11 Tak Cukup Orang? Jemputlah Saya!

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Ye Xiu ketawa dan bertanya, "Kamu apa khabar?"

Nadanya yang tenang dan bersahaja membuatkan Sleeping Moon tidak terkata-kata. Dia seakan-akan tidak tahu bahawa Sleeping Moon sudah menaburkan fitnah terhadapnya dalam beberapa jam yang lepas. Sungguhpun orang ramai sudah termakan fitnah tersebut, hanya mereka berdua yang tahu hakikat sebenarnya.

"Kenapa dia langsung tak menunjukkan sebarang rasa marah pun? Dia tak perasan ke semua mesej yang disebarkan?" tanya Sleeping Moon kepada dirinya sendiri di dalam hati.

"Lord Grim, orang baru yang tak tahu malu! Kerana sifat tamaknya, kerana keinginannya untuk membolot semua ganjaran bos tersembunyi seorang diri, dia sengaja tidak merawat semua ahli kumpulannya dan membiarkan semua orang mati. Berhati-hati dengan pemain tamak ini!"

Sleeping Moon serta-merta menulis mesej tersebut sekali lagi. Malah, dia mengulanginya sebanyak dua kali lagi! Dia ingin melihat bagaimanakah reaksi Ye Xiu.

"Kamu masih sibuk menyebarkan fitnah ke? Tak nak ke kamu mencuba untuk meningkatkan tahap pula?" tanya Ye Xiu dengan nada tidak berperasaan.

"Saya… saya nak kamu tahu betapa kuatnya saya! Kamu tahu tak apa akibatnya kalau kamu bermusuh dengan Persatuan Full Moon saya?" Sleeping Moon telah menunggu berjam-jam lamanya untuk mengucapkan kata-kata ini kepada Ye Xiu. Tetapi apabila peluangnya tiba, dia sedar bahawa nadanya sedikit pun tidak mengancam! 

"Ya, saya tahu. Sekarang ini tak ada orang pun yang nak sama kumpulan dengan saya," kata Ye Xiu.

Mendengarkan ini, Sleeping Moon mula berasa gembira dan ketawa. "Lain kali cubalah kamu cari pasal dengan saya lagi!"

Tanpa disangka-sangka, jawapan Ye Xiu adalah, "Eh kumpulan kamu tak cukup orang ke? Jemputlah saya masuk kumpulan kamu!"

Sleeping Moon serta-merta tergamam. "Jahanam! Kamu memang tak tahu erti malu kan!"

"Ha ha, jemput saya, jemputlah! Kita kan dah kenal satu sama lain, kan elok kita bekerjasama?" tanpa segan silu, Ye Xiu menghantar permohonan untuk menyertai kumpulan Sleeping Moon.

Sleeping Moon sememangnya mempunyai kumpulan seramai empat orang pada waktu ini, dan mereka bukanlah ahli kumpulan yang sebelumnya ini. Tiga pemain lain kesemuanya adalah ahli Persatuan Full Moon. Sebenarnya, membentuk sebuah persatuan hanya boleh dilakukan selepas meninggalkan 'Beginner's Village', jadi kesemua ahli persatuan ini adalah berasal daripada server lama. Sebelum ini, Sleeping Moon membentuk kumpulan dengan pemain-pemain yang tidak dikenali kerana ingin membolot ganjaran daripada bos tersembunyi seorang diri. Malangnya, dia terjumpa pula dengan Ye Xiu yang menggagalkan rancangannya. Serta-merta selepas itu, dia bersatu semula dengan ahli persatuannya yang lain dan mengarahkan mereka untuk turut membantu memfitnah Lord Grim.

Tetapi apakah hasilnya? Ye Xiu nampaknya langsung tidak mempedulikan fitnah itu! Malah, disebabkan tidak ada orang lain yang ingin menerimanya, dia memohon untuk menyertai kumpulan Sleeping Moon pula! Sleeping Moon tidak tahu hendak menerima atau menolak sekarang ini.

Berdasarkan pengalamannya sebelum ini, Sleeping Moon tahu bahawa Ye Xiu bukanlah sekadar seorang pemain biasa. Tetapi dia gagal untuk meneka apakah niat Ye Xiu yang sebenarnya. Sedang dia berfikir, rakannya menghantar mesej peribadi kepadanya, "Jemput saja dia. Dia nak sangat mati nampaknya. Bila kita dah masuk ke 'dungeon', siaplah dia!"

Sleeping Moon sedar bahawa dia mempunyai tiga orang sekutu di sisinya. Dia langsung tidak perlu takut pada Ye Xiu.

Maka, Ye Xiu pun masuk semula ke Hutan Hijau dengan empat pemain ini. Tetapi kali ini, mereka kurang bernasib baik dan gagal untuk bertemu dengan Midnight Phantom Cat.

Ye Xiu ketawa dan bertanya: "Kamu masih perlukan saya untuk merawat kamu ataupun tidak?"

"Tak payah! Semua orang akan menyerang bersama-sama!", sebaik sahaja Sleeping Moon habis berbicara, mereka semua mara dan menyerang semua raksasa yang muncul. Ternyata mereka semua bukanlah pemain baru. Mereka mempunyai kemahiran yang tinggi dan dianggarkan bahawa dua atau tiga daripada mereka sudahpun cukup untuk menyelesaikan 'dungeon' ini. Dengan menambah seorang pemain lagi, tahap kelancaran mereka melebihi segalanya yang diperlukan. Ye Xiu sendiri tidak bercakap banyak, dia hanya fokus untuk menyerang menggunakan Payung Seribu Manifestasi miliknya.

'Sky Strike' dan 'Dragon Tooth', kedua-dua kemahiran ini adalah dikhaskan untuk tujuan penyerangan. Selain daripada ini, seorang pemain juga mempunyai serangan biasa. Mereka boleh mengawal arah dan kekuatan serangan mereka mengikut kehendak hati, jadi ini mewujudkan beberapa corak serangan yang berbeza, misalnya tikaman lurus, tetakan melintang, tetakan menegak, pukulan melangit dan sebagainya. Kesemua serangan ini mirip dengan sebuah kemahiran tertentu apabila digabungkan. Sebagai contoh, 'Sky Strike' adalah sejenis pukulan melangit, tetapi kerosakan dan kemampuannya untuk melambungkan musuh adalah lebih kuat daripada pukulan melangit yang biasa. 'Dragon Tooth' pula adalah sejenis tikaman lurus, tetapi kelajuan tikamannya adalah lebih tinggi daripada biasa dan ia akan menyebabkan pihak lawan tidak dapat bergerak buat beberapa saat.

Ye Xiu tidak perlu menggunakan kemahiran khas buat waktu ini. Serangan biasanya sahaja sudah lebih dari mencukupi untuk membunuh raksasa-raksasa Hutan Hijau dengan mudah. Masalahnya adalah, sebaik sahaja dia selesai membunuh seekor raksasa, ahli kumpulan lain akan menolak raksasa-raksasa lain ke arahnya. Ye Xiu hanya ketawa dan menerima semuanya dengan rela hati. Dia tahu Sleeping Moon dan rakan-rakannya sengaja berbuat demikian untuk menyusahkannya. Mereka ingin dia dikelilingi oleh raksasa dan cedera parah!

Tetapi tidak kiralah dikelilingi sebanyak mana raksasa pun, Ye Xiu tidak menghadapi sebarang masalah pun. Biarpun dia menghadapi lima raksasa serentak, dia hanya perlu menggunakan Sky Strike sekali sahaja untuk membunuh kesemuanya. Dia melakukan sebuah pukulan melintang dengan tangan kanannya, dan lima lagi raksasa turut terbunuh. Sungguhpun empat orang ahli lain hanya melihat tanpa sebarang niat untuk menolong sedikitpun, mereka terkesima melihatkan betapa cepatnya Ye Xiu menghapuskan semua raksasa yang dilontar ke arahnya. Bukan sahaja mereka terkejut, mereka turut cemburu dibuatnya!

"Dia mempunyai kemahiran yang tinggi," kata seorang ahli yang bernama Seven Fields sambil mengangguk tanda puas.

"Nampak gayanya dia adalah pemain veteran. Rasanya dia mampu menyelesaikan 'dungeon' Hutan Hijau ini seorang diri tanpa sebarang masalah," tambah seorang ahli lain.

"Dia memang agak mahir. Dia berjaya membunuh Midnight Phantom Cat dalam keadaan 'Berserk' seorang diri. Saya tak sangka kemahiran dia mengatasi saya," kata Sleeping Moon.

"Dengan kemahiran sebegini, tak mungkin dia akan mati dalam Hutan Hijau ni," rumus seorang lagi ahli.

'Dungeon' seterusnya dinamakan Gua Labah-Labah. Ia hanya boleh dimasuki setelah pemain mencecah tahap 10 hingga 15. Ia jauh lebih sukar daripada Hutan Hijau. Sebenarnya, Hutan Hijau direka untuk membolehkan pemain baru membiasakan diri dengan dunia Glory. Tetapi Gua Labah-Labah dan 'dungeon' yang berikutnya memerlukan pemain menggunakan strategi dan kemahiran yang mantap untuk menang. Ia dinamakan Gua Labah-Labah kerana raksasa di dalamnya adalah labah-labah semuanya. Terdapat dua jenis labah-labah yang berbeza. Jenis yang pertama menyerang dari jarak jauh dan meludahkan sarang yang mampu mengikat pemain. Pemain yang terikat tidak akan mampu bergerak. Jenis yang kedua pula menyerang dari jarak dekat dan mempunyai gigitan beracun. Pemain yang diracuni akan kehilangan nyawa secara berterusan. Di dalam Hutan Hijau, hanya bos tersembunyi mempunyai serangan yang mampu memberikan kesan sebegitu kepada para pemain.

Selain daripada raksasa biasa, Gua Labah-Labah mempunyai tiga bos. Seekor yang menyerang dari jarak jauh, seekor yang menyerang dari jarak dekat dan bos terakhir bernama Spider Lord. Bos tersembunyi pula dinamakan Spider Elite, Spider Warrior dan Spider Emperor.

Tahap 1 sehingga 10 akan biasanya berlalu dengan cepat. Disebabkan itu, ramai pemain masih gagal untuk membiasakan diri dalam tempoh ini. Apabila mereka sampai ke Gua Labah-Labah, kebanyakan orang akan mati di dalamnya. Oleh itu, para pakar dan juga buku panduan pemain menyarankan kepada semua pemain baru untuk meneroka Gua Labah-Labah hanya apabila mereka sudah benar-benar bersedia.

"Kalau kita bunuh dia di Gua Labah-Labah, kita hanya tinggal berempat saja. Bolehkah kita menyelesaikan 'dungeon' itu dengan hanya empat orang?" Sleeping Moon bertanya dengan sedikit rasa ragu.

"Sepatutnya tidak ada masalah, asalkan kita tidak bertembung dengan bos tersembunyi," kata Seven Fields.

"Kalau kita berjumpa dengan bos tersembunyi, lelaki ini pasti takkan mampu mengalahkan bos itu seorang diri seperti Midnight Phantom Cat. Gua Labah-Labah jauh lebih susah," kata seorang ahli lain.

"Betul kata kamu semua. Jadi, mari kita cepat-cepat meningkatkan tahap kita. Bila kita mencecah tahap 10, kita serang Gua Labah-Labah!" kata Sleeping Moon.

Tiba-tiba, seorang pemain yang berdiam diri sejak awal berkata sesuatu, "Jadi, rancangan kita adalah meningkatkan tahap bersama-sama dengan lelaki ini, kemudian kita bunuh dia?"

Sleeping Moon sedikit terkejut mendengarkan kata-kata rakannya itu. Nampaknya, rancangannya ini agak bodoh juga. Tetapi Seven Fields pula memberikan penjelasan, "Lebih elok kalau kita anggap begini. Kita akan mempergunakan dia untuk melakukan semua kerja keras, kemudian kita tendang dia keluar!"

"Ya betul, betul! Macam itulah!" Sleeping Moon berasa lega.

avataravatar
Next chapter