webnovel

Kerumitan Senaman Qi!

編輯: EndlessFantasy Translation

Lan Luofeng sekali lagi menjadi risau akibat selera makan Ling Lan. Dia bersyukur yang anaknya boleh makan, tetapi...tidak mengapakah Ling Lan makan banyak seperti itu?

Ling Qin dan Ling Nanyi juga tertanya-tanya soalan yang sama. Selera Ling Lan sangat besar. Walaupun ini mungkin kerana badannya memerlukan tenaga, tetapi jumlah makanan sebanyak itu sukar diterima.

Melihatkan tubuh badan Ling Lan yang kecil molek, mereka berdua hanya boleh menggelengkan kepala dan mengeluh. Memang tidak masuk akal. Adakah perut Tuan Muda Ling Lan berasal dari dimensi lain?

Setelah beberapa lama, terbukti tidak ada apa yang perlu Lan Luofeng risaukan. Walaupun Ling Lan makan banyak, badannya tidak banyak berubah melainkan semakin meninggi. Ukuran pinggangnya tetap sama. Tambahan pula, berlainan dengan kanak-kanak lain yang menerima suntikan agen perangsang gen, ototnya tidak membesar, sebaliknya dia kelihatan agak lemah dan kurus.

Oleh itu, Lan Luofeng tidak mahu Ling Lan berdiet. Anaknya kelihatan lemah dan kurus walaupun selepas makan banyak. Jika Ling Lan berdiet, tidakkah anaknya nanti menjadi kurus kering? Lebih baik biarkan sahaja dia makan. Bukannya Keluarga Ling mempunyai masalah untuk membekalkan makanan sebanyak itu.

Sejak itu, tiada siapa mempersoalkan lagi selera makan Ling Lan. Sehinggakan jika Ling Lan makan kurang sedikit daripada biasa, seperti tidak makan semangkuk nasi goreng atau stik, semua orang akan panik. Selera Tuan Muda telah berkurangan! Adakah dia sakit...

Ling Lan juga hairan dengan keadaan dirinya, maka dia meminta Empat Kecil untuk membuat siasatan.

Empat Kecil yang boleh diharap, segera mendapatkan jawapannya.

Penyebab badan Ling Lan sangat kurus dan lebih lemah berbanding dengan kanak-kanak lain yang menerima suntikan agen kerana pembesaran otot kanak-kanak lain itu berlaku disebabkan pengumpulan kekotoran di dalam badan mereka. Sudah tentulah ini bukannya perkara yang tidak baik. Kesan baiknya secara tidak langsung ketahanan fizikal mereka dapat ditingkatkan sehingga mereka dapat menahan impak tertentu. Sebaliknya, kesan buruknya ialah pengurangan kelenturan badan dan daya tahan badan mereka.

Sementara itu, agen yang Ling Lan serap tidak mengandungi sebarang kekotoran hasil bantuan Empat Kecil. Jadi pengumpulan kekotoran tidak berlaku di dalam badannya dan tidak menyebabkan ototnya menjadi besar.

Berkaitan selera makan Ling Lan pula, ini disebabkan latihan kemahiran fizikal lanjutan di dalam ruang mindanya. Latihan itu telah menggunakan banyak tenaga, jadi Ling Lan tidak mempunyai pilihan selain meningkatkan pengambilan makanannya untuk menggantikan tenaga yang telah digunakan. Sebahagian daripada sebabnya juga kerana formula perubatan rahsia keluarga Ling itu. Formula itu telah meningkatkan kapasiti penyimpanan badan Ling Lan supaya dia dapat menyimpan tenaga yang dihasilkan daripada dua mangkuk nasi ke dalam satu ruang, berbanding hanya tenaga daripada semangkuk nasi bagi orang biasa.

Maknanya, lebih banyak tenaga yang disimpan dalam badan, semakin hebat keupayaan tenaganya. Secara kesimpulannya, hal ini mendatangkan manfaat kepada Ling Lan.

Penyebab Ling Lan kelihatan lemah dan kurus, Empat Kecil tidak pasti. Dia cuba mencari jawapan, sebelum dengan teragak-agak mencadangkan kemungkinan penyebabnya ialah senaman Qi yang Ling Lan telah pelajari pada masa silamnya.

Selepas mendapat jawapan daripada Empat Kecil, Ling Lan berasa lega. Asalkan tidak berbahaya, Ling Lan tidak kisah menjadi pelahap, terutamanya jika dia boleh memuaskan nafsu makannya pada masa yang sama.

Walau bagaimanapun, dia tidak dapat menikmati rutin harian makan dan tidurnya dengan begitu lama. Tidak lama kemudian, ibunya tanpa belas kasihan telah menyuruhnya berlatih di bawah bimbingan Ling Qin. Nampaknya, pada usia lima tahun, sudah tiba masa untuk dia mula belajar seni mempertahankan diri warisan keluarga Ling.

Pada hari pertama, Ling Lan sudah boleh menjangkakan kesukaran yang menantinya di masa hadapan. Seni mempertahankan diri keluarga Ling ini sangat sukar. Tiada jalan pintas, semua peningkatan hanya dapat dicapai melalui latihan. Setiap hari dia perlu membuat sejumlah tendangan dan pukulan yang ditetapkan. Jika tidak, dia tidak dibenarkan rehat.

Apabila Ling Lan akhirnya membuat tendangan terakhir pada hari itu, dia segera rebah ke tanah. Ling Nanyi yang berdiri di sisinya mengangkatnya dengan hati-hati dan membawanya terus ke bilik tersembunyi itu untuk mandian ubatnya. Mandian ini diharapkan dapat menenangkan otot Ling Lan yang sudah letih.

Apabila Ling Lan masuk ke dalam tab mandi itu, dia tahu yang mandian hari ini berbeza dengan sebelumnya. Dia tidak rasa sakit langsung, hanya kehangatan yang sangat selesa sehingga dia hampir tertidur.

Empat Kecil tiba-tiba berkata, 'Set kemahiran fizikal ini tidak sepadan dengan ruang belajar dan akan merosakkan badan kamu. Jika bukan kerana mandian ini, kamu tidak akan dapat bertahan lama.'

Ling Lan senyum sumbing. 'Bukannya saya boleh memilih untuk tidak pergi berlatih. Saya terpaksa meneruskannya. Saya tidak mahu mereka kecewa dengan saya.' Pada masa silamnya, Ling Lan sudah terlalu banyak melihat kekecewaan pada wajah orang tuanya. Jadi sekarang, bila-bila dia terasa ingin berputus asa, kekecewaan yang terpancar pada mata Ling Qin dan Ling Nanyi akan mengubah fikirannya, memberikannya keazaman untuk bertahan.

Dia menyeksa dirinya sendiri! Walaupun Ling Lan tahu ini ialah salah satu kelemahannya, tetapi bukan mudah untuk dia melupakan masa silamnya.

Selepas mandi, Empat Kecil perasan luka yang disebabkan Ling Lan kuat berlatih tidak disembuhkan sepenuhnya oleh ramuan ubat itu. Walaupun masalah itu agak kecil sekarang ini, tetapi jika tiada perubahan dilakukan, perkara ini akan berterusan menjadi masalah yang lebih besar.

Oleh itu, Empat Kecil cuba meyakinkan Ling Lan untuk ponteng latihan esok. Walau bagaimanapun, pada keesokan harinya dia terkejut melihat semua luka itu telah sembuh sepenuhnya. Malahan badan Ling Lan berada dalam keadaan yang lebih baik berbanding dengan badannya sebelum memulakan latihan itu.

Empat Kecil cepat-cepat bertanyakan pada Ling Lan apa yang telah dilakukannya malam tadi.

Ling Lan kebingungan. Dia tidak pasti apa yang Empat Kecil mahukan.

Empat Kecil menjelaskan yang dia perlu tahu apa yang dilakukan oleh Ling Lan malam tadi selain tidur.

Ini memang hal yang agak penting. Jika dia dapat mengetahui puncanya, dia telah membuat satu penemuan hebat. Di dunia asal Empat Kecil yang maju dari segi teknologi sekalipun, agak mustahil untuk menyembuhkan luka sepenuhnya dengan hanya menggunakan ubat. Proses penyembuhan memerlukan pengorbanan yang setara, seperti mengurangkan daya hidup atau tenaga sel. Pengorbanan seperti ini tidak mempunyai kesan negatif yang nyata dalam jangka masa pendek namun akan menyebabkan masalah yang tidak berkesudahan dalam jangka masa panjang.

Namun, situasi Ling Lan berbeza. Entah bagaimana, dia berjaya pulih sepenuhnya tanpa sebarang pengorbanan. Daya hidupnya tidak dikurangkan sebaliknya menjadi lebih kuat, dan tenaga di dalam badannya lebih banyak daripada sebelumnya. Semua ini menjadi bukti yang Ling Lan tidak menggunakan sumber daripada badannya untuk menyembuhkan luka tersebut.

Ling Lan berfikir dengan serius sebelum dengan teragak-agak memberitahu Empat Kecil yang dia mungkin telah membuat senaman Qi sebelum tidur.

Oleh itu, Empat Kecil menegaskan Ling Lan perlu terus menghadiri latihan pada hari ini, dan membuat senaman Qi pada waktu malam.

Hasilnya membuktikan sangkaan Empat Kecil tepat sekali. Seperti yang dijangkakan, peredaran tenaga yang digerakkan oleh senaman Qi sekali lagi memperbaiki keadaan badan Ling Lan sehingga mencapai tahap tertinggi, sama seperti sewaktu hari pertama dahulu. Empat Kecil menyaksikan keseluruhan proses ini dengan kagum. Siapa sangka planet primitif dengan teknologi yang tidak canggih, mempunyai keajaiban seperti ini? Senaman Qi bukan sahaja mempunyai keupayaan untuk menyuburkan daya hidup, tetapi juga dapat menggabungkan sebahagian tenaga ke dalam litar aktif untuk memperbaiki dan mengekalkan keadaan badan dengan cara yang tidak dapat dikesan menggunakan teknologi.

Empat Kecil boleh 'nampak' segalanya kerana Ling Lan ialah hosnya, jadi mereka berkongsi tenaga rohani. Jika tidak, dia tidak akan percaya keajaiban tersembunyi seperti ini sebenarnya wujud di dalam dunia ini.

Empat Kecil berasa sedikit kesal. Sekiranya dia tahu yang dunia primitif ini mempunyai pelbagai perkara yang mengagumkan, dia akan memberi lebih perhatian dan mula mengumpulkan maklumat sejak dari awal lagi. Malangnya, kini semuanya sudah terlambat...