9 Kedua-dua Belah Tangan Ye Xiu

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Chen Guo jarang sekali berjaga malam. Dia cuma berbuat demikian pada malam sebelumnya kerana pembukaan server baru Glory. Setelah menyaksikan pembukaan tersebut, dia mula mengantuk dan tertidur di atas kerusinya tanpa disedari.

Sudah tentulah dia tidak dapat tidur dengan lena dalam keadaan sebegitu, tetapi dia malas untuk bangun. Dalam keadaan tidur separa sedar seperti ini, telinganya tiba-tiba menangkap bunyi tekanan daripada papan kekunci dan ketikan daripada tetikus. Sebagai seorang bos kafe internet, bunyi seperti ini sememangnya biasa didengar. Tetapi bunyi kali ini agak berbeza. Ia sebentar laju dan sebentar pula perlahan, sebentar lembut kemudian keras. Mendengarkan irama ini, Chen Guo teringat akan bunyi paluan gendang. Adakah dia sedang bermimpi?

Dia terjaga dan cuba untuk mendengar dengan lebih teliti. Ternyata dia tidak bermimpi. Bunyi tersebut datang dari sebelahnya – dari pekerja barunya, pengurus rangkaian, Ye Xiu.

Chen Guo cuba untuk duduk dan jaket pada tubuhnya jatuh ke lantai. Dia segera menggenggamnya dan sedar bahawa ia adalah jaket milik Ye Xiu.

"Nampaknya Ye Xiu ini seorang yang mengambil berat tentang orang lain," kata Chen Guo dalam hati. "Cuma, sudah berapa lama jaket ini tidak dibasuh? Busuk!"

Dia meletakkan jaket tersebut dan kembali duduk. Dia baru sahaja hendak bercakap dengan Ye Xiu tetapi tergamam pula. Ini kerana dia melihat sepasang tangan yang cukup cantik di hadapannya, kedua-dua belah tangan Ye Xiu.

Kedua-dua belah tangan ini sangat kurus. Jari-jemarinya panjang dan runcing, sendinya tidak kasar seperti kebanyakan lelaki. Kukunya pula bersih dan kemas. Ia berbeza sama sekali dengan penampilan luarannya yang selekeh.

Sebelum ini, Chen Guo bukanlah seorang yang suka mengambil perhatian tentang penampilan orang lain. Tetapi, pada suatu hari dia terlihat seorang gadis yang memiliki tangan yang teramat cantik sekali. Sejak itu, tanpa disedari dia mula memberikan lebih perhatian tetap penampilan setiap orang yang ditemuinya. Pada waktu ini, dia sangat terpukau dengan kedua-dua belah tangan Ye Xiu.

Tangannya sungguh cantik. Bunyi hentakan kekunci darinya seakan-akan muzik yang indah. Tangan kiri Ye Xiu melantun-lantun ke seluruh papan kekunci. Chen Guo sedar bahawa Ye Xiu menggerakkan tangannya dengan cukup perlahan.

Kelajuan tangan, atau lebih tepat lagi, jumlah aksi yang dilakukan dalam tempoh tertentu dikenali sebagai 'APM' (Action per minute).

Glory bukanlah permainan strategi. Setiap pemain cuma mengawal seorang watak sahaja, tetapi penggunaan kemahiran setiap watak adalah sangat rumit. Jika seorang pemain ingin melakukan pergerakan dan aksi dengan jumlah yang banyak, tangannya haruslah berkelajuan tinggi.

Pemain dengan kelajuan tangan yang tinggi mampu untuk melakukan aksi yang lincah dan teliti. Kekuatan dan durasi tekanan jari pada papan kekunci juga akan mempengaruhi jumlah gerakan yang dapat dilakukan! Perkara-perkara sebeginilah yang membuatkan pertarungan dalam dunia Glory sesuatu yang kompleks. Terdapat sesetengah pemain yang meningkatkan 'APM' mereka untuk kelihatan lebih bergaya, tetapi hanya pemain bertaraf profesional yang mampu memaksimakan keberkesanan setiap gerakan sambil mencatat 'APM' yang tinggi. 

200 'APM'. Ini adalah tahap kelajuan yang dianggap unggul dalam dunia Glory. Untuk seorang pemain bertaraf biasa, tidak sukar untuk mereka mencecah kelajuan ini. Tetapi, besar kemungkinan mereka hanya akan menekan kekunci secara rawak dengan laju, tiada gerakan efektif yang dilakukan. Bagi pemain profesional, kelajuan 'APM' mereka akan melebihi 200 apabila menghadapi pihak lawan yang sukar, kerana lawan sebegini memerlukan mereka beraksi pada tahap terbaik untuk menang.

Bagi pemain bertaraf biasa, 70% daripada mereka mempunyai 'APM' di antara 80 hingga 120.

25% daripada mereka tidak dapat mencecah 80 'APM' pun, manakala terdapat 5% yang mampu melebihi 120 'APM'.

Kelajuan tangan Chen Guo adalah di sekitar 120, tetapi dalam keadaan-keadaan tertentu dia mampu untuk pergi lebih laju lagi. Disebabkan ini, dia percaya bahawa dia tergolong dalam kelompok 5% pemain yang boleh dianggap hebat.

Tetapi melihatkan Ye Xiu pula, Chen Guo merasakan bahawa APM dia tidak mencecah 80 pun! Baru sahaja dia berfikir begini, irama indah yang dihasilkan Ye Xiu tadi telahpun hilang. Bunyi yang terhasil semakin lama semakin perlahan.

"Saya bermimpi lagi ke?" Chen Guo menggoyang-goyangkan kepalanya. Dia teringin mendengar irama indah sewaktu tidur tadi, tetapi ia tidak muncul-muncul. Sepasang tangan yang sedang dilihatnya bergerak seakan-akan tangan orang cacat, tetapi kecantikannya tetap membuatkan dia berasa cemburu!

Chen Guo terlalu menumpukan perhatian terhadap tangan Ye Xiu sehingga terlupa untuk melihat pada skrin. Dia hanya tersedar apabila Ye Xiu berhenti bergerak. Saat dia menumpukan matanya ke skrin, dia terbeliak: "Midnight Phantom Cat??"

Pada waktu itu juga, Midnight Phantom Cat sudahpun tumbang dan menjatuhkan pelbagai ganjaran.

Chen Guo menyaksikan sebuah pengumuman terpancar pada skrin: Server Kesepuluh, Pembunuhan Bos Tersembunyi Midnight Phantom Cat yang pertama: Lord Grim.

"Jahanam!! Kamu betul-betul mahir!" Chen Guo menampar belakang badan Ye Xiu.

Sungguhpun tangan Ye Xiu bergerak seperti orang cacat, dia berjaya menjadi orang pertama untuk membunuh bos tersembunyi. Ini merupakan sesuatu yang tidak pernah dapat Chen Guo lakukan.

Ye Xiu baru sahaja hendak melihat ganjaran yang dimenanginya apabila dia ditampar oleh Chen Guo. Dia hampir-hampir tertelan rokoknya! Asap berwarna putih-perak melingkar di sekeliling papan kekunci. Melihatkan ini, serta-merta Chen Guo terlupa akan segalanya yang berlaku. Dia merentap fon kepala Ye Xiu dan menjerit: "Siapa yang benarkan kamu merokok di sini hah??"

"Huh?" Rokok di mulut Ye Xiu belum terpadam pun lagi. Dia tidak faham apa yang Chen Guo maksudkan.

"Kamu tak nampak ke tanda "DILARANG MEROKOK" tu??" Chen Guo menunjuk ke arah dinding.

Ye Xiu melihat tanda tersebut dengan wajah yang keliru: "Tak boleh merokok di kafe internet? Biar betul?"

"Kawasan ini tak dibenarkan merokok! Kawasan merokok ada di sebelah sana!" jari Chen Guo menuding ke arah lain.

"Oh macam tu. Jadi jom kita pergi ke sana," jawab Ye Xiu dengan selamba.

"Tak nak! Bau rokok buat saya sakit kepala!" kata Chen Guo

"Habis, nak buat macam mana?" Ye Xiu semakin keliru.

"Kamu ni…kalau sehari tak merokok tak boleh ke?" tanya Chen Guo dengan geramnya.

"Tak bolehlah. Nanti saya sakit kepala," jawab Ye Xiu.

"Kamu…..kamu…..kamu ni!" Chen Guo mula menyedari bahawa sungguhpun Ye Xiu rela tinggal di dalam bilik stor yang kecil, dia bukan mudah untuk dilayan!

"Baiklah, saya pergi ke kawasan merokok sekarang. Bos, kamu pergilah rehat," kata Ye Xiu.

"Eh tunggu sekejap, kamu belum beritahu saya macam mana kamu dapat menjadi orang pertama yang membunuh bos tersembunyi!" kata Chen Guo.

"Tak ada apa-apalah. Ahli kumpulan saya semua mati. Nyawa bos itu pun sudah rendah. Jadi saya dapat membunuh dia dengan senang," jawab Ye Xiu dengan tidak berperasaan.

"Oh macam tu rupanya," nada Chen Guo masih dipenuhi kekaguman. Sebenarnya, ganjaran menewaskan bos tersembunyi bertahap rendah seperti ini tidaklah lumayan. Paling banyak pun, 'experience' dan duit yang lebih daripada biasa. Tidak ada peralatan berkelas tinggi yang akan diperolehi. Tetapi, pencapaian ini akan direkodkan selama-lamanya dan pemain yang berjaya memperoleh pencapaian ini akan dianggap sebagai legenda di dalam server. Ramai pemain menyukai perasaan seperti ini.

Untuk pemain-pemain biasa, pencapaian sebegini hanya boleh dilakukan sewaktu mereka semua masih berada pada tahap rendah. Ini kerana apabila tahap mereka menjadi semakin tinggi, 'dungeon' dan bos tersembunyi yang lain akan menjadi semakin sukar dan kuat, maka ia adalah lebih susah untuk menewaskan mereka. Apatah lagi apabila sampai ke 'Heavenly Domain', di mana semua rekod akan dibolot oleh pasukan-pasukan profesional.

avataravatar
Next chapter