Kurang ajar!

Itulah yang boleh Ye Xiu katakan terhadap pemain yang mencuri bunuh seperti ini.

Tidak ada ramai pemain di Laman Tulang. Terdapat banyak lagi raksasa lain untuk dibunuh, tetapi lelaki ini sengaja mencuri sasaran Ye Xiu. Tindakan seperti ini biasanya dilakukan untuk menunjuk-nunjukkan kemahiran seorang pemain terhadap pihak lawannya.

Pemain ini bersenjatakan sebatang belantan. Aura kuasa sakti terpancar dari tubuhnya. Dia seorang 'Battle Mage'. Aura yang terpancar itu sejenis kemahiran khas milik 'Battle Mage' iaitu 'Chaser'.

'Chaser' akan dipancarkan apabila seseorang 'Battle Mage' menggunakan kemahirannya, dan ia boleh dipancarkan sebanyak 5 kali. 'Chaser' akan mengelilingi tubuh 'Battle Mage' selama 30 saat. Dalam tempoh 30 saat ini, 'Chaser' akan terbang dan menyerang sasaran. Selepas berjaya mencederakan atau membunuh sasaran, watak pemain akan diperkuatkan selama 20 saat.

Pada tahap 20, para 'Battle Mage' boleh memperolehi satu Chaser yang dinamakan Neutral Chaser. Ia akan muncul selepas menggunakan kemahiran 'Dragon Tooth' dan ia mempunyai kekuatan serangan yang paling rendah di antara 5 'Chaser'. Ia akan meningkatkan kelajuan gerakan seseorang pemain. Neutral Chaser tahap 1 meningkatkan kelajuan gerakan sebanyak 1% dan pada tahap 20 ia akan meningkat kepada 20%.

'Chaser' merupakan ciri khas yang membuatkan seseorang Battle Mage dikenali, disebabkan itulah mereka dikatakan menggunakan kuasa sakti untuk meningkatkan kekuatan pertarungan mereka. Walaupun Lord Grim sudah berada pada tahap 20, dia tidak mempunyai pilihan untuk mempelajari kemahiran ini kerana dia masih belum memilih kelas.

Lelaki itu menggunakan Chaser dengan cukup mahir sekali. Selepas memukul raksasa itu hingga terpelanting, dia segera bergerak ke belakang raksasa itu dan menikam menggunakan Dragon Tooth. Neutral Chaser berkumpul di hujung belantannya dan terpancar ke sisi tubuhnya. Tergantung pada cara serangan, akan ada perbezaan pada saiz Chaser yang muncul: kecil, sederhana ataupun besar. Walaupun saiz Chaser tidak mempengaruhi kekuatan yang diberikan, ia akan memberikan kuasa serangan yang berbeza-beza. Penggunaan Chaser yang efektif merupakan perbezaan antara pemain handalan dan pemain biasa.

Setelah mencuri bunuh raksasa itu, lelaki tadi bersemuka dengan Lord Grim tanpa menunjukkan sebarang rasa bersalah pun.

Ye Xiu berasakan yang lelaki ini bukan seorang yang biasa-biasa sahaja. Ia boleh diketahui dari wajahnya yang menunjukkan penuh perasaan menghina!

Ye Xiu menggeleng-gelengkan kepalanya. Dia tidak sangka akan bertemu dengan pemain sebegini. Tanpa disangka-sangka, disebabkan terlalu sibuk memberikan perhatian pada Lord Grim, lelaki itu telah melakukan kesilapan. Raksasa yang dilambungkannya tadi telah jatuh tersembam ke tanah!

Ye Xiu tidak dapat menahan ketawa. Baru sahaja dia hendak beredar, dia terdengar lelaki itu memanggil namanya: "Lord Grim?"

"Ya?" Ye Xiu terdengar namanya dipanggil dan berpaling. Lelaki itu berjalan menuju ke arahnya.

"Jadi, kamulah orangnya,"

"Kamu ini siapa?" Ye Xiu melihat pada nama lelaki ini. Thousand Creations, tak kenal. Adakah dia salah seorang daripada pelanggan kafe internet yang baru ditambahnya sebagai kawan? Ye Xiu baru sahaja ingin melihat pada senarai kawannya apabila lelaki tersebut berkata: "Saya dengar kamu hebat? Mari kita cuba tengok siapa lebih hebat?"

"Kamu ini siapa sebenarnya?" Ada lebih kurang 30 orang dalam senarai kawannya, tetapi tidak ada di antara mereka yang bernama Thousand Creations.

"Itu tidak penting. Apa yang penting ialah saya nak bertarung dengan kamu," kata Thousand Creations.

Ye Xiu tidak menjawab. Sebaliknya, dia mengarahkan Lord Grim untuk beredar.

"Hey, jangan pergi!" kata Thousand Creations, tetapi dia telah diserang semula oleh raksasa yang dipukulnya tadi. Thousand Creations menggunakan serangan Sky Strike untuk melambungkan raksasa itu sekali lagi dan kemudian menggunakan Falling Flower Palm pula. Raksasa itu terpelanting jauh dan diterbangkan ke arah Lord Grim.

Setelah meninggalkan Beginner's Village, sistem permainan tidak lagi melindungi para pemain, jadi para pemain boleh bertarung di antara satu sama lain bila-bila masa sahaja. Baru sahaja raksasa itu kelihatan seperti hendak berlaga dengan Lord Grim, Lord Grim memusingkan badannya. Dia menghunuskan tombak pertarungan dan menikam raksasa itu di udara. Apabila raksasa itu terjatuh ke tanah, dia menggunakan serangan Circle Swing untuk membunuhnya.

"Kamu memang mahir. Tapi saya nasihatkan kamu bertarung dengan saya supaya kamu boleh mempelajari lebih banyak perkara lagi," kata Thousand Creations. Ye Xiu masih tidak menjawab.

Dia mencari seekor raksasa, menggunakan Sky Strike untuk melambungkannya, dan menggunakan Falling Flower Palm untuk menerbangkan raksasa itu ke arah Thousand Creations. Bezanya, Falling Flower Palm milik Ye Xiu jauh lebih kuat dan raksasa itu terbang dengan kelajuan yang lebih tinggi.

"Humph", dengus Thousand Creations. Dia bercadang untuk menikam raksasa itu dengan belantannya dan cuba meniru gaya Lord Grim dengan menggunakan Circle Swing untuk membunuh raksasa itu.

Belantannya dihunuskan dan dia menikam raksasa itu dengan tepat sekali. Thousand Creations baru sahaja hendak memuji dirinya sendiri, tetapi tanpa disangka-sangka, sebelum dia sempat menggunakan serangan Circle Swing, raksasa itu telah jatuh tersembam ke tanah. Serangannya tidak mengenai sasaran!

Thousand Creations tergamam.

Nampaknya Ye Xiu telah menggunakan Falling Flower Palm dengan kekuatan yang tepat sekali dan dia telah menjangkakan Thousand Creations akan menggunakan Circle Swing juga. Disebabkan itu, dia sengaja mensasarkan raksasa itu supaya jatuh ke sudut yang tidak dapat dicapai oleh Thousand Creations dan membuatkan dia terlepas dari sasaran. Ini bukannya sesuatu yang mudah untuk dilakukan!

"Kamu masih ada banyak yang perlu dipelajari," kata Ye Xiu dengan nada yang tidak berminat.

Thousand Creations cuba untuk mengejar Lord Grim yang berlalu pergi, tetapi dia telah diserang oleh raksasa yang gagal dibunuhnya tadi.

"Kamu jangan lari!" Pemain yang suka berlagak seperti Thousand Creations ini tidak dapat menahan perasaan apabila dimalukan oleh pemain lain. Dia memukul raksasa itu dengan kuat, melambungkannya ke arah Lord Grim, dan mula mengejar Lord Grim semula.

Lord Grim sekali lagi menunjukkan kemahirannya. Dia menggunakan serangan Dragon Tooth diikuti dengan Sky Strike. Raksasa yang dilemparkan ke arahnya kini terpelanting di awang-awangan. Ye Xiu melompat tinggi dan mengenakan serangan Double Stab. Rakasa itu terpelanting semula ke arah Thousand Creations dengan tangannya terbuka seolah-olah dia hendak memeluk Thousand Creations!

"Jahanam!" Thousand Creations tidak mempunyai masa yang cukup untuk bertindakbalas kerana dia telah berlari untuk mengejar Lord Grim dengan laju. Raksasa itu singgah tepat ke mukanya! Bangkai raksasa itu meletup dan membasahi seluruh tubuh Thousand Creations.

Setelah menolak saki-baki bangkai raksasa itu, Thousand Creations serta-merta bangun. Malangnya, bangkai itu rupanya masih bernyawa dan sedang mencuba untuk menggigit betis Thousand Creations. Setelah memukulnya dengan belantan, akhirnya raksasa itu mati. Baru sahaja Thousand Creations hendak mencari Lord Grim semula, dia terdengar bunyi tulang-temulang. Seekor raksasa tulang telah datang entah dari mana. Raksasa itu menghunuskan parang miliknya dan menyerang Thousand Creations.

"Kamu kan suka curi bunuh? Apa lagi, saya sudah sedekahkan seekor raksasa pada kamu. Tapi ada lagi ni!" jerit Lord Grim. Thousand Creations melihat ke arah Lord Grim. Dia sudah pun mengumpul 4 ekor raksasa lagi di sekelilingnya! Dengan menggunakan Falling Flower Palm, keempat-empat ekor raksasa itu dihempaskan tepat ke arah Thousand Creations!

avataravatar
Next chapter