webnovel

Merekrut Orang dan Membeli Kuda (2)

編輯: EndlessFantasy Translation

Mata Gao Tu bersinar kehairanan, tapi sebenarnya dia gembira dengan nasib malang Yun Luo.

"Jeneral, jasa kamu sudah tidak terkira, jadi Yun Luofeng sebagai cucu kamu sudah pasti menikmati kemewahan melebihi putera-putera dan keturunan diraja. Justeru itu, Beta akan menghantar Putera Mahkota untuk membantu kamu merekrut orang."

"Terima kasih di atas limpah kurnia Tuanku. Pegawai tua ini masih ada satu hal lagi yang memerlukan bantuan Tuanku." Yun Luo mendongakkan wajahnya yang tua, dipenuhi ketidakupayaan. "Tuanku pasti sudah sedia maklum cucu Patik baru-baru ini menjadi obses dengan ubat herba. Disebabkan itu, dia telah menghabiskan duit Kediaman Jeneral bagi membeli ubat herba. Oleh itu pegawai tua ini sebenarnya tidak mampu menanggung orang seramai ini. Bolehkah Tuanku membayar gaji bulanan mereka bagi pihak pegawai tua ini?"

"Memang sepatutnya Beta buat begitu, memang sepatutnya begitu." Gao Tu tersenyum. "Jadi, gaji bulanan pengawal dan hamba suruhan Kediaman Yun akan ditanggung oleh Istana Diraja untuk kamu. Anggaplah ini ganjaran untuk seorang menteri yang telah memberikan perkhidmatan luar biasa."

"Terima kasih, Tuanku. Patik mohon diri."

Yun Luo bangun dari lantai, memberikan tabik genggam, lalu meninggalkan bilik bacaan itu.

Ketika ini, tiada siapa dapat melihat ketika dia berpusing, wajah tua ibarat bunga kekwa itu mekar dengan senyuman.

Pasangan bapa dan anak ini tidak akan menyangka tidak lama lagi, angkatan yang dahsyat akan muncul daripada Keluarga Yun! Orang-orang yang membentuk angkatan itu ialah orang-orang yang sebelum ini dipilih oleh Putera Mahkota untuk Keluarga Yun. Tambahan pula, perbelanjaan menanggung angkatan ini dibayar oleh mereka.

Jika mereka tahu tentang hal ini, pasangan bapa dan anak ini pasti akan berasa marah sehingga separuh mati!

"Ayahanda, apa yang Ayahanda rasa Yun Luo ini cuba lakukan? "Gao Ling mengerutkan keningnya. "Mungkinkah dia senyap-senyap cuba untuk merekrut orang dan membeli kuda1? Berpaling dari Dinasti Diraja?"

"Jika benar dia ingin merekrut orang dan membeli kuda, dia tidak akan datang ke Istana Diraja untuk melaporkannya! Dia juga tidak akan mahu ada campur tangan daripada Keluarga Diraja!" Gao Tu mencemuh dengan nada dingin. "Oleh itu Beta percaya si sampah Yun Luofeng itu yang memaksa dia melakukan hal ini! Ling'er, nanti bila Anakanda bantu Jeneral Yun merekrut orang, cari mereka yang berkebolehan rendah."

Renungan Gao Ling berpindah ke luar bilik bacaan itu, seakan mengeluh, dia berkata, "Anakanda rasa Kediaman Jeneral Yun ini sudah hampir tiba ke penamatnya! Mula-mula, duitnya diboroskan oleh Yun Luofeng, sekarang cucunya masih lagi menyeksa Jeneral Yun Luo sebegini! Dengan cucu yang boros seperti itu, Anakanda rasa jangka hayat Jeneral Yun Luo akan semakin pendek! Tidak akan lama lagi Yun Luofeng akan membuat dia marah sehingga mati!"

Sebenarnya hati Gao Ling menyimpan rasa kagum yang sangat tinggi terhadap Jeneral Yun Luo. Malangnya, orang seperti Jeneral Yun Luo membesarkan orang yang tidak berguna seperti Yun Luofeng! Bagaimana Kediaman Jeneral tidak mengalami kemerosotan dengan wujudnya Yun Luofeng?

"Pada mulanya, Beta masih hendak menjadikan Yun Luofeng gundik Anakanda. Tapi sekarang, orang seperti itu tidak layak walaupun untuk menjadi gundik! Setelah Yun Luo meninggal, Yun Luofeng akan menjadi sangat tidak berguna!" nada suara Gao Tu sangat dingin. "Jika mahu dibandingkan, Mu Wushuang dari Kediaman Mu jauh lebih baik. Dia memiliki bakat dalaman yang luar biasa, budi pekertinya baik, teladan yang baik untuk menjadi ibu kepada kerajaan ini, dan dia juga anak murid kepada Jing Lin. Di seluruh Kerajaan Long Yuan, hanya Mu Wushuang sahaja yang layak untuk Anakanda."

Gao Ling tersenyum. "Kewujudan sampah seperti Yun Luofeng hanya demi menjadi latar bagi kehebatan Wushuang yang tiada tandingannya. Cuma itu saja nilai Yun Luofeng."

Kecekapan Keluarga Diraja sangat berbeza. Hanya ambil masa beberapa hari sahaja untuk merekrut orang-orang yang Yun Luofeng perlukan. Namun, setelah melihat kebolehan orang-orang ini, mulut Yun Luo hanya mampu menggerenyet, hatinya menjadi semakin resah.

Hanya bergantung pada bakat dalaman orang-orang ini, bolehkah mereka menjadi askar yang mampu menghancurkan angkatan tentera nanti? Yun Luo tidak percaya akan kemungkinan itu, tetapi dia masih membawa mereka pulang ke Kediaman Jeneral...