Fan Jin senyap-senyap menjeling sekilas ke arah Jun Wu Xie. Namun dia langsung tidak dapat mengesan apa-apa yang luar biasa pada wajah gadis itu. Sewaktu teringatkan kembali kekacauan yang dicetuskan oleh Tentera Rui Lin di Akademi Zephyr semalam, dia terus tersalah sangka yang Jun Wu Yao ini ialah seseorang yang dihantar oleh Keluarga Jun disebabkan mereka bimbang tentang keselamatan Jun Wu Xie yang bersendirian di sini.
Keluarga Jun Kerajaan Qi memang sangat hebat! Pembantu peribadi biasa sekalipun kelihatan... sangat mengagumkan!
Fan Jin terbatuk. "Baguslah kamu ada di sini sekarang. Di rumah ini cuma ada Fan Zhuo dan Jun Xie. Mereka berdua masih agak muda. Jadi kalau kamu ada, dapatlah kamu menjaga mereka." Fan Jin berkata dengan tenang sambil ketawa. Dia benar-benar menganggap Jun Wu Yao sebagai… pembantu peribadi Jun Wu Xie.
Fan Zhuo memandang sekilas pada abangnya lalu mengeluh panjang.
[Memanglah itu yang lelaki ini katakan. Tapi Abang tak perasan ke? Tak kiralah daripada segi kelakuan dan gayanya atau aura yang menyelubunginya, dia ini bukan sekadar lelaki biasa. Kalau orang elit seperti ini benar-benar sekadar pembantu peribadi, sudah tentulah ini bermaksud latar belakang keluarga Jun Wu Xie sangat hebat! Tapi, kerabat diraja yang mempunyai kerajaan dan kuasa besar pun belum tentu mampu mengupah orang seperti ini.]
"Tentulah saya akan menjaga mereka dengan sebaik-baiknya." Jun Wu Yao berpaling dan memandang Jun Wu Xie dengan penuh kasih sayang.
"Bilik yang Ah Jing gunakan dulu kini kosong. Apa kata jika kamu tinggal di sini saja? Tak ada orang yang menguruskan tempat ini sebelum ini. Selama ini saya terpaksa minta Pak Cik Gong menghantar makanan ke sini tiga kali sehari. Jadi lepas ini tidaklah kita terlalu menyusahkan Pak Cik Gong lagi. Kamu tak perlu sediakan makanan berubat untuk Fan Zhuo, kamu hanya perlu menguruskan makanan Jun Xie." Fan Jin mula merancang sambil ketawa, langsung tidak menyedari apa-apa. Fikirnya,pembantu peribadi ini milik keluarga Jun, sudah tentulah dia tidak patut menyusahkan lelaki ini untuk turut menjaga Fan Zhuo. Tetapi meminta lelaki ini untuk hanya menjaga keperluan Jun Wu Xie tidaklah terlalu membebankan.
"Jadi... kamu pandai masak?" Fan Jin teragak-agak seketika sebelum bertanya sambil memandang wajah Jun Wu Yao yang tampan. Pemuda yang berdiri di hadapannya ini lebih berkarisma berbanding tuan muda paling kaya di Akademi Zephyr. Ini membuatkan Fan Jin tertanya-tanya sama ada pemuda ini mampu melakukan tugas-tugas harian yang biasa.
Baru sahaja Jun Wu Xie hendak mengatakan sesuatu, Jun Wu Yao terus menjawab, "Ya."
Jun Wu Xie berpaling memandang Jun Wu Yao. Mata Jun Wu Xie bersinar dengan cahaya yang aneh.
"Haha, bagus! Saya akan bawa kamu ke dapur. Jika ada apa-apa yang kurang, beritahu saya dan saya akan hantarkan ke sini." Sambil bercakap, Fan Jin mengangkat tangannya untuk menyentuh bahu Jun Wu Yao. Saat terpandang mata Jun Wu Yao yang kelihatan mesra itu, tangan Fan Jin menjadi kaku. Entah mengapa dia tidak dapat menurunkan tangannya.
Tiba-tiba Fan Jin benar-benar merasakan jika dia teruskan juga menyentuh bahu Jun Wu Yao tadi, sesuatu yang buruk akan berlaku kepadanya.
"Baiklah," Jun Wu Yao tidak menolak pelawaan Fan Jin dan terus bersetuju dengan apa yang telah diaturkan.
Fan Jin dengan gembiranya membawa Jun Wu Yao ke dapur.
Dengan tidak berdaya, Jun Wu Xie duduk di atas kerusi. Sementara itu, Fan Zhuo yang berada di sebelahnya ketawa terbahak-bahak.
"Pembantu peribadi? Haha, cuma Abang saya yang lurus itu saja yang akan percaya. Lelaki tu datang dari mana? Jangan beritahu saya yang dia tu cuma seorang pembantu. Saya dapat mengesan auranya yang terlalu kuat. Walaupun dia sangat mesra dengan kamu, mustahil dia dapat sembunyikan cemuhan dan hinaan pada matanya terhadap segala-gala yang ada di dunia ini." Fan Zhuo yang bijak itu tidak percaya satu patah perkataan pun yang keluar dari mulut Jun Wu Yao tadi.
Ekspresi Jun Wu Xie bertukar sedikit aneh. Dia terdiam seketika sebelum bergumam. "Abang."
Fan Zhuo terkejut.
"Dia abang kamu?"
Jun Wu Xie mengangguk. Fan Zhuo sangat tajam akal. Kalau Jun Wu Xie tidak mengatakan apa-apa pun, lambat-laun pasti Fan Zhuo pasti dapat menekanya.
Tambahan pula, apa yang Jun Wu Xie sedang fikirkan sekarang ini adalah apa yang Jun Wu Yao setuju untuk lakukan tadi.
Menjalankan tugas pembantu peribadi? Tak apakah dia buat begitu?
"Kamu berdua… langsung tidak seiras," kata Fan Zhuo sambil meneliti wajah Jun Wu Xie. Dia memiliki ciri-ciri wajah yang halus, tetapi tidaklah boleh dianggap tampan.