20 Ling Lan yang Kuat Makan

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Lan Luofeng dan Ling Nanyi berdiri di samping Ling Lan. Mereka memerhatikan ekspresi dan keadaan badannya dengan gelisah. Dia perlu dimandikan dengan cecair ubat ini semasa dalam keadaan sedar untuk mendapatkan kesan maksimumnya. Kesannya akan berkurangan jika Ling Lan tertidur atau pengsan. Rendaman pertama juga mempunyai kesan yang paling hebat.

Ling Nanyi perasan, walaupun dahi Ling Lan berkerut sedikit, tetapi mukanya tidak menunjukkan tanda-tanda dia dalam kesakitan seperti yang ditunjukkan oleh kanak-kanak lain. Dia mengangguk, seperti yang dijangka, anak tuannya ini mempunyai daya tahan yang tinggi. Sekiranya Tuan Ling Xiao masih hidup, dia mungkin akan berasa sangat gembira kerana dia mempunyai keturunan yang boleh diharapkan.

Setiap kali muka Ling Lan bergerak-gerak, Lan Luofeng mahu mengeluarkan Ling Lan dari tab itu. Keperitan yang dapat dilihat di dalam mata Lan Luofeng menenggelamkan keperitan yang dilalui oleh Ling Lan. Dia tidak mahu melihat anaknya sendiri mengalami kesakitan seperti ini. Dia tidak pernah melupakan apa yang pernah dikatakan oleh Ling Xiao mengenai cecair itu. Ling Xiao pernah memberitahunya cecair ini sangat berkesan, tetapi juga akan mengakibatkan kesakitan melampau.

Lan Luofeng sangat risaukan anaknya sehingga air matanya bergenang.

Ling Nanyi menyedari keengganan Lan Luofeng untuk meneruskan proses ini maka dia cuba menenangkannya. "Puan perlu bertahan dan biarkan hal ini berlaku. Ini akan membantu Tuan Muda supaya dia dapat menjalani kehidupan yang lebih baik di masa depan. Dia perlu menjadi kuat untuk berjaya di dunia ini...tanpa kekuatan sebenar, kita tidak akan dapat melindungi apa yang ditinggalkan oleh Tuan. "

Lan Luofeng mengangguk. "Saya tahu. Baiklah, saya boleh bertahan. Saya percaya yang Ling Lan boleh terus bertahan juga." Betul kata Ling Nanyi. Anaknya perlu menjadi kuat supaya dapat hidup dengan bebas di masa depan.

*********

Sementara itu ...

'Saya perlu membuat penyelidikan tentang formula ini. Ia terlalu menakjubkan! Sekiranya saya dapat memahami khasiat perubatan ini dan fungsinya, mungkin saya boleh mencipta agen baru! Tuan, saya pergi dulu, selamat berendam…'  Tanpa sebarang kekesalan, Empat Kecil meninggalkan Ling Lan dan pergi ke makmal penyelidikannya untuk membuat ciptaan hebat seterusnya.

Budak tak ada hati perut! Ling Lan yang berharap Empat Kecil akan terus bercakap dengannya supaya dia dapat berkongsi kesakitannya, terasa seperti dihina. Selepas ini, dia pasti akan mengajar Empat Kecil dan akan memastikan dia memahami tiada apa yang lebih penting daripada tuannya.

Ling Lan tidak dapat mengawal badannya yang tiba-tiba kejang kerana terlalu sakit, sehingga membuatkannya tidak dapat berhenti merintih. Tiba-tiba, dia teringat yang senaman Qi boleh mengurangkan kesakitan seperti ini, dan dengan cepat dia memulakannya. Tindakannya betul-betul berjaya, kesakitan itu semakin berkurangan.

Kekejangan badan Ling Lan membuatkan Lan Luofeng dan Ling Nanyi menjadi lebih cemas, tetapi sementara Lan Luofeng bimbang dengan penderitaan Ling Lan, Ling Nanyi risau tentang tahap seterusnya. Dia tahu yang setengah jam akan datang ialah tempoh paling kritikal dalam proses mandian ubat ini, dan juga merupakan bahagian yang menyebabkan kesakitan yang paling sukar untuk ditahan. Kebanyakan kanak-kanak akan pengsan. Ling Xiao sekalipun telah koma selama setengah hari walaupun dia berjaya bertahan sewaktu tempoh setengah jam yang kritikal itu.

Oleh kerana Ling Lan sudah mengamalkan senaman Qi ini sejak dari dalam rahim ibunya, mungkin senama ini sudah tertanam dalam memori badannya. Ini kerana Ling Lan dapat fokus pada meditasinya dengan cepat. Dia tidak lagi rasa kesakitan pada badannya, tetapi hanya rasa seolah-olah dia sedang berendam dalam air yang panas sedikit.

Melihat ekspresi wajah Ling Lan, Lan Luofeng mula bertenang. Nampaknya Ling Lan berjaya mengatasi satu lagi halangan.

Sebaliknya, Ling Nanyi keliru kerana dia tahu sifat sebenar cecair itu. Adakah kandungan herbanya telah diserap sepenuhnya? Dia memerhati air yang berwarna hijau itu. Warna cecair itu menunjukkan masih banyak kandungan herba dalam tab itu.

Jika ya, maka Ling Lan sepatutnya masih dalam kesakitan dan tahap kesakitan itu semakin meningkat kini. Sama ada Tuan Muda Ling Lan seorang kanak-kanak yang mempunyai kebolehan menahan kesakitan yang luar biasa atau mempunyai kurang reseptor kesakitan, menjadikannya kurang sensitif berbanding kanak-kanak biasa.

Ling Nanyi merasakan kemungkinan yang kedua itu lebih mudah dipercayai, kerana agak mustahil yang seorang kanak-kanak berusia satu setengah tahun mempunyai toleransi kesakitan yang tinggi. Salah faham Ling Nanyi ini akan menyebabkan penderitaan pada Ling Lan sepanjang latihannya di masa hadapan. Ini kerana keluarga Ling akan cuba mengatasi masalah kekurangan reseptor kesakitan ini dengan menjadikan latihannya lebih sukar supaya Ling Lan tahu rasa sakit yang sebenar.

Setelah beberapa ketika berlalu, sewaktu masih lagi mamai kerana sedang bermeditasi, Ling Lan merasakan yang dia telah diangkat keluar daripada tab mandi itu dan diletakkan di atas katil. Seseorang mula mengurutnya perlahan-lahan, dan Ling Lan berasa begitu selesa sehingga dia tidak tahan lagi, dan ... tertidur.

Selepas memastikan semua anggota tentera itu sudah pulang, Ling Qin telah bertindak sebagai pengawal di luar pintu bilik itu. Melihat Lan Luofeng dan Ling Nanyi keluar dari bilik itu, dia terus bertanya, "Bagaimana kesannya?"

Ling Nanyi tidak dapat menahan kegembiraannya. Dia mengangguk bersungguh-sungguh sambil mengatakan, "Kesannya jauh lebih baik daripada yang diharapkan. Semua aspek mengalami peningkatan sebanyak 30 hingga 80 peratus."

Ling Qin hampir menangis mendengarnya. "Benarkah?" Dalam sejarah proses mandian berubat, Tuan Ling Xiao telah mencatatkan kesan terbaik setakat ini. Pada tahun itu, peningkatan yang direkodkan hanyalah di antara 10 hingga 50 peratus.

Menatap wajah Ling Nanyi yang sedang mengangguk sebagai pengesahan, Ling Qin tidak dapat menghentikan air matanya daripada mengalir sambil dia bergumam dengan penuh semangat, "Tuhan merahmati keluarga Ling. Tuhan memberkati keluarga Ling."

Ling Nanyi dengan senyap-senyap memegang tangan suaminya. Dia tahu betapa pentingnya berita ini bagi suaminya. Walaupun Tuan Ling Xiao ketua keluarga Ling, namun tuannya telah dibesarkan oleh suaminya. Ling Qin menyayangi Ling Xiao seperti anaknya sendiri, dan kematian tuannya amat sukar bagi suaminya sepertimana berita itu sukar diterima oleh puannya.

"Nampaknya Tuan Muda telah mewarisi sifat fizikal Tuan Ling Xiao. Mampu menyerap sepuluh tiub agen perangsang gen dan juga mampu mendapatkan kesan daripada mandian perubatan tadi dengan lebih baik ... " kata Ling Nanyi.

Ling Qin masih lagi diselubungi emosinya, dan hanya dapat mengangguk sambil air matanya mengalir. Pasangan Ling itu hanya dapat menafsirkan hal ini begini. Tentulah mereka tidak tahu yang kesan mandian itu menjadi sangat luar biasa kerana senaman Qi. Peralihan tenaga badan semasa senaman itu telah meningkatkan keupayaan penyerapannya, menyebabkan ubat itu meresap lebih mendalam ke dalam badan. Hasilnya ialah peningkatan yang tidak pernah dilihat sebelum ini.

Dengan itu, Ling Lan memulakan rutin mandian ubatnya. Di samping itu, dia terus melenturkan badannya kepada pelbagai posisi aneh yang melangkaui batas badan manusia setiap hari. Sudah tentulah dia berlatih kedudukan itu secara rahsia supaya ibunya tidak menggelabah kerana risau.

********

Satu tahun berlalu dan Ling Lan semakin membesar. Tanpa dia sedar, dia telah menjadi seorang yang sangat kuat makan. Dia boleh menghabiskan makanan harian ibunya dengan sekali lalu sahaja.

Dia baru berumur empat tahun! Adakah dia ditakdirkan untuk membesar ke tepi?

Tidak boleh jadi! Hari ini, dia mesti mula berdiet. Lagipun, dia mempunyai impian untuk menjadi seorang kanak-kanak yang mempunyai 'empat kehebatan' iaitu cita-cita yang hebat, moral yang hebat, disiplin yang hebat, dan matlamat yang hebat. Dia tidak boleh kalah dengan perutnya sendiri.

Ling Lan sedang bersorak secara senyap apabila dia menyedari yang hidangan mi gorengnya yang banyak sudah habis. Dengan muka berkerut, dia bergumam pada dirinya sendiri kerana mi itu tidak cukup baginya. Dia masih lagi lapar! Menggosok-gosok perut kecilnya, dia memberi amaran pada dirinya untuk tidak makan lagi...

Ekspresi wajahnya tiba-tiba berubah. Ling Lan menghentak tangannya ke atas meja, sambil menjerit, "Beri Tuan Muda ini hidangan stik daging yang sangat besar!"

Kelaparan ini sangat teruk. Ling Lan lebih sanggup rasa sakit daripada rasa lapar.

Tidak mengapalah. Lagipun dia sudah merancang untuk hidup sebagai seorang lelaki. Kalaulah dia menjadi seorang lelaki yang kacak dan bergaya, elegan dan bersemangat, yang tidak dapat ditandingi sehingga menyebabkan wanita di dunia ini jatuh cinta dan berebut mahu mendapatkannya, itu akan menjadi masalah besar. Jadi demi wanita-wanita ini dan untuk mengurangkan dosanya, juga supaya lelaki lain dapat berkahwin dan tidak terus kekal bujang, dia akan teruskan dan menjadi sedikit gemuk!

Uhuk, uhuk, dia sangat baik hati!

Setelah terharu dengan sikapnya yang suka berkorban, Ling Lan dengan tekad menggigit seketul besar dari stik yang baru dihidangkan di hadapannya.

Harus diingatkan yang Ling Lan sangat cepat menyesuaikan pandangannya supaya dia mempunyai alasan untuk makan banyak.

avataravatar
Next chapter