webnovel

Pertapaan Semudah Satu, Dua, Tiga

Biên tập viên: EndlessFantasy Translation

Bulu Lembut menjawab pantas, "Tuan Song, marilah sertai Roh Pulau Kupu-kupu. Kami kaya dengan sumber serta mempunyai teknik yang kuat. Saya juga boleh membimbing Tuan sekiranya perlu!"

"Bulu Lembut, jangan ganggu saya. Biar saya habiskan ayat saya dulu," kata Pertapa Bebas Sungai Utara.

Bulu Lembut diam kerana berasa malu.

"Apa perbezaannya?" Shuhang bertanya.

Pertapa Bebas Sungai Utara berkata, "Setiap pilihan mempunyai kelebihan dan kelemahan yang tersendiri. Tetapi, secara umumnya, sekiranya anda menyertai mana-mana sekta, anda akan mempunyai lebih banyak kelebihan berbanding menjadi pertapa bebas. Oleh itu, izinkan saya memberitahu anda tentang sekta pertama dahulu.

Selepas anda menyertai sesebuah sekta, anda akan mendapat seorang mahaguru yang akan mengajar anda tentang cara untuk bertapa serta menyampaikan beberapa pengalaman kepada anda. Setiap pengalaman yang anda peroleh akan menghindarkan diri anda daripada membuat kesilapan semasa pertapaan dan seterusnya menjimatkan masa anda. Selagi anda mempunyai bakat dan ketekunan yang cukup, anda tidak akan kekurangan sumber, teknik dan pasti akan memperoleh gua pertapaan sendiri. Secara perbandingan, pilihan ini lebih sesuai untuk seseorang yang merancang untuk mengabdikan diri sepenuhnya untuk pertapaan.

Walau bagaimanapun... jika anda memilih untuk menyertai sesebuah sekta, anda mesti mematuhi peraturan sekta tersebut dengan tekun. Semua ini dibuat kerana, tiada apa yang boleh dicapai tanpa peraturan. Oleh kerana anda bakal menerima sumber yang banyak daripada sesebuah sekta, anda perlu membayar semula kepada sekta tersebut. Terutamanya jika anda memasuki sekta seperti sekta milik Mahaguru Utama Prinsip Pemikir, anda perlu mencukur kepala anda dan mematuhi semua jenis peraturan Buddha. Anda perlu mengucapkan selamat tinggal kepada keluarga anda di dunia dan teruskan pertapaan sehingga anda menyelesaikan latihan pertapaan anda. Jika anda tidak bernasib baik, anda tidak akan dapat melihat ibu bapa anda semula."

Semasa di usia muda, Pertapa Bebas Sungai Utara hampir ditipu oleh beberapa lelaki jahat dan memasuki kuil Buddha. Jadi sebab itulah dia masih menyimpan dendam terhadap amalan Buddhisme.

Pada masa ini, Sami Kelana Prinsip Pemikir muncul dan menghantar simbol emoji 😀.

Pertapa Bebas Sungai Utara segera menambah, "Haha, sebenarnya semua amalan itu bukan sahaja terdapat dalam sekta Sami Kelana Prinsip Pemikir, sekta lain juga memerlukan anda untuk menjauhkan diri dari orang yang tersayang. Lagipun, sekta ini bukanlah sesuatu yang boleh diambil mudah. Mereka memerlukan pengikut mereka supaya sekta itu terus hidup. Seseorang pengikut biasanya tidak dibenarkan untuk keluar dari sekta itu sebelum menamatkan latihannya."

Sami Kelana Prinsip Pemikir menghantar simbol emoji 😁. Jadi adakah Sami Kelana itu sebenarnya sedang mengancam Pertapa Bebas Sungai Utara dengan simbol 😀 itu?

"Tanpa usaha, tiada kejayaan. Sebab itulah peraturannya begini." Song Shuhang mula memahami semua yang telah diterangkan kepadanya. Walau bagaimanapun, dia sudah tahu menyertai sesebuah sekta tidak sesuai untuk dirinya.

Atau mungkin sebenarnya tidak sesuai untuk dia buat masa sekarang kerana dia tidak bersedia meninggalkan keluarganya serta tanah airnya untuk menyertai pertapaan. Dia masih sayangkan dunia ini.

"Tuan Song, Roh Pulau Kupu-kupu kami jauh lebih bebas. Sebaik sahaja anda mencapai Alam Perolehan Pertarungan Raja Tahap Tiga, anda boleh meninggalkan Roh Pulau Kupu-kupu dan tinggal di luar untuk suatu tempoh masa setiap tahun. Dan anda juga boleh meminta pertolongan saya. Saya boleh membantu anda untuk mendapatkan lebih banyak kebebasan," Bulu Lembut berusaha keras untuk memujuknya supaya dia menyertai Roh Pulau Kupu-kupu.

"Terima kasih," Song Shuhang menjawab dengan ikhlas.

Walau bagaimanapun, dia sedar Alam Perolehan Pertarungan Raja Tahap Tiga tidak mudah untuk dicapai.

Bulu Lembut juga dipanggil sebagai seorang ahli yang paling pintar dalam kumpulan itu. Semuanya kerana dia telah mula bertapa sejak dia masih kecil. Dia sekarang berusia dua puluhan dan dia baru sampai ke peringkat Alam Perolehan Pertarungan Raja Tahap Tiga.

Song Shuhang yakin dia bukan seorang yang pintar. Sekiranya dia dapat mencapai peringkat tersebut dalam empat puluh atau lima puluh tahun lagi, pada tempoh masa itu bermakna dia tetap tidak akan dapat berjumpa ibu dan ayahnya lagi.

"Ahem! Sekarang, beritahu saya tentang cara menjadi seorang pertapa bebas. Seperti yang anda dapat lihat, saya juga seorang pertapa bebas," Pertapa Bebas Sungai Utara ketawa. "Berbanding dengan menyertai sesebuah sekta, seorang pertapa bebas tidak mempunyai guru untuk mengajarnya tentang ilmu pertapaan. Semua itu termasuklah dengan sumber dan gua pertapaan. Orang itu perlu bergantung kepada diri sendiri sepenuhnya. Satu-satunya manfaat yang mungkin dia peroleh ialah kebebasan, betulkan?"

Menjadi seorang pertapa bebas sememangnya sangat sukar. Pertapa Bebas Sungai Utara ialah seorang bertuah dalam kalangan pertapa bebas yang lain. Dia berkawan dengan Su dari Puak Tujuh ketika dia masih muda dan banyak dibantu olehnya. Dia telah dimasukkan ke dalam sembang grup Kumpulan Nombor Satu Sembilan Wilayah atas cadangan Su. Dalam kumpulan ini, dia seperti ikan di dalam air. Sekarang, dia telah mencapai peringkat Alam Maharaja Rohani Tahap Lima dan akan memasuki ke alam seterusnya.

Sekiranya dia seorang pertapa bebas yang tidak mempunyai guru, sumber, pengetahuan serta gua pertapaan, dia pasti akan berdepan dengan masalah sebaik sahaja dia mencapai Tahap Kedua atau Ketiga dan kemudian menjadi abu kerana tidak dapat menyelamatkan dirinya lagi.

"Jadi, di mana pertapa bebas boleh mempelajari teknik atau sumber lain?" Song Shuhang merasakan hidup sebagai seorang pertapa bebas itu hanyalah satu jalan hidup sia-sia.

"Haha, jika anda tidak menyertai Kumpulan Nombor Satu Wilayah Sembilan, saya akan mencadangkan anda untuk mencari sekta yang sesuai untuk anda sertai. Lagipun, menjadi seorang pertapa bebas sangat susah. Selain itu, lebih sukar untuk mencari pil rohani dan ramuan ubatan di dunia sekarang ini. Tidak seperti dahulu. Walau bagaimanapun, kumpulan sembang grup ini kumpulan yang sangat istimewa. Di sini, pemilik kumpulan iaitu Raja Agung Gunung Kuning dan ahli-ahli lama yang lain akan meminta pertolongan daripada ahli lain dalam kumpulan itu. Anda boleh menuntut ganjaran daripada mereka. Ini cara buat golongan pertapa lama untuk menyokong pertapa muda. Ataupun, sekiranya anda membantu ahli biasa yang memerlukan bantuan, anda juga boleh mendapatkan ganjaran sebagai balasan. Seperti sekarang ini, anda telah mendapat dua bungkusan herba ubat-ubatan dari Bulu Lembut. Dan semestinya sukar untuk bertemu dengan seorang pertapa sangat bermurah hati dan boros seperti Bulu Lembut ini. Jadi jangan selalu berharap anda akan sentiasa mendapat ganjaran yang hebat pada setiap masa," Pertapa Bebas Sungai Utara menerangkan bahagian terakhir itu dengan nada mengejek.

"Tuan Sungai Utara! Saya bukan seorang yang boros!" Bulu Lembut menghantar simbol 😠.

Song Shuhang membayangkan rupa gadis itu semasa dia merajuk selepas diusik. Dia mesti kelihatan comel.

Pertapa Bebas Sungai Utara tertawa. "Oleh itu, jika anda memilih untuk menjadi pertapa bebas, lebih baik sekiranya anda sering muncul dalam kumpulan sebanyak yang mungkin. Sekiranya anda rajin, lebih mudah untuk anda memperoleh ilmu pertapaan daripada pelbagai segi termasuklah teknik, pil dan pelbagai sumber lain. Sejujurnya, kumpulan sembang grup ini sama seperti sekta pada peringkat awal."

Selepas mendengar semua penerangan itu, Song Shuhang terpesona. Untuk jangka masa pendek, pertapa bebas sangat sesuai dengan situasi dirinya buat masa ini.

Pertapa Bebas Sungai Utara: "Jadi, menyertai sekta atau menjadi pertapa bebas, yang mana satu anda mahu pilih?"

Selepas Pertapa Bebas menghabiskan soalannya, Mahaguru Abadi Tiga Simbol Tembaga segera menambah, "Rakan mudaku Shuhang, pilihan ini akan memberi kesan pada masa depan anda dalam pertapaan. Jadi, anda tidak perlu tergesa-gesa untuk membuat pilihan. Bertenang dan fikirlah dengan teliti. Buat pilihan dengan teliti supaya anda tidak akan menyesal di kemudian hari.

"Terima kasih, Tuan, saya tahu. Saya memilih untuk menjadi pertapa bebas." Song Shuhang telah membuat keputusan.

"Adakah anda mahu berfikir lagi? Lebih sukar buat anda untuk menyertai sekta lain pada masa akan datang sebaik sahaja anda memilih untuk menjadi pertapa bebas. " Mahagur Abadi Tiga Simbol Tembaga memberi peringatan kepada Shuhang sekali lagi.

Sekta-sekta lain biasanya tidak akan menerima kehadiran pertapa bebas dalam sekta mereka.

Lagipun, lebih mudah untuk mencorakkan sehelai kertas putih yang kosong berbanding membuat corak pada kertas yang sudah diconteng.

Lebih-lebih lagi, dalam perihal kesetiaan kepada sekta, kesetiaan pertapa bebas tidak dapat dibandingkan dengan kesetiaan pengikut yang dibesarkan dalam sekta itu dari awal. Keadaan jiwa pertapa bebas tidak seutuh pengikut asal sesebuah sekta.

Oleh itu, melainkan seseorang pertapa bebas mempunyai bakat yang luar biasa atau bakat istimewa dalam beberapa aspek, tidak banyak sekta lain yang bersedia untuk menerima pertapa bebas sebagai ahlinya.

"Ya, saya sudah fikir dengan sebaiknya." Song Shuhang menjawab dengan serius. Itulah pilihan dia. Dia tidak akan sesekali menyesali pilihannya itu.

Mahaguru Abadi Tiga Simbol Tembaga mengangguk dan tidak berkata apa-apa lagi.

Selepas beberapa saat, Pertapa Bebas Sungai Utara membalas, "Rakanku Shuhang, memandangkan anda telah memilih untuk menjadi pertapa bebas, apa yang anda perlukan sekarang ialah teknik penguat tubuh dan teknik meditasi. 'Tanpa usaha, tiada kejayaan' ialah peraturan Kumpulan Nombor Satu Wilayah Sembilan. Sekiranya mana-mana ahli lama atau rakan dao dalam kumpulan ini memerlukan pertolongan yang anda boleh bantu untuk selesaikan, anda boleh membantu mereka serta dapatkan beberapa teknik dan sumber yang anda perlukan sebagai pertukaran.

Tetapi... anda lebih istimewa. Anda orang biasa pertama dalam Kumpulan Nombor Satu Wilayah Sembilan ini. Kekuatan anda sangat lemah dan sekiranya anda tidak membina asas dahulu, anda mungkin tidak mempunyai kekuatan untuk membantu mereka walaupun ada ahli lama atau rakan dao lain dalam kumpulan ini memerlukan bantuan anda."

Lagipun, kes yang Bulu Lembut lalui tempoh hari memang jarang berlaku memandangkan dia hanya memerlukan seseorang untuk menemaninya pada masa itu. Bantuan yang pertapa lain perlukan biasanya melibatkan pertapaan.

Song Shuhang menghantar simbol 😅.

"Oleh itu, jika anda tidak keberatan, saya boleh meminjamkan teknik Pertubuhan Asas dan teknik meditasi terlebih dahulu. Dengan 'cecair penguat badan' yang anda telah berjaya hasilkan, semua itu akan dapat membantu anda untuk mencapai Penubuhan Asas Seratus Hari dan secara rasmi masuk ke peringkat Alam Lima Bukaan Tahap Satu.

Sekiranya anda berjaya dalam Pertubuhan Asas, anda akan dapat menyelesaikan beberapa tugas yang diberikan oleh beberapa ahli dao dan ahli lama dalam kumpulan ini. Kemudian anda mempunyai peluang untuk membayar hutang saya semula, dan semestinya, saya cuma boleh mengajarkan teknik pertapaan yang paling asas.

Selain itu, jika anda boleh mendapatkan 'qi dan pil darah', anda boleh mengurangkan jumlah masa yang diperlukan untuk Pertubuhan Asas," kata Pertapa Bebas Sungai Utara.

Kumpulan Nombor Satu Wilayah Sembilan terdiri daripada sekumpulan kecil orang yang sanggup membantu antara satu sama lain dan ahli pertapa lama sering membantu dan menyokong pertapa baru di dalam kumpulan ini. Jadi, dia tidak akan teragak-agak untuk berusaha membantu mengajarkan teknik asas yang agak biasa buat pertapa lain.

Bagaimanapun, memandangkan Song Shuhang telah menyertai kumpulan ini, dia pasti akan menjadi seorang pertapa.

Pertapa Bebas Sungai Utara itu seolah-olah menjadi guru kepada Shuhang kerana dia sudi mengajarkan teknik asas kepadanya. Song Shuhang akan mengingati kebaikan Pertapa Sungai Utara itu sepanjang hayatnya. Untuk bantuan yang lain, ya, semua itu datang daripada Bulu Lembut yang telah menghantar dua bungkusan ubat-ubatan herba kepadanya.

Selepas mendengar kata-kata dari Pertapa Sungai Utara, Song Shuhang terasa lega. Walaupun ia hanyalah teknik yang paling asas, dia sangat perlukan bantuan itu pada masa sekarang.

Dia mengetuk papan kekunci. Dia hanya perlu menaip beberapa perkataan dan kemudian pintu 'dunia pertapaan' akan terbuka kepadanya!

Pada masa ini, satu mesej muncul dalam kumpulan itu.