webnovel

Menjadi Seorang Ketua

編輯: EndlessFantasy Translation

Langit yang awalnya mendung, menjadi cerah dengan serta merta. Ling Lan melihat persekitarannya kabur. Sebaik sahaja dia dapat melihat dengan jelas, dia sedar yang dia kini berdiri di atas tanah berpasir manakala litar yang sebelum itu ada di sini, telah lenyap.

Perubahan mendadak ini mengejutkan semua kanak-kanak itu. Mereka hanya berdiri tegak sambil terlopong kerana terkejut..

Kawasan di mana mereka berdiri sekarang bukan lagi merupakan padang luar yang mereka pernah lihat selama ini. Sebenarnya kawasan itu ialah bilik seluas 700-800 meter persegi. Tiada apa-apa di dalam bilik itu kecuali ruang yang luas, diliputi pasir dan kotoran. Oleh kerana simulasi hujan ketika ujian dijalankan dan mereka telah berlari di sekitar bilik, kawasan itu kini menjadi sangat kotor dan berlumpur.

Sementara itu, di atas bumbung terdapat banyak sistem pemercik air yang diletakkan rapat di siling dan air akan disembur ke setiap sudut. Kemungkinan besar, inilah sumber 'hujan' semasa ujian dijalankan.

Berbeza dengan kanak-kanak lain yang terkejut, Ling Lan dan Han Jijyun hanya berkongsi pandangan dan tersenyum. Perubahan persekitaran mereka membuktikan hipotesis mereka betul. Mereka sebenarnya telah dibawa tanpa sedar ke bilik latihan maya.

Pemeriksa tidak membawa kumpulan kanak-kanak itu ke pintu yang di mana dia keluar tadi. Sebaliknya, dia membawa mereka ke pintu yang telah mereka lalui sejak dari awal lagi. Menolak pintu itu terbuka, dia memberi isyarat untuk mereka pergi.

Ketika Ling Lan keluar dari pintu itu, dia melihat kawasan yang pernah dilihatnya sebelum ini, iaitu tempat di mana mereka telah dikumpulkan sebelum dipecahkan kepada beberapa kumpulan.

Sekarang Ling Lan faham. Dia menoleh ke belakang dan melihat pemeriksa yang sedang berdiri di atas litar lumba yang kosong itu mengangguk ke arah mereka sebagai tanda perpisahan. Ketika ini, ekspresi wajahnya tidak lagi tegas dan menakutkan, tetapi sebaliknya kelihatan sedikit terhibur. Akhirnya dia berpaling pergi, berjalan lebih jauh sehingga dia hilang dari bayangan di penghujung litar lumba.

Nampaknya, mod persekitaran maya pada bilik-bilik ini telah diaktifkan semasa mereka berada di luar. Apabila staf di situ membawa kumpulan kanak-kanak yang berbeza satu persatu ke trek sebagai persiapan ujian, mereka sebenarnya dibawa ke dalam bilik yang berasingan.

Apabila sepuluh orang kanak-kanak itu muncul di litar lumba maya secara tiba-tiba tanpa sebarang amaran, staf yang berada di luar tidak dapat menyembunyikan ekspresi terkejut mereka. Lagipun, masa yang berlalu hanya kurang dari 3 jam sejak ujian bermula, iaitu sejam lebih awal daripada masa akhir yang ditetapkan untuk ujian ini. Adakah semua kanak-kanak ini gagal dan dikeluarkan lebih awal dari bilik ujian?

Dalam keadaan tertanya-tanya apa yang perlu dilakukan, mereka melihat plat nombor digital di sebelah para pelajar itu. Plat nombor itu semuanya memancarkan cahaya hijau lembut, menandakan ujian itu berjaya ditamatkan. Staf-staf di situ tersenyum dengan penuh teruja. Bukankah ini maksudnya semua kanak-kanak ini mempunyai bakat yang luar biasa?

Baiklah, baiklah, Akademi Pusat Pengakap yang terbaik juga mempunyai keinginan untuk mendapatkan bakat terbaik.

Staf di situ membantu mereka keluar dari tapak ujian itu. Sewaktu Ling Lan berjalan keluar dari pintu utama, perkara pertama yang dilihatnya ialah wajah cemas Ling Qin dan terus dia merasakan kehangatan mekar di dalam hatinya.

Betul, berada bersama keluarga ialah yang terbaik! Hanya sekarang Ling Lan merasakan kesakitan di seluruh tubuhnya. Walaupun dia telah menahan diri daripada menggunakan seluruh kekuatannya dalam pertempuran sebelum ini, senaman yang berlebihan itu masih merosakkan otot-ototnya, yang kini sedang memprotes kesakitan.

Ibu bapa dan penjaga kanak-kanak lain juga menunggu di sana. Melihat anak-anak mereka muncul, mereka semua berkumpul dan bertanyakan tentang ujian tersebut. Hasil daripada ujian ini akan menentukan masa depan kanak-kanak ini serta mempengaruhi masa depan keluarga masing-masing.

Mengetahui mereka semua telah berjaya, ibu-bapa dan penjaga di situ berasa sangat gembira. Sementara itu, kumpulan kanak-kanak itu juga telah membentuk hubungan yang erat semasa menjalani ujian bersama-sama. Sebelum mengucapkan selamat tinggal dengan berat hati, mereka semua berjanji untuk berjumpa kembali pada hari pertama persekolahan.

Ling Lan mengucapkan selamat tinggal kepada setiap seorang daripada sembilan kanak-kanak itu. Sikapnya sopan dan santun, tiada tanda-tanda cacat cela dalam tingkah lakunya. Ini sangat mengembirakan Ling Qin yang berasa bangga Tuan Mudanya seorang lelaki yang beradab, seperti yang diharapkan sebagai anak kepada Major Jeneral Ling Xiao.

Merasakan dia telah melakukan semua yang diperlukan, Ling Lan berpaling untuk pergi bersama Ling Qin. Tetapi setelah mengambil dua langkah, dia merasakan Ling Qin tiba-tiba menjadi kaku di sebelahnya sebelum kembali tenang. Pada masa yang sama, kedengaran bunyi angin meluru yang ganas di belakangnya. Serangan hendap?

Namun begitu, Ling Lan tidak mengesan apa-apa niat jahat. Jadi dia hanya bergerak satu langkah ke kiri bagi mengelakkan serangan ganas ini.

Dengan bunyi yang kuat, "Whump!", penyerang itu telah tersembam ke tanah, kedudukan kaki dan tangannya seperti sayap helang tersebar. Dia jatuh tepat di depan kaki Ling Lan.

Melihat susuk tubuh yang dikenalinya ini mata Ling Lan menggerenyet. Dia menjerit, "Qi Long! Apa yang kamu fikir kamu sedang buat?!"

Qi Long sekarang sudah dipenuhi dengan kotoran. Dengan cepat dia bangun, ekspresi mukanya tenang sambil membersihkan debu pada pakaiannya, sebelum berkata, "Saya datang untuk mengucapkan selamat tinggal."

Mendengar kata-katanya, Ling Lan mengeluh dalam diam. "Bukankah saya sudah mengucapkan selamat tinggal kepada kamu sebentar tadi?" Oh tidak, sejak bila budak ini mula mengarut? Adakah dia sengaja buat begini?

Walaupun pembohongannya telah dibongkar oleh Ling Lan, Qi Long tidak berasa malu. Dia terus berkata "Itu hanya aktiviti kumpulan. Sekarang ialah ucapan selamat tinggal daripada saya secara peribadi."

Qi Long mengangkat kepalanya lalu memberi senyuman menawan pada Ling Lan. "Hehe, Ling Lan, adakah kamu tersentuh?"

"Tersentuh? Langsung tidak. Terkejut? Mungkin sedikit," balas Ling Lan wajah yang tidak berperasaan. Qi Long seorang yang bersungguh-sungguh dalam membuat sesuatu. Jadi, Ling Lan tidak boleh memberi muka padanya, atau keadaan akan menjadi lebih tidak terkawal.

Qi Long memilih untuk tidak mengendahkan sindiran Ling Lan. Sebaliknya dia memilih untuk merenung Ling Lan, seolah-olah cuba mengesahkan sesuatu. Pandangannya yang tajam, menyebabkan Ling Lan berasa tidak selesa, tetapi sebelum Ling Lan dapat berkata apa-apa, Qi Long terus berkata, "Ling Lan, kamu lebih kuat daripada saya. Saya akui kekuatan kamu. Mulai sekarang, kamu ialah ketua saya."

Mata Ling Lan berkelip-kelip. Ketua? Jahanam, apa semua ni? Dia salah dengar, atau Qi Long sudah hilang akal? Lagi satu, dia ada cakap dia mahukan orang bawahankah? Kenapa Qi Long menyebut tentang perkara ini?

Tambahan pula, kenapa tiada sesiapa memberitahu dia tentang hal ini? Adakah ia diputuskan begitu sahaja, secara peribadi? Wajah Ling Lan berkerut kerana dia memikirkan semua ini dalam keadaan tidak berdaya. Secara jujurnya, Ling Lan tidak pernah memikirkan untuk menjadi ketua. Seorang ketua selalunya berada di barisan hadapan pasukan, menjadi sasaran utama, dan yang pertama akan ditembak. Menjadi seorang ketua bertentangan dengan azam yang telah dibuatnya sejak mula lagi, iaitu menjalani kehidupan secara merendah diri, tidak menonjol dan selamat.

Sebaik Qi Long selesai bercakap, dia melambai sebagai tanda selamat tinggal dan melarikan diri, meninggalkan jejak debu di belakangnya. Ling Lan tidak dapat peluang untuk berkata apa-apa. Walau bagaimanapun, bagi Qi Long, pendapat Ling Lan tidak penting. Qi Long seorang yang berfikiran sehala. Memandangkan dia sediri sudah mengakui Ling Lan sebagai ketuanya, walaupun Ling Lan berasa tidak percaya, dia tetap mahu menjadi orang bawahan Ling Lan.

Maka begitulah caranya Ling Lan menjadi ketua Qi Long.

Ling Lan merungut sambil memandang Qi Long yang hilang secara perlahan-lahan. Dia sedikit marah pada dirinya sendiri kerana terlalu lambat bertindak. Tadi, dia sepatutnya memegang Qi Long dengan erat dan berkomunikasi dengannya dengan baik… Sudah tentulah, kaedah komunikasi ini tidak mengecualikan penggunaan kekerasan bagi membantu menguatkan 'hujahnya'.

Han Jijyun berjalan perlahan-lahan ke arah Ling Lan sambil tersenyum kecil. Nampaknya dia gembira dengan kesengsaraan Ling Lan.

Ling Lan merungut padanya, "Tak bolehkah kamu kawal sikit bro kamu tu?"

"Bro?" Han Jiyun terkejut dengan panggilan itu, tidak faham apa yang dimaksudkan oleh Ling Lan.

Ling Lan senyum sinis. "Pasangan bromance kamu!"

Han Jijyun jelas kelihatan terkejut seketika sambil cuba memahamkan istilah baru itu. Dan selepas itu, seolah-olah baru sedar maksudnya, wajah kecil seperti jed putih itu menjadi merah padam. Nampaknya dia masih terlalu malu untuk menerima jenaka sebegini.

Ling Lan terkejut melihat muka Han Jijyun menjadi merah. Siapa sangka Han Jijyun yang kelihatan matang, akan berkelakuan kebudak-budakan seperti itu? "Wow, kamu malu seperti itu?"

Oh, Ling Lan, walau betapa bijaknya Han Jijyun, dia masih seorang budak berumur enam tahun yang naif. Tentulah dia tidak boleh jadi seperti kamu yang sudah berpengalaman dengan dua kehidupan, bersamaan lebih kurang 30 tahun.

Han Jijyun yang terlalu malu lantas membentak, "Kamu sudah menjadi ketua, boleh tak kamu jadi lebih serius?"

Kata-kata itu begitu menusuk hati Ling Lan. Sambil menangis dalam hati, dia memandang ke arah langit. "Saya tak dengar apa-apa."

Ya tuhan, dia hanya mahu menjalani kehidupan yang aman. Dia tidak mempunyai sebarang cita-cita yang hebat. Dia hanya mahu mana-mana kanak-kanak yang mahu bergantung padanya untuk pergi jauh, jauh, dan tidak mengganggu dia. Amin!

Tetapi kata-kata Han Jijyun seterusnya menyebabkan harapan Ling Lan hancur. "Dia telah memanggil kamu sebagai ketua, kamu merancang untuk menolaknya? Kamu juga perlu menjaga saya di masa depan ... Ketua Ling Lan."

Jahanam. Nampaknya Han Jijyun juga telah mengambil dia sebagai ketua.