webnovel

TAKDIR SEBUAH CINTA

CINTA yang kekal hanyalah pada Tuhan. Cinta pada manusia mampu pudar pada bila-bila masa. Apabila pudar, pasti bersebab. Athirah takut dia akan kehilangan cinta suaminya, Firash setelah mengetahui kecurangan suaminya bersama wanita lain. Dia tidak mahu perkahwinan mereka akan berakhir begitu sahaja. Namun, dia juga takut untuk meneruskannya, bimbang jika hatinya akan terluka lagi. Saat di waktu getir, muncul lelaki itu. Athirah cuba menolak lelaki itu, namun lelaki itu terus mendekati. Irsyad, hanya ingin wanita yang berusia tiga tahun lebih tua daripada tidak lagi terluka. Itulah niatnya. Dalam masa yang sama, Athirah kerap diganggu dengan mesej-mesej daripada nombor tidak dikenali, memberitahu tentang kecurangan suaminya dan cuba meracuni fikirannya untuk meninggalkan Firash. Apakah yang akan berlaku pada akhirnya? Kekalkah perkahwinan antara Firash dan Athirah? Adakah cinta Irsyad akan berbalas? Dan siapa sebenarnya pengirim misteri mesej yang menganggui hidup rumah tanggan Athirah dan Firash?

Pena_Putera · 现代言情
分數不夠
4 Chs

BAB 1

NUR ATHIRAH, itulah namanya. Seindah namanya, seindah wajahnya juga. Perwatakannya yang sopan-santun dan lemah lembut sentiasa disenangi orang disekelilingnya. Walaupun menjadi tarikan oleh para lelaki, ternyata dia sudah pun dimiliki. Tahun ini, genaplah tiga tahun usia perkahwinannya.

Lebih tepat, pada hari ini. Hari ulang tahun perkahwinan mereka yang ketiga. Dia terasa bahagia sekali dengan nikmat yang diberi. Dia membuka perlahan laci mejanya. Terdapat sebuah kotak kecil di dalam laci tersebut.

Itulah hadiah buat suaminya. Dalamnya ada seutas jam tangan. Beberapa minggu lepas, Athirah tertarik dengan satu rekaan jam tangan yang dilihat di pusat beli belah atas talian dan memutuskan untuk membelinya sebagai hadiah ulang tahun untuk suami tercintanya.

"Athirah… Bukan main happy muka aku tengok kau hari ini?" tegur Fazilah lalu kembali duduk di mejanya. Dia baru pulang daripada mengambil dokumen penting dari gudang pejabat.

���Tak ada apalah. Cuma… happy aje hari ini." Athirah berdolak-dalih.

Athirah menyambung buat kerjanya semula. Tiba-tiba, satu panggilan masuk ke dalam telefonnya. Tidak sempat untuk menjawab, panggilan itu sudah terputus. Athirah menyemak telefonnya.

Satu mesej masuk.

Tanpa melengahkan masa, Athirah membuka mesej tersebut.

'Suami kau sekarang sedang seronok menikmati wanita lain di bilik hotel.'

Sekeping foto dihantar kepadanya. Terketar-ketar jari Athirah cuba memuat turun gambar itu.

GEDEBUK!

Semua mata di dalam pejabat itu terkalih kepada Athirah. Mereka terkedu melihat wajah pucat Athirah dengan telefonnya terjatuh di muka lantai. Pelbagai persoalan mula bermain di fikiran tentang apa yang sedang berlaku.

"Kenapa ini, Athirah?" Fazilah mendekati Athirah yang tampak terkejut seolah menerima khabar buruk.

"Athirah?" Fazilah menyahut nama temannya lagi.

Athirah cepat-cepat sedar ke alam nyata.

"Hah? Tak… aku tak apa-apa." Pantas Athirah mengambil telefonnya yang terjatuh. Dia mula kelam-kabut dan seperti tidak tentu arah.

"Athirah, kalau ada apa-apa bagitahu aku. Kenapa ini?" Fazilah mula bimbang.

"Aku… aku nak ke tandas sekejap." Athirah bangun dan lantas melangkah laju ke tandas.

Fazilah yang memandang Athirah yang menjauh pergi, mula khawatir dengan sikap teman sepejabatnya itu. Namun dia tidak mahu menganggu privasi Athirah. Mungkin masalah peribadi, tekanya dalam hati.

Pada masa yang sama, Athirah menangis sendiri di dalam tandas. Air matanya tidak dapat ditahan lagi untuk mengalir. Apa yang baru sahaja berlaku sebentar tadi, bagaikan sesuatu yang berat telah menghentam dia jatuh tersungkur. Berderai.

Foto yang diterima, dilihat sekali lagi.

Foto suaminya bersama wanita lain, menuju masuk ke dalam bilik hotel. Wajah suaminya kelihatan mesra mempersilakan wanita itu masuk ke dalam.

Dia tidak mahu percaya dengan apa yang dilihat. Tetapi sukar untuk dia tepis kemungkinan bahawa suaminya sedang berlaku curang dengannya.

Satu mesej masuk lagi.

'Apa perasaan kau selepas tengok gambar ini?'

Athirah mengetap giginya. Menahan geram. Siapa sebenarnya yang menghantar mesej ini? Apa tujuan dia untuk memberitahunya semua ini?

'Kau siapa? Apa kau nak?'

Usai menaip, Athirah menghantar mesej itu. Tidak mengambil masa yang lama untuk penghantar misteri itu membalas semula.

'Siapa aku, itu tak penting. Sekarang ini, aku nak kau tahu betapa jijiknya suami kau sebenarnya.'

Athirah bengang. Apa yang dimaksudkannya. Dia menerima lagi mesej baru.

'Aku tak sanggup tengok kau hidup dengan lelaki macam itu. Kau layak untuk dapat yang lebih baik.'

Keliru. Dia keliru. Kenapa penghantar mesej ini begitu prihatin dengan nasibnya? Siapa sebenarnya dia? Adakah Athirah kenal dengan orangnya? Pelbagai nama yang dikenali bermain di fikiran Athirah. Dia cuba untuk berfikir kemungkinan siapa penghantarnya. Tetapi sukar untuk dia tentukan.

Satu mesej masuk lagi.

'Kau tak perlu tahu aku siapa. Cukup sekadar kau tahu suami kau tak pernah cintakan aku.'

Hatinya luluh membaca mesej tersebut. Hancur. Hancur sehancurnya. Mengapa pada hari yang bermakna ini, segalanya musnah dalam sekelip mata sahaja? Di manakah silapnya sehingga dia menerima balasan seperti ini?

Air mata terus bercucuran. Tak mampu menahan sebak di dada.

JAM di tangan menunjukkan pukul lapan setengah suku. Langit malam kelihatan cantik bersama bintang-bintang menghiasi. Suasana di restoran yang penuh romantis itu cukup mendamaikan, lebih-lebih lagi dengan alunan merdu daripada piano yang dimainkan.

Walaupun begitu, segalanya terasa kosong buat Athirah. Bintang-bintang yang berkerlipan terlihat kelam. Bunyi merdu piano terdengar sumbang. Semuanya serba tidak kena padanya. Dia menjadi manusia tiada perasaan pada malam itu. Kosong. Dia menunggu di meja itu sendiri tanpa rasa teruja mahupun gembira.

Matanya tiba-tiba ditutup tangan seseorang.

"Guess who?"

Athirah tersenyum kosong. Tangannya memegang tangan yang dia kenal empunya badannya. Sejambak bunga mawar pula dihulurkan kepadanya. Lalu, seorang lelaki mula melutut di hadapannya dengan tangan yang masih memegang sejambak bunga mawar tadi.

"Selamat ulang tahun yang ketiga, sayang," ucapnya lembut. Pada waktu itu, makin bertambah sakit hati Athirah mendengarnya. Tapi, dia cuba untuk memastikan yang perasaannya tidak terlalu kelihatan.

"Terima kasih." Athirah mengambil sejambak bunga itu. Dia bermain-main dengan kuntuman bunga-bunga itu. Lelaki tadi, iaitu Firash yang merupakan suami Athirah duduk berhadapan dengannya. Firash mengukir senyuman manis.

"You like that?"

Athirah sekadar mengangguk.

"Tapi, saya ada hadiah lebih besar untuk awak. Bunga ini cuma salah satu daripadanya." Firash mengeluarkan sesuatu daripada poket seluarnya. Kelihatan kotak merah berada di tangannya lalu dibuka kotak itu. Terjengul seutas cincin perak dengan batu permata kecil di atasnya.

"Ini hadiah untuk awak, kesayangan abang."

Tanpa sedar, mata Athirah mula berair. Tidak mampu menahan lagi, air matanya mengalir juga.

"Hurm… Janganlah nangis. Baru cincin, dah terharu," usik Firash.

Apa yang dia tidak tahu, tangisan itu bukanlah tangisah terharu, jauh pula tangisan cinta. Itu adalah tangisan wanita yang terluka setelah dikhianati. Athirah terasa marah membayangkan adakah benar dia adalah kesayangan suaminya?

Jika benar dia kesayangan suaminya, mengapa perlu dia diduakan dengan wanita lain?

"Betul ke saya ini kesayangan abang?" tanya Athirah, ingin tahu.

Firash mengukir senyuman lebar. "Betul, dan akan selalu menjadi kesayangan."

"Janji?"

Jari kelingking diangkat. Tanda janji Firash untuk isterinya.

"Abang tahu, kan… Janji tak boleh dibuat main?" Athirah sengaja menduga suaminya.

"Ya, abang tahu."

Mudahnya lelaki itu menabur janji. Mulutnya manis mengalahkan gula. Apa agaknya reaksi Firash jika dia tahu bahawa Athirah sudah pun tahu tentang hubungan sulitnya dengan wanita lain? Adakah masih berani lelaki itu bermanis mulut menjanjikan bulan dan bintang?

"Athirah akan pegang janji abang. Athirah pun janji akan sentiasa menyayangi abang."

"Terima kasih, sayang."

"Tapi… kalau suatu hari abang mungkiri janji abang. Athirah tak pasti samada Athirah juga akan pegang janji Athirah sendiri."

Wajah Firash berubah, namun cepat-cepat dia tersenyum, menutup sesuatu.

"Itu tak akan pernah berlaku."

Jangan terlalu yakin abang, bisik Athirah dalam hati.

ATHIRAH pergi ke tandas sebentar untuk melakukan urusannya. Setelah selesai, dia menuju ke sinki untuk membasuh tangan. Pada masa itu jugalah, dia melihat wajahnya pada pantulan cermin besar di hadapannya.

Dia termenung sendiri. Menilik wajahnya yang tampak tidak berperasaan pada malam itu. Mengenang semula makan malam tadi yang seharusnya dipenuhi dengan perasaan cinta dan sayang, namun bertukar kesedihan dan kesakitan.

Perasaan sebaknya datang lagi. Air matanya terus bercucuran. Athirah cuba menyapu pergi air matanya.

Tatkala itu, muncul seorang wanita yang memasuki bilik air. Athirah tidak mahu ada orang melihatnya menangis sendiri di situ. Dalam pandangan yang samar dek kerana penuh dengan air mata, Athirah menangkap imej wajah wanita di sebelahnya.

Wanita itu sedang membetulkan mekapnya. Dia sibuk menggunakan gincu pada bibirnya. Pandangan mereka bertaut. Wanita itu memandang Athirah. Lalu dia mengeluarkan sehelai tisu dan dihulurkan kepada Athirah.

Dia tersenyum.

Tetapi senyuman itu sungguh menyakitkan hati Athirah.

Entah mengapa, Athirah tetap juga menerima tisu pemberian wanita tersebut. Sejurus itu, wanita tersebut berlalu pergi.

Ya, itulah wanita yang dia lihat dalam foto suaminya bersama wanita lain di hotel.

Mengapa takdir menemukan mereka di sini, pada malam itu?