Awal pagi esoknya, Jun Wu Xie terjaga dan mendapati dirinya diselimuti jubah yang membuatkan dia kekal hangat sepanjang malam. Dia cuba berfikir bila masanya dia naik ke katil, tapi tak dapat mengingati apa-apa.
Sewaktu sedang bersarapan, anak-beranak tiga generasi Keluarga Jun itu duduk bersama-sama di meja makan. Tetapi seperti biasa, Jun Wu Yao hanya muncul sebentar sahaja sebelum menghilangkan diri semula.
Sambil makan, Jun Wu Xie menceritakan apa yang berlaku di Istana Diraja semalam kepada Jun Xian dan Jun Qing. Selesai bercerita, dia tidak memberi sebarang reaksi terhadap wajah mereka yang terkejut dan hanya tunduk untuk menghirup air tehnya.
"Kamu kata Tuanku kini masih berada di Istana Diraja, terlantar di atas katil dan tidak boleh bergerak? Kamu juga biarkan Qin Yu Yan berada di dalam dewan utama diraja?" Jun Qing hampir sawan mendengarkan cara anak saudaranya itu menangani masalah. Jun Wu Xie juga melayan Maharaja Kerajaan Qi tanpa sebarang perasaan. Jun Qing tahu yang pemerintah negara mereka, Mo Qian Yuan, tidak berpura-pura di hadapan Jun Wu Xie. Namun di saat nyawanya terancam, Jun Wu Xie telah mengabaikan Maharaja yang terbaring di dalam biliknya. Dia langsung tidak memanggil seorang Tabib Diraja sekalipun, malah mencampakkan tanggungjawab menjaga Maharaja kepada dua orang pengawal istana. Bukankah tindakannya ini sembarangan saja?
Tentang hal Cik Sulung Kumpulan Qing Yun itu pula, Jun Wu Xie begitu berani membiarkan dia dikurung di dalam dewan utama. Memanglah Mo Qian Yuan tidak dapat menggunakan dewan itu sekarang, tetapi tindakan ini terlalu semberono.
Jun Wu Xie tidak merasakan dia ada melakukan kesalahan.
"Dalam masa beberapa hari ini Mo Qian Yuan akan hidup dan Qin Yu Yan tak akan mati." Jun Wu Xie meyakinkan Jun Qing.
"...…" Jun Qing mengangkat tangannya tanda berserah.
"Sampai bila kamu mahu biarkan dia di sana? Kamu tak boleh tutup istana selama-lamanya, bukan?"
"Saya akan suruh Bai Yun Xian humbankan dia ke penjara bawah tanah nanti." Di situ ada seorang Maharaja, menambah seorang Cik Sulung tak akan mengubah apa-apa. Setelah menghabiskan tehnya, barulah Jun Wu Xie akhirnya sudah bersedia untuk berbincang dengan teliti bersama-sama Jun Xian dan Jun Qing.
"Qin Yu Yan akan mati tak lama lagi, jadi tak perlu risaukan dia. Ada hal lain lagi yang saya perlu bincangkan dengan Datuk dan Pak Cik."
Jun Xian dan Jun Qing saling berpandangan, mereka menanti Jun Wu Xie menyambung kata-katanya.
"Saya mahu pergi ke tempat Kumpulan Qing Yun." Jun Wu Xie membuat pernyataan yang menakutkan ini dengan tenang.
"APA?"
"TAK MASUK AKAL!!"
Melihatkan kedua-dua orang yang paling rapat ini menunjukkan perasaan tidak setuju, Jun Wu Xie menggigit bibirnya. Dia berfikir tentang bagaimana mahu menjelaskan sebab di sebalik perjalanannya ini.
Jun Wu Xie enggan memaafkan Kumpulan Qing Yun atas apa yang mereka lakukan terhadap keluarga Jun, dan dia telah membunuh delegasi yang dihantar ke Kerajaan Qi. Namun orang yang mendalangi semuanya, masih mengetuai Kumpulan Qing Yun. Orang itu masih tidak tahu yang anaknya, Tuan Tua dalam kumpulannya serta ramai pengikutnya yang lain, telah dibunuh. Apabila berita ini sampai kepada orang itu, Kumpulan Qing Yun akan mengisytiharkan perang ke Kerajaan Qi, dan negara mereka yang kecil ini tidak akan mampu menentang mereka.
Tangkap pihak musuh sebelum mereka bersedia, ambil kesempatan dengan melakukan serangan pertama atau bersedia untuk menerima pembalasan mereka yang hebat. Dia tidak perlu membuat Mo Qian Yuan mempelajari pengajaran yang sama lagi.
Selain itu, Jun Wu Xie ada satu lagi sebab lain untuk pergi ke tempat Kumpulan Qing Yun.
Jed Penenang Roh!
Kumpulan Qing Yun telah menggerakkan begitu banyak sumber mereka untuk mendapatkan Jed Penenang Roh, pasti mereka ada sebab yang baik untuk buat begitu. Teratai Kecil mengenalpasti Jed Roh sebagai Jed Penenang Roh daripada dunia roh, tetapi dia tidak dapat memberikan maklumat lanjut mengenai jed itu. Jun Wu Xie merasakan yang Jed Penenang Roh itu boleh membuatkan ayahnya bangkit daripada kematian. Inilah satu lagi sebab mengapa dia mahu pergi ke tempat Kumpulan Qing Yun. Dia mahu mengumpulkan maklumat lanjut mengenai Jed Penenang Roh.
Dia tak berniat mahu mendedahkan sebab yang kedua itu kepada pasangan ayah dan anak Keluarga Jun. Ini cuma gerak hatinya dan dia tak mahu memberikan mereka harapan palsu yang kemudiannya menyebabkan kekecewaan.
Jun Wu Xie hanya memberitahu yang mereka perlu membuat serangan mengejut terhadap pihak musuh, dan mereka telah memberi reaksi sebegini dahsyat. Dia tidak boleh bayangkan reaksi mereka jika dia berkongsi tentang tekaannya terhadap kebolehan Jed Penenang Roh.
Ayah dan anak Keluarga Jun itu sedar apa yang Jun Wu Xie mampu capai jika dia berusaha melakukannya. Tetapi sasarannya ini Kumpulan Qing Yun! Kumpulan di kedudukan tertinggi dan paling kuat di seluruh dunia!
Benarkah dia akan mengalahkan dan menghapuskan sepenuhnya Kumpulan Qing Yun daripada dunia ini?