2 Mazhab Reliance

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Mazhab Reliance yang terletak di sempadan Negara Zhao di pinggir selatan Benua Nanshan. Ia pernah menjadi Mazhab yang terulung di antara empat mazhab yang wujud. Walaupun Mazhab Reliance masih terkenal di kawasan selatan, akan tetapi, sinaran kejuaraannya kian hari kian pudar sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Ianya tidak lagi mengecap kehebatan yang pernah mereka kecapi sebelum ini. Dasawarsa ini, mazhab Reliance hanya boleh dikatakan kurang bermutu jika dibandingkan dengan mazhab lain yang wujud di Negara Zhao.

Sebenarnya, Mazhab ini pada mulanya tidak digelarkan Mazhab Reliance. Akan tetapi, seribu tahun yang lalu, munculnya seorang petapa yang begitu handal sehingga mencetuskan sensasi di seluruh kawasan selatan. Petapa yang handal ini menggelarkan dirinya sebagai Bapa Reliance dan mengubah nama mazhab itu kepada Mazahab Reliance secara paksa. Bapa Reliance juga bertindak secara rakus merampas harta karun daripada mazhab lain di seluruh Negara Zhao. Namun begitu, tiada sesiapa yang dapat menandingi kehandalan dia.

Walau bagaimanapun, bak kata pepatah, panas tidak sampai ke petang. Bapa Reliance telah hilang selama empat ratus tahun. Jika bukan kerana tiada sesiapa yang dapat pastikan sama ada Bapa Reliance telah mati atau tidak, sudah lama Mazhab Reliance telah ditelan oleh mazhab-mazhab yang lain. Hari-hari kegemilangan Mazhab Reliance telah pun berlalu. Memandangkan isu kekurangan sumber di Negara Zhao, ditambah lagi dengan tekanan daripada tiga mazhab yang lain, Mazhab Reliance terpaksa menculik orang-orang muda dari Negara Zhao untuk dijadikan pelajar di mazhab mereka atas samaran mencari pekerja. Mazhab Reliance tidak berpeluang untuk membuat pendaftaran pelajar baru secara terbuka kerana tiga mazhab yang lain pasti akan membuat kacau.

Meng Hao mengikut lelaki yang berjubah hijau itu sepanjang jalan kecil yang berada di puncak gunung. Persekitaran di situ umpama satu taman bunga tetapi dengan batu-batu besar serta pokok-pokok yang berbentuk ganjil di merata tempat. Selain daripada pemandangan yang cantik, Meng Hao juga kagum melihat bangunan-bangunan yang dihiasi secara berlebih-lebihan. Terdapat bangunan yang di mana bumbungnya dihiasi dengan batu jed yang tinggi mencakar langit. Malangnya, raungan sedih yang berterusan oleh remaja gempal di sebelah Meng Hao sedikit sebanyak mencalarkan suasana yang indah ini.

"Habislah aku kali ini… betul-betul habislah…aku nak balik rumah," gumam remaja gempal tersebut. Air matanya mula menitis. "Dekat rumah ada pau sedap, ada ikan besar boleh makan. Cis! Cis! Aku nak mewarisi tanah keluargaku, aku nak jadi orang tua yang kaya dan aku mahu beristeri dua, tiga, empat. Aku tak nak jadi pekerja di sini."

Remaja gempal itu terus menggumam tidak henti-henti sehigga petapa berjubah hijau menoleh ke belakang. "Jika engkau melolong dan keluarkan satu perkataan lagi dari mulut engkau. Aku akan potong lidah engkau!" kata petapa itu dengan nada suara yang dingin.

Remaja gempal itu terketar-ketar, matanya berkelip-kelip ketakutan. Akan tetapi, dia berjaya menutup mulutnya dan tidak lagi bercakap apa-apa.

Meng Hao mula menilai situasi sekarang. Mungkin ianya tidak seindah yang dia jangkakan. Walau apapun, dia seorang yang bersifat kental. Dia menghembus nafas panjang dan menenangkan dirinya.

Tidak lama kemudian, mereka sampai di pertengahan gunung dan Meng Hao terlihat sederet bangunan mendatar yang muncul dari putaran kabus.

Tujuh atau lapan orang muda yang memakai jubah yang diperbuat daripada serat kasar duduk di luar bangunan-bangunan itu. Mereka kelihatan penat. Apabila Meng Hao dan yang lain-lain semakin dekat, pemuda-pemuda tersebut sedar akan mereka tetapi tidak menegur apa-apa.

Tidak jauh dari situ, seorang lelaki muda yang berpakaian jubah biru muda duduk di atas ceracak. Muka lelaki muda itu panjang seakan-akan muka kuda, jubahnya juga kelihatan jauh lebih mahal dan bermutu jika dibandingkan dengan apa yang dipakai oleh pemuda-pemuda lain.

Walaupun riak mukanya dingin, lelaki muda tersebut berdiri dan bertegur kepada petapa berjubah hijau yang membawa Meng Hao dan lain-lain.

"Apa khabar, Abang Senior."

"Dua orang ini merupakan pekerja yang baru sampai," kata petapa jubah hijau dengan tidak sabar. "Sila aturkan tempat penginapan mereka." dengan itu, petapa jubah hijau itu pun bergegas meninggalkan mereka. Dia tidak langsung melihat ke arah Meng Hao dan remaja gempal.

Selepas itu, lelaki yang bermuka panjang itu duduk bersila semula di atas ceracak. Dia memandang tajam ke arah Meng Hao dan remaja gempal.

"Tempat ini merupakan Kawasan Pekerja Bahagian Selatan," kata lelaki bermuka panjang itu dengan nada suara yang tidak beremosi. "Mazhab Reliance tidak menjaga pemalas. Kini kamu berada di sini, maka kamu harus bekerja selama tiga puluh tahun. Setelah genap tiga puluh tahun, maka kamu bolehlah meninggalkan tempat ini. Jika kamu cuba untuk melarikan diri, apa yang menunggu kamu adalah binatang-binatang buas yang berkeliaran di gunung-gunang ini. Pastinya kamu akan mati dibaham sebelum kamu berjaya melarikan diri. Pergi ambil pakaian kerja kamu. Mulai dari sekarang, kamu telah diasingkan dari alam kemanusiaan, dan kamu akan bekerja secara harmoni sebagai seorang pekerja."

Badan remaja gempal itu menggigil dengan lebih kuat. Mukanya menunjukkan dia putus harapan. Meng Hao pula masih bertenang. Tambahan lagi, jauh dalam matanya wujud satu cahaya yang tidak dapat diterangkan. Lelaki bermuka panjang itu melihat keadaan Meng Hao. Dia dapat mengesan sesuatu yang luar biasa daripada perangai Meng Hao itu. Dia telah lama memegang jawatan ini dan pernah lihat banyak pemuda yang ditangkap dan dijadikan pekerja. Namun, tidak pernah sekali pun dia jumpa pemuda yang begitu tenang seperti Meng Hao.

"Jika kamu berkelakuan baik, mungkin kamu tidak perlu bekerja sehingga genap tiga puluh tahun. Kamu juga boleh belajar ilmu pertapaan pada masa lapang kamu. Jika kamu berjaya mencapai tahap peringkat satu Pemekatan Qi, kamu akan dinaikkan pangkat menjadi pelajar luaran Mazhab." kata lelaki bermuka panjang dengan lembut. Dia menghayunkan lengan jubahnya yang besar dan muncullah dua orang pemuda yang memakai jubah serat kasar di hadapan Meng Hao dan remaja gempal. Mereka masing-masing memegang sehelai jubah serat kasar di mana satu lencana 'pekerja' sebesar ibu jari telah dijahit di bahagian jubah serat kasar tersebut.

Selain daripada jubah serat kasar, ada juga sebuah buku kecil yang bertajuk "Panduan Pemekatan Qi."

Sebaik sahaja Meng Hao melihat tajuk buku kecil itu, dia mula bernafas dengan cepat. Dia merenung tajam ke arah buku kecil itu dan teringat perbualan oleh dua orang petapa berjubah hijau mengenai wanita berjubah perak itu telah mencapai tahap peringkat tujuh pemekatan Qi.

'Kita dapat menjadi pelajar luaran mazhab sekiranya kita mencapai peringkat satu, tetapi wanita itu sudah mencapai peringkat tujuh…apa itu Pemekatan Qi? Mungkinkah ianya cara untuk menjadi seorang dewa,seperti yang diceritakan dalam hikayat-hikayat lagenda?'

Jika itulah bayaran yang dia akan dapat daripada bekerja, walaupun bukan berbentuk wang, tetapi ianya bernilai hingga beratus syiling emas di alam kemanusiaan. Meng Hao teruja dengan fikirannya sendiri itu. Dia mengambil jubah dan membalut buku kecil itu dengan jubahnya.

"Rumah ketujuh di bahagian barat adalah tempat penginapan kamu. Mulai esok, tugas kamu adalah memotong balak. Sepuluh batang balak setiap hari. Kamu hanya dibenarkan untuk makan setelah selesai tugasan kamu." Petapa itu memejamkan matanya.

Sambil menarik nafas panjang, Meng Hao meniru pemuda tersebut dan memberi sapaan dengan tangan yang tergenggam. Dia kemudiannya berjalan ke arah rumah yang dikatakan bersama remaja gempal. Rekaan bangunan tersebut kelihatan seperti halaman siheyuan yang sudah dibesarkan beberapa kali. Dengan petunjuk yang ada, mereka tiba di rumah yang ketujuh. Mereka membuka pintu dan masuk ke dalam rumah tersebut.

Rumah tersebut tidak sebesar mana. Terdapat dua buah katil kecil, dan sebuah meja sahaja. Namun begitu, rumah tersebut kelihatan amat kemas. Remaja gempal terduduk di atas salah sebuah katil dan mula menangis kerana tidak dapat mengawal dirinya lagi.

Dia cuma berusia tiga belas tahun. Tangisannya begitu kuat sehingga bergema sehingga ke luar rumah.

"Ayah aku seorang Tuan Tanah, dan aku sepatutnya jadi seorang tuan tanah juga. Aku tidak sepatutnya menjadi seorang pekerja." Dia kelihatan sangat sedih dan badan gempalnya mula menggigil lagi.

"Berhentilah menangis," Meng Hao cuba untuk menenangkan remaja gempal. "Sebenarnya di sini bukanlah teruk sangat. Kita bekerja untuk dewa. Alangkah ramainya orang lain yang inginkan peluang seperti ini jika mereka dapat, tahu?" Meng Hao menutup pintu rumah dengan cepat.

"Aku tidak ingin bekerja untuk orang lain," balas remaja gempal. "Perkahwinan aku telah diatur, hadiah pertunangan aku telah dihantar. Aku belum lagi dapat kahwin dengan tunang aku yang cantik, kasihan dia sudah menjadi balu." Dia bertambah sedih apabila tangisannya semakin teruk.

Air muka Meng Hao bertukar menjadi ganjil. Dia tidak percaya bahawa Si Gempal yang masih berusia tiga belas tahun ini telah pun bertunang sedangkan dirinya sendiri belum pernah lagi menyentuh tangan mana-mana perempuan. Meng Hao mengeluh seketika, alangkah baiknya kehidupan orang kaya. Si Gempal ini tidak harus risau tentang kebuluran atau keperitan hidup. Manakala dia sendiri pula tidak mempunyai apa-apa harta. Meskipun aku telah jual rumah nenek moyang aku, aku masih lagi berhutang besar dengan Bos Zhou.

Meng Hao tersenyum apabila memikir hutang dia. Sekarang dia berada di sini, Bos Zhou hanya dapat datang mengutip hutang daripada dia sekiranya Bos Zhou menjadi dewa. Jika tidak, Bos Zhou mungkin sudah menemu ajalnya pada masa Meng Hao dapat meninggalkan tempat ini.

Setelah berfikir panjang tentang tempat ini, Meng Hao berasa lebih selesa untuk berada di sini. Dia tidak perlu risau tentang masalah kewangan, penginapan dan juga makanan. Malah dia dapat pulangan yang bernilai beratus syiling emas walaupun belum lagi mula bekerja. Lebih-lebih lagi tempat ini merupakan tempat dewa-dewa menghuni, boleh dikatakan Meng Hao secara tidak langsungnya telah diselamatkan daripada situasi yang membimbangkan.

Tangisan Si Gempal mula merunsingkan Meng Hao. Akan tetapi Meng Hao mengambil keputusan untuk tidak menghiraukan Si Gempal itu. Dia mengeluarkan Panduan Pemekatan Qi daripada balutan jubah serat kasar dan mula membacanya. Meng Hao terkejut selepas membaca ayat pertama dalam panduan tersebut.

"Setiap orang harus bergantung kepada sesuatu. Jika kamu seorang manusia biasa yang mengidamkan kekayaan dan hak kuasa, ataupun kamu seorang petapa yang inginkan kehidupan yang bebas dari segala kebimbangan, sertailah Mazhab Reliance saya. Kamu boleh percaya pada saya." Inilah mukadimah dalam panduan ini ditulis oleh Bapa Reliance.

Walaupun ia hanya beberapa patah perkataan, ianya seakan-akan mempunyai suatu kuasa yang tidak dapat digambarkan. Ia seperti satu jemputan dan penerangan tentang Mazhab Reliance. Meng Hao terasa kaku dan seterusnya semua perkara yang sedang dialami dia sekarang mula masuk akal.

"Mazhab Reliance. Adakah ini maksud mazhab Reliance? Seseorang harus mencari sesuatu perkara dan bergantung kepadanya. Apabila mereka mencari Mazhab Reliance, maka mereka akan menjadi kaya, berkuasa dan bebas dari segala kebimbangan. Ini semua masuk akal. Kalaulah aku dapat mencari seorang menteri yang boleh aku percayai, maka aku tidak akan gagal Peperiksaan Diraja tiga kali berturut-turut!" keluh Meng Hao. Penghormatan Meng Hao terhadap Bapa Reliance mula bertambah walaupun dia tidak pernah berjumpa beliau. Dengan satu ayat saja, Meng Hao berasa seperti sebuah pintu baru telah terbuka dalam hidupnya.

"Dengan kata lain, aku harus mencari seseorang yang boleh aku percayai sepanjang masa aku berada di sini. Kalau aku dapat kenal orang seperti ini, maka aku tidak perlulah risau tentang apa pun lagi." Mata Meng Hao semakin bersinar semasa dia meneruskan pembacaan panduannya itu. Meng Hao begitu khusyuk membaca panduan itu sehingga lupa akan masa dan Si Gempal yang sedang menangis di sebelah dia.

Si Gempal akhirnya tidur setelah dia menangis sehingga ke tengah malam. Dengkuran dia mula menggegarkan rumah seperti guruh. Meng Hao dengan berat hati menutup buku panduannya itu. Walaupun dia berasa letih, namun dalam matanya, api semangat semakin berkobar-kobar.

"Buku ini bukan bernilai ratusan syiling emas, tetapi ribuan syiling emas!" kata Meng Hao kepada dirinya. Untuk seorang yang telah lama mengidamkan kehidupan sebagai seorang menteri yang kaya, sesuatu yang bernilai ribuan syiling emas adalah lebih bernilai daripada apa-apa saja kecuali nyawanya sendiri.

Dalam keghairahan dia, Meng Hao tersedar bahawa dengkuran Si Gempal itu telah berhenti. Dia melihat ke arah Si Gempal yang telah duduk di atas katilnya dan sedang mengacukan penumbuk sambil mengigau.

"Aku akan pukul kau sampai mati! Berani kau mencuri roti aku! Aku akan gigit kau sampai mati! Berani kau merampas isteri aku!" Semasa dia bercakap, Si Gempal turun dari katil dengan matanya masih terpejam rapat. Dia masih lagi menumbuk-numbuk dengan geram dalam keadaan terpejam. Kemudiannya, Si Gempal memegang meja yang ada dalam rumah itu dan mula menggigit bucu meja tersebut dengan kuat. Gigitannya itu meninggalkan satu kesan yang sangat dalam di meja tersebut. Selepas itu, Si Gempal kembali tidur di atas katilnya dan dengkurannya mula bergema lagi.

Meng Hao terus memerhatikan Si Gempal itu untuk seketika. Dia takut Si Gempal tersebut berjalan dalam tidur lagi. Kemudiannya Meng Hao melihat kesan gigitan yang Si Gempal tinggalkan di atas meja. Meng Hao bertekad bahawa dia tidak akan cuba untuk membangkitkan kemarahan Si Gempal semasa dia sedang tidur. Perlahan-lahan Meng Hao bergerak balik ke atas katil dia dan sekali lagi mula membaca Panduan Pemekatan Qi dengan khusyuk.

"Peringkat Kesembilan Pemekatan Qi adalah satu-satunya cara untuk mencapai tahap dewa. Jika aku bekerja dengan mereka, mungkin aku ada peluang untuk menjadi seorang dewa. Itulah pulangan paling lumayan buat aku. Jika aku dapat menjadi dewa, maka bertambah peluang aku menjadi kaya!" Meng Hao memegang buku panduan itu dengan ketat sekali, api semangat dalam matanya membara kuat. Dia telah menemui cara lain untuk mengecapi impian dia selain daripada belajar dan menduduki peperiksaan.

Tiba-tiba, pintu rumah mereka ditendang terbuka dengan kuat. Kemudia, diikuti dengan satu suara berdehem yang kuat 'harumph!'

avataravatar
Next chapter