4 Cermin Tembaga

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Astaka Harta Karun sememangnya dipenuhi dengan pelbagai harta karun. Sebaik sahaja sesiapa masuk ke dalam Astaka Harta karun, matanya akan silau dek sinaran harta karun yang banyak itu. Rak yang diperbuat daripada jed disusun dengan rapi. Di atas rak tersebut terletaknya pelbagai botol, pedang, barang perhiasan dan banyak lagi barang kemas yang berkilau dengan cantik. Meng Hao mula bernafas dengan cepat, jantungnya turut berdegup cepat. Dia berasa semua darah dalam badannya telah naik ke atas otaknya. Dia terkaku kerana terperanjat dengan apa yang dilihat.

Sepanjang kehidupan Meng Hao, dia tidak pernah melihat kekayaan sebanyak ini. Meng Hao berasa dirinya seolah-olah ditelenggami harta karun yang menimbun ini. Otaknya berpinar. Keinginan untuk melarikan semua harta karun ini muncul dalam fikiran tanpa sengaja.

"Nilai semua harta karun ini..." bisik Meng Hao, "...tidak ternilai harganya. Pulangan untuk bekerja dengan dewa memang sukar dipercayai!" Meng Hao berjalan melepasi sebuah rak jed, mukanya dipenuhi dengan perasaan kegembiraan. Secara tidak sedar, dia menjenguk. Meng Hao tertanya-tanya sama ada harta karun pada tingkat tiga sama dengan yang ada di tingkat satu, ataupun wujudnya perkakas sakti yang lebih hebat di tingkat tiga.

"Dewa-dewa... mereka sangat kaya!" Meng Hao melepaskan keluhannya. Tiba-tiba, pandangannya tertumpu pada sesuatu yang ganjil. Di atas salah satu rak jed, dia ternampak sebuah cermin tembaga.

Pada cermin tembaga tersebut, wujudnya kesan hakisan. Cermin tembaga tersebut tidak kelihatan istimewa ataupun bersinar. Cermin tembaga tersebut seolah-olah tidak setanding dengan harta karun yang berada di sekelilingnya.

Meng Hao yang kehairanan mengambil cermin tembaga itu dan menelitinya. Cermin tembaga tersebut kelihatan seperti cermin biasa yang ada di alam manusia. Langsung tiada sebarang keistimewaan padanya. Namun begitu, ia tetap berada di Astaka Harta Karun ini. Oleh itu, ia pasti ada nilainya yang tersendiri.

"Adik Seguru ini betul-betul ada pandangan yang tajam," kata satu suara dari belakang Meng Hao. Dia tidak sedar sejak bila lelaki yang kelihatan bijak itu muncul di belakangnya. Dia memerhatikan cermin tembaga tersebut. Nada suaranya memuji Meng Hao. Dia menyambung, "Oleh kerana kamu telah mengambil cermin tembaga tersebut, ini menunjukkan kamu ditakdirkan memilikinya. Cermin tembaga ini mempunyai banyak legenda mengenainya. Namun, anehnya, hanya mereka yang bertuah dan pernah melakukan kerja amal yang banyak dapat memilikinya. Nampaknya Adik Seguru merupakan orang sebegitu. Dengan bantuan cermin tembaga ini, kamu akan berpeluang untuk berkuasa di mana-mana tempat yang kamu jejaki." Lelaki yang kelihatan bijak itu asyik mengeluh semasa dia bercakap. Suaranya umpama mempunyai kuasa ajaib yang memaksa Meng Hao untuk mendengar tutur katanya.

"Cermin ini..." Meng Hao sekali lagi melihat kepada cermin tersebut, riak wajahnya penuh kehairanan. Cermin tembaga tersebut tidak mempunyai ukiran yang rumit tetapi kesan hakisan yang ada menjadikannya kurang jelas.

"Adik Seguru, jangan kamu ambil hati tentang cermin yang kurang jelas itu. Kamu harus faham perkakas sakti yang hebat seringkali menyembunyikan diri mereka sebagai benda biasa. Lagi mereka kelihatan biasa, lagi berharga nilai mereka." Meng Hao hampir-hampir meletak semula cermin tembaga tersebut pada rak jed apabila lelaki kelihatan bijak itu bergegas untuk menghalang dia. Dia melihat Meng Hao dengan pandangan serius.

"Adik Seguru, sudah menjadi takdir kamu untuk mengambil cermin tembaga tersebut. Benarkah kamu ingin melepaskan tangan kamu hanya kerana cermin tembaga itu kelihatan seperti benda biasa? Aku sudah mentadbir astaka harta karun ini untuk masa yang sangat lama dan aku tahu dengan jelas asal-usul semua perkakas sakti yang ada di sini. Lama dahulu, cermin tembaga ini pernah mencetuskan hura-hara di Negara Zhao. Ia dicipta daripada suatu sinaran cahaya yang jatuh dari langit. Setelah Bapa Reliance memperoleh cermin tembaga ini, beliau cuba untuk mempelajari rahsia cermin tembaga ini dengan di mana dia percaya cermin tembaga ini berasal dari syurga. Walau bagaimanapun, Bapa Reliance gagal untuk menyelesaikan misterinya dan membuat keputusan cermin tembaga ini ditakdirkan untuk dimiliki seseorang yang mahu menggunakannya untuk berkuasa di syurga dan bumi."

Meng Hao terkejut apabila mendengar nama Bapa Reliance. Dia baru sahaja sampai di Mazhab Luaran dan dia masih lagi kurang faham dengan banyak perkara. Meng Hao mula teragak-agak.

"Bapa Reliance pun tidak dapat menyelesaikan misteri tentang cermin tembaga ini... Mampukah saya....?"

"Apa yang kamu katakan itu salah, Adik Seguru. Sila dengar penjelasanku. Kegagalan Bapa Reliance untuk menyelesaikan misteri tentang cermin tembaga ini membuktikan cermin tembaga ini sesuatu perkakas sakti yang luar biasa. Sepuluh orang lagi pernah mengambil cermin tembaga ini dan cuba untuk mempelajarinya, namun, mereka semua gagal untuk menyelesaikan misterinya. Tetapi, mereka tidak menyesal berbuat demikian.

Macam mana kalau... kalau kamulah orang yang ditakdirkan untuk memiliki cermin tembaga ini? Apa-apa pun, kalau kamu ambil, kamu boleh bertenang. pelajar seperti kamu yang pernah membawa cermin tembaga ini kebanyakannya kembali ke sini bersamanya dalam masa tiga bulan dan aku benarkan mereka menukar cermin tembaga itu kepada benda yang lain. Lepas beberapa lama kita berurusan nanti, kamu akan tahu, mudah untuk berurusan dengan aku. Aku tak suka mahu menyusahkan para pelajar yang lain.

Jika kamu mengambilnya dan gagal untuk menyelesaikan misterinya, kamu boleh pulangkan pada bila-bila masa saja dan tukar ia dengan benda lain. Akan tetapi, jika cermin tembaga ini ditakdirkan menjadi milik kamu dan kamu menolak, kamu akan menyesal seumur hidupmu nanti," kata lelaki yang kelihatan bijak itu sambil merenung tajam kepada Meng Hao. Apabila dia melihat Meng Hao teragak-agak, dia tertawa sendiri. Pelajar yang baharu sememangnya senang untuk dipermainkan. Dia hanya perlu ceritakan legenda cermin tembaga kepada mereka dan mereka akan terpukau. Semangat mereka berkobar-kobar.

"Tapi..." Meng Hao sudah menuntut ilmu sejak zaman kanak-kanak lagi. Oleh itu, dia amat cerdik. Daripada kata tutur lelaki yang kelihatan bijak itu, Meng Hao sedar cermin tembaga ini bukan seperti apa yang dikatakan oleh lelaki tersebut. Akan tetapi, lelaki itu berdiri di hadapannya, jelas sekali dia hendak menghalang Meng Hao daripada meletakkan cermin tembaga itu ke tempat asal. Tiada gunanya kalau Meng Hao cuba untuk menjatuhkan cermin tembaga itu ke lantai. Meng Hao mula menyesal mengambil cermin tembaga itu.

"Adik Seguru," kata lelaki kelihatan bijak itu dengan muka yang serius dan suara yang garau, "Jangan cuba melanggar peraturan pada hari pertama kamu. Apabila seseorang mengambil sesuatu di Astaka Harta Karun, dia dilarang untuk meletakkan semula barang yang diambil." Lelaki kelihatan bijak itu sudah berasa bosan. Inilah cara yang sering digunakan untuk memaksa pelajar mengambil cermin tembaga itu. Dia melambaikan lengan bajunya yang luas, dan muncul angin yang membawa Meng Hao keluar dari Astaka Harta Karun.

Kedengaran bunyi yang kuat apabila pintu utama Astaka Harta Karun itu tertutup.

Suara lelaki kelihatan bijak bergema dari dalam Astaka Harta Karun, "Aku ini lembut hati dengan para pelajar, jika kamu benar-benar bukan ditakdirkan untuk memiliki cermin tembaga itu, maka kamu boleh datang pulangkannya dalam masa beberapa hari."

Dengan perasaan geram, Meng Hao melihat kepada pintu utama yang tertutup itu. Kemudian, dia mengeluh dan melihat kepada cermin tembaga yang ada dalam tangannya. Dia teringat kembali ayat dalam bab satu Buku panduan Pemekatan Qi. Dia menjadi teragak-agak. Jika benar Bapa Reliance pernah mengkaji cermin tembaga ini, ia pasti mempunyai nilainya yang tersendiri. Meng Hao menggelengkan kepalanya dan meletakkan cermin tembaga itu ke dalam jubahnya. Meng Hao meninggalkan Astaka Harta Karun setelah merenung benci ke arahnya.

Dia berjalan di laluan yang berwarna hijau di Mazhab Luaran. Berdasarkan panduan kepingan jed, Meng Hao terjumpa rumahnya pada waktu tengah hari. Rumahnya terletak di kawasan yang terpencil di sempadan utara Mazhab Luaran. Terdapat beberapa lagi bangunan lain di sekeliling rumahnya.

Meng Hao membuka pintu rumahnya sehingga daun pintu itu terhempas ke dinding. Dalam rumahnya terdapat sebuah katil dan sebuah meja. Meng Hao berdiri di depan rumahnya dengan perasaan puas hati. Tempat ini jauh lebih baik berbanding dengan rumahnya di Kuarters Pekerja.

Meng Hao duduk bersila di atas katilnya, menarik nafas panjang dan mengeluarkan cermin tembaga dari jubahnya. Dia meneliti cermin tembaga itu sehingga matahari terbenam di gunung barat. Meng Hao menyalakan pelita dan terus mengkaji cermin tembaga itu tetapi tidak memperoleh apa-apa. Meng Hao langsung tidak tahu kegunaan cermin tembaga ini.

Cermin tembaga tersebut kelihatan seperti benda biasa sahaja walaupun Meng Hao cuba untuk melihatnya dengan pelbagai cara.

Malam semakin lewat, maka Meng Hao meletakkan cermin tembaga itu dan melihat ke luar tingkap ke arah bulan. Dia mula teringat akan Si Gempal dan bunyi dengkurannya. Dia rindu akannya.

Bulan mengambang terang, cahaya bulan menyinari atap bahagian tingkap. Semuanya begitu sunyi, hanya kedengaran suara angin bertiup di antara daun pokok Meng Hao mengambil nafas panjang dan melihat ke arah bulan. Meng Hao penuh dengan emosi kerana dia telah memulakan kehidupan yang baharu.

Meng Hao berkata kepada dirinya: "Aku tidak lagi akan menjadi seorang cendekiawan di Daerah Yunjie. Aku sudah menjadi seorang pelajar luar dalam Mazhab Reliance.

Meng Hao berhenti berfikir dan memejamkan matanya. Dia mula bermeditasi, mengedarkan tenaga rohani dalam badannya. Dia sudah biasa dengan cara ini selama beberapa bulan.

Satu perbezaan di antara Mazhab Luaran dan Kuarters Pekerja ialah di Mazhab Luaran, tiada sesiapa akan menyediakan makanan. Kamu harus menjaga keperluan makanan sendiri. Jika tidak, kamu akan mati kebuluran dan tiada siapa pun yang akan kisah. Walau bagaimanapun, tiada sesiapa lagi yang mati kebuluran di Mazhab Luaran.

Setelah mencapai peringkat pertama Pemekatan Qi, seseorang itu mampu menyerap tenaga rohani daripada Syurga dan Bumi. Walaupun ia tidak membuat seseorang itu berasa kenyang, tetapi ia dapat memastikan seseorang itu terus hidup.

Beberapa hari telah berlalu. Pada suatu petang, semasa Meng Hao sedang duduk bersila dan bermeditasi, tiba-tiba dia terdengar suatu jeritan dari luar. Meng Hao serta-merta membuka matanya dan melihat keluar tingkap. Dia terlihat seorang pelajar Mazhab Luaran terlantar di atas lantai dan dipijak bertubi-tubi oleh pelajar yang lain. Darah mengalir keluar dari lukanya di bahagian dada, tetapi dia belum mati, cuma cedera parah. Orang yang memijaknya mengambil beg saktinya dan meninggalkan dia.

Pelajar yang dipijak itu bergelut untuk berdiri di atas kakinya. Matanya penuh dengan perasaan dendam. Dia meninggalkan tempat itu dalam keadaan terhuyung-hayang.

Kebanyakan orang yang melihat perkara yang berlaku itu melihatnya dengan renungan yang dingin dan penuh cemuhan.

Meng Hao hanya memerhatikan keadaan itu. Dia telah melihat insiden yang sama berlaku beberapa kali sejak kebelakangan ini. Meng Hao faham ini merupakan cara hidup di Mazhab Luaran.

Masa berlalu dengan pantas dalam tempoh tujuh hari. Sepanjang tempoh itu, Meng Hao melihat semakin banyak insiden di mana pelajar dirompak. Pertempuran antara para pelajar menyebabkan Meng Hao menjadi lebih pendiam. Apa yang lebih membimbangkan apabila dia melihat pelajar yang mencapai peringkat dua atau tiga Pemekatan Qi telah mati dibunuh oleh orang lain di kawasan tempat awam. Oleh itu, Meng Hao lebih berwaspada apabila dia keluar dari rumah.

Nasib baiklah peringkat Petapaannya masih rendah dan dia tidak memiliki apa-apa yang bernilai. Oleh itu, tiada sesiapa mempedulikan dia.

Petapaan Meng Hao sebenarnya telah terhenti. Peringkat kedua Pemekatan Qi amat berbeza dengan peringkat satu. Dia memerlukan tenaga rohani, tetapi berdasarkan Buku Panduan Pemekatan Qi, badannya telah mula bertukar. Oleh itu, lebih banyak masa dan tenaga rohani diperlukan untuk mencapai peringkat kedua berbanding dengan peringkat satu.

Pada masa yang sama, Meng Hao mengerti bakat yang terpendam juga merangsang perkembangan tahap Petapaan seseorang itu. Apabila bakat terpendam seseorang itu makin kuat, maka dia dapat menyerap lebih banyak tenaga rohani dan bakat terpendam yang lemah dapat menyerap tenaga rohani dengan sedikit. Bagi sesiapa yang mempunyai bakat terpendam yang tinggi, semakin banyak masa yang mereka gunakan untuk berlatih pernafasan, semakin banyak tenaga rohani yang boleh mereka serap.

Mengikut pengiraannya sendiri, Meng Hao memerlukan masa paling kurang setahun atau dua tahun untuk mencapai peringkat kedua dalam tahap Pemekatan Qi. Jumlah masa yang diperlukan untuk mencapai peringkat ketiga lebih banyak daripada itu.

Sememangnya, jika Meng Hao mendapat pil ubat atau Batu Rohani, dia boleh menggunakannya untuk menguatkan lagi tenaga rohani yang ada di dalam badannya. Inilah sebab berlakunya insiden merompak di Mazhab Luaran. Setiap awal bulan, pil ubat akan diberikan secara terbuka.

"Yang kuat akan bertambah kuat, yang lemah akan menjadi lebih lemah," ujar Meng Hao. "Inilah caranya Mazhab Reliance melatih pelajarnya untuk masuk ke Mazhab Dalaman."

Pada suatu pagi, apabila langit baru mula menjadi terang, Meng Hao bermeditasi seperti biasa. Dia tiada sumber istimewa kecuali keazamannya yang utuh. Oleh itu, dia tidak berputus asa untuk bermeditasi sepanjang malam dan juga melakukan latihan pernafasan. Bunyi loceng bergema lagi di seluruh mazhab, maka Meng Hao membuka matanya perlahan-lahan.

"Bunyi loceng ini..." Mata Meng Hao menjadi fokus, bagaikan dia sudah sedar akan sesuatu. Air mukanya menunjukkan keterujaan dan dia bergegas keluar dari rumahnya dan melihat para pelajar dari merata tempat bergegas ke satu tempat yang jauh.

"Apabila bunyi loceng bergema, ia menandakan masa untuk pembahagian Batu Rohani dan pil ubat. Inilah harinya." Semakin ramai pelajar mula bergegas ke arah bunyi loceng itu. Nampaknya semua orang dalam mazhab ini telah berkumpul di tempat yang sama.

"Hari pembahagian Pil," kata Meng Hao dengan nafas yang tercungap-cungap. Dia berlari dengan orang ramai sehingga dia sampai di tempat terbuka pada bahagian tengah Mazhab Luaran. Tempat terbuka tersebut sangat besar dan dikelilingi oleh sembilan tembok yang diukir dengan naga. Pada tembok yang paling hadapan, terdapat suatu platform yang berdiameter lebih daripada sembilan puluh meter dan dikelilingi oleh awan berwarna-warni. Terdapat pelbagai jenis benda yang tidak berbentuk dapat dilihat di dalam awan tersebut.

Beratus-ratus pelajar Mazhab Luaran yang berpakaian jubah hijau sedang bercakap antara satu sama lain sambil melihat ke arah awan yang berwarna-warni itu.

Tidak lama kemudian, awan berwarna-warni tersebut hilang secara perlahan-lahan. Muncul pula seorang lelaki dengan kulit muka kasar dan berpakaian jubah emas. Muka lelaki itu kelihatan tenang dan dikelilingi aura kuasa di sekeliling badannya. Matanya pula bersinar-sinar. Dia ditemani oleh seorang lelaki dan seorang wanita yang berdiri di sebelahnya. Kedua-duanya memakai jubah perak. Lelaki berjubah perak itu sangat tampan dan berketrampilan. Mata Meng Hao terbuntang apabila dia melihat ke arah wanita tersebut.

Wanita tersebut ialah wanita yang menculiknya dari Gunung Daqing beberapa bulan yang lalu. 

avataravatar
Next chapter