10 Orang Baru Yang Tidak Tahu Erti Malu

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

"Ganjaran apakah yang kamu dapat dari bos ini?"

Berbekalkan rasa cemburu, Chen Guo menghampiri skrin untuk melihat apakah yang Ye Xiu perolehi hasil daripada pertarungannya dengan Midnight Phantom Cat.

"5 kuku kucing, sampah. Sehelai baju perisai yang diperbuat daripada bulu kucing, pakai sajalah memandangkan kamu dah dapat. 2 kuku Midnight Cat, 1 cakar Midnight Cat, sebuah batu baiduri gelap Midnight. Okay, semua ini boleh tahan. Sememangnya ganjaran daripada bos tersembunyi agak berharga. Oh, ada lagi? Sebuah buku kemahiran! Kamu sangat bertuah!"

Ye Xiu dan Chen Guo sama-sama terkejut. Bukan mudah untuk bos tersembunyi bertaraf rendah memberikan ganjaran buku kemahiran. Sememangnya Ye Xiu sangat bertuah!

Buku kemahiran digunakan untuk meningkatkan 'skill points'. Buku kemahiran ini bertaraf Oren, menandakan betapa berharganya ia. Ia boleh digunakan untuk seseorang itu mengatasi 4000 'skill points' pada masa akan datang. Buku ini tidak boleh ditukar ganti mahupun dibeli. Ia hanya dapat diperoleh melalui tuah semata-mata. Sungguhpun ia hanya memberikan 5 'skill points', ia tetap sangat berharga dan diidam-idamkan oleh ramai orang.

Ye Xiu serta-merta menggunakan buku tersebut. Di antara semua bahan mentah yang diperolehi daripada Midnight Phantom Cat, kuku Midnight Cat dan batu baiduri gelap merupakan bahan yang diperlukan untuk menyempurnakan Payung Seribu Manifestasi. Ye Xiu berasa sungguh riang sekali. Lantas, dia mengarahkan Lord Grim untuk keluar dari 'dungeon' tersebut.

"Eh, kamu tak nak habiskan 'dungeon' ini ke?" Chen Guo terkejut.

Sungguhpun Lord Grim adalah satu-satunya pemain yang masih hidup dalam kumpulannya, 'dungeon' yang semudah ini dapat dihabiskannya seorang diri tanpa sebarang masalah. Sungguhpun 'APM' Ye Xiu hanyalah setaraf orang cacat di mata Chen Guo, dia tidak menganggap tahap kemahiran Ye Xiu adalah rendah. Jika dia tidak mempunyai kemahiran, mustahil dia dapat mengalahkan musuh Chen Guo dalam 40 saat sahaja!

"Saya nak tukar komputer!" kata Ye Xiu.

Baru sahaja Ye Xiu hendak bangun dan beredar, dia dihalang oleh Chen Guo yang terlihat sebuah pengumuman pada skrin komputer.

"Lord Grim, orang baru yang tak tahu malu! Kerana sifat tamaknya, kerana keinginannya untuk membolot semua ganjaran bos tersembunyi seorang diri, dia sengaja tidak merawat semua ahli kumpulannya dan membiarkan semua orang mati. Berhati-hati dengan pemain tamak ini!"

Mesej pengumuman ini dihantar kepada seramai pemain yang boleh di seluruh server Glory.

Ye Xiu sedar bahawa pengumuman ini ditulis oleh….tidak lain dan tidak bukan, Sleeping Moon! Malahan, mesej itu turut disebarkan oleh pemain-pemain lain yang berada dalam kumpulan yang sama dengannya tadi. Nampak gayanya mereka semua mempercayai bulat-bulat fitnah yang dilemparkan pada Ye Xiu.

"Kenapa dia tulis semua ni?" tanya Chen Guo pada Ye Xiu.

Tidak mampu berbuat apa-apa, Ye Xiu hanya mampu menerangkan keadaan sebenar kepadanya.

"Jahanam! Fitnah! Tak tahu malu sungguh!" kata Chen Guo dengan cukup marah.

"Itulah dia. Langsung tak tahu malu," Ye Xiu bersetuju.

"Tapi, kenapa kamu tak marah langsung?" Chen Guo agak pelik.

"Saya sangat marah," kata Ye Xiu.

"Kamu marah? Saya tak nampak macam kamu marah pun?" Chen Guo semakin pelik. Ye Xiu hanya merenung pada skrin dan membaca mesej fitnah tersebut berulang kali, tetapi raut wajahnya sedikitpun tidak berubah.

"Saya tidak semestinya perlu menunjukkan kemarahan saya," kata Ye Xiu sambil tersenyum. Dia mendaftar keluar daripada permainan tersebut dan memadamkan komputer. Pada saat ini, dia hanya ingin pergi ke zon merokok secepat mungkin.

"Kamu ni orang jenis apa hah? Saya baru tertidur sekejap, tapi macam-macam perkara berlaku! Kamu mengalahkan bos tersembunyi, dapat ganjaran buku kemahiran, malah sempat bermusuh dengan orang! Kalau esok pagi kamu mati, saya tak terkejutlah!" kata Chen Guo.

"Jumpa nanti, bos!" kata Ye Xiu dengan selamba.

Chen Guo beredar untuk berehat manakala Ye Xiu menuju ke zon merokok. Seperti dijangka, asap rokok yang tebal menyelubungi seluruh kawasan ini. Bahkan sistem pengudaraan yang canggih pun tidak mampu menyedut semua rokok di sini, ia hanya mampu mengurangkan jumlah asap yang terlepas ke zon larangan merokok.

Para perokok di sini juga langsung tidak kisah akan kesan asap rokok mereka pada orang lain. Dengan segera, Ye Xiu menyalakan rokoknya dan bersatu dengan semua perokok lain. Dia menyedari bahawa zon ini mempunyai lebih ramai pelanggan daripada zon larangan merokok. Mungkin kerana pelanggan yang ingin berjaga sepanjang malam memerlukan rokok untuk mengelakkan daripada tertidur.

Ye Xiu menjumpai sebuah stesen komputer yang kosong dan terus duduk. Kafe Internet Gembira ini sememangnya berkelas tinggi, terdapat dinding kecil yang memisahkan setiap stesen komputer demi memberikan privasi pada setiap pelanggan. Tetapi hakikatnya, kebanyakan pelanggan akan memakai fon kepala dan menumpukan sepenuh perhatian terhadap Glory. Mereka tidak punya masa untuk menjaga tepi kain orang lain.

Ye Xiu mendaftar masuk semula ke dalam dunia Glory dan menyarungkan fon kepalanya.

Lord Grim masih berada di luar Hutan Hijau. Sungguh ramai pemain lain yang berada di sini, suasananya tidak ubah seperti berada di sebuah pasar! Ye Xiu perasan bahawa mesej-mesej tentang Lord Grim tadi sudah hilang semuanya. Dalam dunia Glory, seorang pemain boleh memeriksa sama ada seorang pemain masih 'online' ataupun sebaliknya. Kemungkinan besar Sleeping Moon berhenti menyebarkan semua mesej fitnah tersebut apabila menyedari bahawa Lord Grim sudah 'offline'.

Dalam dunia Glory juga, para pemain hanya boleh memilih untuk bertarung dengan pemain lain secara 1 lawan 1 apabila mereka meninggalkan kawasan pemula. Perlawanan 1 lawan 1 ini digelar sebagai 'PK' (Player Kill), dan ia hanya boleh dilakukan apabila pemain merempuhi tahap 20. Memandangkan tahap 20 masih jauh untuk dikecapi, para pemain yang tidak berpuas hati antara satu sama lain hanya mampu bertarung menggunakan mesej dan ayat sahaja. Itulah yang dilakukan oleh Sleeping Moon pada Lord Grim.

Disebabkan populariti Lord Grim sebagai pemain pertama yang berjaya membunuh bos tersembunyi, mesej fitnah dari Sleeping Moon tersebut tersebar luas dengan cepat. Hasilnya, tidak ada seorang pemain pun yang membenarkan Lord Grim menyertai kumpulan mereka. Semua permintaan dari Lord Grim untuk bergabung kumpulan telah ditolak serta-merta!

Ye Xiu hanya mampu ketawa. Sesungguhnya, dia hanya ingin menyertai kumpulan demi mendapatkan peluang untuk bertarung dengan bos tersembunyi. Sungguhpun dia tidak dapat menyertai sebarang kumpulan pada waktu ini, dia boleh menggunakan peluang ini untuk meningkatkan tahapnya dengan pantas.

Para pemain dunia Glory akan memperoleh lebih banyak 'experience' jika menghabiskan 'dungeon' dengan jumlah ahli kumpulan yang sedikit. Akan tetapi, bukan mudah untuk berbuat demikian dengan ahli yang sedikit. Lain pula ceritanya dengan Lord Grim. Dia memiliki Payung Seribu Manifestasi berwarna perak pada tahap 5! Untuk kebanyakan pemain biasa, mereka perlu bergantung pada senjata berwarna hijau dan biru. Warna-warna ini adalah tiga atau empat gred lebih rendah daripada warna perak. Setiap gred bersamaan dengan 5 tahap. Dengan kata lain, kekuatan Payung Seribu Manifestasi berwarna perak tahap 5 adalah bersamaan dengan senjata biru tahap 20 atau senjata hijau tahap 25!

Dengan memiliki senjata sekuat ini pada tahap awal permainan, ditambah pula dengan kemahiran Ye Xiu, kekuatan Lord Grim seorang diri adalah sama dengan kekuatan 3 orang pemain serentak. Oleh itu, Ye Xiu tidak akan mempunyai masalah langsung untuk menyelesaikan 'dungeon' berseorangan. Malah, dia mungkin boleh berbuat demikian dengan lebih cepat seorang diri berbanding bersama kumpulan 5 orang.

Lord Grim bersedia untuk memasuki 'dungeon'. Tetapi baru sahaja beberapa langkah, seorang pemain menghalangnya. Ia tidak lain dan tidak bukan adalah Sleeping Moon. Sesungguhnya dia memiliki mata yang tajam kerana mampu untuk menjejaki Lord Grim di kalangan beribu-ribu pemain lain.

"Helo helo!" kata Ye Xiu melalui fon kepalanya.

"Helo kepala otak kamu!" jawapan dari Sleeping Moon sedikitpun tidak menunjukkan kesopanan.

avataravatar
Next chapter