8 Pergelutan Antara Hidup Dan Mati

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Tiba-tiba sahaja, Midnight Phantom Cat menolak Sleeping Moon ke tepi dan menumpukan cakarannya pada Fallen Sun. Dia gagal mengelakkan serangan pantas tersebut.

"Ah! Maafkan saya!" Sleeping Moon memohon maaf.

"Berhenti! Jangan menyerang dia!" Sleeping Moon mengarahkan Fallen Sun untuk berundur supaya dia dapat menarik perhatian raksasa itu semula. Malangnya, setelah Fallen Sun melarikan diri, Phantom Cat mengalihkan serangannya kepada pemain-pemain lain pula!

"Saya gagal menarik perhatiannya sekali lagi! Biar betul!" teriak Sleeping Moon dengan geramnya. Pemain yang sedang menerima serangan pada waktu ini hanya memakai baju perisai yang diperbuat daripada kain, maka kuasa pertahanannya tidak tinggi. Dia menerima kecederaan yang serius akibat daripada cakaran Phantom Cat. Syukurlah Ye Xiu bertindak dengan cepat, dia lantas melakukan 'healing' kepada pemain tersebut. Akan tetapi, kuasa serangan raksasa itu terlalu kuat! Ye Xiu tidak mampu untuk memastikan pemain tersebut terus hidup buat jangka masa yang lama.

Pada akhirnya, dia hanya mampu bertahan selama 7 saat sahaja. Kemahiran 'Heal' Ye Xiu sudah memasuki tempoh 'cooldown' dan waktu itu digunakan sepenuhnya oleh Phantom Cat untuk membunuh pemain yang malang tersebut. Sleeping Moon cuba untuk menyelamatkan keadaan, tetapi tetap gagal berbuat demikian kerana dia tidak cukup pantas.

Dalam dunia permainan Glory, apabila seorang pemain mati di dalam 'dungeon', dia akan ditendang keluar dan tidak dibenarkan untuk masuk semula. Maka, kumpulan lima pemain itu hanya tinggal berempat sahaja.

"Jahanam! Satu demi satu kamu diserang! Saya tidak boleh berbuat apa-apa!" Kata Sleeping Moon dengan nada kecewa. Phantom Cat masih tidak menumpukan serangannya kembali kepada Sleeping Moon, sebaliknya menyerang pemain yang ketiga pula.

Pemain ketiga ini adalah seorang ahli sihir yang turut sama memakai baju perisai kain. Kali ini, Ye Xiu tidak menyembuhkan dia, sebaliknya memilih untuk menyelamatkan Fallen Sun. Ini kerana tempoh 7 saat adalah tidak cukup untuk merawat ahli sihir terbabit, sebaliknya ia adalah lebih berguna untuk Fallen Sun.

Keadaan 'Berserk' Midnight Phantom Cat bukan sahaja meningkatkan kelajuan dan kekuatan serangannya, ia turut memberikannya sebuah kemahiran khas yang dinamakan 'Bleed'. Pada waktu ini, Fallen Sun sedang menderita akibat daripada kemahiran 'Bleed' itu.

Jika Ye Xiu memilih untuk merawat ahli sihir, dia tetap akan mati selepas 7 saat kerana kuasa pertahanannya jauh lebih lemah dibandingkan dengan kuasa cakaran Phantom Cat. Kesudahannya, ahli sihir itu dan Fallen Sun akan mati bersama-sama! Jadi, tindakan Ye Xiu untuk menyelamatkan Fallen Sun adalah keputusan yang jauh lebih bijak.

Ye Xiu sudah putus harapan terhadap Sleeping Moon dan bergegas untuk merawat Fallen Sun. Ini menimbulkan kemarahan ketua kumpulan tersebut dan lantas dia menjerit: "Kenapa kamu menyembuhkan Fallen Sun pula??"

Ye Xiu tidak menjawab. Setelah ahli sihir tersebut dibunuh, Midnight Phantom Cat kembali menumpukan serangannya pada Fallen Sun sekali lagi.

Fallen Sun menggigil ketakutan. "Perlukah saya menyerangnya?"

"Seranglah, bodoh!" jerit Sleeping Moon sambil terus mencuba untuk menarik perhatian raksasa itu semula.

Sungguh malang sekali nasib Fallen Sun. Baru sahaja keadaan 'Bleed' dirinya disembuhkan, Midnight Phantom Cat mencakarnya sekali lagi dan 'Bleed' terjadi lagi! Keadaan sebegini sepatutnya mempunyai kadar kemungkinan yang rendah untuk berlaku, tetapi ia seakan-akan mempunyai kemungkinan 100% untuk Fallen Sun. 'Cursed', 'Bleed', semua pun ada padanya!

Ye Xiu menjangka bahawa Fallen Sun hanya mampu hidup selama 13 saat lagi. Dalam jangka masa ini, Sleeping Moon boleh menyelamatkan keadaan jika dia dapat menarik perhatian Midnight Phantom Cat, tetapi apa yang sedang dia lakukan? 

Kehebatan Sleeping Moon pada awal pertarungan seakan-akan sudah langsung hilang. Tiada satu pun serangannya yang mengenai sasaran! Setelah puas menyumpah seranah dan menjerit-jerit, Fallen Sun akhirnya tumbang juga.

Ye Xiu dengan segera berundur untuk mengelak daripada menjadi sasaran raksasa itu. Akhirnya, Midnight Phantom Cat kembali menyerang Sleeping Moon.

"Abang, berhati-hati ya! Kamu masih ada 'mana' tak?" tanya Sleeping Moon dengan ceria.

"Kamu yang sepatutnya berhati-hati…" Ye Xiu menaip.

"Jangan risau. Kita berdua ni sama kuat, sama padan. Kita takkan ada masalah nak menewaskan raksasa ni!" kata Sleeping Moon dengan penuh semangat.

Akan tetapi, serangannya masih lagi gagal mengenai sasaran. Cakaran Midnight Phantom Cat singgah tepat ke mukanya.

"Sembuhkan saya, sembuhkan saya, sembuhkan saya cepat!" teriak Sleeping Moon dengan kuat.

Kali ini, Lord Grim langsung tidak menunjukkan sebarang reaksi. Sepanjang pertarungan, dia tidak pernah gagal untuk melakukan 'healing' walau sekali pun. Tetapi dia langsung tidak berbuat apa-apa pada waktu ini.

"Saya tak boleh menyembuhkan kamu. Nanti kalau raksasa ni menyerang saya, macam mana pula?"

"Kamu…" Sleeping Moon terkejut melihat Lord Grim sedang bersantai sambil bersandar pada sebatang pokok. Dia sedar bahawa dia sedang berada dalam keadaan bahaya sekarang.

"Ia takkan menyerang kamu! Cepat rawat saya!" jerit Sleeping Moon lagi. Malangnya, Lord Grim tetap tidak menunjukkan sebarang reaksi.

Midnight Phantom Cat menyerang sekali lagi. Kali ini, reaksi Sleeping Moon tiba-tiba menjadi lincah semula. Dia menetak secara mendatar untuk menghalang cakaran raksasa itu. Kemudian dia melompat tinggi dan menyerang dengan cukup mahir, seperti yang dilakukannya pada awal pertarungan. Malahan, serangannya juga kembali menemui sasaran.

Akan tetapi, dia sedang berhadapan dengan Midnight Phantom Cat yang menggila sekarang ini. Kelajuan dan kekuatan serangan Sleeping Moon tidak setanding dengan raksasa itu lagi. Setelah menyerang beberapa kali, dia gagal mengenai sasaran sekali lagi dan Phantom Cat menggunakan kesempatan itu untuk menggigit tubuhnya.

"CEPAT SEMBUHKAN SAYA!!" Sleeping Moon semakin risau. Sungguhpun dia lebih handal daripada Fallen Sun dan pemain-pemain lain yang telah terkorban, dia tahu bahawa Midnight Phantom Cat tetap jauh lebih kuat daripadanya.

"Kamu nak saya buat apa?" tanya Ye Xiu dengan rasa tidak bersalah.

"Sembuhkan sayalah!!"

"Saya tak fahamlah. Kamu sedang dalam keadaan 'Bleed', saya boleh buat apa?"

"Kamu…" merah padam muka Sleeping Moon menahan marah.

"Sayangnya, kamu tak cukup kuat nak menentang bos tersembunyi ini seorang diri kan? Kalaulah kamu menjadi seorang ketua kumpulan yang jujur, tentunya ahli-ahli kumpulan kita yang lain takkan terkorban dan kita pasti dapat menumbangkan raksasa ini bersama-sama sekarang." kata Ye Xiu.

"Ini semua terjadi kerana sifat tamak kamu! Kamu sengaja menarik perhatian raksasa ini di awal pertarungan supaya ahli-ahli lain akan berada dalam keadaan kurang bersedia. Bila tiba masanya, kamu biarkan raksasa ini menyerang dan membunuh semua ahli lain. Rancangan kamu adalah untuk membunuh raksasa ini seorang diri apabila ia berada dalam keadaan nyawa-nyawa ikan. Dengan itu, dapatlah kamu membolot semua ganjaran seorang diri kan? Kamu tidak peduli langsung tentang 'dungeon' ini, apa yang kamu mahukan hanyalah ganjaran daripada bos tersembunyi ini. Betul tak?" Ye Xiu terus menaip.

Peluh dingin mengalir dari dahi Sleeping Moon apabila membaca apa yang ditaip oleh Ye Xiu. Dia sungguh tidak menyangka bahawa rahsianya akan terbongkar. Benar sekali, dia sengaja membiarkan Midnight Phantom Cat menyerang dan membunuh semua ahli kumpulannya yang lain. Rancangan asalnya adalah untuk membiarkan Lord Grim turut terkorban apabila dia sedang sibuk merawat semua ahli lain. Dengan itu, dapatlah Sleeping Moon membolot semua ganjaran seorang diri.

Malang sekali, Lord Grim lebih bijak dan memilih untuk tidak melakukan penyembuhan apabila keadaan menjadi semakin genting. Dia tahu bahawa dia tidak dapat menyelamatkan semua orang, jadi dia memilih untuk menyelamatkan dirinya sendiri dengan memastikan serangan Midnight Phantom Cat tidak tertumpu pada dirinya! Sekarang ini pula, dia sengaja tidak mahu menyembuhkan Sleeping Moon supaya Midnight Phantom Cat dapat menghapuskannya!

"Abang, janganlah kita bertengkar pada waktu-waktu sebegini. Kamu bukannya kenal 3 pemain lain tadi pun. Jom kita bekerjasama untuk menumpaskan raksasa ni. Kita bahagikan ganjaran 50/50, ok?" Sleeping Moon cuba memujuk.

"50% saja? Saya nak 100%!" jawab Ye Xiu.

"Baiklah…" Sleeping Moon mengetap giginya. "Kamu boleh ambil apa sahaja bahan mentah dan peralatan yang kita menangi, yang selebihnya pula kita lontar dadu, okay?" kata Sleeping Moon dengan sedihnya.

Tanpa kuasa penyembuhan Lord Grim, Sleeping Moon tahu ia adalah mustahil buatnya untuk menumpaskan Midnight Phantom Cat.

"Kamu serius ke? Saya tak percayalah!" teriak Ye Xiu.

"Habis kamu nak macam mana??" kata Sleeping Moon lagi. Nyawanya sudah tinggal separuh. Raksasa yang sedang menggila itu semakin ganas. Perbincangannya dengan Ye Xiu menyukarkan lagi usahanya untuk terus hidup. Dia bersumpah dalam hatinya yang dia akan membalas dendam terhadap Ye Xiu satu hari nanti.

"Kamu tak perlu risau apa yang saya mahukan. Sekarang, kamu pergilah mati!" jawab Ye Xiu.

"Kamu….kamu gila! Kalau saya mati, kamu pun akan mati juga! Sudahnya, tak ada siapa pun yang akan dapat ganjaran itu!" Nyawa Sleeping Moon sudah tinggal suku sahaja.

"Kawanku, saya tak nak bergelut dalam keadaan antara hidup dan mati seperti ini!!" Nyawanya hanya tinggal satu per lima.

"Kamu ini bodoh!" Nyawanya tinggal satu per tujuh.

"Lord Grim, kamu ni betul-betul dah gila kan? Kamu tahu tak betapa kuatnya Persatuan Full Moon saya?" Sleeping Moon cuba untuk mengugut pula. Nyawanya tinggal satu per sembilan.

"Habislah kamu!" kata Ye Xiu dengan selamba. Midnight Phantom Cat hanya perlu menyerang sekali sahaja lagi untuk membunuh Sleeping Moon.

"Jahanam…"

Cakaran Midnight Phantom Cat tepat mengenai sasaran dan keadaan menjadi sunyi.

Melihatkan Sleeping Moon sudah tumbang, Lord Grim lantas bangun dan mula menyerang.

Ye Xiu ketawa riang. Tangan kirinya menghentak papan kekunci dan tangan kanannya menggerakkan tetikus. Lord Grim menghunuskan Payung Seribu Manifestasi. Menariknya, payung tersebut bertukar menjadi bentuk sebuah tombak! Dengan tangkasnya ia dihayunkan ke arah Midnight Phantom Cat.

avataravatar
Next chapter