Pemeriksa itu cepat bertindak. Dia bergegas berdiri semula.

Walaupun tumbukan Ling Lan kelihatan agak kuat dan menyebabkan pemeriksa itu terpelanting, kecederaan pemeriksa itu tidak teruk. Serangan itu hanya meninggalkan kesan lebam pada pipi kirinya. Sudah tentulah ini yang diinginkan oleh Ling Lan. Dia hanya mahu membuktikan yang mereka tidak mudah dibuli.

Pemeriksa itu terpegun, tetapi wajahnya dingin. Dia mengangkat tangannya untuk menyentuh kesan lebam pada mukanya, walaupun pipinya kebas, hatinya berasa pedih dan terluka.

Dia sakit, marah dan kecewa. Dia tidak marah kerana Ling Lan telah berjaya memukulnya, tetapi, dengan pukulan itu, Ling Lan telah menunjukkan sifat mementingkan diri dan kekejaman yang tidak boleh diterimanya.

Pemeriksa itu tidak dapat memahami bagaimana budak hebat ini, yang mempunyai banyak kelebihan, boleh menjadi sangat kejam dengan menggunakan sahabatnya sendiri sebagai perisai untuk mencapai niatnya. Walaupun dia terkejut dengan kemalangan tadi, dia masih dapat menangkap segalanya yang telah berlaku. Qi Long tiba-tiba muncul untuk menangkis serangan yang ditujukan pada Ling Lan, bukan atas kehendaknya sendiri, tetapi kerana Ling Lan telah mengheret Qi Long untuk menghalang serangan pemeriksa itu.

Lebih teruk lagi, Ling Lan seolah-olah tidak peduli dengan keadaan Qi Long selepas kejadian itu, hanya menumpukan pada dirinya sendiri. Pemeriksa itu tidak boleh menerima tingkah laku mementingkan diri sendiri itu. Dia memutuskan untuk tidak akan memberikan Ling Lan peluang untuk memasuki kelas khas. Pihak persekutuan tidak akan memberikan pemupukan khusus pada kanak-kanak yang dingin, tidak berperasaan dan mementingkan diri ini. Jika dia menjadi seorang askar, dia akan mendatangkan kemudaratan pada pihak Persekutuan dan askar-askar yang lain.

Tetapi sebelum pemeriksa itu sempat menjerit marah, apa yang berlaku seterusnya menyebabkan pemeriksa itu tergamam.

Ling Lan berjalan ke arah Qi Long yang tidak sedarkan diri. Qi Long masih terbaring di atas tanah dengan berlumuran darah. Ling Lan menendangnya beberapa kali, dan berkata, "Baiklah. Sudah tamat. Kamu tidak mahu bangunkah? Kamu tidak rasa yang kamu ni terlalu dramatik?"

Tiba-tiba, Qi Long bangun dan tersenyum sambil berkata, "Kamu betul-betul pukul dia?" Darah masih terus meleleh dari mulutnya semasa dia bercakap. Keadaan ini sangat mengerikan.

Ling Lan berkata dengan bangga, "Sudah tentulah. Kamu fikir saya siapa?" Ada masanya Ling Lan perlu bersikap keanak-anakan. Dia tahu yang dia agak keterlaluan, jadi apa yang dia boleh lakukan ialah cuba untuk menawan hati mereka semula.

Qi Long mengangguk berkali-kali kerana dia kagum dengan Ling Lan, dan berkata, "Ya, Ling Lan, kamu memang lebih kuat daripada saya." Qi Long berkata lagi, "Lakonan saya hebat atau tidak?"

Ling Lan mengangguk, namun tidak begitu ikhlas. Dia juga mengusap-usap kepala Qi Long hanya kerana untuk memuaskan hati budak lelaki itu.

Sebenarnya, sikap Qi Long ini seperti anjing yang Ling Lan kenal di dunianya 10000 tahun yang lalu. Muka Qi Long yang mengharapkan pujian itu terlalu comel bagi Ling Lan, menyebabkan Ling Lan teringin mengusapnya.

Qi Long yang naif, tidak tahu yang Ling Lan menganggapnya sebagai seorang budak yang comel. Dia dengan gembiranya berdiri selepas dipuji, menjilat darah kering di mulutnya dan berkata, "Sayangnya kita terpaksa bazirkan banyak cecair tenaga... sedap sangat. Saya tidak pernah rasa cecair tenaga sesedap ini."

Memanglah sedap. Cecair tenaga berperisa tomato itu ialah hasil penyelidikannya, berani betul Qi Long membandingkannya dengan cecair tenaga lain? Ling Lan menggeletar memikirkan perisa asli cecair tenaga. Rasanya... memang tidak sesuai untuk manusia. Mungkin kucing dan anjing daripada 10000 tahun yang lalu juga tidak akan menyentuhnya.

Ling Lan bukanlah orang yang akan menyeksa dirinya sendiri. Oleh kerana dia tidak tahan dengan rasa itu, dia memutuskan untuk mengubah rasa cecair tenaga. Dengan bantuan Empat Kecil, mereka akhirnya berjaya mencipta cecair tenaga dalam beberapa perisa buah-buahan dan sayur-sayuran. Perisa tomato hanya salah satu daripada perisa itu.

Dia telah memberikan Qi Long cecair tenaga perisa tomato itu kerana warnanya yang menyerupai tomato iaitu merah terang yang kelihatan seperti darah. Ini membuatkan lakonan Qi Long kelihatan lebih meyakinkan.

Muka Han Jihyun kembali ke tona warna asalnya apabila dia nampak Qi Long kembali cergas dan bersemangat. Dia bertanya, "Apa yang kamu berdua telah buat sebenarnya?" Semasa dia ingatkan Qi Long betul-betul cedera parah, dia terlalu terkejut dan panik sehinggakan dia tidak boleh memikirkan tentang perkara lain.

Pemeriksa itu juga mempunyai soalan yang sama dengan Han Jiyun. Walaupun dia masih tidak pasti apa yang berlaku tetapi kini dia sedar yang dia pasti telah terjatuh ke dalam perangkap yang dirancang oleh dua orang budak di hadapannya. Tidak dijangkakan yang seorang tentera yang mempunyai pengalaman peperangan seperti dia akan menjadi mangsa dua orang budak kecil.

Walau bagaimanapun dia tidak marah. Sebaliknya, dia terlalu gembira. Budak yang dia letak harapan yang paling tinggi, dengan kebolehan yang mengagumkan itu, sebenarnya tidak seteruk yang dia fikirkan...

Qi Long cepat-cepat menjawab soalan Han Jijyun, "Semasa saya terpelanting tadi, Ling Lan mengheret saya ke tepi. Ketika itulah dia memberikan saya cecair tenaga, dan semasa dia membelakangkan pemeriksa itu, dia meminta saya berpura-pura tercedera dengan menggunakan cecair itu. "

Masih tersenyum lebar, Qi Long menggaru kepalanya, dia terasa bersalah membuatkan orang lain risau. "Jadi, apabila saya terkena serangan selepas itu, saya berpura-pura tercedera dan pengsan."

Pemeriksa itu memandang Ling Lan dan berkata, "Kamu tidak takut akan membuat kesilapan? Apa yang akan berlaku jika saya tidak sempat bertindak? Kamu boleh menyebabkan Qi Long betul-betul tercedera, malah memusnahkan masa depannya. "

Ling Lan hairan. "Adakah Tuan akan melakukan kesilapan seperti itu?" Ini menunjukkan yang Ling Lan percaya pada keupayaan pemeriksa itu untuk mengawal dirinya.

Qi Long masih tersenyum. Han Jijyun kagum dengan Ling Lan tetapi juga membencinya, namun, kemudian, dia cepat kembali tenang seperti biasa.

Pemeriksa itu sukar memahami Ling Lan, tetapi dia setuju dengan kata-kata Ling Lan, dia pasti yang dia tidak akan membuat kesilapan seperti itu. Jika bukan kerana lakonan Qi Long begitu realistik, berpura-pura cedera sehingga menyemburkan darah, dia tidak akan meragui dirinya sendiri. Akhirnya, dialah sebenarnya yang tidak percaya pada dirinya sendiri.

Pemeriksa itu ketawa kecil. Hakikatnya, Ling Lan telah menunjukkan kelemahan pemeriksa itu sendiri. Betapa hebatnya budak ini.

Budak ini sangat luar biasa, dia sangat berani, tekun, dan ganas dalam pertempuran. Lebih menakutkan lagi, Ling Lan mempunyai karisma, dan boleh meyakinkan orang lain dengan mudah untuk menyertainya. Qi Long dan Luo Lang, walaupun kedua-duanya kuat, telah meletakkan kepercayaan mereka pada Ling Lan dan membiarkan dia membuat segala keputusan.

Dan akhir sekali Ling Lan telah menggunakan strategi untuk mendedahkan kelemahan pada diri pemeriksa itu. Ling Lan menyedari yang pemeriksa itu tidak akan menyakiti mereka, jadi jika seseorang tercedera dalam pertempuran ini, dia tentu akan risau. Keadaan ini mendedahkan kelemahan pertahanannya.

Pemeriksa itu mengeluh dan menggelengkan kepalanya. Kanak-kanak hari ini pastinya tidak mudah ditipu. Lalu, dia berkata, "Kali ini, kamu semua lulus!"

Kata-kata pemeriksa itu membuatkan semua kanak-kanak itu melompat dengan gembira. Ini bermakna mereka layak untuk menjadi pelajar di akademi pengakap ini! Sudah tentulah belum lagi diputuskan sama ada mereka boleh memasuki kelas khas atau tidak. Hal ini bergantung pada skor akhir yang diberikan oleh pemeriksa. Sebaik sahaja keempat-empat skor ujian telah dikira, pelajar yang menduduki 100 tempat teratas kan dimasukkan ke dalam kelas khas.

Pemeriksa itu tidak mengendahkan kanak-kanak yang sedang bergembira, dan menumpukan perhatian pada peranti komunikasinya untuk menekan butang yang menandakan ujian itu selesai.

avataravatar
Next chapter