36 Selesaikan dalam Satu Gelombang (2)

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

'Z-Shake' ialah sejenis pergerakan lincah yang mengubah haluan seorang pemain. Pemain akan bergerak ke kiri dan kanan secara berterusan dalam kadar yang amat pantas sekali, dan haluannya akan kelihatan seakan-akan huruf 'Z'. Sungguhpun ia dilakukan dengan pantas, jaraknya sangat kecil. Jika seorang pemain berjaya melakukan pergerakan ini dalam sekelip mata, ia akan kelihatan seperti tubuh mereka sekadar bergoyang sahaja.

Sememangnya bukan mudah untuk melakukan gerakan 'Z-Shake' ini di dalam pertarungan sebenar, hanya para pakar yang mampu berbuat sedemikian. Penggunaan 'Z-Shake' menggambarkan betapa tepat dan jitu kebolehan seorang pemain dalam mengawal pergerakannya.

Blue River dan kesemua ahli kumpulan yang lain tergamam melihatkan kebolehan Lord Grim ini. Pada saat itu, Lord Grim menerpa ke arah kedua ekor Goblin tadi dan mengenakan pukulan menggunakan telapak tangannya. Kedua-dua ekor raksasa itu terpelanting jauh!

Kemahiran Battle Mage tahap 15: 'Falling Flower Palm'! Kemahiran ini mampu untuk menerbangkan musuh yang dipukul. Memandangkan Goblin mempunyai berat badan yang ringan, mereka terpelanting jauh kerana pukulan itu!

Lord Grim tidak berhenti untuk berehat. Dia terus menerpa ke kawasan lain. 2 ekor Goblin yang lain sedang menantinya di sini, bersenjatakan kayu besar. Kali ini, Lord Grim tidak mendekati mereka, sebaliknya dia berlari melepasi mereka. Dua ekor Goblin yang terpelanting tadi sudah pun bangkit dan bersedia menyerang semula. Seekor daripadanya sedang menyediakan sebongkah batu, manakala seekor lagi sedang menyediakan panah ais seperti awal tadi juga. Apabila Lord Grim berada dalam jarak dua meter di antara mereka, dia menghunuskan tombak pertarungannya. Bongkah batu tadi gagal dilontarkan, dan panah ais turut terganggu. Lord Grim menghayunkan tombaknya dan kedua-dua ekor raksasa itu tumbang. Dia melangkah melepasi tubuh mereka dan terus berlari. 

Sasarannya yang berikut ialah dua ekor Goblin yang berada pada arah jam pukul 10. Kali ini, seekor daripadanya bersedia untuk menyerang dengan kayu besar manakala seekor lagi masih menggunakan panah ais. Apabila panah tersebut terbang keluar, Lord Grim melompat tinggi. Di tengah-tengah udara, tombak tarungnya sudah tersedia untuk menghalang anak panah itu. Apabila dia mendarat, dia berputar dan menempatkan dirinya di belakang Goblin pemanah tersebut dalam sekelip mata. Goblin itu memusingkan badan, manakala Goblin bersenjatakan kayu tadi mula mengejar Lord Grim. Lord Grim menggunakan 'Falling Flower Palm' sekali lagi dan kedua ekor raksasa itu terpelanting dan berlaga dengan dua ekor Goblin lain yang sudah tumbang pada awalnya tadi.

Disebabkan oleh tindakan Lord Grim ini, kesemua Goblin yang berada di kawasan berhampiran telah dikejutkan! Mereka mula mengejarnya beramai-ramai, tidak kira yang bersenjatakan kayu mahupun anak panah! Suasana Hutan Fros menjadi cukup meriah sekali.

Blue River dan kesemua ahli kumpulan yang lain mula berasa resah. Mereka menyedari hanya seorang pemain bertaraf tinggi yang mampu untuk mewujudkan suasana huru-hara seperti ini dan masih mampu terus hidup!

Semua orang gagal melihat kedudukan Lord Grim. Di hadapan mereka sekelompok besar raksasa Goblin yang menjerit-jerit dan berkumpul mengejar seseorang. Blue River melihat pada 'meter nyawa' Lord Grim melalui senarai kumpulan. Ternyata meter tersebut masih berada pada paras tinggi, menandakan yang Lord Grim tidak cedera. Di tengah-tengah suasana hiruk-pikuk itu, mereka dapat melihat Lord Grim sekali-sekala terloncat-loncat di tengah-tengah keramaian raksasa. Sebaik sahaja Lord Grim mendarat, pandangan mereka semua terhalang sekali lagi.

"Paling kurang pun ada 20 ekor Goblin yang mengelilinginya sekarang…." kata Returning Cloud sambil menggigil. Lord Grim hanyalah bertahap 20 sahaja, sememangnya dia hebat!

"Kita masih belum boleh mula membunuh ke?" Lunar Grace sudahpun bersedia hendak menggunakan Doll Shururu.

"Saya nak tahu bila agaknya dia nak kembali pada kita," kata Thundering Light sambil melihatkan jumlah raksasa yang telah berjaya ditarik. Nadanya menunjukkan rasa kagum.

"Takkanlah dia nak saya lontarkan Doll Shururu dalam keadaan macam ini kan? Sekarang ini kedua-dua Goblin dengan serangan jarak jauh dan jarak dekat sedang mengejar dia. Doll Shururu takkan berkesan dalam keadaan macam ini!" kata Lunar Grace lagi.

"Kamu tanya saya dia tengah buat apa ke? Saya pun tak tahu!" kata Blue River.

Thundering Light sendiri sedang terloncat-loncat demi melihatkan keadaan dengan lebih jelas.

"Apa yang kamu nampak?" tanya Blue River.

"Semua raksasa sudah dikumpulkan dengan cantik!" kata Thundering Light.

"Oh ya ke?" Sebenarnya Blue River juga ingin meloncat-loncat, tetapi sebagai salah seorang daripada Lima Jaguh Handalan Persatuan Blue Brook, dia harus menjaga maruahnya. Oleh itu, dia hanya sekadar mampu bertanya sahaja.

"Macam mana dia berbuat demikian?"

"Mana saya tahu! Sekarang ni saya nampak semua Goblin itu makin lama makin ramai yang datang!" kata Thundering Light sambil terus terloncat-loncat. Tiba-tiba, mereka semua terdengar beberapa bunyi pukulan yang sangat jelas.

"Falling Flower Palm lagi! Alamak, betapa tepatnya pukulan dia!" jerit Thundering Light. Goblin-goblin yang bersenjatakan kayu besar terpelanting mengenai goblin-goblin pemanah di barisan belakang. Dalam sekelip mata, ramai Goblin terjatuh akibat daripada serangan tersebut, dan ini membolehkan kesemua ahli kumpulan melihat dengan lebih jelas apa yang sedang berlaku. Mereka menyaksikan Lord Grim menghunus tombak dengan tangan kanan sementara telapak tangan kirinya pula terbuka luas dan tangannya diluruskan. Bajunya ditiup-tiup hembusan angin, dan dia masih kekal dalam posisi serangan 'Falling Flower Palm'. Raksasa-raksasa Goblin bertaburan di sekelilingnya. Imej yang cukup menakjubkan ini terpahat di dalam minda semua ahli kumpulan tersebut!

Sejurus selepas itu, kesemua Goblin telahpun bangkit dan bersedia untuk menyerang sekali lagi. Lord Grim melompat tinggi.

"Apa yang dia nak buat tu? Dia ingat dia boleh terbang ke?" tanya Thundering Light. Tetapi hanya beberapa saat kemudian, dia menyambung:

"Alamak…..dia betul-betul boleh terbanglah!"

Kedengaran bunyi tembakan berlegar-legar di udara dan Lord Grim sedang terbang menuju ke arah kesemua ahli kumpulannya! Blue River dan yang lain serta-merta mengerti apa yang sedang berlaku. Ini salah satu kemahiran kelas 'Gunner'. Pemain akan meloncat tinggi di udara, melepaskan satu das tembakan, dan menggunakan momentum daripada tembakan itu untuk terbang ke arah belakang! Semakin kuat kuasa tembakan yang dilepaskan, semakin jauh jarak terbangan mereka. Pada waktu ini, kuasa tembakan itu kelihatan seperti dilakukan oleh senapang ataupun senjata yang lebih kuat dari itu! Lord Grim mendarat tidak jauh dari tempat kesemua ahli kumpulannya sedang berdiri.

Kesemua Goblin berpaling seakan-akan dirasuk hantu, dan meluru ke arah mereka semua dalam satu gelombang gergasi! Akhirnya, gelombang yang diinginkan telah terbentuk! Peluh dingin mula terbentuk pada wajah setiap ahli kumpulan mereka, kecuali Lord Grim.

Lord Grim pula serta-merta memberikan arahan. "Ok, kita akan bermula. Semua dengar sini! Ahli sihir bersedia untuk menyerang! Dan sedia untuk gunakan Doll Shururu!"

Goblin yang mempunyai serangan jarak jauh sudah mula bersedia untuk melepaskan serangan, manakala Goblin yang mempunyai serangan jarak dekat pula terus berlari menghampiri mereka semua. Kesemua raksasa sudah terkumpul dengan cantiknya. Ini peluang terbaik untuk melakukan serangan secara berkumpulan!

avataravatar
Next chapter