webnovel

Tak Perlu Risau, Kau Tak akan Dapat Peluang Itu

編輯: EndlessFantasy Translation

Li Sicheng tertawa kecil mendengar kata-kata itu.

Ou Ming turut menyalakan rokoknya kemudian menoleh ke arah Lu Yihan dan bertanya, "Dah berapa lama kau kenal Yu Lili?"

Lu Yihan tidak menjangka Ou Ming akan berkata sesuatu. Selepas berfikir seketika, dia menjawab dengan tenang, "Dah sembilan hingga sepuluh tahun. Dah lama, tapi kami jarang berhubung. Waktu di sekolah menengah, dia bekerja sambilan untuk bayar yuran pengajian, sama seperti Qianqian. Tapi waktu itu aku dan Qianqian duduk bersebelahan di dalam kelas, jadi kami lebih rapat. Aku dan Yu Lili cuma kawan biasa."

Hubungan mereka hanya sedikit lebih baik berbanding rakan-rakan sekelas yang lain. Su Qianci bekerja sambilan di kedai runcit dan pusat membeli-belah, manakala Yu Lili bekerja sambilan di bar atau KTV dan menjual rokok dan alkohol. Kerja Yu Lili menjanjikan wang yang lebih banyak. Lu Yihan menyangka Yu Lili akan dapat menjaga dirinya sendiri dengan baik, tetapi… selepas itu dia mendapat tahu Yu Lili telah menjadi wanita simpanan seorang lelaki kaya dan perkara itu telah memusnahkan semua perasaan baiknya terhadap Yu Lili.

Lelaki kebiasaannya menyukai gadis yang baik dan Lu Yihan juga tidak terkecuali. Apabila dibandingkan mereka berdua, pastilah Su Qianci kelihatan lebih lembut dan baik. Disebabkan itulah, Lu Yihan berusaha sebaik mungkin bagi mengelakkan dirinya daripada Yu Lili. Lagi pula, kenyataan yang Yu Lili menyukainya bukanlah satu rahsia.

Selepas mendengar jawapan Lu Yihan, Ou Ming mengangkat keningnya dan bertanya, "Dah berapa lama kau kenal Su Qianci?"

"13 tahun 5 bulan," jawab Lu Yihan tanpa sedikit pun teragak-agak. Namun sebaik sahaja jawapan itu keluar dari mulutnya, dia dapat merasakan pandangan ancaman. Lu Yihan sendiri tidak menyangka dia akan mengingatinya dengan amat tepat. Ia jelas bukan sesuatu yang dikira dalam kepalanya, tetapi telah terpahat dalam hatinya dan membuatkan dia mengingati masa itu tanpa sedar. Lu Yihan tergamam dan tersenyum mengejek dirinya sendiri. "Lebih dari satu dekad, tapi tetap lambat berbanding kau." Lu Yihan memegang bahu Li Sicheng dan mengeluh. "Jaga dia baik-baik. Kalau kau tak layan dia dengan baik, aku akan cari kau."

Li Sicheng mengalihkan tangan Lu Yihan dengan acuh tidak acuh dan berkata perlahan dengan pandangan dingin, "Tak perlu risau, kau tak akan dapat peluang itu."

"Harapnya begitulah."

Ou Ming turut mengukir senyuman sinis. Senyumannya berbaur ejekan dan perasaan tidak berdaya. Yu Lili oh Yu Lili, apa yang patut dia katakan kepada wanita itu? Dia menyangka sekurang-kurangnya lelaki yang Yu Lili mahukan akan mengambil berat tentangnya. Namun melihat daripada sikap Lu Yihan terhadap Su Qianci dan Yu Lili, Ou Ming berasa sedih untuk wanita itu. Fikirannya melayang ke arah Yu Lili dan mata Ou Ming dipenuhi dengan simpati dan perasaan tidak berdaya.

-

Su Qianci dibawa oleh Cheng You dan Sunny ke satu tempat dan menyedari tempat itu bukanlah satu hutan! Apabila turun ke bawah, dia mula sedar tempat mereka berada ialah sebuah hotel mewah! Tempat dia berada tadi rupa-rupanya ialah tingkat teratas hotel itu. 

Pemandangan yang muncul di hadapan matanya tadi hanyalah satu ilusi yang dibuat oleh Li Sicheng. Ia sebenarnya ialah sebuah resort dan kawasannya agak terpencil. Setelah dibawa ke hotel itu, Su Qianci memasuki sebuah suite dan melihat ramai orang di situ.

Tiga orang anak-anaknya dan orang-orang yang paling tidak dijangka - Rong Xuan, Rong Haiyue, Sheng Ximing dan… Song Yifan.