Lord Grim berada pada tahap 21 sekarang, jadi membunuh raksasa pada tahap 26 akan memberikannya 'experience' yang paling banyak. Dia masih mampu membunuh raksasa pada tahap lebih tinggi, tetapi perbezaan setiap tahap akan memberikan sebanyak 2% 'experience' tambahan sahaja, dan had 'experience' paling banyak hanyalah 10% sahaja. Jadi, tidak ada gunanya dia membunuh raksasa yang bertahap lebih tinggi dari 26 kerana raksasa yang lebih kuat memerlukan lebih banyak masa untuk dibunuh.

Ye XIu mengarahkan Lord Grim untuk pergi ke kawasan bertahap 23-26. Kawasan ini dinamakan Laman Tulang.

Terdahulu, 'dungeon' Hutan Fros merupakan kawasan tahap 20-23. Laman Tulang terletak di kawasan yang lebih dalam dari Hutan Fros dan raksasa di sini jauh lebih kuat. Pemain seperti Blue River dari persatuan Blue Brook sudah lama menyelesaikan 'dungeon' Laman Tulang ini. Rekod menunjukkan yang Tyrannical Ambition ialah persatuan pertama yang menyelesaikan 'dungeon' ini. Ye Xiu melihat nama Endless Night tersenarai sebagai salah seorang pemain yang menyelesaikan 'dungeon' ini juga. 'Clear record' untuk Laman Tulang telah dipecahkan sebanyak 4 kali, dan rekod terbaik dipegang oleh persatuan Herb Garden. Persatuan Blue Brook telah membunuh dua daripada tiga bos tersembunyi di Laman Tulang.

Tetapi, semua ini tidak dipedulikan oleh Ye Xiu. Lord Grim telah tiba di Laman Tulang, dan dia gembira melihat tidak ada ramai pemain di sini. Kebanyakan pemain berada pada tahap 21 dan mereka masih cuba untuk menaikkan tahap di Hutan Fros. Raksasa di Laman Tulang lebih kuat lagi, jadi tidak ramai pemain yang berani untuk bertarung di sini.

Setelah memilih tempat yang sesuai dan dipenuhi raksasa, Lord Grim menghunuskan Payung Seribu Manifestasi. Ia bertukar menjadi bentuk tombak pertarungan dan mula membunuh tanpa belas kasihan. Lapan keping Kuku Midnight Cat menghiasi payung itu dan ketajamannya menambahkan lagi kuasa serangan.

Raksasa di Laman Tulang hampir serupa dengan raksasa di Perkuburan Tulang. Kebanyakannya raksasa seperti zombi, raksasa tulang-temulang, pemanah tulang, ahli sihir tulang dan sebagainya. Mereka semua bertahap 23-26, mempunyai kuasa serangan dan pertahanan yang tinggi, tetapi bergerak dengan kelajuan rendah.

Dengan kemahiran milik Ye Xiu, semua raksasa ini dibereskan dengan mudah sekali. Ye Xiu tidak memberikan fokus pada kombo ataupun serangan istimewa, kerana serangan-serangan ini memerlukan dia untuk memberikan lebih perhatian, bergerak dengan lebih cepat dan sebagainya. Kesemua ini akan membuatkan dia penat dengan cepat. Dia hanya ingin menaikkan tahap, itu sahaja. Ye Xiu tidak bercadang untuk bertarung seperti dia sedang berada dalam pusingan akhir pertandingan Pakatan Profesional .

Ye Xiu tidak membunuh dengan kelajuan tinggi, tetapi dia maju dengan stabil sekali. Ye Xiu lebih memberikan perhatian untuk mengelakkan serangan-serangan raksasa supaya dia tidak kehilangan nyawa dan tidak membazirkan masa untuk berehat. Dia hanya berehat apabila dia kehabisan 'mana'.

Dalam dunia Glory, makanan dan posyen merupakan barangan yang digunakan untuk memulihkan kuasa pemain. Makanan tidak mempunyai 'cooldown', tetapi ia tidak boleh digunakan sewaktu di dalam pertarungan. Ia memulihkan kuasa dalam jumlah yang banyak dan cepat. Posyen pula tidak efektif seperti makanan, tetapi ia boleh digunakan sewaktu pertarungan. Pada saat-saat kecemasan, ia boleh digunakan sebagai langkah rawatan terakhir. Tetapi, semakin kuat sesebuah posyen, semakin lama tempoh 'cooldown' nya. Tambahan pula, posyen yang sama jenis akan berkongsi tempoh 'cooldown', jadi seseorang pemain tidak boleh mengambil posyen dalam jumlah yang banyak sekaligus.

Makanan dan posyen boleh dibeli daripada NPC (Non-Playable Character), tetapi kebiasaannya ia berkualiti rendah dan mahal. Selain daripada memperolehinya melalui membunuh raksasa, seseorang pemain yang mempunyai pekerjaan tukang masak boleh menciptakan makanan, sementara seorang pemain yang mempunyai pekerjaan ahli kimia boleh mencipta posyen. Setiap pemain boleh mempunyai dua pekerjaan sampingan, tetapi hanya salah satu pekerjaan itu boleh dinaikkan tahap. Apabila pemain mencecah tahap 50, pekerjaan sampingan hanya boleh dinaikkan tahap setelah memperkuatkan pekerjaan utama.

Pada waktu ini, server baru cuma berusia dua hari. Selain daripada persatuan-persatuan besar, tidak ada orang lain yang mempunyai pekerjaan sampingan. Ahli kimia dan tukang masak daripada persatuan-persatuan besar tidak mampu memberikan bekalan yang cukup untuk persatuan mereka sendiri, jadi mereka tidak menjual hasil kerja tangan mereka ke pasaran. Oleh itu, para pemain terpaksa bersabar dan membeli makanan dan posyen dengan harga mahal daripada NPC. Duit yang diperoleh mereka hasil daripada membunuh raksasa telah digunakan untuk tujuan ini.

Ye Xiu tidak terkecuali, pelaburan pada peringkat awal permainan ini sangat diperlukan. Tetapi dengan bergantung pada kemahirannya, dia boleh berjimat serba-sedikit kerana tidak perlu untuk membeli sebarang makanan dan posyen. Kebanyakan wangnya digunakan untuk membeli bahan yang boleh memulihkan 'Mana'. Dia sudah boleh dikira sangat jimat berbanding pemain-pemain lain.

Setelah membunuh raksasa selama lebih kurang sejam, Lord Grim keluar dari zon pertarungan dan mengambil posyen khas untuk memulihkan 'Mana'. Dia juga menyalakan sebatang rokok untuk berehat seketika. Sebaik sahaja dia berbuat demikian, sebuah mesej muncul. Ia datang dari sistem permainan: "Soft Mist telah menerima jemputan persahabatan anda,"

Selepas sejam, akhirnya Tang Rou menemui jemputan itu. Dia menghantar sebuah lagi mesej: "Minta maaf, saya baru nampak!"

Tang Rou dan Chen Guo sememangnya berbeza bagaikan langit dan bumi.

Dia bukan seperti Chen Guo yang ingin berkawan dengan semua orang. Dia tidak akan memberikan layanan yang ramah, tetapi dia juga tidak terlalu dingin. Bila bercakap dengannya, seseorang itu akan dapat berasakan yang Tang Rou mendengar setiap butir percakapan mereka, dan percakapannya sendiri terasa cukup ikhlas. Jika gaya percakapan Chen Guo agak liar dan kasar, Tang Rou pula lebih terpelajar dan bersopan-santun.

Selain daripada waktu dia sedikit hilang kawalan ketika mengatakan "Sekali lagi!" sebanyak sepuluh kali berturut-turut, Ye Xiu tidak nampak sebarang kekurangan dalam diri Tang Rou.

Bagi Ye Xiu, gadis ini pasti telah mendapat pendidikan yang baik jika dinilai dari sifat sabar dan lembutnya. Tambahan pula, dia mempunyai kelajuan tangan yang pantas. Apabila Ye Xiu bertanya tentang kelajuan tangannya, dia tidak memberikan jawapan yang jelas. Ini meyakinkan Ye Xiu yang kelajuan itu tidak datang daripada bakat semata-mata, tetapi hasil daripada latihan yang gigih. Ini juga boleh dilihat dari tangannya. Sama seperti Ye Xiu, Tang Rou menjaga tangannya dengan sepenuh hati.

Ye Xiu yakin tangannya bukan dilatih melalui bermain permainan video. Tangan kiri dan kanan seorang pemain professional tidak sama kerana tangan kiri digunakan untuk menekan papan kekunci, manakala tangan kanan untuk menggerakkan tetikus. Kedua-dua tangan akan bergerak dengan cara yang berbeza. Tetapi tangan kiri dan kanan Tang Rou sangat seimbang dan stabil. Malangnya, ia membuatkan tangannya kurang koordinasi sewaktu bermain.

Jika tekaan Ye Xiu betul, kelajuan tangannya dilatih melalui bermain alat muzik.

"Tak ada masalah. Kalau ada apa-apa soalan, mesej saja saya," Ye Xiu tahu Tang Rou bukan seorang yang biasa-biasa sahaja, tetapi dia tidak berminat hendak mengetahui tentang latar belakangnya. Secara jujurnya, dia sendiri belum tahu apa yang akan terjadi pada masa depan dirinya!

Ye Xiu baru sahaja hendak mengarahkan Lord Grim untuk kembali membunuh raksasa, tetapi tiba-tiba dia terdengar bunyi tapak kaki yang kuat dari fon kepalanya. Seseorang telah terbang melepasi Lord Grim. Watak itu menghayunkan senjatanya dan membuatkan raksasa yang ingin diserang oleh Ye Xiu terpelanting ke langit!

avataravatar
Next chapter