webnovel

TAKDIR SEBUAH CINTA

CINTA yang kekal hanyalah pada Tuhan. Cinta pada manusia mampu pudar pada bila-bila masa. Apabila pudar, pasti bersebab. Athirah takut dia akan kehilangan cinta suaminya, Firash setelah mengetahui kecurangan suaminya bersama wanita lain. Dia tidak mahu perkahwinan mereka akan berakhir begitu sahaja. Namun, dia juga takut untuk meneruskannya, bimbang jika hatinya akan terluka lagi. Saat di waktu getir, muncul lelaki itu. Athirah cuba menolak lelaki itu, namun lelaki itu terus mendekati. Irsyad, hanya ingin wanita yang berusia tiga tahun lebih tua daripada tidak lagi terluka. Itulah niatnya. Dalam masa yang sama, Athirah kerap diganggu dengan mesej-mesej daripada nombor tidak dikenali, memberitahu tentang kecurangan suaminya dan cuba meracuni fikirannya untuk meninggalkan Firash. Apakah yang akan berlaku pada akhirnya? Kekalkah perkahwinan antara Firash dan Athirah? Adakah cinta Irsyad akan berbalas? Dan siapa sebenarnya pengirim misteri mesej yang menganggui hidup rumah tanggan Athirah dan Firash?

Pena_Putera · 现代言情
分數不夠
4 Chs

BAB 4

PERCAYA atau tidak, Athirah kini dalam dakapan ketua pasukannya yang baru. Cepat-cepat dia cuba bangun dan keluar dari dakapan lelaki itu. Jantungnya berdegup kencang. Bimbang jika ada orang melihat apa yang baru sahaja terjadi.

"Awak okey?" tanya Irsyad kepada wanita itu.

Athirah mengangguk. Tetapi kepalanya masih terasa pening.

"Saya rasa awak nampak macam tak okey," ujar Irsyad lagi dengan nada risau. Dia menyambung lagi, "Tadi masa saya nak ke tandas, saya ternampak awak macam nak rebah. Awak sihat ke tak ini?"

"Maafkan saya encik. Pening kepala biasa aje. Selepas ambil ubat, baiklah." Athirah memberi alasan, menutup hal sebenar yang berlaku.

"Jangan main-main dengan pening kepala. Kalau awak betul-betul tak sihat, beritahu saya. Saya boleh bagi extra time untuk awak rehat. Atau pun, awak boleh ambil MC untuk hari ini."

Athirah tersentuh dengan sikap ambil berat daripada ketuanya, tetapi dia menolak cadangan tersebut. Rasanya tidak perlu diambil terlalu serius. Pening kepalanya akan beransur hilang selepas dia mengambil ubat seperti biasa.

"Tak apalah, encik. Saya memang betul-betul okey. Lagipun pening sikit. Insya-Allah, lepas makan ubat nanti legalah. Kerja pun banyak lagi saya nak kena siapkan."

"Jangan fikir pasal kerja aje. Health come first. Kalau bertambah teruk, awak juga lagi susah. Jangan paksa sangat diri itu. Okey?"

"Baik, encik," akur Athirah dengan kata Irsyad. Dia tidak dapat mengalah dengan ketuanya.

KEJADIAN tadi masih segar di dalam ingatan Athirah. Dia pasti akan berasa segan setiap kali bertemu lelaki yang berpangkat ketuanya. Terlebih lagi bila dia mendapat tahu jarak usia mereka tiga tahun berbeza. Malah, lelaki itu lebih muda daripadanya. Dia boleh bergelar kakak kepada lelaki itu.

Banyak yang telah dia dapat tahu tentang latar belakang ketuanya setelah mesyuarat ringkas antara mereka sebelum makan tengah hari tadi. Pada mulanya, dia agak janggal untuk membahasakan encik kepada lelaki yang lebih muda daripadanya kerana situasi seperti itu jarang sekali berlaku.

Kejanggalan itu akan lebih terasa selepas kejadian tadi.

Dia mengambil telefonnya di atas meja. Tiba-tiba, dia teringat akan foto yang diterimanya tadi. Matanya meliau ke sekelliling. Semuanya sedang tekun bekerja. Matanya tertancap pada figura Irsyad yang juga turut sibuk bekerja di dalam ruangan pejabatnya yang bertingkap kaca itu.

Lantas, foto tersebut dibuka sekali lagi.

Hatinya tidak kuat melihat suaminya bersama wanita yang sama sedang makan bersama. Wanita itu kelihatan gembira terlebih lagi saat menyuapkan makanan ke mulut Firash. Dia cuba menahan sebak di hati, supaya tiada siapa perasan dengan perasaannya yang terluka saat itu.

Paparan gambar itu ditutup. Tidak lagi dia mahu melihat gambar yang menjadi sebab mengapa dia terluka sejak belakangan ini.

Athirah cuba fokus kembali dengan kerjanya, namun fikirannya seperti terganggu untuk terus fokus. Dia memaksa juga dirinya untuk bekerja.

"SABTU depan nanti kita kena join juga ke team building itu?" Liyana merungut setelah mereka semua mendapat tahu yang mereka perlu menghadiri team building yang akan berlangsung pada minggu hadapan. Acara itu sudah menjadi acara tahunan untuk syarikat tersebut. Tempoh berlangsungnya acara itu selama dua hari. Lokasinya masih dirahsiakan.

"Kena pergi juga. Kalau tak, bising nanti orang atasan." Fazilah menjawab sementara mereka mula bersiap untuk pulang ke rumah.

"Hurmm… Baru nak santai dekat rumah." Liyana membuat reaksi muka kecewa dan sedih. Athirah memandang wajah gadis itu dan tersenyum nipis.

"Ada banyak abang hot, tau!" seloroh Aqash sambil tersengih.

"Serius?" Terbeliak biji mata Liyana. Pantang sahaja mendengar perkataan 'hot'.

"Adik manis, tak ada ke bang?" tanya Irwan pula. Tumpang sama gatal.

Athirah dan Fazilah saling berpandangan. Mereka tersenyum melihat gelagat dua rakan sekerja muda mereka ini.

"Semua ada. Tinggal nak tak nak aje!" Aqash mengusik lagi. Dia tertawa kecil dengan reaksi yang diberikan oleh kedua-duanya.

"Bolehlah cuci mata macam ini!" Wajah masam Liyana tadi kini berubah ceria.

"Aku pun tak sabar. Lepas ini tak adalah kita forever alone," kata Irwan sebelum dia dan Liyana tertawa besar.

Athirah memandang ruang pejabat Irsyad. Lelaki itu tidak kelihatan di situ. Lebih kurang dua jam tadi, Irsyad ada memberitahu pekerja-pekerjanya bahawa dia ada mesyuarat yang perlu dihadiri. Katanya, kalau sudah tiba waktu pulang, semuanya dibenarkan pulang. Tiada apa-apa perjumpaan atau overtime selepas waktu kerja hari ini.

Sehingga kini lelaki itu masih belum pulang ke pejabatnya. Beg bimbitnya masih kelihatan di dalam sana.

"Apa pendapat kau tentang ketua baru kita?"

Tersentak dengan soalan rambang daripada Fazilah, Athirah kembali sedar dari lamunannya.

"Okay aje. Aku rasa kita dengan dia boleh bekerja dalam satu pasukan dengan baik." Athirah memberi pendapatnya secara jujur.

"Bagi aku, agak janggal untuk dipimpin oleh seorang yang lebih muda daripada kita," ujar Fazilah pula.

"Orang kata, usia tak menentukan kematangan seseorang itu. Mungkin dia lebih muda daripada kita, tapi siapa tahu mungkin dia lebih layak?"

"Mungkin?" Fazilah kelihatan seperti tidak berpuas hati. Jujur dia katakan, memang masih terasa tidak adil untuknya. Mengapa tidak dinaikkan pangkat salah seorang daripada mereka? Malah, mereka lebih berpengalaman untuk uruskan pasukan tersebut.

"Kau jangan fikirkan sangat. Mungkin belum sampai masanya. Nanti adalah rezeki kau nanti. Mana tahu, nanti suatu hari tiba-tiba kau jadi ahli lembaga pengarah syarikat ini?" seloroh Athirah, menyedapkan hati temannya.

"Tiba-tiba, ya?" Fazilah tersengih. "Entahlah… Aku rasa macam semua ini tak adil untuk aku."

"Kau sebenarnya fikirkan pasal tunang kau, kan?" teka Athirah.

Fazilah menganggukkan kepalanya, mengiyakan. "Kau pun tahu, usia aku nak akan cecah tiga puluh tahun nanti bila masuk tahun depan. Tapi, dia nampak tak serius untuk bawa hubungan kita orang ke peringkat yang lebih serius."

"Aku pun tak tahu nak cakap macam mana, sebab ini hidup kau." Athirah sedikit kecewa kerana tidak boleh membantu temannya yang menghadapi masalah. Walhal, dia juga mempunyai masalah sendiri yang juga tidak dapat dia selesaikan.

"Kalau betullah memang dah tak ada jodoh antara kami, aku redha. Aku tak nak terikat tak bertali. Aku rasa lebih baik kalau terus menyendiri. Taklah aku terasa sakit hati sebegini," luah Fazilah lagi, kesal.

"Jangan macam itu. Percaya pada jodoh dan takdir. Bawa berdoa banyak-banyak semoga Allah bukakan jalan untuk kau orang berdua. Insya-Allah, segalanya akan dipermudahkan. Aku sentiasa ada untuk kau."

Bibir Fazilah terukir senyuman setelah mendengar nasihat rakannya itu. Sedikit lega bila dapat tahu akan ada seseorang di sisinya waktu susahnya. Mungkin dia perlu bawa bertenang seketika. Tak perlu serabutkan fikiran dengan perkara seperti itu buat masa ini.

Athirah memandang rakannya. Dia rasa gembira melihat rakannya tersenyum. Tetapi, bagaimana dengan masalahnya? Siapa yang mampu membantu dia untuk terus cekal dengan dugaan ini?