3 Menjadi Pelajar Luaran Mazhab

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

"Kamu telah tidur awal semalam. Sekarang tiba masanya bangun untuk menghadap Tok Belang!" Pintu rumah masih bergegar daripada tendangan tadi. Seorang lelaki yang tegap, tinggi dan berpakaian pekerja masuk ke dalam rumah Meng Hao. Dia merenung tajam pada Meng Hao dan Si Gempal.

"Mulai hari ini, kamu berdua masing-masing akan memotong sepuluh batang balak bagi aku setiap hari!" kata Tok Belang dengan bengis. "Kalau tidak, siaplah Tok Belang libaskan kamu berdua."

"Selamat pagi Tok Belang," kata Meng Hao sambil bergegas turun dari katil dan berdiri di tepi dengan gementar. " Tok Belang, boleh tak kamu rendahkan sua.." Belum sempat Meng Hao menghabiskan ayatnya, lelaki tegap itu menatap Meng Hao dengan matanya yang terbeliak.

"Cis! Kamu rasa suara Atok terlalu kuat?"

"Kalau macam itu, kamu memotong sepuluh batang balak lagi untuk aku," kata Tok Belang sambil berdehem.

Walaupun Meng Hao tidak berkata apa-apa, otak dia berpusing-pusing. Dia baru sahaja sampai di Mazhab Reliance, tetapi sudah mula dibuli. Dia tidak puas hati, tetapi lelaki tegap itu begitu besar dan kuat sedangkan Meng Hao sendiri begitu kecil dan lemah. Meng Hao langsung tiada peluang untuk melawan balik. Kemudian, dia menjeling ke arah meja dan ternampak kesan-kesan gigitan. Meng Hao teringat kembali tentang betapa kuatnya Si Gempal sewaktu dia berjalan dalam tidur. Meng Hao dapat satu idea. Tiba-tiba,dia menjerit kepada Si Gempal.

"Si Gempal! Ada orang cuba mencuri roti dan isteri kamu!"

Sebaik sahaja kata-kata Meng Hao keluar daripada mulutnya, Si Gempal itu bangun terduduk dengan matanya masih terpejam tetapi air mukanya menjadi ganas dan kejam.

"Siapa yang mencuri roti aku? Siapa yang merampas isteri aku?" jerit Si Gempal. Dia melompat turun dari katilnya dan berkata, "Aku akan gigit kamu sampai mati!" Si Gempal mula menyerang secara rambang di sekeliling rumah mereka. Lelaki tegap itu terkejut dan tergamam. Tok Belang berundur selangkah ke hadapan dan berjaya menampar Si Gempal.

"Berani kamu menjerit-jerit di hadapan Tok Belang!" Tamparan Tok Belang kena tepat pada muka Si Gempal. Tetapi lelaki tegap itu menjerit dengan kuat. Si Gempal telah menggigit tangan Tok Belang dengan matanya yang masih lagi terpejam. Tidak kisah macam mana Tok Belang menghayun-hayunkan tangannya, Si Gempal tidak melepaskan gigitannya.

"Berhenti gigit aku, berhenti gigit aku!" Lelaki tegap ini seorang pekerja juga, bukannya seorang petapa. Dia telah menjadi pekerja untuk jangka masa yang amat panjang. Akan tetapi, gigitan Si Gempal begitu menyakitkan sehingga peluh dingin mula keluar di mukanya. Dia menumbuk dan menendang, tetapi masih gagal untuk melonggarkan rahang Si Gempal biar pun sedikit. Lagi kuat dia memukul Si Gempal, lagi dalam gigitan Si Gempal. Seketul daging pada tangan lelaki tegap itu kelihatan terkoyak. Ianya seolah-olah hampir putus diratah oleh Si Gempal.

Jeritan lelaki tegap itu bergema sehingga ke luar rumah dan mula menarik perhatian orang lain. Satu suara yang dingin menjerit.

"Apa yang sedang berlaku?"

Suara tersebut milik lelaki bermuka panjang itu. Sebaik sahaja lelaki tegap terdengar suara ini. Badannya mula menggigil ketakutan. Walaupun rasa sakit pada tangannya begitu memeritkan, dia berjaya mendiamkan dirinya.

"Ianya bukan sesuatu yang bijak untuk mengganggu Senior yang mentadbir hal ehwal pekerja," kata lelaki tegap dengan cepat. "Tiada kebaikan untuk siapa-siapa jika kita teruskan semua ini. Cepat! berhenti menggigit aku! Aku tak perlu lagi sepuluh batang balak daripada kamu berdua."

Meng Hao langsung tidak menyangka bahawa walaupun dalam keadaan berjalan dalam tidur, Si Gempal masih dapat memberi pertolongan dalam situasi seperti ini. Dia berjalan menghampiri Si Gempal dan menampar muka Si Gempal dengan lembut sambil berbisik ke telinga Si Gempal.

"Roti kamu sudah dikembalikan, begitu juga dengan isteri kamu."

Si Gempal pun kembali bertenang dan melonggarkan rahangnya. Si Gempal berjalan balik ke arah katilnya sambil melepaskan tumbukan ke udara. Setelah tiba di katilnya, Si Gempal kembali tidur dengan mukanya yang dipenuhi kesan darah.

Lelaki tegap itu meninggalkan rumah Meng Hao tanpa berkata apa-apa selepas menjeling ke arah Si Gempal dengan ketakutan.

Meng Hao berdiri seketika dan melihat ke arah Si Gempal. Kemudiannya dia kembali ke katilnya tidur semula.

Pada subuh hari keesokannya.

Mentari muncul di langit, bunyi loceng pun mula bergema di udara. Bunyi loceng itu seakan-akan mempunyai kuasa ajaib. Sesiapa sahaja yang mendengar bunyi loceng tersebut, akan bangun daripada tidur dan bersiap sedia untuk bekerja. Si Gempal juga bangun daripada tidur. Dia melihat pada kesan-kesan yang ditinggalkan di badannya dengan kebingungan. Dia menyentuh mukanya sendiri.

"Apa yang telah berlaku semalam? Mengapa seluruh badan aku kesakitan? Ada sesiapa yang memukul aku?"

Meng Hao bersiap-siap memakai pakaiannya dengan senyap sebelum berkata apa-apa.

"Tiada apa yang berlaku. Semua perkara seperti biasa."

"Mengapa aku rasa muka aku lebam?"

"Mungkin kamu digigit nyamuk."

"Habis itu, mengapa mulut aku ada darah?"

"Sebenarnya, kamu jatuh dari katil beberapa kali semalam." kata Meng Hao lalu membuka pintu dan melangkah keluar dari rumah. Meng Hao terhenti seketika dan menoleh balik melihat Si Gempal. "Dengar sini Si Gempal, kamu harus mengasah gigi kamu lebih kerap. Tajamkan gigi kamu." kata Meng Hao dalam nada suara yang serius.

"Oh? Ayah aku juga cakap benda yang sama seperti kamu pada aku," kata Si Gempal dalam keadaan terkejut sambil memakai jubah dia dengan berhati-hati.

Meng Hao dan Si Gempal memulakan tugas mereka sebagai pekerja dalam Mazhab Reliance. Mereka menebang pokok dan memotong balak.

Meng Hao dan Si Gempal masing-masing harus menebang sepuluh pohon pokok. Lereng di sekeliling kawasan pekerja bahagian utara dipenuhi dengan banyak pokok. Walaupun pokok-pokok itu tidak setinggi mana, tetapi ianya amat tebal dan meliputi seluruh kawasan pekerja bahagian utara bagaikan laut yang tidak dapat dilihat sempadannya.

Meng Hao memikul kapaknya. Dia menggosok-gosok bahagian bahunya. Kedua-dua tangannya berasa kebas dan sakit. Kapak yang digunakan sangat berat. Di sebelahnya kelihatan Si Gempal tercungap-cungap apabila mereka berjalan naik ke lereng seterusnya. Akhirnya, mereka tiba di suatu kawasan yang sesuai. Bunyi hayunan kapak mula kedengaran apabila mereka memulakan tugasan masing-masing.

"Ayah aku sangat sangat kaya." kata Si Gempal dengan muka yang sedih. Dia mengangkat kapaknya. "Aku juga akan menjadi sangat kaya. Aku tidak mahu menjadi seorang pekerja.... Dewa-dewa ini semuanya ganjil dan mereka mempunyai kuasa sihir. Mengapa mereka perlukan api? Dan mengapa pula mereka perlukan kita untuk menebang pokok bagi mereka?

Tidak seperti Si Gempal yang suka bercakap, Meng Hao terlalu letih untuk bercakap apa-apa. Meng Hao bermandi peluh. Meng Hao berasal dari Daerah Yunjie yang mundur. Dia tidak dapat makan daging yang banyak, oleh itu badannya begitu lemah. Meng Hao tiada tenaga yang banyak. Setelah setengah colok telah terbakar menandakan masa yang berlalu, Meng Hao bersandar pada pokok dan menarik nafas panjang.

Meng Hao melihat kepada Si Gempal. Walaupun Si Gempal juga kelihatan letih dan menggigil, dia tetap meneruskan penebangannya sambil memaki hamun. Si Gempal lebih muda daripada Meng Hao tetapi lebih kuat daripada Meng Hao.

Meng Hao menggelengkan kepalanya dengan perasaan pilu di hati dan terus berehat. Meng Hao mengeluarkan Buku Panduan Pemekatan Qi dan menelitinya lagi. Berpandukan cara-cara dalam buku panduan itu, dia cuba untuk mengesan tenaga rohani yang terkandung dalam langit dan darat.

Masa berlalu dengan cepat,.Pada waktu senja, Meng Hao hanya dapat menebang dua pohon pokok dan Si Gempal telah menebang lapan pohon pokok. Dengan mencampurkan bilangan pokok yang ditebang, salah seorang daripada mereka dibenarkan makan. Selepas berbincang sedikit, Si Gempal pergi mendapatkan makanan dan mereka berkongsi makanan tersebut di bilik mereka. Kemudiannya mereka tertidur dengan cepat kerana mereka berasa amat letih.

Seperti biasa, dengkuran Si Gempal bergema di dalam bilik. Meng Hao cuba sedaya upaya untuk duduk. Matanya kelihatan bersinar dengan cahaya penuh keazaman. Tanpa menghiraukan rasa lapar dan keletihan, dia mengambil buku panduan Pemekatan Qi dan membaca sekali lagi.

"Bila aku bersedia untuk menduduki peperiksaan, aku akan membaca buku sehingga waktu subuh. Aku sudah biasa berasa lapar. Demi kehidupan baru aku di sini, biar pun aku letih, tetapi aku ada satu sasaran yang tepat. Aku percaya biar pun aku gagal dalam peperiksaan Diraja, aku tidak akan gagal menjadi seorang petapa." Tekad yang kukuh terpancar daripada matanya. Dia menundukkan kepalanya dan mula membaca.

Meng Hao terus membaca sehingga larut malam. Sehingga akhirnya dia tertidur. Akan tetapi, tidak tahu sejak bila, semasa dia tertidur, Meng Hao bermimpi tentang mengesan tenaga rohani dalam langit dan bumi. Bunyi loceng itu mengejutkannya pada keesokan hari. Meng Hao membuka matanya yang kemerah-merahan, menguap dan turun daripada katil. Kemudian, Meng Hao dan Si Gempal yang bertenaga itu pun mulakan tugasan mereka menebang pokok.

Satu hari berlalu, dua hari berlalu, tiga berlalu... masa berlalu selama dua bulan. Daya menebang pokok Meng Hao telah meningkat daripada dua pohon menjadi empat pohon sehari. Akan tetapi, kebanyakannya digunakan untuk mencari erti dan sifat tenaga rohani. Mata Meng Hao menjadi semakin merah. Pada satu hari di mana masa mendekati waktu senja, semasa dia bermeditasi, badan Meng Hao tiba-tiba terketar-ketar dan dia berasa kebas pada kaki dan tangannya seperti dicucuk oleh jarum tajam. Kelihatan secekak Qi yang lutsinar memekat di dalam badan dan darahnya lalu meresap keluar daripada badannya.

Selepas itu, Meng Hao terasa ada sejalur tenaga rohani muncul di dalam dirinya. Ianya lenyap dengan cepat. Akan tetapi, Meng Hao membuka matanya dalam keadaan gembira. Keletihan badannya hilang, dan matanya yang merah menjadi putih kembali. Badannya menggigil dan dia memegang Buku Panduan Pemekatan Qi dengan kemas. Meng Hao tidak cukup makan dan tidur lena untuk beberapa bulan yang lepas. Selain daripada menebang pokok, dia menghabiskan semua masanya ke atas tenaga rohani, dan sekarang, dia mendapat sedikit hasil. Meng Hao berasa dirinya penuh dengan kekuatan.

Masa berlalu umpama panah yang dilepaskan. Sekarang merupakan bulan kelapan dalam setahun, musim panas. Sinaran matahari yang terik jatuh dari langit.

"Pekatkan Qi ke dalam badan,sebatikannya dan bebaskan. Bukalah saluran darah dan laluan Qi, bergema seiring dengan langit dan bumi." Pada satu tengah hari di gunung berdekatan dengan Mazhab Reliance, Meng Hao memasukkan bahan bakar ke dalam unggun api dengan satu tangan dan memegang Buku Panduan Pemekatan Qi dengan tangannya yang satu lagi yang dibacanya dengan penuh perhatian.

Meng Hao memejamkan mata untuk jangka masa bagi sebatang colok dibakar, merasai jalur Qi yang halus di dalam badannya. Jalur Qi ini merupakan jalur Qi yang wujud sejak dua bulan yang lepas, dan Meng Hao menganggapnya sebagai harta yang sangat bernilai. Jalur Qi tersebut jelas lebih lebar sekarang. Dengan menggunakan nota dan teknik peredaran yang tercatat dalam buku panduan, Meng Hao mula bermeditasi. Ini membolehkan jalur Qi tersebut beredar dalam badannya.

Tidak lama kemudian, Meng Hao membuka matanya dan terlihat Si Gempal sedang bergegas ke arah dia sambil memegang kapaknya.

"Baik, macam mana?" kata Si Gempal sambil tercungap-cungap kerana berlari-lari anak tadi. Walaupun dia masih gempal tetapi badannya kelihatan semakin kuat.

"Aku masih tidak dapat mengedarkannya ke seluruh badan aku," kata Meng Hao sambil ketawa. "Akan tetapi aku berkeyakinan bahawa dalam masa satu bulan lagi, aku akan dapat mencapai peringkat satu Pemekatan Qi."-

"Apa yang aku maksud ialah macam mana ayam itu?" Si Gempal menjilat bibirnya sambil melihat pada unggun api.

"Oh, sudah hampir siap." kata Meng Hao yang juga menjilat bibirnya sambil menarik keluar dahan yang dijadikan bahan bakar. Si Gempal menggunakan kapaknya untuk menggali tanah di situ dan mengeluarkan ayam tersebut. Ayam tersebut memang sudah masak.

Bau wangi memenuhi udara , mereka membahagikan ayam tersebut kepada dua dan mula makan dengan seronok.

"Semenjak kamu mendapat tenaga rohani, kamu dapat menangkap ayam hutan. Jika dibandingkan dengan sekarang, kehidupan kita pada dua bulan lepas di sini umpama neraka." kata Si Gempal dengan bibirnya yang penuh dengan minyak. Sudah menjadi kebiasaan bagi Si Gempal untuk mengampu Meng Hao sekarang.

"Banyak orang yang mendapatkan makanan dari hutan ini, cuma kamu tidak tahu." kata Meng Hao sambil menggigit peha ayam.

"Ai, kalau kamu benar-benar mencapai peringkat satu tahap pemekatan Qi dan menjadi pelajar luaran mazhab, apa yang harus aku buat pada masa itu?" kata Si Gempal dengan muka yang sedih. " Aku tidak faham mana-mana nota dalam buku panduan tersebut."

"Lihat, Si Gempal, satu-satu caranya untuk kamu dapat pulang ke rumah adalah dengan menjadi pelajar luaran mazhab." kata Meng Hao sambil melihat pada Si Gempal selepas meletakkan peha ayamnya.

Si Gempal terduduk diam seketika sebelum menganggukkan kepalanya dengan penuh keazaman.

Enam hari telah berlalu, malam ini, Si Gempal telah pun tidur dan Meng Hao bermeditasi dengan duduk bersila dalam bilik mereka. Meng Hao berfikir tentang bagaimana selain daripada menebang pokok, dia telah menggunakan masa selama tiga bulan untuk mengesan tenaga rohani. Dia teringat balik kepada dua bulan yang lalu. Sewaktu kali pertama jalur Qi mula berputar dalam badannya. Dia menarik nafas yang panjang. Dia memejamkan matanya dan menyebabkan jalur Qi dalam badannya beredar ke seluruh badannya. Kemudiannya, satu bunyi yang kuat bergema dalam otaknya. Sehingga kini, dia belum lagi berjaya untuk membahagikan Qi tersebut ke seluruh badannya. Tetapi, dia berjaya kali ini. Dia membahagikan jaluran QI tersebut dan mengedarkannya ke seluruh badannya. Meng Hao merasakan badannya seolah-olah terapung.

Pada masa yang sama Meng Hao mencapai peringkat satu Pemekatan Qi, lelaki bermuka panjang yang duduk di atas batu besar membuka matanya perlahan-lahan dan melihat ke arah rumah Meng Hao. Selepas itu, dia memejamkan matanya lagi.

Pada subuh, dengan jelingan dengki semua orang dalam kawasan pekerja bahagian utara, Meng Hao melangkah keluar dari bangunan yang telah menjadi rumahnya selama empat bulan. Meng Hao kini berdiri di hadapan lelaki bermuka panjang.

Si Gempal tidak mengikut Meng Hao. Dia berada di sebelah pintu dan melihat ke arah Meng Hao. Mata Si Gempal penuh dengan keazaman.

"Kamu telah mencapai peringkat satu Pemekatan Qi dalam masa empat bulan. Kamu tidaklah pandai mana, tetapi tidak bodoh juga." Lelaki bermuka panjang melihat pada Meng Hao dan nada suaranya tidak lagi dingin. Dengan suara yang tenang, dia berkata, "Sekarang kamu akan pergi ke bahagian luar Mazhab. Saya harus memberitahu kamu tentang peraturan-peraturan di sana. Setiap bulan, Batu rohani dan pil-pil ubat akan dibahagikan di sana. Akan tetapi, berada dalam kumpulan atau merampas barang orang lain secara paksa adalah tidak dilarang. Di sana juga ada satu tempat awam yang dikenali sebagai Zon Pembunuhan. Kamu...kamu harus pandai menjaga diri sendiri apabila tiba di sana." Sebaik sahaja dia habis bercakap, dia mengangkat tangan kanannya di mana sekeping jed terbang keluar dan terapung-apung di hadapan Meng Hao. Meng Hao mengambil jed tersebut.

"Isikan tenaga rohani ke dalam jed tersebut dan ia akan membawa kamu ke Astaka Harta Karun bahagian luar mazhab. Di sana kamu akan mendaftarkan kenaikan pangkat kamu." Lelaki bermuka panjang itu kembali memejamkan matanya.

Meng Hao tidak berkata apa-apa. Selepas mendakap tangannya tanda hormat, Meng Hao melihat ke arah Si Gempal. Mereka melihat sesama sendiri buat seketika dan Meng Hao berasa emosi mula bergelora dalam hatinya. Dia memilih untuk tidak mengendahkan emosi tersebut. Meng Hao mencubit jed tersebut. Ianya mula bercahaya dengan sinar hijau serta terapung ke hadapan secara perlahan-lahan.

Meng Hao mengikut jed itu dan meninggalkan kawasan pekerja bahagian utara.

Meng Hao berjalan di satu jalan yang sempit dimana dia datang ke sebuah pagar utama, kian jauh Meng Hao berjalan menuju ke kaki gunung. Akhirnya, dia sampai di satu kawasan yang dia tidak pernah menjejakkan kaki selama empat bulan yang lalu.

Mazhab Reliance terdiri daripada empat gunung utama dan masing-masing merupakan Puncak timur, Puncak barat, Puncak utara dan Puncak Selatan. Kesemua puncak ini dikelilingi oleh banjaran gunung yang tidak berpenghujung. Di pertengahan setiap Gunung merupakan kawasan pekerja. Meng Hao telah diagihkan di kawan pekerja bahagian utara yang berada di Puncak Utara. Laluan ke puncak gunung dilindungi dengan mantera pertahanan. Di dalam sana adalah tempat tinggal pelajar dalaman mazhab serta tertua.

Setiap Puncak mengamalkan sistem yang sama. Bagi kawasan bahagian luar mazhab pula merupakan tanah lapang yang penuh dengan rumah yang dihuni oleh kumpulan luaran Mazhab Reliance.

Di bahagian ini, Pentadbiran Mazhab Reliance agak berbeza jika berbanding dengan mazhab lain. Di mana, kumpulan luaran Mazhab berada di kaki gunung, para pekerja berada di pertengahan gunung. Tujuan penciptaan peraturan mazhab ini oleh Bapa Reliance adalah tidak diketahui.

Dari jauh, seluruh kawasan ini kelihatan diselubungi oleh kabus yang berkepul-kepul. Namun begitu, sekiranya menjejakkan kaki ke dalam kabus, ia akan hilang. Di hadapan Meng Hao sekarang adalah dinding yang buat daripada batu marmar, bangunan tinggi dan jalan yang diturap dengan batu hijau. Pelajar luaran Mazhab lalu lalang dan berpakaian jubah hijau. Beberapa orang perasan dengan kehadiran Meng Hao apabila mereka berjalan melepasi dia.

Ada segelintir pelajar yang memandang sinis terhadap Meng Hao dan ada yang memandang Meng Hao dengan niat yang tidak baik. Meng Hao berasa seolah-olah ditatap oleh binatang buas dan dia mengimbas kembali apa yang diberitahu oleh lelaki bermuka panjang tentang kawasan luar mazhab ini.

Tidak lama kemudian, Meng Hao sampai di sebuah bangunan hitam yang terletak di kawasan selatan luaran mazhab. Bangunan ini tiga tingkat. Walaupun kelihatan hitam tetapi ianya sebenarnya diukir dengan jed, dan seolah-olah lutsinar.

Apabila Meng Hao memasuki bangunan tersebut, pintu utama bangunan itu terbuka dengan senyap sekali dan seorang lelaki pertengahan usia muncul di hadapan pintu utama. Dia memakai jubah hijau pekat.dan kelihatan sangat bijak. Dia mengangkat tangan kanannya membentuk satu gerakan menangkap, dan jed Meng Hao pun terjatuh ke dalam tangannya. Dia melihat kepada jed itu dan mula bercakap.

"Meng Hao telah dinaikkan pangkat kepada luaran mazhab. Dia akan dianugerahkan sebuah rumah, sehelai jubah hijau, seutas loket rohani, dan satu beg sakti. Loket rohani boleh digunakan di dalam Astaka Harta Karun untuk memilih satu perkakasan sakti." Dia melambaikan tangan kanannya dan satu beg kelabu muncul di dalam tangan Meng Hao.

Meng Hao melihat pada beg kelabu tersebut dan dia teringat kembali salah seorang pelajar luaran mazhab juga mempunyai beg kelabu yang sama seperti ini tergantung pada pinggangnya.

Lelaki yang kelihatan bijak itu melihat ke arah Meng Hao dan tahu bahawa jelasnya Meng Hao tidak tahu tentang selok-belok di luaran mazhab ini. Jika tidak, bagaimana dia boleh tidak mengenali beg sakti? Lelaki yang kelihatan bijak itu berasa simpati terhadap Meng Hao dan bercakap dengan nada yang lembut, "Dengan mengisi tenaga rohani kepada beg sakti ini, kamu boleh menyimpan banyak benda di dalamnya.

Mendengar keterangan ini, Meng Hao mengisi tenaga rohani ke dalam beg sakti itu. Dia ternampak bahagian dalaman beg sakti itu bersaiz separuh ketinggian seorang manusia. Di dalamnya, Meng Hao ternampak sehelai jubah hijau, sekeping jed dan beberapa benda yang lain. 

Sekarang, Meng Hao terasa sedikit kecil hati. Beg sakti ini mesti bernilai sekurang-kurangnya seratus syiling emas. Ia pastinya hasil buatan seorang dewa.

Meng Hao menumpukan perhatiannya dan kepingan jed itu tiba-tiba muncul di dalam tangannya. Dia menumpukan perhatiannya sekali lagi dan mencari sekeping peta luaran mazhab dalam beg sakti itu. Rumah dia berada di suatu tempat yang terpencil.

"Pergi ke rumah kamu sebentar lagi." kata lelaki yang kelihatan bijak itu. "Astaka Harta Karun telah dibuka dan kamu belum pergi ke sana lagi."

Meng Hao meninggikan kepalanya dan memasukkan beg sakti ke dalam jubahnya. Sambil memandang ke arah pintu Astaka Harta Karun yang buka, dia menarik nafas yang panjang sebelum melangkah ke dalamnya. Hatinya penuh dengan harapan untuk mendapat satu perkakas sakti yang hebat.

Sebaik sahaja dia masuk ke dalam Astaka Harta Karun, air mukanya bertukar. Sekali lagi dia menarik nafas panjang.

avataravatar
Next chapter