webnovel

Keberkatan Berganda

編輯: EndlessFantasy Translation

Shen Manting berasa tidak gembira. Dia menghentakkan kakinya di belakang Ou Ming dan mendengus sebelum keluar dari bilik itu.

Ou Ming datang ke meja makan dan duduk. Shen Manting melihat lelaki itu duduk berhadapan Qiao Ziqing dan berjalan ke arah mereka.

Apabila mendekati Puan Ou, Shen Manting memberikan senyuman manis dan berkata dengan lembut, "Auntie, mari saya tolong ambilkan nasi. Auntie perlu makan lebih banyak."

Qiao Ziqing menoleh ke arah bakal menantunya itu. Semakin dia memandang Shen Manting, semakin dia menyukai gadis itu. Dia mengangguk ke arah Shen Manting dan berkata, "Okey." 

Persetujuan Puan Ou membuatkan Shen Manting tersenyum bangga. Dia menoleh ke arah Ou Ming untuk melihat jika tunangnya itu menyedari perkara itu.

Ou Ming sebaliknya berpura-pura tidak melihat apa-apa. Dia mengambil makanan yang dihulurkan oleh orang gaji dan makan tanpa berkata apa-apa.

Ketika ini, Qiao Ziqing berasa sedikit kecewa dengan sikap anaknya dan menjerit, "Xiao Ou, kamu tak patut pentingkan perut sendiri sahaja! Sepatutnya kamu layan Manting!"

Ou Ming mendengar nasihat ibunya. Dia mengambil banyak sayur menggunakan penyepitnya dan meletakkannya di dalam mangkuk Shen Manting. Kemudian dia kembali makan tanpa berkata apa-apa.

Perlakuan Ou Ming jelas menunjukkan sikap acuh tidak acuhnya terhadap Shen Manting. Shen Manting menyedari perkara itu dan tersenyum puas hati. Tiada sesiapa yang menyedari senyumannya itu kerana ia hampir tidak kelihatan.

Qiao Ziqing merenung anaknya dengan marah dan berkata, "Tengoklah kamu. Bagaimana kamu boleh layan seorang gadis dengan begitu kurang ajar? Itu bukan sikap seorang lelaki yang baik. Nasib baiklah Manting baik terhadap kamu. Kamu perlu hantar Manting pulang selepas makan. Faham?"

Ou Ming berasa agak marah. Namun apabila melihat wajah serius dan berharap ibunya, dia tidak mampu untuk membantah dan berkata, "Baik, Mama."

Shen Manting menyembunyikan senyumannya dengan berpura-pura tunduk untuk makan.

Apa yang saya lakukan adalah betul. Mengambil hati Puan Ou ialah perkara yang tepat untuk saya lakukan jika saya mahu mengawal Ou Ming. Hanya saya yang layak menjadi isterinya!

Saya tidak percaya status dan harta saya dilayan dengan acuh tidak acuh berbanding perempuan simpanan yang tiada apa-apa.

Mendengar jawapan Ou Ming, Qiao Ziqing berasa puas hati dan memaafkan kelakuan biadap anaknya itu tadi. Dia menghulurkan lauk kepada Shen Manting dan bertanya, "Kamu baik-baik saja duduk di rumah Xiao Ou?"

"Ya Auntie, terima kasih. Rumah Ou Ming sangat selesa dan dia sangat baik kepada saya," kata Shen Manting sambil tersenyum. "Auntie, sebenarnya saya datang hari ini untuk berbincang tentang tarikh perkahwinan. Lagipun kami berdua bukan muda lagi. Saya akan berumur 27 tahun pada tahun ini. Dulu nenek pernah bawa saya berjumpa tukang tilik nasib. Tukang tilik nasib itu cakap saya perlu berkahwin pada umur 27, jika tidak saya akan ditimpa nasib malang."

Ou Ming mendengus sinis dan berkata dengan nada mengejek, "Dah berapa lama sejak kamu dengar perkara itu? Kamu masih percayakannya? Merepek betul! Tilik nasib ialah kepercayaan karut."

"Tilikan nasib lebih boleh dipercayai daripada manusia yang tidak jujur." Shen Manting memandang Ou Ming dengan wajah serius. "Penilik nasib itu juga beritahu yang kita saling melengkapi antara satu sama lain dan lebih baik jika kita berkahwin pada tahun ini," katanya lagi sambil melemparkan pandangan seakan mengugut. 

Ou Ming terus makan dengan pandangan mata yang kelihatan mendalam dan riak wajah yang serius.

Shen Manting bercakap tentang penilik nasib dengan penuh yakin kerana dia menyangka Puan Ou perlu bergantung kepada ubat Shen Luo'an untuk kekal sihat. Apa yang Shen Manting tidak tahu adalah Ou Ming telah mula mengkaji punca penyakit ibunya sejak dua tahun lalu. Shen Manting juga tidak tahu Ou Ming telah cuba menghasilkan sendiri preskripsi rahsia Shen Luo'an yang amat diperlukan oleh ibunya.

Sebaik sahaja saya berjaya, saya tidak lagi perlu mengekalkan hubungan dengan Shen Manting. Dia memang perempuan yang menjijikkan.

Apabila tiba masanya, saya akan datang putuskan pertunangan ini dan kahwini orang yang saya benar-benar cintai. Tetapi sebelum itu, saya tidak boleh mengambil risiko.

Mendengar kata-kata Shen Manting, Ou Ming mengangkat wajahnya dan berkata tanpa perasaan, "Sekarang sudah November, tahun ini akan berakhir dalam masa sebulan. Bukankah sudah terlalu lewat?"

"Tak apa, kita hanya perlu dapatkan sijil perkahwinan dulu. Masih banyak prosedur perkahwinan yang lain, tapi semuanya akan okey asalkan siap sebelum tahun ini berakhir," kata Shen Manting sambil tersenyum. Kemudian dia menoleh ke arah Qiao Ziqing. "Hujung tahun ini ialah hari jadi nenek saya yang ke-80. Ia akan jadi keberkatan berganda jika majlis perkahwinan kami juga dibuat pada masa yang sama. Apa pandangan Auntie?"