webnovel

Menyebabkan Kekecohan di Seluruh Bandar (1)

編輯: EndlessFantasy Translation

Kali ini, Yun Luofeng tidak terus menuju ke Pavilion Perubatan.

Ketika dia sudah tidak jauh dari Pavilion Perubatan, mengambil kesempatan ketika orang tidak memberikan perhatian, dia pantas menghilang ke lorong lalu mengenakan kain muslin1berwarna putih salju untuk menutup wajahnya, menyembunyikan sebahagian daripada penampilannya.

Melainkan seseorang yang dikenalinya muncul, orang biasa pasti tidak akan mengetahui identitinya.

"Teh Susu, sembunyi dalam lengan baju saya dan jangan keluar." Setelah selesai bersiap, Yun Luofeng memasukkan semula Teh Susu yang sedang mengintip-intip ke luar, bibirnya terangkat mengukir senyuman menggoda. "Sekarang ini, saya masih belum cukup kuat. Jadi, saya tidak boleh membiarkan sesiapa tahu sayalah pemilik Cecair Berubat Pengumpul-Roh itu. Jika tidak, saya takut Maharaja anjing itu tidak akan menunggu saya menjadi lebih kuat dan akan mendakwa saya melakukan jenayah bagi melibatkan sembilan orang ahli keluarga saya."

Xiao Mo faham dengan penyataan Yun Luofeng itu, jadi kali ini, dia tidak berkata apa-apa.

Setelah berkata demikian, Yun Luofeng menuju ke arah Pavilion Perubatan yang riuh-rendah.

"Ah, adik manis datang ke Pavilion Perubatan untuk membeli ubat herba? Lihatlah penampilan berharga ini, begitu takut orang melihatnya, sampaikan muka sendiri tidak didedahkan."

Sebaik Yun Luofeng melangkah masuk ke dalam Pavilion Perubatan, dia terdengar bunyi gelak ketawa yang menawan.

Wanita itu mempunyai penampilan yang sangat menawan. Kecantikannya dan kecantikan Yun Luofeng ibarat dua zenit [puncak] yang berbeza. Kecantikan Yun Luofeng cukup hingga menjadikannya tiada tandingan dan mampu menggulingkan sebuah negara, daya tarikannya yang menawan serta sikapnya yang bersahaja dilengkapi dengan ciri-ciri kemuliaan, menghalang orang ramai daripada mendekatinya.

Sebaliknya, wanita ini mendedahkan dada dan perutnya, dan setiap kerutan wajah dan senyuman membawa ribuan perasaan berahi - seolah-olah mampu menarik keluar roh seseorang dengan hanya satu jelingan. Bukan sahaja lelaki, wanita yang mendengar suaranya yang memikat juga akan merasakan seluruh badan mereka lemah dan kebas, kaku tidak dapat bergerak.

Sudah tentulah, jika yang dibandingkan hanya sekadar penampilan, Yun Luofeng yang menang. Namun begitu, sifat menggoda wanita ini tiada taranya.

"Penjaga Kedai Lin tiada?" Dengan lengkungan senyuman di bibirnya, Yun Luofeng memandang wanita menggoda ini berjalan ke arahnya sambil melenggang-lenggokkan pinggangnya yang kecil.

Penjaga Kedai Lin adalah Lin Xiao, orang yang selalu menyambut Yun Luofeng. Memandangkan menyambut pelanggan itu memang tugas Lin Xiao, wanita ini tidak mengesyaki kata-kata Yun Luofeng.

"Hahaha," Wanita itu tertawa kecil dengan menawan, membelai rambutnya secara menggoda ketika berkata, "Bagi meningkatkan prestasi Pavilion Perubatan ini, buat masa sekarang, sayalah yang akan menyambut semua pelanggan! Adik boleh beritahu Kakak apa yang Adik perlukan dan Kakak akan membantu kamu."

"Saya dengar Pavilion Perubatan menerima cecair berubat, jadi saya ingin bertanya, berapa nilai cecair berubat yang saya miliki ini?"

Yun Luofeng mengangkat botol porselin dalam tangannya, melambai-lambaikannya dengan lembut.

"Adik, boleh beritahu kakak mengenai kesan cecair berubat ini?" Wanita itu mengambil botol porselin dari tangan Yun Luofeng, senyuman itu menjadi semakin menarik dan menyentuh perasaan.

"Ini adalah Cecair Berubat Pengumpul-Roh, yang membolehkan pertapaan pertapa rohani mendapat hasil dua kali ganda dengan hanya separuh usaha. Namun, cecair berubat ini hanya berguna bagi pertapa rohani di bawah tahap-tinggi. Setelah pertapa rohani itu mencapai tahap-tinggi, keberkesanannya akan hilang."

Senyuman pada wajah wanita itu kaku, nafasnya juga semakin kuat. "Kamu mengatakan ini adalah Cecair Berubat Pengumpul-Roh, dan ia membantu pertapa rohani bertapa?"

"Betul, ia sememangnya berkesan untuk pertapa rohani di bawah tahap-tinggi. Cara menggunakannya ialah dengan mencampurkan Cecair Berubat Pengumpul-Roh ini dengan air, kemudian pertapa rohani berendam di dalam air sambil bertapa, dan ia akan membantu mereka mengumpulkan tenaga rohani."

Yun Luofeng mengangguk, mengesahkan soalan wanita itu.

Setelah mendengar kata-kata gadis muda itu, penampilan menggoda pada wajah wanita itu hilang sepenuhnya dan telah digantikan dengan ekspresi yang serius.

"Adik, saya tidak boleh membuat keputusan tentang Cecair Berubat Pengumpul-Roh ini sendiri. Begini, saya akan rujuk kepada Tok Ketua Rong, dan dia akan menentukan harga yang patut diberikan kepada adik. Bagaimana?"