh!" kata Blue River.

Bongkah batu dan panah ais tersebut terbang ke arahnya, tetapi Lord Grim menggoncangkan tubuhnya dua kali dan kedua-dua objek tersebut langsung tidak mengenainya!

"Wah, adakah itu 'Z-Shake'??" jerit Blue River.